Sajak: Muhasabah Diri
Muhasabah Diri
Tanggal 2.03.1974
aku dilahirkan
dilahirkan aku dari perut ibuku
keluar dari pintu rahimnya
dilahirkan aku hasil percintaan
dan perkasihan mereka berdua
tanpanya mana mungkin
aku berada di maya pada ini
tanpa izin-NYA jua
mana bisa aku melihat dunia
penuh warna-warni kehidupan.
Dilahirkan aku seperti insan-insan lain
sempurna sebagai ciptaan Tuhan
DIAlah Maha Sempurna
mencipta kejadian insan
dengan sebaik-baik kejadian
syukurlah aku yang dilahirkan
melihat wajah dunia
semakin tua merana
pelbagai karenah insan sepertiku.
Dalam kalam suci
nyata insan adalah khalifah
di muka bumi Ilahi
kejadian ciptaan-NYA
tidak sia-sia ada tujuannya
sungguh, ciptaan-NYA seperti
jin dan aku bukan semata-mata mahu hidup
tetapi sebagai khalifah jua beribadah kepada-NYA
namun setiap leka dan jaga
ada perkiraannya
untung nasib di dunia dan akhirat sana.
Sia-sia tidak kejadian insan
nikmat Tuhan harus disyukuri
sepenuh hati bukan main-main
jua bukan lakon-lakonan
ingatan Tuhan jua pesanan
Usah diketepi dinafi diri
kelak sengsara merana kemudian hari
pesan junjungan setia dalam diri
panduan dalam mengemudi diri.
Rupanya dilahirkan aku
penuh keanehan penciptaan-NYA
dalam diri ada kebesaran-NYA
dalam diri ada kehebatan-NYA
nyata itu semua milik yang Maha Perkasa
ya, buat merenung muhasabah diri.
Terima kasih Tuhan
terima kasih ibu ayah
terima kasih kawan dan teman
terima kasih atas segalanya
menerimaku hadir di sini hingga waktu kini.
Masshah 2014
1062014
Meru.
Comments
Post a Comment