Nota Ramadan: Minyak Naik, Aku Naik Minyak?

Google Image


Salam Ramadan, salam keindahan dan salam keharmonian. Ramadan masih setia menjadi teman akrab kepada sesiapa yang mahu mengakrabinya. Beruntunglah insan yang mahu mengisi bulan agung ini dengan amal ibadah yang berterusan. Dengan nikmat kasih sayang-Nya, kita masih bisa dipertemukan di alam maya tanpa wajah ini, hanya melalui bait-bait aksara yang dinukilkan.

Terima kasih buat sahabat yang masih sudi mampir ke teratak aku yang biasa-biasa ini. Semoga puasa bukan alasan untuk tidak melakukan apa-apa, para blogger, kerjanya menulis, tentu ada sahaja apa-apa perkongsian yang mahu dinukilkan dan seterusnya diterbitkan untuk tatapan khalayak yang mahu mengikuti dan membacanya.

Kita baharu sahaja memasuki bulan ketujuh dalam kalender masehi, diam tidak diam sudah bertambah bulan lagi, syukurlah kerana masih diberi nafas untuk menghirup udara yang nyaman di  bumi bertuah ini. Mengapa aku katakan tanah air ini bertuah?, kerana keunikan yang ujud dari kepelbagaian bangsa, budaya dan agamanya, meletakan tanah air ini begitu dikagumi oleh orang luar.

Bulan baru, sekali lagi seluruh rakyat dikejutkan lagi dengan kenaikan harga minyak, ya harga minyak naik lagi. Ada yang marah, ada yang beri tahniah bahkan takziah, ada yang sinis, ada yang reda ini ketentuan dari Ilahi, dan pelbagai rasa yang bertunjang di hati seluruh rakyat Malaysia.

Naik-naik ini sudah menjadi perkara biasa di tanah air kita. Bagi aku, kenaikan harga minyak ini satu hadiah dari pemerintah buat rakyatnya. Mesti ada sebab musababnya kenaikan ini, mahu tidak mahu kena naikkan juga. Marah atau tidak rakyat, pemerintah terpaksa naikkan juga harga minyak ini. Sebab mereka ada kuasa dan sedang berkuasa, semua boleh buat.

Secara pribadi, aku sudah tidak tahu mahu kata apa dengan kerajaan kita hari ini. Beberapa bulan lalu, riuh gegak-gempita dengan penguatkuasaan GST. Sana sini perasaan marah dikalangan rakyat membuak-buak, tetapi hanya beberapa tempoh minggu sahaja selepas itu, balik semula kembali. Panas hanya setengah hari sahaja, tidak sampai ke petang. 
Sama ada akur atau reda, aku tak pasti.

Begitu juga dengan kenaikkan minyak, setiap kali naik harga, riuh seluruh Negara, di media sosial pelbagai kecaman, kutukkan, sinis, lawak dan macam-macam lagi sebagai menunjukkan ketidaksetujuan rakyat terhadap kerajaan menaikkan harga minyak ini. Aku secara pribadi pun begitu, marah dan geram dengan tindakan tidak masuk akal kerajaan.

Asyik naik sahaja, bila mahu turunnya?

Bila terbaca kenyataan di bawah ini;

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata harga petrol di negara ini sepatutnya turun dan bukannya naik memandangkan harga minyak mentah dunia pada akhir Jun lalu jatuh daripada US$66 setong kepada sekitar US$62 setong semalam.”

Apakah rasionalnya dengan kenaikkan ini pun aku tak pasti, senang cakap, mereka masih berkuasa, boleh buat apa sahaja, tidak peduli dengan keperitan rakyat. Naik 10 sen, ingat mereka tidak memberi kesan kepada rakyat. Dalam keadaan harga barang sana sini naik, kerajaan sewajarnya lebih rasional dalam membuat keputusan menaikkan harga minyak ini. 
Di mana keperihatinan kerajaan terhadap rakyat  dan di mana letaknya slogan ‘Rakyat Didahulukan?”.


Cukuplah bebelan aku ini, kalian boleh bersetuju, untuk tidak bersetuju.

Selamat berpuasa!

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi