MENULIS SELAGI MASIH ADA HAYAT

Thursday, July 23, 2015

Pantun: Pelembut Nubari


Pantun: Hari Raya Tanda Bersaudara



Setahun datangnya hanya sekali
Habis puasa kita meraikannya
Itu tandanya Ramadan berlalu pergi
Kini syawal harmoni datang pula.

Sebulan sudah kita berpuasa
Tanpa mengenal penat dan letih
Ramadan kini tinggalkan kita
Syawal pula disambut meriah

Hari raya ziarah menziarahi
Tanda kita saling bersaudara
Anak-anak, suami dan isteri
Saling bermaafan sesama kita.

Yang jauh pulang ke kampong
Mahu meraikan hari raya
Usah terpekik dan melolong
Pulanglah dengan hati gembira.

Buangkan duka di hari raya
Agar bahagia hati selalu
Usah dikenang cerita lama
Kita tukar dengan cerita baru.

Berhari raya usah bergajet asyik
Hilang semua lupa bersilaturahmi
Berbicaralah bergembira usik mengusik
Tanda persaudaraan semakin harmoni.

Masshah
20072015
Meru.


Wednesday, July 22, 2015

Sajak: Ayah Ibu




Wajah kasih… kasihmu tetap di atmaku
sedari kecil hingga kedewasaanku

Wajah kasih… kasihmu tak pernah berkurang
biar kedut pada wajahmu, kudrat semakin terlerai

Wajah kasih…kasihmu tetap menyubur indah
tak pernah terpadamkan, biar matari terik membakar

Wajah kasih…kasihmu membikin gelodak atmaku pilu
gerimis sendu, sayu tiba-tiba mengalir sepi…

Masshah
22072015
Meru.

Catatan Ringkas Syawal 1436H/2015M (1)

Syawal Pertama: 1 Syawal 1436H/17HB 07 2015M

Sebelah pagi, seusai mandi sunat ei’dulfitri aku bersiap-siap berpakaian untuk pergi ke Surau, menunaikan solat sunat ei’dulfitri, aku pergi dengan anak bujangku, Muhammad Anas, sebelum itu singgah rumah emak dan bapak, ambil mereka untuk sama-sama perg ke surau. Pada tahun ini, aku solat di Surau Darul Aman.

Oleh kerana Hari Raya tahun ini jatuh pada hari jumaat, solat sunat ei’dulfitri tahun ini dipercepatkan, sekitar jam 8:15 pagi. Selesai solat ei’dulfitri, khutbah disampaikan oleh Ustaz Yazid, tanpa menggunakan teks, seperti biasa.

Aku lebih suka khutbah yang tidak menggunakan teks khutbah yang disediakan, ia lebih ‘real’, ia tidak bergantung dengan teks, khatib boleh sahaja cakap, menegur apa yang berlaku di kariah masing-masing, bagi aku itulah yang sewajarnya.

Banyak teguran-teguran membina yang disampaikan dalam khutbah yang disampaikannya. Walaupun khutbah tidak sampai 15 minit, namun ia tetap memberi input yang sangat banyak buat para Jemaah.

Beberapa perkara yang disampaikan dalam khutbahnya, yang aku masih ingat;

1) Meneruskan segala amal ibadah yang dilakukan sepanjang Ramadan, lakukanya di luar Ramadan.

2) Hari raya, haruslah disambut dengan kesyukuran, ingat Allah S.W.T sebanyak-banyaknya, dengan kurniaan-Nya kita dapat meraikan hari yang indah ini.

3) Usah dicemari dengan perkara-perkara lagha yang sia-sia, banyakkan takbir, tahlil dan tahmid.

4) Berziarah ke rumah sahabat, saudara-mara, merapatkan silaturahmi.

5) Usah dicemari berziarah dengan asyik dengan bergajet, telefon bimbit, ipad,iphone dan segala macam kemudahan telefon mudah alih dengan bermacam perisian seperti wattsapp, We Chat, Muka Buku dan lain-lain perkara.

6)Perkara-perkara lain lagi yang tak ingat dalam minda ini…he…he…

Selesai khutbah seperti biasa, bersalam-salaman dan selesai sahaja bersalaman, jamuan makanan yang dibawa oleh Jemaah dari rumah masing-masing. Aku tak sempat bersalaman dan menjamu selera seperti biasa.

Ziarah Syawal Pertama

Sebelah Pagi:


Kami terus ke rumah emak dan bapak, masing-masing sudah di sana, cadangan ziarah hari ini, rumah-rumah kakak di belakang rumah emak, memandangkan masa pendek, mahu solat jumaat, kami hanya beraya rumah adik beradik yang berdekatan sahaja. Selesai bersalaman dan bermaafan serta bergambar, kami terus ziarah ke rumah kakak-kakak yang berhampiran.

Berganbar sebelum ke rumah emak dan bapak


Di rumah emak dan bapak

Ziarah Rumah Kak Mesnah


Ziarah Rumah Kak Junaini



Ziarah Rumah Kak Julaiha


Cukuplah untuk pagi hingga tengahari ini, petang selepas solat jumaat, kami berjanji mahu beraya lagi.

Tuesday, July 21, 2015

Pantun: Raikan Raya Bersama



Bersama kita meraikan
Hari gembira hari raya
Jaga pribadi adab sopan
Agar berpahala tak sia-sia.

Ada tetamu kita raikan
Tak kira miskin atau kaya
Hari raya bermaaf-maafan
Usah diungkit kisah lama.

Berbasikal atau berkereta
Usah dilihat pada zahirnya
Kita semua kan bersaudara
Allah melihat ketaqwaanya.

Tetamu datang disambut gembira
Tak kira tua mahupun muda
Senang hati bersua berbicara
Adab bergaul kena ambil kira.

Jangan pula asyik bercerita
Besenda gurau terlebih pula
Seruan azan usah disia dileka
Tunaikan solat dengan segera.

Di hari raya bermanis muka
Jauhi gaduh-gaduh sengketa
Semua insan mahu ke syurga
Tak siapa mahu ke neraka.

Maaf andai terlebih kata
Kita ini kan insan berdosa
Sampai masa pergi jua
Mohon maaf kepada semua.

Masshah
19092015
Meru.

Monday, July 13, 2015

Nota Ramadan: Berita Kematian



Hari ini, ada berita kematian lagi, jika minggu lepas ayah kepada kawan lamaku, hari ini jiran sekampung telah dijemput Ilahi. Berita kematian itu baru aku sedari bila aku mengecas bateri telefon bimbitku. Bila aku hidupkan kembali telefon bimbitku, tertera di wassap group surau, tentang berita tersebut.

Untuk memastikan kesahihan berita itu, aku cuba menghantar mesej kepada kawan kampungku, ternyata berita itu benar. Seusai solat asar dan bersalin pakaian aku terus bergegas ke rumah jiran tersebut.

Kelihtannya sudah ramai orang yang mengunjungi rumah jiran itu, namun begitu menurut orang yang berada ditepi jalan, jenazah belum lagi balik dari hospital. Kemungkinan selepas solat terawih baru dikebumi. Memandangkan, ia dikebumi sebelah malam, aku terus ke rumah emak, sebelah malamnya nanti boleh ziarah, fikirku.

Malam ini, aku solat terawih seperti biasa di Surau Darul Aman. Malam ini agak ramai, kemungkinan dikalangan saudara mara jiran turut ada di surau, jenazah akan dikebumi seusai solat terawih. Malam ini, tiada tazkirah, selesai solat terawih terus solat witir. Tuan Imam mengumumkan solat jenazah akan didirikan sejurus jenazah sampai. Selesai solat, terus di bawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Doaku untuk jiran sekampungku Almarhum Haji Saleh Bin Haji Hamid, semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan menempatkan dikalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa, Amin Ya Rabb!.

Kematian Yang Menjemput

Ya, begitulah pengakhiran hidup insan, mati tetap akan menjemput, di mana pun kita berada, ia sentiasa mengintai-ngintai. Namun begitu, sudahkah kita bersedia untuk dijemput?. Persoalan ini, jawaplah sendiri, masing-masing tentu ada jawapannya sendiri. Aku?, bagaimana? Bersediakah aku?.

Allah…Allah…Allahuakbar!, sedikitnya amalanku, risaunya aku…Ya Rabb…maafkanlah hamba yang lemah ini. Jauhilah aku dari seksa api neraka-Mu, dekatkan aku dengan amalan kebaikan, hinarilah aku dari melakukan kemaksiatan…jauhilah Ya Rabb!...

Kematianku entah bila, entah-entah selepas ini, aku pun tak tahu, esok mungkin?, pun tak tahu…, Apa yang pasti dan mesti kematian itu pasti menjemput mu duhai diri…, beringatlah sementara masih bernyawa, usah kau leka-leka, suka-suka hingga kau lupa seksa neraka. Apinya panas, seksa kubur apatah lagi…kubur luas atau kubur sempit, itu pilihan kau..ingatlah…insaflah…mati itu pasti.

Ya Rabb…ampunilah dosa-dosa hamba-Mu ini!


Amin Ya Rabb!.

Nota Ramadan: Malam 20, 21, 22, 23, 24 Ramadan 1436H Terus Bersemangat



Pejam celik, pejam celik, diam tak diam, sedar tak sedar, rasanya seperti baru semalam Ramadan datang, kini tinggal beberapa hari lagi, Ramadan akan tinggalkan kita. Ditahan atau pun tidak Ramadan tetap akan pergi, ia akan datang lagi setahun dari sekarang.

Ya, tinggal, ada beberapa baki hari sahaja kita bersama Ramadan. Sepuluh terakhir ini, mudah-mudahan tidak dipersia-siakan. Yang beriktikaf, teruslah beriktikaf. Semoga amalan kita terus diterima oleh Allah S.W.T, Amin Ya Rabb.

Catatan ramadanku, tetap aku kongsikan biar terbitnya lambat di laman blog ini. Aku akan tetap tulis dan kongsikan, jika ada manfaatnya untuk khalayak pembaca. Catatan ini, catatan beberapa hari lepas, aku rangkumkan sekali.

Kerja sif petang aku manfaatkan sebaiknya. Untuk malam-malam ke 20, 21, 22, 23, dan 24 ramadan, walaupun aku kerja sif petang, aku tetap pergi menunaikan solat terawih. Aku mengambil waktu rehat giliran ketiga, sekitar jam 8.20 atau 8.30 malam aku keluar rehat. 

Sementara itu, aku balik ke rumah dahulu, untuk berbuka puasa dahulu, sebelum itu aku berbuka minum air di tempat kerja.

Seperti biasa, aku menunaikan solat terawih di Surau Darul Aman, macam biasalah lapan rakaat aku terus balik ke kilang memandangkan, waktu rehatku cukup terhad. Tidak sempat untuk mendengar tazkirah, rugi dan terkilan juga. Rindu mahu dengar tazkirah ringkas dari Ustaz Yazid, aku pendamkan sahaja. Kerja sif beginilah nasibnya, terkejar-kejar, kadang-kadang rasa cemburu melihat orang lain dengan masa yang mereka ada.

Terkadang terfikir begitu, walau apa pun aku tetap bersabar, nak buat macam mana, sudah jadual waktu kerjaku begitu. Sudah rezekiku di situ, aku pasrah dan reda sahaja. Apa yang penting aku tidak tinggalkan ibadah-ibadah yang penting. Kerja pun satu ibadah, jika kita niatkan kerana Allah S.W.T.

Sekurang-kurangnya aku tetap merai dan mengimarahkan Ramadan yang setiap tahu datang. Ya Rabb…tetapkanlah aku hingga ke penghujung Ramadan. Terus bangkitkan aku bersemangat untuk beramal ibadah di Ramadan ini, Amin Ya Rabb…!. Kepada sahabat-sahabat yang sudi berkunjung, di teratak ini, terima kasih kerana sudi menatap dan membaca catatan ramadanku.

Untuk akhirnya, teruskanlah kita, pada malam-malam terakhir dengan amal ibadah yang bersungguh-sungguh, mudah-mudahan dipertemukan dengan malam terbaik dari seribu bulan, Lailatuqadar!.


Amin Ya Rabb!

Nota Ramadan: Jumaat Keempat Ramadan 1436H


Ramadan semakin kepenghujung, namun umat Islam tetap masih bersemangat meraikan dan mengimarahkan Ramadan di mana-mana. Surau dan masjid masih menjadi distinasi utama, biarpun dalam masa yang sama, ada dikalangan umat Islam sudah berpusu-pusu ke distinasi jualan hari raya.

Mereka semakin sibuk dengan persiapan hari raya yang bakal tiba. Sedang Ramadan belum lagi meninggalkan kita. Allahuakbar…tetapkanlah aku bersama Ramadan hingga akhir nanti…kuatkanlah aku Ya Rabb…!

Minggu ini aku kerja sif malam, minggu keempat jumaat dalam bulan Ramadan. Hari ini seperti biasa aku bersolat jumaat di Masjid At-Taqwa Kampung Bukit Kapar. Hari ini aku pergi agak awal, seusai mengambil anak-anak dari sekolah, aku titipkan ke rumah emak. 

Sementara menunggu ibunya pulang dari balik mengajar. Aku terus pergi ke masjid tanpa membuang masa. Seperti biasa khutbah pada hari ini membawakan tajuk yang agak menarik tentang al-Quran, tajuk khutbah ‘Bermesra Dengan Al-Quran’.

Ramadan bulan membaca, membaca al-Quran, ramai orang bertadarus quran. Sama ada berkumpulan atau pun secara individu. Tahniah yang sudah dapat menamatkan bacaan quran pada Ramadan ini. Aku tertarik dengan teguran khatib berkaitan dengan bertadarus, aku coretkan sebahagian khutbah tersebut di bawah ini;

Namun mimbar mengingatkan agar amalan membaca dan bertadarus
al-Quran ini tidak dilakukan secara terburu-buru dan terlalu laju sehingga
menjejaskan hukum-hukum tajwidnya. Sebaliknya membaca al-Quran
mengikut erti kata yang sebenarnya iaitu secara :

1. Tartil
Iaitu membaca al-Quran dengan baik dan kelajuan yang sederhana
dengan mengikut kaedah ilmu tajwid.

Firman Allah SWT dalam surah al-Muzammil ayat 4:

“Dan bacalah Al-Quran Dengan "Tartil”.

2. Tadabbur
Iaitu membaca al-Quran dengan mengambil perhatian kepada
maksud dan kehendak ayat yang dibaca.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 82:

“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi
Al-Quran?”…

3. Tafakkur
Iaitu membaca al-Quran dengan fikiran yang tenang dan
memikirkan tentang keagungan Allah serta berfikir untuk merealisasikan
kehendak ayat tersebut.

Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 24:

“Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu
persatu bagi kaum Yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar
daripadanya)”.

4. Ta’amul
Iaitu membaca dengan mengamalkan hukum-hukum tajwid dalam
tilawah dan ajaran al-Quran serta menghayatinya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Insan ayat 29

“Sesungguhnya (segala keterangan yang disebutkan) ini, menjadi
peringatan; maka sesiapa yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah ia
mengambil jalan yang menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman
dan taat)”.

Untuk pengisian penuh teks khutbah tersebut, aku sertakan alamat portal khutbah tersebut. Semoga ada manfaatnya. Agar quran terus menjadi teman paling mesra buat kita semua. Moga amalan kita diterima oleh Allah S.W.T.


Amin Ya Rabb!

Friday, July 10, 2015

Nota Ramadan: Malam Kesembilan Belas Ramadan 1436H

Google Image

Salam pertemuan dan salam ramadan, aku masih mahu berkongsi catatan ramadanku, kalau boleh setiap detik ramadanku aku mahu menuliskannya, namun apakan daya, semangat itu turun naik, macam saham di papan bursa saham, sekejap naik, sekejap turun, tak sama di papan yang aktif, tetap maintain.

Biasalah aktiviti menulis jika tidak dipaksa ia takkan menjadi. Ini pun catatan yang tertangguh, hari ini sudah 23 ramadan, cerita hari ini, entah bila aku mahu tuliskannya.
Ia sekadar catatan dari insan biasa-biasa sahaja, satu masa nanti, boleh dibaca lagi catatan-catatan ini. 

Mungkin boleh dibukukan, manalah tahu kan’. Apa pun, segala catatan penulisan ini, jika ada baiknya, dan manfaatnya ambilah ibrah. Catatan kecil sahaja…

Minggu ini aku bekerja sif petang, walau pun kerja sif petang, minggu ini aku ambil peluang untuk bersolat terawih di luar. Aku mengambil waktu rehat giliran terakhir, dengan tujuan untuk menunaikan solat terawih. Ramadan semakin menghampiri titik terakhir, rugi sekiranya ditinggal begitu sahaja. Aku nekad, minggu ini, mesti solat terawih di surau secara berjemaah.

Untuk malam ini, malam kesembilan belas aku bersolat terawih di Kariah Surau Darul Muslimin, surau kariah tempat tinggalku di Jalan jambu. Untuk Ramadan ini, ini baru pertama kali aku solat di sini. Macam surau-surau lain juga, Jemaah penuh hingga beberapa barisan. Kanak-kanak dibarisan belakang, siap dengan sign board. Kalau Muhammad Anas ikut, tak tahulah mahu atau tidak dia ikut barisan kanak-kanak, fikirku.

Untuk malam ini, solat terawih agak lambat, majlis bacaan tahlil untuk arwah bapa kawanku diadakan di surau. Sekitar jam 9,30, selesai sahaja bacaan tahlil, barulah solat terawih di mulakan. Aku hanya menunaikan lapan rakaat, kerana masa rehatku yang tidak mengizinkan aku mengambil masa lebih banyak.

Apa yang penting aku tidak meninggalkan solat terawih, biar pun ia sunat, tetapi ia merupakan sunat yang digalakkan. Ia cuma ada dalam bulan Ramadan, di luar Ramadan tak ada, hanya setahun sekali.

Apa yang penting aku terus menunaikannya, lapan atau dua puluh bukan ukurannya. Aku tidak tahu bagaimanalah penilaian KPI puasa aku Ramadan tahun ini. Baik atau sebaliknya?. Hanya Allah S.W.T yang Maha Tahu.

“Ya Rabb…aku berserah hanya Pada-Mu, terimalah amalanku disepanjang Ramadan ini…
maafkanlah kehilafanku dan kelemahanku…Ya Rabb..”


Amin Ya Rabb!

Nota Ramadan: Muhasabah Kematian

Google image



Salam Ramadan, salam keindahan dan salam keharmonian. Syukur masih bisa dipertemukan lagi dalam perkongsian catatan ramadanku. Hidup tak selamanya dan pasti ada akhirnya. Tua, muda, kecil, besar, kaya, miskin dan sebagainya, satu masa nanti pasti akan pergi meninggalkan dunia ini.

Jika Ramadan yang datang setahun sekali akan pergi meninggalkan kita, itu sudah pasti, namun ia akan kembali bila sampai waktunya. Sedangkan manusia belum pasti lagi untuk menemui Ramadan pada masa akan datang, kerana kepergian manusia pasti, dan ia takkan kembali lagi, ia akan pergi selama-lamanya. Pergi takkan kembali, ke alam yang pasti, iaitu alam kematian.

“Setiap yang bernyawa pasti mati”-(Maksud al-Quran)

Kematian bila sudah sampai saatnya, ia pasti akan menemui kita, tanpa kita undang atau dijemput, ia akan datang tiba-tiba, tanpa kita ketahui. Sama ada kita sakit, kemalangan, dan dalam keadaan apa sekali pun, jika sudah sampai masanya ia tetap akan berlaku. Ia tiada notis peringatan, ia tiba-tiba, titik.

Kematian Itu Pasti

Seusai menunaikan solat terawih di Masjid As-Syarif, pihak masjid mengumumkan kepada para Jemaah, tentang berita kematian seorang daripada ajk masjid. Berita tentang kematian Tuan Haji Musleh Bin Warsono, yang bertugas sebagai siak di Masjid As-Syarif. Bila mendengar nama itu disebut, aku seolah terbayang-bayang orang yang disebut oleh pengerusi.Aku rasa kenal, macam bapa kepada kawan lama aku, fikirku.

Aku tidak terus balik rumah, seperti biasa aku akan singgah ke rumah bapa dan ibuku. Barang sekejap sekadar menjenguk bapa dan emak, maklum mereka hanya tinggal berdua di rumah. Aku tidak lama di rumah emak, terfikir aku tentang nama yang disebut di masjid, aku ingin kepastian, aku balik melalui rumah kawanku, ternyata bila aku lalu di situ, memang kelihatan ramai orang. Memang benarlah, ayah kepada kawan lamaku sudah kembali kerahmatullah. Aku fikir, esok sahajalah pergi ziarah ke rumahnya.



Semoga Allah, mencucuri rahmat ke atas roh ayah kawanku itu dan menempatkannya di kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan muttaqin. Amin Ya Rabb!.

Ya, begitulah kematian yang tiba-tiba menjemput, ia pasti akan terjadi kepada setiap manusia. Namun begitu, apakah persiapan aku dan kita semua untuk ke alam sana, alam sementara untuk menuju ke negeri akhirat yang kekal abadi. Bagimana amalan kita, apakah sudah dipersiapkan?. Apakah kita sentiasa bersedia, bila-bila masa sahaja, apabila nyawa kita mahu dicabut tiba-tiba. Allahuakabar…rasa gerunnya bila ingatkan itu semua.

Berjayakah kita menjawab soalan-soalan di kubur…bahagiakah kehidupan sementara di kubur nanti, atau sengsarakah kita di dalamnya?. Allah Ya Allah…tetapkanlah kami dalam taufik dan hidayah-Mu, pimpinlah kami dalam mengharungi kehidupan di dunia yang fana ini. Jauhilah kami dari maksiat, kemungkaran dan kemurkaan-Mu. Hampirkanlah kami dengan kebaikan, amal soleh…jauhilah dan hindarilah kami dari seksa api Neraka-MU…Ya Rabb, pimpinlah kami…

Dalam bulan yang mulia ini, perbanyakkanlah taubat, moga Allah S.W.T, mengampunkan dosa-dosa kita yang amat banyak ini. Kita mahu aman bahagia di dalam kubur, kita tidak mahu sengsara derita di dalamnya. Ya Rabb…maafkanlah kami…ampunilah kami…”


Amin Ya Rabb!

Thursday, July 9, 2015

Nota Ramadan: Solat Terawih Di Masjid As-Syarif




Bersemarak terus Ramadan, di mana-mana pun suasananya sama, meriah, imarah dan terang benderang. Surau-surau dan masjid-masjid begitulah suasananya, lebih-lebih lagi sudah kepenghujung Ramadan. Makin bersemangat untuk terus merebut kelebihan Ramadan agung ini.

Dalam catatan ini, aku masih mahu berkongsi catatan harian ramadanku, biar masih banyak lagi yang tertangguh untuk aku coretkan, aku masih berusaha untuk terus menuliskannya. Sedaya upayaku aku mahu mencatat segala apa kegiatan ku dalam bulan Ramadan ini. Biar pun tertangguh semangat untuk menulisnya tetap membara. Dibaca atau pun tidak aku tidak peduli itu semua, satu masa nanti aku boleh baca catatan tulisanku ini.


Malam kelapan belas Ramadan, aku bersolat terawih di Masjid As-Syarif, Pekan Meru. Masjid yang tersergam indah, banyak program yang dilaksanakan di sini. Meriah dan Imarah sekali. Setiap tahun memang begitulah suasannya di masjid ini. Pelbagai program telah direncana untuk mengimarahkan Ramadan. Melihat pada jadual bulanan untuk Ramadan tahun ini, sungguh mengujakan. Hanya, diri sendiri, mampu atau tidak untuk terus mengikuti program yang disediakan.

Program yang penuh dan padat, sesuai dengan namanya Ramadan, bulan ilmu, pelbagai program ilmu dirancang dengan sebaiknya. Mahu apa, InsyAllah ada, mahu tazkirah selepas zohor? Ada, tazkirah iftar? Ada, tazkirah sebelum khutbah pun ada. Bak kata, macam-macam ada…, biasanya seawal sebelum waktu berbuka puasa, sudah ramai yang datang masjid, tazkirah iftar sebelum berbuka. Setiap tahun pihak masjid menyediakan juadah untuk berbuka puasa. Ia menyemarakkan lagi suasana di masjid ini.

Pada malamnya, terus bergermerlapan dengan tazkirah maghrib, hingga ke Isya, selepas isya, solat terawih berjemaah. Jika ada tazkirah selepas terawih, solat akan ditunikan lapan rakaat, bagi memberi laluan majlis ilmu. Selesai, program taddarus al-Quran terus berjalan. Pada dinihari sekitar jam 4.30 pagi, program qiamulalil, setiap malam sepanjang Ramadan diadakan, hinggalah ke waktu bersahur, pihak masjid juga menyediakan juadah untuk bersahur.


Nah…apa lagi alasan untuk aku, kita dan semua, untuk tidak sama-sama mahu memeriahkan dan mengimarahkan Ramadan?.Apa pun bergantung kepada jadual kehidupan masing-masing. Bagi aku yang berkerja sif, memadailah mana-mana yang aku mampu laksanakan, jika hanya terdaya dilakukan di rumah atau tempat kerja, Insya’Allah aku akan cuba lakukan.

Apa pun Masjid As-Syarif, akan tetap menjadi singgahanku setiap Ramadan, walaupun tidak kerap. Jika mahu mendengar majlis ilmu yang disampaikan oleh Ilmuan-ilmuan terkemuka tanah air, bolehlah datang ke Masjid ini. Insya,Allah…kita tidak akan rugi. Bulan Ramadan, bulan ilmu, bulan untuk kita semua, yang mahu terus beramal ibadah di dalamnya. Semoga sepuluh malam terakhir Ramadan, aku terus bersemangat, mencari malam terbaik dari seribu bulan, malam lailatulqadar.

“Ya Allah, jadikanlah aku dan kami semua golongan yang suka mengimarahkan masjid, rumah-Mu…Ya Rabb…ringankanlah kaki-kaki kami untuk terus setia melangkahkan kaki ke rumah-Mu..”

Amin Ya Rabb!


Gambar-gambar dari FB DR.RANI OSMAN

Nota Ramadan: Malam Ketujuh Belas Ramadan 1436H

Goole Image


Hari ini sudah 23 ramadan, cepatkan, tinggal beberapa hari sahaja bulan agung akan meninggalkan kita, pergi buat sementara waktu, sampai masanya nanti akan datang lagi pada tahun hadapan. Kita?, aku?, apakah masih berpeluang nanti akan ketemu Ramadan hadapan?, hanya Allah S.W.T yang Maha Tahu.

Masing-masing berdoalah, agar nanti dipertemukan lagi. Oh ya, Ramadan yang berbaki ini, usah dipersia begitu sahaja, untuk aku , aku ingatkan diriku, agar jangan lalai leka, terus pacu dan berbuat sesuatu yang bermanfaat untuk diri sendiri.

Catatan ini, catatan malam tujuh belas Ramadan yang lalu, apa pun aku akan terus kongsikan, malam ini aku masih bersolat terawih di surau tempat kelahiranku, bersama anak bujang yang setia mengikuti aku. Masih lagi ramai yang berterawih,

Cuma aku lihat, anak-anak muda dari kariah tidak ramai, kanak-kanak sebahagiannya masih bermain-main di luar ketika waktu solat terawih dilaksanakan, mungkin perlu ada petugas yang memantau dari kalangan wanita, mungkin!

Seperti biasanya, selesai solat terawih tazkirah ringkas di sampaikan oleh imam bertugas, hari ini kebetulan malam 17ramadan, malam Nuzul Al-Quran. Ustaz Latif, menyampaikan tazkirah ringkasnya. Kerana kesilapan aku, aku tidak mencatat butiran tazkirahnya, aku langsung lupa apa yang diperkatakannya. Maka tak adalah perkongsian tazkirah pada pertemuan ini. Aku gantikan beberapa ungkapan kata mutiara dari ilmuan-ilmuan Islam yang terkemuka, untuk bahan fikir kita  bersama. Mereka memperkatakan tentang kebesaran al-Quran.

Aku petik nukilan di bawah dari Majalah Solusi, keluaran khas Ramadan 2015, daripada tujuh petikan kata mutiara, aku hanya ambil empat sahaja, sebagai renungan diri. Nah…fikir-fikirkan dan renung-renungkan.

Kata-Kata Ilmuan Tentang Al-Quran

“Sesiapa yang mahukan ilmu maka selamilah al-Quran. Dalamnya ada ilmu umat yang terdahulu dan terkemudian.”

Ibnu Mas’d Musannaf Ibn Abi Syibah.

“Orang sebelum kamu melihat al-Quran bak surat-surat utusan daripada Tuhan mereka. Mereka mengkajinya pada waktu malam dan mencari-carinya(masa dan ketika untuk mengamalkan) pada waktu siang.”

Al-Hassan bin Ali, al Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran.

“Sesungguhnya kami telah lama hidup. Dahulu kami diberikan iman sebelum al-Quran. Maka tatkala diturunkan satu surah kepada Muhammad, kamipun mempelajari halal-haramnya, suruhan dan tegahannya san apa yang harus kami fikir-fikirkan.

Kini aku menyaksikan ramai yang diberikan al-Quran sebelum iman. Dia membaca kesemua yang terkandung antara surah pembuka hingga surah penutup, tetapi tidak tahu apa yang ada dipermulaan kitab(al-Quran) hingga ke akhirnya. Dia tidak tahu apa yang disuruh, apa yang ditegah dan apa yang harus dia fikir-fikirkan. Dia menghamburkan bacaan seperti menghamburkan hampas-hampas.”

Ibn Umar, Sunan al Baihaqi.

“Dekatilah Allah dengan apa cara yang kamu mampu. Sesungguhnya tidak akan kamu dapati  sesuatu untukmendekati Allah yang lebih disukai-Nya daripada dengan firman-Nya (al-Quran).”

Khabab bin al-Arat, dalam Mustadrak al-Hakim.

Selamat beramal disepanjang 10 malam terakhir Ramadan…, semoga Allah S.W.T membantu kita semua.


Amin Ya Rabb.

Nota Ramadan: Kelebihan Lailatulqadar



Kita sudah masuk fasa ketiga, fasa terakhir. Allahuakbar…cepatnya…pantasnya…aku, kita bagaimana, sepantas itukah dalam beramal ibadah?. Sepuluh malam terakhir Ramadan ini, bagaimana kita menjayakannya?. Seriuskah atau apakah?. Aku mengingatkan diri ku sendiri, rebutlah sepuluh akhir ini, jangan leka, lalai dan lupa. Malam terakhir ini, dijanjikan satu malam yang terbaik dari seribu bulan.

Cuba fahamkan maksud firman Allah S.W.T di bawah ini.
Maksudnya: 
“Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”
(Surah al-Qadr: 1-3)
Dan, baca baik-baik beberapa perkara tentang kelebihan Malam tersebut yang aku ambil dari Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan, agar ada manfaat untuk panduan bersama, terutamnya diriku sendiri.
Kelebihan Malam Qadar
Para ulama berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Hal ini, berdasarkan nas yang terdahulu. Antara kelebihan malam ini ialah:
·         Dikatakan lebih baik daripada seribu bulan. Imam al-Qurtubi berkata: “Malam Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam Qadar. Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah.

·         Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut. Imam Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.

·         Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.

·         Mendapat keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga keluarnya fajar. Al-Dahhaq berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan. Sedangkan Mujahid berpendapat: “Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.” Lihat Tafsir al-Qurtubi 20/133.

Ya, Rabb…kau berilah kekuatan kepada ku dan sahabat-sahabatku semua untuk terus memacu laju Ramadan yang tinggal berbaki ini, untuk terus membuat amal ibadah kepada-Mu…jauhilah kami dari kemalasan…jauhilah kami Ya Rabb…”

Sumber: Laman Web PMWP

Wednesday, July 8, 2015

Nota Ramadan: Malam Keenam Belas Dan Moreh Puisi Dinihari



Orang-orang sastera meraikan Ramadan dengan pelbagai acara, selagi mana ia tidak melanggar batas-batas syariat Islam. Ada yang membicarakan buku, berpuisi atau bersajak, dan macam-macam lagi program yang mereka jalankan.

Ramadan tidak menghalangi mereka untuk terus berkarya demi memartabatkan dunia sastera tanah air kita. Baru-baru ini, aku telah menghadiri satu program sastera, yang setiap tahun dilaksanakan, hingga kini sudah masuk tahun kesembilan.

Program yang aku maksudkan adalah Program Moreh Puisi Dinihari. Program ini dianurkan bersama oleh ITBM, PENA,PADAT,DBP dan WAK(Warisan Wong Kampung). Seperti biasa program dilaksanakan di rumah Dr.Ibrahim Ghafar, di Anjung Sanggar Damai Abadi, Jalan Iskandar Kampung Bukit Kapar.

Selesai mengerjakan solat terawih di Surau Kiyai Jangidin, aku terus ke halaman belakang rumah Dr.Ibrahim, sebelum sampai ke halaman rumah, aku terserempak sasterawan Negara Dato Baha Zain, beliau seperti menunggu seseorang, aku menegur mengucapkan salam dan bersalaman dengannya.

Selesai di situ, aku terus meluru ke halaman tersebut. Sudah ramai orang di situ, kelihatan para pelajar Pak Agi, agak ramai juga seperti tahun lepas. Kelihatan Pak Zainal Abbas sedang mengambil minuman, aku menegurnya dan bersalaman, dia mempersilakan aku untuk menikmati jamuan yang disediakan, biasalah layan diri, kalau malu laparlah gamaknya.

Selepas mengambil minuman, aku terus menuju ke meja yang sedang diduduki dua orang pemuda, meminta izin untuk duduk di situ bersama mereka di bawah khemah yang disediakan. Kami bersalaman, tanda ukhwah persaudaraan terjalin, aku terus pergi kebahagian makanan, mencari apa-apa yang menyelerakan.

Macam-macam menu ada, ada soto, pecal, murtabak, nasi lemak, nasi putih, dan yang paling sepesial satay ayam serta juga kuih muih yang pelbagai. Pilih sahaja kalau mahu makan. Ini kali kedua aku dapat menghadiri moreh puisi dinihari. Memang seronok, dapat makan, dapat mendengar orang baca puisi. Aku suka puisi atau sajak tapi untuk membacanya dikhalayak belum pernah lagi.

Sekitar jam 10.40 malam, majlis dimulakan, seperti biasa ucapan Dr.Ibrahim Ghafar, sebagai ucapan alu-aluan. Dalam ucapannya, sebagai seniman, penyair, pelakon dan apa sahajalah, menurutnya, berkarya merupakan salah satu tugas setiap penyair. Mereka harus mempelbagaikan karya mereka untuk kebaikan orang ramai. Untuk niat berdakwah mengikut istilah agamanya. Karya –karay murni harus diperbanyakkan.


Pelancaran program dan seterusnya merai tetamu kehormat yang dirai, dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Hasal Bin Senin. Tetamu kehormat yang dirai, Dato A.Rahman Hasan, Dr.Ghozali Malim PK dan Zam Ismail, namun beliau tidak dapat hadir kerana sebab-sebab tertentu. Selesai doa, seperti biasa, mereka dicicipi dengan pulut kuning.

Pelancaran sudah selesai, seisi persembahan dimulakan. Ada persembahan baca puisi, Cempuling, silat, nyanyian, muzik magelan yang mendamaikan dan skesta dari pelajar UITM PUNCAK PERDANA, aku yakin semua itu anak didik Pak Agi. Pak Agi tidak hadir…nantilah aku tulis dalam coretan yang lain.





Antara mereka yang membaca puisi malam tersebut, Dato Baha, Bob, Encik Khir Ngadiron, Dr.Saleeh Rahmad, Dr.Ghozali Malim PK, Ismas Saring atau Wak Saring Sirad dan beberapa orang lagi yang saya lupa nama mereka. Apa pun persembahan mereka  tetap menarik dan mantap, maklum sahaja mereka otai-otai belaka.


Sekitar jam satu lebih, majlis selesai, aku balik agak lambat, sekitar dua pagi, kerana menunggu hujan reda. Nantilah aku tulis coretan yang lain dalam program moreh puisi dinihari. Ada sesi-sesi menarik yang ingin aku kongsikan. 

Oklah, aku berhenti setakat ini, semoga kita terus beramal ibadat di bulan Ramadan agung ini.

Amin Ya Rabb!

Rindu Membara

Pabila rindu ini semakin membara,  semakin ku kuatkan tekad ku,  ingin ku segera menatapi mu, walau jauh beribu batu, ku setia m...