Nota Ramadan: Malam Keenam Belas Dan Moreh Puisi Dinihari



Orang-orang sastera meraikan Ramadan dengan pelbagai acara, selagi mana ia tidak melanggar batas-batas syariat Islam. Ada yang membicarakan buku, berpuisi atau bersajak, dan macam-macam lagi program yang mereka jalankan.

Ramadan tidak menghalangi mereka untuk terus berkarya demi memartabatkan dunia sastera tanah air kita. Baru-baru ini, aku telah menghadiri satu program sastera, yang setiap tahun dilaksanakan, hingga kini sudah masuk tahun kesembilan.

Program yang aku maksudkan adalah Program Moreh Puisi Dinihari. Program ini dianurkan bersama oleh ITBM, PENA,PADAT,DBP dan WAK(Warisan Wong Kampung). Seperti biasa program dilaksanakan di rumah Dr.Ibrahim Ghafar, di Anjung Sanggar Damai Abadi, Jalan Iskandar Kampung Bukit Kapar.

Selesai mengerjakan solat terawih di Surau Kiyai Jangidin, aku terus ke halaman belakang rumah Dr.Ibrahim, sebelum sampai ke halaman rumah, aku terserempak sasterawan Negara Dato Baha Zain, beliau seperti menunggu seseorang, aku menegur mengucapkan salam dan bersalaman dengannya.

Selesai di situ, aku terus meluru ke halaman tersebut. Sudah ramai orang di situ, kelihatan para pelajar Pak Agi, agak ramai juga seperti tahun lepas. Kelihatan Pak Zainal Abbas sedang mengambil minuman, aku menegurnya dan bersalaman, dia mempersilakan aku untuk menikmati jamuan yang disediakan, biasalah layan diri, kalau malu laparlah gamaknya.

Selepas mengambil minuman, aku terus menuju ke meja yang sedang diduduki dua orang pemuda, meminta izin untuk duduk di situ bersama mereka di bawah khemah yang disediakan. Kami bersalaman, tanda ukhwah persaudaraan terjalin, aku terus pergi kebahagian makanan, mencari apa-apa yang menyelerakan.

Macam-macam menu ada, ada soto, pecal, murtabak, nasi lemak, nasi putih, dan yang paling sepesial satay ayam serta juga kuih muih yang pelbagai. Pilih sahaja kalau mahu makan. Ini kali kedua aku dapat menghadiri moreh puisi dinihari. Memang seronok, dapat makan, dapat mendengar orang baca puisi. Aku suka puisi atau sajak tapi untuk membacanya dikhalayak belum pernah lagi.

Sekitar jam 10.40 malam, majlis dimulakan, seperti biasa ucapan Dr.Ibrahim Ghafar, sebagai ucapan alu-aluan. Dalam ucapannya, sebagai seniman, penyair, pelakon dan apa sahajalah, menurutnya, berkarya merupakan salah satu tugas setiap penyair. Mereka harus mempelbagaikan karya mereka untuk kebaikan orang ramai. Untuk niat berdakwah mengikut istilah agamanya. Karya –karay murni harus diperbanyakkan.


Pelancaran program dan seterusnya merai tetamu kehormat yang dirai, dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Hasal Bin Senin. Tetamu kehormat yang dirai, Dato A.Rahman Hasan, Dr.Ghozali Malim PK dan Zam Ismail, namun beliau tidak dapat hadir kerana sebab-sebab tertentu. Selesai doa, seperti biasa, mereka dicicipi dengan pulut kuning.

Pelancaran sudah selesai, seisi persembahan dimulakan. Ada persembahan baca puisi, Cempuling, silat, nyanyian, muzik magelan yang mendamaikan dan skesta dari pelajar UITM PUNCAK PERDANA, aku yakin semua itu anak didik Pak Agi. Pak Agi tidak hadir…nantilah aku tulis dalam coretan yang lain.





Antara mereka yang membaca puisi malam tersebut, Dato Baha, Bob, Encik Khir Ngadiron, Dr.Saleeh Rahmad, Dr.Ghozali Malim PK, Ismas Saring atau Wak Saring Sirad dan beberapa orang lagi yang saya lupa nama mereka. Apa pun persembahan mereka  tetap menarik dan mantap, maklum sahaja mereka otai-otai belaka.


Sekitar jam satu lebih, majlis selesai, aku balik agak lambat, sekitar dua pagi, kerana menunggu hujan reda. Nantilah aku tulis coretan yang lain dalam program moreh puisi dinihari. Ada sesi-sesi menarik yang ingin aku kongsikan. 

Oklah, aku berhenti setakat ini, semoga kita terus beramal ibadat di bulan Ramadan agung ini.

Amin Ya Rabb!

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi