MENULIS SELAGI MASIH ADA HAYAT

Tuesday, September 26, 2017

Rindu Membara


Image result for gambar orang sedang merindu

Pabila rindu ini semakin membara, 
semakin ku kuatkan tekad ku,
 ingin ku segera menatapi mu, walau jauh beribu batu,
ku setia menanti mu.

Monday, September 25, 2017

Puisi Panjang Dari Pak Agi

Image result for gambar abdulghafaribrahim

Pak Agi masih terus menerus berkongsi dengan apa yang beliau kongsikan di Muka Bukunya kepada ku. Beliau menghantar mesej ini sekitar jam 4.36 petang.

Aku membukanya agak lewat ketika itu. Seingat aku hari itu aku kerja shif sebelah pagi. Bila Pak Agi menghantar mesej padaku, aku rasa gembira, kerana masih tidak pernah lupa padaku.

Sebagai peminatnya aku sangat menghargainya. Siapa yang tidak gembira bila seorang penyair mengirimkan pelbagai kisah dan cerita dikongsi bersama peminatanya.

Syukur!

Terima kasih Pak Agi, setiap mesej yang kau hantar pasti ada kebaikan yang aku perlu fikirkan.

Untuk hari ini (10/9/2017), Pak Agi mengirimkan kepadaku sebuah puisi panjang berkaitan kecintaannya kepada Tanah Air Malaysia sebagai kampong halaman yang sangat di cintainnya.

Penyair seorang yang sangat sayangkan negaranya dan bersifat petriotik. Nah! Sama-sama nikmati dan hayati puisi panjang beliau ini.

PUISI TAHUN 1966 INI KUKARANG SEMASA BERUMUR 23 TAHUN.INILAH MANIFESTASI CINTAKU PADA KAMPUNG HALAMAN MALAYSIAKU.

SUDILAH BACA PUISI TERPANJANGKU INI HINGGA HABIS.

GELINTAR JIWA ANAK KAMPUNG

pertama urat nadiku
ia jiwaku
lukisan perjuanganku.

kelahiranku
sudah bercorak
semestinyakah aku
menjadi pengikut setia
corak tua?

     tidak.tidak.tidak.

kampungku
bila lagi mahu mencetak
buku-buku baru?

     takut.takut.takut.

mengapa takut mencari diri sendiri?
kerana takut mencari diri sendiri
langsung tidak kenal diri sendiri.

     aku tidak boleh melihat
     orang penakut.

bila?

bila lahir pencipta
tapi takut menjadi perintis
langsung tidak tercipta sesuatu yang agung.

orang-orang
yang sedar akan tanggungjawaab
amat sedikit lahir
yang sedikit ini
kembara pula di tengah hari.

kecintaan kampungku
tiru meniru
tanpa pangkal hujung
suka mendabik dada
seperti orang gila tapi bukan gila
bersuara tinggi:
     aku mahu hidup
     aku cintakan kehidupan
     aku cintakan kehidupan
          tahu nilai kehidupan?

tanah ini kita yang punya.

di kanan
di kiri
di tengah
di depan
di belakang

     laut bukan berapi

ada jambatan merentang
runtuh di tangan anjing.

tanah ini satu asalnya
cuma berlainan rumah suci

jambatan runtuh sudah dibaiki
ranap pula di tangan sendiri.

     laut bukan beracun.

percaya,
jambatan dibaiki semula
biar kukuh ke zaman-zaman menanti
tanah ini bukan untuk diserah kepada anjing.

     apa?

     ke mana neraca jiwa     
     manusia?

ikhlas setia minta diamalkan.

bulan ini bulan kita
mandikan amalan dalam
cahayanya.

dari sudut hati.

orang cuma sanggup ketawa
mentertawakan diri sendiri
hakikat sebenar bukan mereka sedar.

menangis seorang diri
selebihnya memerhati riang.

pandai melakukan kesalahan
masih menuduh lagi
masih lagi mencari-cari
siapa melakukan kesalahan.

sememangnya senang menuduh orang
paling payah menuduh diri sendiri
bukan mahu menuduh diri sendiri.

mudah melihat kesalahan orang lain
kesalahan diri sendiri bukan hendak dilihat.

ada yang bercakap
percakapan itu bukan percakapan mereka
mereka menyambung percakapan orang lain
jadi,
hidup begini tidak dimahukan lagi.

     kampungku punya 
     sekangkang tanah.

ada tidak sedar nilai tanah
lalu mereka memajakkan tanah
lalu mereka menjualkan tanah
tinggal mereka tanpa bertanah.

mata terbuka itulah ada pula yang buta
memandang jauh tapi tersangkut di pinggir mata

nanti berlaku di hari tua
orang meninggi kampungku merendah juga

     apa nak dikata?

rumpun padi membuahkan
emas
terang tampak di mata
emas di kampung dirampas orang.

     apa dikata?

tak apa.tak apa.tak apa.

sudahlah.

aku anak kampung berdarah panas
tidak sanggup melihat ketempangan
tidak sanggup melihat  bunga kesabaran
lemah lembut kaya merendah diri.

     ini warisan basi
     barah kampungku
     bunuh ia
     bunuh ia hari ini.

jadi?

     masuk ke dalam barisan
lantas berdiri di hadapan
     bertindak tentu.

nanti dikata kurang ajar?

     kurang ajar kerana kemajuan
                biarkan.
kalau tidak bertindak
hari esok kampungku
rebah

rebah di kaki orang-orang
berfikiran salah
pemilik nafsu menghamba
kepuasan puncak khianatnya.

     gelintar jiwa anak
     kampung
          melihat jalanan
          di belakangnya
               mencermin
               jalanan
               di mukanya.

apa yang aku fikirkan ialah apa yang aku susahkan
bukan senang
menyelesaikan benang
kusut.

sedang orang-orang
kampungku disapu ribut

ada cendekiawan-
cendekiawan gantungan
harapan
rakus meneguk bayang
hitam.

siapa lagi berhak
menolong diri sendiri
kalau bukan diri
sendiri?
aku susahkan esok

kerana cintaku
pembangunan semesta
dalam luar

     zaman baru
     kampungku
     duniaku.

puncak urat nadiku:
     hari ini apa yang aku
     susahkan ialah esok.

abdul ghafar ibrahim
Kulim, kedah
1966.


(Yang Yang/That's That.2009.Kuala Lumpur:ITBM.
Terjemahan Inggeris:Harry Aveling )

Sunday, September 24, 2017

Basikal Chooper Warna Merah

Basikal Chooper Warna Merah




Bila duduk seorang mulalah terkenang-kenang masa dulu. Masa yang tak akan berputar kembali, ia hanya menjadi nostalgia.

Waktu kecil, kanak-kanak, dewasa kini...ya makin ke penghujung. Kata orang tinggal tunggu masa saja. Bila-bila masa boleh dijemput.

Semua orang ada masanya dan bahagian masing-masing.

Bila kenang dulu-dulu semuanya indah, seronok...ahh...alangkah seronoknya jika masa boleh diputar balik...ha...ha...ha...tak mungkin.

Apa pun syukurlah masih diizinkan untuk mengingati nostalgia lama-lama.

Masih terkenang, sewaktu aku darjah satu. Sebelum bapa membelikan aku sebuah basikal. Tiap pagi bila aku ke sekolah ditumpangkan oleh jiran sebelah rumahku. Kak Hazimah atau aku panggil Kak Jimah.

Pergi balik aku tumpang Kak Jimah.Aku hanya sekolah pagi sahaja, sekolah kebangsaan.

Waktu itu aku belum bersekolah agama lagi. Setiap pagi   aku tunggu di depan jalan rumahku.

Hadiah Basikal

Sehinggalah satu hari bapa membelikan aku sebuah basikal chooper warna merah.

Alangkah gembiranya waktu itu. Memang sebelum itu bapa ada beritahu aku, kalau periksa dapat nombor satu, bapa akan hadiahkan aku sebuah basikal.

Tapi waktu itu belum periksa lagi pun. Mungkin bapa mahu aku berbasikal tanpa menumpang lagi Kak Jimah.

Oh ya...setiap bulan bapa akan beri upah kepada Kak Jimah kerana menumpangkan aku. Pergi dan balik sekolah Kak Jimah yang bawa aku.

Bapa mahu aku berusaha sendiri mungkin begitulah. Betapa gembira dan seronoknya waktu itu.

Basikal chooper warna merah menjadi miliku, aku bagai bermimpi. Tidurku tak lena asyik pandang basikal. Seronok dan gembira sangat tidak terkata.

Kini, sesekal bila aku ingatkan kembali rasa terharunya mengenang pengorbanan bapa. Bapa ingin melihat aku berusaha sendiri berbasikal ke sekolah.

Berapa harga nilai basikal itu bukan masalah walaupun bersusah payah mencari kewangan waktu itu.

Bapa waktu itu bekerja sebagai buruh binaan. Aku yakin bapa mengumpul duit untuk membelikan aku sebuah basikal chooper.

Ahh...besarnya pengorbananmu bapa.

Aku doakan bapa terus sihat dan dilindungi Allah SWT selalu.


Aamiin Ya Rabb!!!                        

Saturday, September 23, 2017

Hilang Dari Sejarah




Sungguh aku terkesan dengan kata-kata  di atas, ia betul-betul membangkitkan rasa keinginan yang kuat mahu merealisaikan kata-kata sasterawan dari Tanah Seberang di atas, iaitu Pramoedya Ananta Toer. Ia sangat menyuntik motivasi tinggi buatku. 

Benarlah apa yang diungkapakna oleh beliau. Sesiapa pun boleh saja hilang dari mata masyarakat,seandainya mereka tidak meninggalkan apa-apa sejarah dalam hidup mereka, untuk diikuti, dibaca dan apa saja kisah atau cerita mereka buat tatapan masyarakat. 

Semua itu bermula dengan menulis, menuliskan sejarah diri, kisah kehidupan yang di lalui oleh mereka dan juga kita, juga aku, ya aku, biarpun aku bukan sebijak dari mereka. semua orang boleh menuliskan kisah kehidupannya. 

Tidak kesahlah orang kecil, orang besar, orang kaya, bahkan orang miskin juga punya cerita dan kisahnya, sesiapaun boleh menulis. Pasti apa yang dituliskan ada manfaat dan boleh diambil ibrah oleh masyarakat yang membacanya.

AKU? Apakah aku juga mahu hilang dari mata masyarakat dan sejarah? Fikirku, kerana aku tidak punya apa-apa yang istimewa dalam hidupku, aku insan biasa, orang kecil, masyarakat pun tidak kenal aku. 

Biasanya orang yang bijak, kaya dan apa sahaja yang dimiliki dapat dilihat oleh  masyarakat. Aku cuma semut yang bisa dipijak gajah...itu fikiran  negatifku, jika aku turuti bisikan hati yang negatif ini nescaya, aku juga akan hilang dari masyarakat.

Cuba, jika aku positif, bangkit dan segera berubah pemikiran, sentiasa melihat sesuatu  ada pada diri kurniaan yang harus aku syukuri, biar pun aku hanya seorang pekerja kilang. Tidakah ada sesuatu yang boleh diabadikan dalam hidupku dan  sudah pasti boleh dikongsi oleh masyarakat di luar sana.

Dengan kata-kata itu, aku ingin dan aku mesti membuktikan kepada diriku, agar sejarah hidupku dapat dibaca, dilihat, itu pun seandainya aku betul-betul bertekad sepenuh hati untuk terus menulis sesuatu untuk aku tinggalkan sebelum ajalku tiba...kerana menulis adalah bekerja untuk keabadian.

Friday, September 22, 2017

Salam Maal Hijrah 1439H




Semoga tahun ini lebih baik dari tahun lepas, mudah-mudahan aku dan sahabat terus menjadi insan yang lebih baik.

Aamiin Ya Rabb!!!

Thursday, September 21, 2017

Wednesday, September 20, 2017

Tiada Siapa Tahu



Bersediakah atau tidak, ia pasti mendekatimu, kerana tempohnya sudah     hampir sangat. Tapi entah bila tiada sesiapa yang mengetahui, melainkan DIA.

Rindu Membara

Pabila rindu ini semakin membara,  semakin ku kuatkan tekad ku,  ingin ku segera menatapi mu, walau jauh beribu batu, ku setia m...