MENULIS SELAGI MASIH ADA HAYAT

Sunday, January 19, 2014

Sajak: Mati Itu Tiba-Tiba





Mati Itu Tiba-Tiba

Tiba-tiba mati, mati tiba-tiba
tidak diundang,
tiada siapa pun sudi mengundangnya
sudi tidak sudi pun pasti mati
tidak kira waktu dan hari,
di mana, bagaimana.

Tiba-tiba mati, mati tiba-tiba
tiba-tiba mati pun mati
mati tiba-tiba pun mati
semuanya pasti mati
jangan sesekali mahu menafi.

Ingat yang korupsi mati
ingat pak menteri pun mati
ingat pemimpin oposisi pun mati
ingat kepala gengster pun mati
semuanya akan mati,
tiada siapa yang terkecuali

Mati pasti dan mesti jangan dinafi
jangan pandai-pandai mahu jauhi
jangan pandai-pandai mahu ketepi
jangan pandai-pandai tidak mahu mati
mati tetap mati

Ingat-ingat
hati mati pun akan mati
hati celik pun mati
hati buta pun mati
hati tidak buta pun mati
semuanya akan mati
pasti dan pasti
mana mahu pergi?

Masshah 2013
7:49pm-Rabu-20/11/2013
Bilik buku
Meru.


Sajak: Terima Kasih Mualimah




Terima Kasih Mualimah
(Didikasi kepada seluruh guru-guru Pasti Imtiyaz, Sungai Serdang)

Jasa kalian kepada permata hatiku tidak terhingga
mengenalkan setiap aksara yang tertulis
dari A hingga Z
dari 1 hingga 10
dari alif hingga ya’
semuanya lancar di ulang bicara.

Sungguh ku terharu dan teruja
akan kebesaran Tuhan Yang Maha Hebat
lebih dari itu kalian mengenalkan puteriku
dengan ALLAH SWT pencipta alam ini
mengenalkan NABI SAW pesuruh-NYA yang berbudi pekerti
memperhalusi akhlak penuh Islami
agar menjadi anak yang soleh mahupun solehah.

Penuh dengan ketekunan dan kesabaran
meladeni karenahnya dengan bijak sana tanpa jemu
sedang imbuhanmu dengarnya amat sedikit
namun Allah Maha Melihat
memahami keperitan mehna perjuangan mu
kerana mendidik, mengajar dan membimbing
adalah sebahagian perjuangan yang kalian langang.

Sungguh, hasil didikan, bimbingan dan pengajaran dari kalian
telah membuahkan hasil yang ranum manis
berkat keikhlasan kalian
permata hatiku sudah pintar mengenal aksara
mengaji, petah berkata-kata, lulus dengan baik dalam ujian yang diberi
bukan mengharap A yang banyak
bukan mengharap nombor yang sedikit
itu hanya motivasi diri agar terus giat usaha buat permata hatiku,
penting dari itu kalian telah mengenalkan huruf A untuk
Sang Pencipta ALLAH SWT YANG MAHA AGUNG.

Terima kasih para mualimah yang berjasa
terima kasih para mualimah yang berdidikasi
terima kasih mualimah yang penuh ikhlas hati
dalam mendidik permata hatiku...
semoga Allah SWT, merahmati dan meredhoi usaha dan khidmat bakti kalian
terima kasih mualimah!.

Masshah 2013
Bilik buku
Meru.