Nota Ramadan: Pengharapanku
Google Image |
Izinkan Aku Bertemu Ramadan-MU
Ya Allah, tinggal sehari lagi ramadan bakal
menjelang lagi, apakah diriku sempat menemuinya atau sebaliknya. Rasanya bagai
semalam ramadan meninggalkan ku, kini sudah bakal menjelang lagi. Sesungguhnya,
masa berganti masa semua dengan izin-MU, ketetapan dan ketentuan-MU, ramadan
bakal muncul lagi. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan-MU.
Ya Allah, jika sekiranya kau izinkan aku untuk
menikmati ramadan yang bakal kunjung tiba nanti, alangkah bersyukurnya aku
pada-MU, sesungguhnya itulah yang aku mahukan, aku ingin benar-benar
mengharungi ramadan kali ini dengan penuh kesyukuran dan pengharapan rahmat
dari-MU. Aku harap agar KAU tidak menghampakan harapanku ini. Ingin ku perbaiki
cara aku menyambut ketibaan ramadan dan akan ku perbaiki segala cacat cela yang
pernah aku layani ramadan sebelum-sebelum ini. Maafkan kelemahanku ya Rabb!.
Ya Allah, bagaimanalah nasib ramadanku yang
lalu, apakah diterima atau pun sebaliknya. Ya Allah...andainya sebaliknya, aku
ingin menebusnya pada ramadan kali ini. Bantu dan tolonglah aku dalam
mengharungi ramadan yang bakal tiba dalam melawan hawa nafsu dan bisikan jahat
itu. Sesungguhnya aku tidak mampu tanpa bantuan-MU ya Rabb...!. Dalam setiap
perbuatan dan perkataanku ada sahaja yang silap, ada sahaja yang tidak mampu
aku tepis dan tahan, kerana nafsu yang membelenggu ini.
Ya Allah, jadikanlah ramadan benar-benar teman
akrabku selama sebulan nanti, aku tidak mahu menjadi orang-orang yang rugi. Aku
ingin sungguh mendapatkan title ‘ Orang-orang yang bertaqwa’ hasil dari ibadah
puasaku nanti. Semoga pintu ‘arrayyan’ menjadi pintuku untuk memasukinya. Ya
Allah..., jadikanlah impianku dalam ramadan menjadi kenyataan. Biarlah ia
berlaku dengan sabar dan reda dari-MU.
Ya Allah, ramadan kali ini biarlah hatiku
terus bertaut pada-MU, rindu pada keagungan-MU, rindu pada firdaus-MU dan
segala-galanya hanya untuk-MU. Tetapkanlah pertautan dan pergantunganku hanya
untuk-MU semata-mata, ya...semata-mata hanya untuk-MU. Izinkanlah impianku
menjadi kenyataan ya Rabb!. Berilah kekuatan untuku untuk terus mendamping-MU
sepanjang ramadan dan seterusnya di luar ramadan sepanjang hayat dan hidupku.
Ya Allah, jauhkanlah aku tergolong dari
manusia yang rugi, yang mensia-siakan
keagungan ramadan. Bulan yang penuh nikmat dan rahmat-MU ini. Aku sedar, aku insan yang sangat lemah,
sentiasa alpa dan leka, sangat sedikit mengingati-MU, sangat sedikit bersyukur
pada-MU, banyak melakukan kemaksiatan pada-MU, hatiku tidak setia dan selalu
lupa ingat pada-MU...maafkan dan ampunkanlah aku ya Rabb...maafkan aku..hamba
yang penuh noda dan dosa.
Ya Allah, tetapkanlah aku dalam rahmat dan
reda-MU, hindari aku terus leka dan dosa, tetapkanlah aku dengan keimanan dan
keinsafan. Ramadan aku dambakan, agar kau izinkan aku dapat menyelusurinya
nanti. Izinkan aku ya Rabb untuk bertemu ramadan kali ini...
Sesungguhnya hanya Engkaulah yang mengizinkan
impianku ini ya Rabb...Maha Suci Allah Yang Maha Mendengar rintihan insan kerdil
ini.
Maafkan aku Ya Rabb...!
Assalamualaikum, Tuan Masshah. Selamat menjalani ibadah puasa dengan penuh ketakwaan.
ReplyDelete