Nota Ramadan: Ramadan Menjelang Lagi
Google Image |
Ramadan Menjelang Lagi
Bulan ramadan datang lagi, bulan yang penuh dengan
keberkatan dan kerahmatan dari Ilahi. Syukur tidak terhingga diucapkan terhadap
yang empu-Nya bulan yang suci lagi mulia ini. Kerana dengan izin-Nya, aku dan
kita semua dapat bertemu dengan bulan suci ini. Bulan di mana di dalamnya ada
ibadah puasa yang mesti kita tunaikan. Satu kewajipan yang termaktub di dalam
al-Quran.
Firman Allah SWT bermaksud;
"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan
berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu
supaya kamu bertaqwa. Puasa itu diwajibkan dalam beberapa hari tertentu. Maka
sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) maka
hendaklah ia digantikan dengan hari-hari lain."
(Al-Baqarah : 183)
Demikianlah, suruhan dan saranan Allah SWT agar kita
menunaikan kewajipan berpuasa di bulan ramadan al-mubarak ini. Semua orang tahu
dan faham tentang suruhan ini. Cukuplah sekadar itu, aku bukan mahu berceramah
tentang kelebihan puasa, semua orang sudah faham dan reti belaka, maklum sudah
ada yang berpuasa puluhan tahun, tak kanlah tidak faham lagi kan’?. Aku hanya
sekadar mahu menulis catatan tentang rutin harian aku sepanjang bulan ramadan
tahun ini.
Apa Itu Ramadan?
Oh ya, sedikit untuk pengetahuan, tentang pengertian ramadan
yang aku kutip dari laman blog Fadhilat
Ramadan, sekurang-kurangnya bila kita sebut ramadan, kita akan faham apa itu
ramadan;
“Perkataan Ramadhan berasal
dari kata dasar ‘ra-mim-dal’,
yang bererti“panas” atau “panas yang menyengat”.
Perkataan ini berkembang sehingga ertinya membawa maksud“menjadi panas atau
sangat panas”, atau diertikan juga sebagai“hampir membakar”. Oleh
itu makna Ramadhan boleh diringkaskan sebagai waktu
atau keadaan di mana seseorang merasa panas, mulut terasa kering dan tekak
terasa haus disebabkan sedang berpuasa.”
InsyaAllah, selagi diberi kekuatan dan semangat, aku akan
nukilkan catatan ini sepanjang bulan ramadan, apa-apa sahaja yang aku lakukan
akan aku catatkan dalam nukilan ini. Seperti tahun-tahun yang sudah, aku ada
menuliskan tentang perjalananku sepanjang ramadan. Aku yakin dan percaya,
selaku orang Islam yang beriman, sahabat semua tentu gembira dengan kedatangan
bulan suci ini. Hati girang untuk menyambutnya dan sudah pastinya sudah ada
perancangan yang baik untuk meraikan bulan mulia ini. Tahniah dan syabas, aku
ucapkan kepada sahabat semua.
Teruja Malam Pertama Ramadan
Malam pertama, ramai berbondong-bondong ke surau atau
masjid, tidak kira di mana, desa atau kota, seantero dunia sedang meraikan
ramadan al-mubarak ini. Melihat begitu ramainya umat Islam ke surau dan masjid
sangat mengujakan aku, mereka datang bersama keluarga, anak, isteri dan
sebagainya. Semangat ramadan diraikan dengan penuh sungguh dan meriah sekali.
Surau, masjid dan madrasah hidup bercahaya dengan pelbagai program, imarah
sekali. Seperti tahun sudah, begitulah suasana malam pertama ramadan, malam ini
berulang kembali.
Sungguh, ramadan punyai kuasa magnet yang kuat sekali,
untuk kita sama-sama berusaha menghidupkannya. Asal yang malas akan menjadi
rajin, yang lebih kurang pun begitu, bangkit dengan kekuatan ramadan,
bersemangat untuk meraikan ramadan. Indah dan meriahnya suasana malam ini. Aku,
malam ini berterawih di Surau Darul Aman, tempat tinggalku, aku balik kampung
sekejap untuk malam ini, berterawih bersama orang-orang kampung asalku. Seronok
melihat betapa semangat ramadan malam pertama mereka merai dan
mengimarahkannya. Begitu juga aku, aku tidak mahu ketinggalan.
Saf-saf solat penuh, dari yang tua, dewasa, remaja,
kanak-kanak, dan turut kelihatan beberapa warga asing yang beragama Islam turut
bersolat di surau. Aku bermonolog di dalam hati, moga semangat ini terus
bekekalan sehingga ramadan terakhir, aku harap aku pun begitu, bukan hanya
semangat tetapi biarlah dengan niat dan tekad semata-mata menuntut keredaan
Allah SWT. Jika sekadar semangat-semangat tanpa niat yang betul,
kebarangkaliannya akan mudah pudar dan longgar. Itulah harapan aku, untuk
diriku dan masyarakat seluruhnya.
Terpulang Hendak Berapa Rakaat
Bila sebut ramadan, semua akan ingat terawih, solat terawih, terpulanglah kepada
masing-masing, mahu berapa rakaat mahu tunaikannya, ada lapan rakaat, ada
sepuluh rakaat, ada dua belas rakaat, dan ada dua puluh rakaat, sambung solat
witir tiga rakaat, ya...silakan, usah gaduh-gaduh, cukuplah, masing-masing
sudah faham, sudah tahu dalil-dalilnya, buat sahaja, jangan bertelingkah tak
sudah nanti berpecah akhirknya. Itu yang kita tidak mahu, masyarakat kini sudah
ramai yang faham, berpendidikan tinggi. Selagi ia tidak bertentangan dengan
sunnah dan syariat silakan.
Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda, maksudnya;
“Hendaklah kamu
berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khulafak yang mendapat petunjuk
(selepasku). Berpegang lah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham-geraham
kamu…”.
(Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud dari Abi Najih
al-‘Irbadh bin Sariyah r.a.)
Untuk malam ini, dengan kekuatan yang diberikan oleh-Nya,
aku dapat menghabiskan solat terawihku hingga solat witir, semoga aku dapat
meneruskan kesungguhanku ini, untuk malam berikutnya. Bila aku melihat
kebelakang, kelihatannya, bila sampai lapan rakaat, ramai yang sudah kembali ke
rumah.
Aku yakin, masing-masing punya hal, mungkin ada yang
bekerja shif, mengambil peluang balik rehat sekejap, untuk sama-sama bersolat
jemaah dan berterawih di surau. Mereka mengambil peluang solat lapan rakaat,
tidak mengapalah, yang penting kita tunaikan solat terawih tersebut, berapa
rakaat pun bukan isunya lagi. Jika kita fikir-fikir, mengapa perlu
dibising-bisingkan lagi tentang berapa rakaat solat terawih, apa untungnya?.
Mengapa tidak kita bisingkan, mereka yang tidak solat terawih pula. Mereka lagi
teruk, jika diikutkan dari mereka yang solat lapan rakaat. Betul juga ya...,
sahabat yang bijak boleh renung-renung dan fikir-fikirkan ya.
Harapanku
Selain teruja melihat semangat masyarakat dalam meraikan
ramadan malam pertama, aku berharapan sekali lagi, biar di mana-mana pun, di
kota atau desa, di seluruh dunia, biarlah umat Islam terus memperhebatkan bulan
ramadan ini, dengan pelbagai aktiviti bermanfaat, biar dari bentuk individu
mahu pun dalam bentuk bermasyarakat. Untuk diriku, sahabat dan masyarakat
seluruhnya, aku mohon pada Allah SWT, agar terus memberikan kekuatan untuk
meraikan bulan suci ini, dengan kekuatan iman dalam diri, janganlah sampai diri
ini mensia-siakan bulan mulia ini yang datangnya setahun sekali.
Amin Ya Rabb...
Aku sudahi catatan ini dengan memetik maksud sabda Nabi
S.A.W;
“Sesiapa mengerjakan qiyam
Ramadhan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan pahala dariNya,
akan diampunkan dosanya yang lalu”.
(Riwayat Imam Bukhari,
Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)
Sekian.
Comments
Post a Comment