Tentang Penulis

Nama: Zaman Shah Bin Saiyan
Masshah


Biodata Penulis

Namaku, Asalku, Pendidikanku, Dan Nama Penaku
Namaku mengikut kad pengenalanku, Zaman Shah Bin Saiyan. Diberikan nama oleh sepupuku, saudara sebelah bapa. Anak yang ketujuh dari lapan adik beradik.

Berasal dari Negeri Selangor Darul Ehsan, negeri idaman dan berkebajikan, dicemburi lawan dan kawan.

Pendidikan setakat sekolah rendah kebangsaan, di Sekolah Kebangsaan Bukit Kapar (dari tahun 1981-1986), bersekolah agama rendah di Sekolah Rendah Agama Bukit Kapar Barat (mula darjah 3), sekolah menengah di Sekolah Menengah Meru (dari 1987-1991). Selain itu, belajar di Universiti Kehidupan hingga ke saat ini.

Nama penaku sebenarnya ada beberapa, dulu-dulu suka guna nama pena, AneeZa, Hudzaifah, Man Shah, Radikal Boy, dan kini hingga ke akhir hayat guna nama pena Masshah.

Keluargaku

Sudah mendirikan rumahtangga, hasil perkongsian hidup bersama isteri tercinta, Mashitah Binti Ibrahim, seorang guru,  telah dikurniakan dengan cahaya mata, anak pertama Nur Dania Balqis( Umur 5 tahun), anak kedua Muhammad Anas ( Umur 4 tahun ), dan yang ketiga Muhammad Huzaifah ( Umur sebulan). Syukur Alhamdulillah, segalanya kurniaan dan ketentuan Allah SWT. Semoga terus berbahagia hingga ke akhir hayat hidup ini.

Kerjaya Dan Pengalaman Kerjaya Sampinganku

Aku bekerja di sektor perkilangan, sektor swasta di Etika Dairie Sdn Bhd (Kilang Tenusu). Sudah bertugas selama lima belas tahun. Sebelum itu pelbagai kilang yang aku pernah bekerja di sana. Tidak perlulah aku senaraikan di sini, jika disenaraikan mungkin agak berjela-jela senarainya. InsyaAllah, ia merupakan tempat untuk cari rezeki yang terakhir buatku, cukuplah era bertukar-tukar tempat kerja. Alhamdulillah, setakat ini, aku bahagia dengan kerjayaku, biarpun saban hari berdepan dengan karenah manusianya. Berkat kesabaran, tabah pasti Allah SWT membantu.

Lain-lain kerja yang pernah dilakukan, terlibat dalam kerja ‘Part Time’ MLM, macam-macam MLM yang diikuti, semangat turun naik, biasalah buat MLM kena betul-betul rajin, kesungguhan, fokus dan berkorban masa, tenaga, keluarga. Terakhir aku masuk MLM..tahun lepas 2013, sekadar masuk ahli sahaja, sehingga hari ini, tidak pernah beli produk pun, pergi meting apatah lagi. Tidak perlulah aku senaraikan MLM yang pernah aku ikuti, aku rasa ramai yang terlibat dalam kerjaya sampingan ini. Syarikat tersebut sudah ada yang tidak wujud dan ada yang tidak berdaya saing lagi.


Tentang Keterlibatan Dunia Penulisanku

Seterusnya, dalam bidang penulisan, sejak mula sekolah sudah boleh menulis A.B.C...menulis nombor 1.2.3..., siapa pun bermula dari situ, baharulah dari setahun ke setahun pandai menulis. Kini masih bisa menulis, menulis dan terus menulis, biar pun ramai yang kata ‘tak pandai menulislah’, tak ada masa untuk menulislah’, susah nak dapatkan idea menulislah’, dan beribu macam alasan yang diungkapakan, tetapi bila kita lihat muka bukunya, penuh dengan status-status yang berjela-jela, apatah lagi sms yang ditulisnya. Pelik juga dengan segelintir sikap mereka ini, cakap tak tahu menulis tapi sebaliknya. Mungkin niat untuk betul-betul menulis tak wujud di hatinya, barangkalilah.

Sejak tahun 1995, aku sudah mula menulis, punyai dairi pribadi, juga punyai buku-buku untuk mencatat apa sahaja yang terbuku di hati, waktu itu, maklumlah waktu remaja, fikiran masih melayang-layang, adakalanya aku menulis di cebisan-cebisan kertas, waktu aku bekerja, meluahkan rasa hati dalam bentuk puisi. Masa itu belum miliki komputer, banyak tulisan yang aku nukilkan hanya di dalam buku nota yang aku sediakan. Alhamdulillah, buku-buku tersebut masih lagi aku simpan, aku sudah tuliskan kembali luahan puisi-puisi yang aku tuliskan waktu itu ke dalam perisian Word, malah aku sudah baindingkan. Setakat itulah yang aku mampu buat.

Seterusnya, sekitar tahun 2009, aku sudah mula kenal dunia blog, aku mula bina sebuah blog, dari satu blog aku punyai 7 buah blog, aku ada ceritakan dalam ‘Kisah Perjalanan Penulisanku’ di Blog Sasteraku, iaitu Selagi Pena Insan Biasa Ini Masih Menari. Boleh di baca di sana untuk mengetahui kisah seterusnya. Aku lebih banyak menulis di blog sahaja, setakat hari ini, blog yang kekal aku miliki ada empat buah blog, di sanalah aku menuliskan sesuatu, yang ingin aku kongsikan kepada sahabat-sahabat penulis, perkongsian dari penulis kecil di blog, insan seperti aku.

Kini, aku menulis, dalam genre penulisan keratif puisi, melalui Portal Esastera.com, sejak 2010, semenjak aku menyertai beberapa kursus anjuran esastera. Penulisan sajak yang masih banyak perlu aku perbaiki, seronoknya di Portal ini, sajak-sajak kita akan di komen secara terus kepada mereka yang membacanya. Penyair seperti Tuan Puzi Hadi, Dr.Irwan (Pendiri Portal Esastera.com), dan yang lain-lain turut mengomen, mengkritik hasil karya kita. Semenjak dari itu, semangat untuk menulis terus meluap-luap, khususnya dalam penulisan sajak. Hingga saat ini masih menulis di Portal eSastera.com.

Insyallah, selagi ada daya dan kudrat yang diberiakn oleh Allah SWT, aku akan terus menulis, menulis dan terus menulis. Semua dengan izin Allah SWT.

Pencapaian Dalam Penulisan

Masih belum ada apa-apa pencapaian dalam penulisan, hanya semangat dan nekad mahu menulis, menulis dan menulis sehingga ada sinar untuk ku gapai kerlipan bintang di langit malam. Jika ada usaha dan kesungguhan, pasti ada jalan untuk menuju cita-cita dan impian yang di inginkan.

Sekian adanya tentang penulis kecil.

ZAMAN SHAH BIN SAIYAN

             ( Masshah)





Comments

  1. Tidak mustahil satu hari nama ini akan menjadi sebutan kepada peminat cerpen dan novel seperti kakak dan anak-anak kakak. Doa kakak mengiringi perjuangan itu.

    ReplyDelete
  2. Amin Ya Rabb, terima kasih kakzakie, mudah-mudahan terlaksana impian ini.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi