Hanya Penulis Kecil Di Blog
Aku masih mahu berkisah tentang rentetan perjalanan
penulisanku, penulis kecil yang tiada nama, namun ia bukanlah alasan untuk aku
tidak menulis, ada nama atau tidak itu bukan persoalan dan juga bukan niat asal
ku untuk mahu menulis, aku percaya setiap penulis sama ada penulis kecil atau
besar tentu punyai prinsip dalam diri, biasa kita dengar, ‘aku menulis bukan
kerna nama’, yang merupakan bait-bait lagu ramli sarip dengan sohaimi. Tentunya
niat tulus murni menulis semata-mata menuntut keredhaan Allah SWT.
Apa-apa sahaja yang kita tulis, sudah pastinya kita
niatkan untuk menyampaikan seruan-seruan yang baik kepada khalayak, sama ada
penulis blog atau penulis buku, yang sudah ada nama atau belum ada nama, niat
murni tersemat di hati masing-masing. Begitulah aku, niat itu jugalah yang aku
sematkan ke dalam sanubari ini. Mudah-mudahan apa yang dinukilkan dan
diterbitkan di dalam blog akan dibaca oleh khalayak dan ada manfaat untuk
mereka.
Seperti pernah aku tuliskan dalam penulisan yang lepas,
aku melihat sahabat-sahabat blogger yang lain, ramai yang sudah tidak menulis
lagi di blog mereka. Melihat pautan blog mereka, sehingga ada sudah hampir dua
tahun hingga keempat tahun lamanya mereka tidak lagi menulis. Mungkin mereka
sudah tidak cukup masa lagi untuk duduk di depan komputer, untuk menulis
sesuatu atau pun mereka sudah tidak minat lagi untuk berkongsi apa-apa sahaja
yang sering mereka kongsikan sebelum ini. Begitulah pasang surutnya menulis di
medium blog.
Setiap antara kita ada komitmen masing-masing, bila sudah
berkeluarga, mereka menumpukan sepenuhnya dengan kehidupan rumahtangga, kerjaya
yang memungkinkan mereka tidak dapat lagi untuk duduk seperti dahulu di depan
komputer. Itulah antara kemungkinan-kemungkinan mengapa mereka tidak lagi
menulis di blog mereka. Apa pun bagi kita, khususnya aku, yang masih ada niat
di dalam hati mahu menulis maka teruskan sahaja kerja-kerja menulis ini. Selagi
ada daya dan masa mengizinkan.
Itulah sedikit pandangan aku, tentang penulisan di dalam
blog, aku mahu cerita semula tentang blog seterusnya, bila banyak sangat blog,
macam-macam penulisan kena tulis, bila blog famili, tulislah entri tentang
anak-anak, bila blog berkaitan buku, menulis tentang buku, bila geram tengok
situasi politik tanah air, menulis pula tentangnya di blog politik. Bila ada
aktiviti sastera yang aku ikuti, menulis pula di blog sastera. Maklum ada empat
buah blog, semua mahu dibalunnya. Blog keempat ini, aku khususkan untuk catatan-catatan aku
semasa kerja, itu niat pada mulanya blog ini di bina. Blog yang aku namakan
Catatan Budak Kilang.
Blog ini, tidak banyak perkongsian aku tuliskan, hanya beberapa entri yang
sempat aku terbitkan, tulisan luahan hati berkaitan tempat kerja yang aku
sekarang sedang bekerja di sana. Ikutkan banyak entri yang boleh aku tuliskan
dan terbitkan di situ, dek’ kerana, waktu itu blog aku sudah bertambah, faktor
masa, penat, dan culas serta malas. Akhirnya aku padam untuk blog tersebut pada
awal tahun 2014. Biarlah kisah kerja ini, aku catat di dalam buku nota yang aku
sediakan untuk menulis apa-apa yang berlaku di tempat kerja, Jika aku rajin
nanti, aku cuba tuliskan detik-detik perjalanan aku menjadi orang kilang.
Perjalanan penulisanku di blog bersambung dengan
terbinanya blog ‘Memoir Insan Biasa’, blog kelima yang aku bina waktu itu,
konon niat mulanya, blog ini dibina mahu berkisah tentang kehidupanku, sejak
mula aku dilahirkan, sehinggalah waktu kini, namun ia hanya bersawang tidak
ramai penghuninya, maksudku tiada entri yang aku kirim, hanya beberapa buah
sahaja. Lama-lama aku fikir, biarlah aku padam sahaja blog ini, ta...taaa....,
penulisan memoir insan biasa ini, masih aku tukangi biarpun aku tidak terbitkan
di blog yang ada ini. InsyAllah, akan aku kongsikan bila ada kesempatan nanti.
Semasa aku mahu menulis memoir itu, sebenarnya aku
berniat, agar penulisan itu akan berakhir sebelum aku masuk ke umur empat puluh
tahun, namun gagal untuk aku tuliskan dan buktikan pada diriku sendiri. Senang
cakap gagal!, namun masih aku usahakan lagi penulisan itu. Kali ini,
harap-harap selesailah penulisan itu sebelum aku memejamkan mata dalam tidur
lena yang panjang. Mudah-mudahan, itulah harapan aku. Perkenankanlah
Ya...Rabb!. Impian dan anganku akankah
tercapai dan tergapai?. Hanya Allah SWT Yang Tahu.
Blog seterusnya, blog sekadar luahan, pandangan pribadi,
simpati kepada pertubuhan Al-Arqam yang diharamkan, kerana aku punyai cerita
tersendiri tentangnya, aku tidak terlibat dan tidak juga menjadi anggota jemaah
tersebut, Cuma aku melihat ada sisi menarik terhadap jemaah tersebut ketika
itu, maka aku bina blog tersebut dengan niat mahu berkongsi catatan hatiku
terhadap jemaah tersebut, akhirnya aku gagal merealisasikan penulisan itu. Blog
tersebut aku namakan ‘Bukan Membenci Tapi Simpati’ atau ‘Sekadar Simpati Meluah
Hati’, lebih kurang begitulah yang aku tulis tajuk blog tersebut, aku lupalah
pulak.
Namun ianya kosong dari sebarang catatan perkongsian,
sekadar tulisan mukaddimah, selepas itu kosong, akhirnya aku padam blog
tersebut. Masih ada niat lagi untuk menulis catatan-catatan tersebut, cuma masa
dan ketikanya sahaja. Jika rajin nanti, aku akan cuba tulis sisi menarik
tentang jemaah tersebut, biarpun masing-masing punyai pandangan yang berbeza.
Arkibkan dirimu...kata Pak Agi dalam bicaranya. Ya, sekarang aku cuba arkibkan
detik perjalanan penulisanku ini, aku cuba, mahu menjejaki nota yang tertinggal
setelah sekian lamanya...kini aku jejaki langkah-langkah tersebut,
mudah-mudahan dokumentasi ini dapat dinikmati nanti oleh anak-anakku..., akan
ada lagi nanti kisah seterusnya, ada kesinambungannya nanti...
bersambung...
Comments
Post a Comment