MENULIS SELAGI MASIH ADA HAYAT

Thursday, May 28, 2015

Sajak: Aturan Pencipta


Aturan Pencipta

Gugurnya daun
rontoknya buah
patahnya ranting
tumbangnya pokok
begitu jua insannya...
adalah aturan pencipta
telah lama direncana
ia pasti.

Masshah
24052915
Meru.

Sajak: Jumaat Indah


Jumaat Indah
Jumaat yang berkat
banyak nikmat dan rahmat
mari teguhkan perpaduan erat
demi kebahagian ke negeri akhirat
selagi masih ada waktu sebelum terlambat.
Salam jumaat penuh ceria
raikan jumaat seperti hari raya
hulurkan salam tanda setia
agar hidup lebih aman bahagia
sungguh firdausi di sana tempat kita.
Jumaat penghulu hari
jangan lupa leka lali
banyakkan zikir selawat nabi
andai kita benar mencintai
berselawatlah beribu kali.
Sungguh hebat hari jumaat
banyakan amalan wajib juga sunat
bersedekah zikir bersalawat
tanda iman kita semakin kuat
Ingat Allah walau di mana tempat.
Jumaat hari yang indah
ramai berlumba buat ibadah
jauhi ibadah dari berbuat bidaah
juga dimanfaati jumaat dengan beriadah
ingatkan diri jangan sampai aurat terdedah.
Andai jumaat tak dimanfaati
alangkah rugi diri sendiri
hindari tergolong orang yang rugi
di akhirat nanti pasti menyesali
Ingatkan diri sebelum mati.

Masshah
6032015
Meru.

Sajak: Perencah Penyedap Rasa




Transformasi gah bunyinya
seolah ramai sudah rakyat berubah
dari miskin sampai kaya raya agaknya
sungguh bagai mimpi pula terasa
langkah wasatiyah tercipta pula
rakyat kena ubah cara hidup

Mereka joli sini sana tak mengapa
usah dipersoal nanti kena
Itulah nasib marhean sengsara
transformasi tiada perubahan
tertindas tertekan biasa.

Rupa-rupanya slogan
sekadar perencah penyedap rasa
jika suka ambil tambah lagi
begitu mudah memerintah Negara
cuma banyakkan wayang dusta diguna.

Masshah
25052015
Meru.

Wednesday, May 27, 2015

Menulis Di Muka Buku







Satu medium yang cukup digemari oleh seluruh masyarakat dunia sekarang, bukan sahaja di tanah air ini. Ia cukup menguasai dan mempengaruhi kehidupan kita sekarang, di mana-mana negara mana pun ia tetap popular, ia menjadi medium mendapatkan sumber berita, apa sahaja yang berlaku di persekitaran kita, ia cepat, tangkas dapat dibaca dan diketahui orang ramai. Namun begitu, ia perlu dihalusi tentang kesahiahan berita-berita dari medium ini. Dari perkara umum hinggalah perkara pribadi penggunanya, boleh kita saksikan melaluinya, itulah penangan facebook@muka buku.

Hebat bukan?. Begitulah aku juga turut terjebak kekancah dunia muka buku, bukan akau sahaja, bahkan dari kalangan cerdik pandai, ilmuan, para ustaz ustazah, Pak Menteri, YB, Tok Bomoh, dan segenap lapisan masyarakat hari ini turut mempunyai laman sosial muka buku ini. Malah, jika ada kalangan yang tidak mempunyai muka buku ini, akan dianggap ketinggalan. Muka buku, ada baik dan ada buruknya. Aku bukan mahu tulis tentang baik mahu pun buruknya, itu semua orang sudah tahu, para pakar pun sudah memberi panduan untuk kita menggunkan laman ini sebaik-baiknya. Terpulang kepada masing-masing, bagaimana cara terbaik menggunakannya.

Aku yakin, para ilmuan, cerdik pandai, ustaz ustazah, para guru, para menteri, tujuan mereka mewujudkan laman muka buku ini dengan niat tersendiri, tentunya jika para menteri atau yb, agar para pengikut mereka akan setia mendapat info-info terkini tentang dairi program mereka. Para guru, ustaz ustazah pun begitu, penulisan mereka niatkan sebagai satu dakwah, demi memberi tarbiyah kepada masyarakat yang mengikutinya. Niat yang baik dan murni itu harus diteruskan, manfaatkan muka buku dengan perkongsian yang berilmu, agar dapat dimanfaatkan oleh masyarakat yang dahagakan ilmu.

Seingat aku, aku mula menulis di laman ini sekitar 2009, sekitar krisis politik di Negeri Perak, rampasan kuasa yang tidak bertamadun dari pihak pemerintah, itulah seingat aku begitu, aku ada tulis sedikit catatan tentang ‘Bubar’. Waktu itu belum ramai lagi rakan-rakan muka buku yang ‘like’ dan ‘add’, biasalah baru lagi. Dari sehari ke sehari rakan-rakan pun turut bertambah. Bermulalah muka buku menjadi bahan perkongsian apa sahaja kegiatan kita, dari bangun tidur hinggalah masuk tidur balik, semua mahu dikongsikan, namun tidaklah aku sampai sebegitu, masing-masing punya prinsip. Berpada-padalah jika mahu berkongsi pun.

Adakalanya aku pautkan laman blog yang aku miliki ke dalam muka buku, salah satu agar menarik minat khalayak masuk laman blog kita. Itu pun jika ada cerita-cerita baru yang telah ditulis. Muka buku banyak manfaatnya rupanya, jika diolah dengan sebaiknya. Apa sahaja tulisan yang kita kongsikan, biarpun seringkas mana, jika dibaca oleh rakan-rakan muka buku yang lain, ia akan menambah semangat untuk kita menulis.

 Saya teruja dengan, penulisan para ilmuan dan cerdik pandai  di muka buku, penulisan yang sangat baik dan amat bermanfaat sekali, titipan kata mutiara yang mereka nukilkan amat memberi makna kepada yang membacanya. Ilmu-ilmu yang dicurahkan melalui muka buku boleh dikongsi oleh beribu-ribu rakan yang lain. Sudah pasti pahalanya akan berganda-ganda sekiranya penulisan yang baik itu akan dibaca oleh beribu orang, lalu mereka mengamalkan saranan-saranan yang baik melalui tulisannya. Hebat bukan muka buku?.

Lalu terdektik di hatiku ketika itu, apa alasannya dengan aku, untuk tidak turut sama menukilkan perkongsian yang baik-baik di muka bukuku?.  Untuk tidak menulis perkara yang baik-baik?. Tidak pandai menulis kah aku?, lihat pada mereka yang kata tidak pandai menulis, tapi bila lihat status dindingnya berjela-jela, bagus, cantik, pandai menulis, tapi kata tidak pandai menulis?, pelikkan?. Sebenarnya itu semua bergantung kepada niat yang mempunyai muka buku tersebut, jika niatnya muka buku tersebut dijadikan medan penulisannya, tentulah itulah tulisan mereka untuk tujuan tarbiyah dan dakwah, jika tidak, sebaliknyalah pula.

Pada aku, aku hanya memautkan penulisan di blogku ke muka buku, untuk menulis panjang berjela setakat ini tiada, aku lebih tumpu penulisan di blog, muka buku sekadar menulis yang perlu dikongsi, karya puisiku ada juga aku kongsikan di muka buku, mana yang baik, ada nilai tarbiyah aku siarkan, protes jika ada kebenarannya aku juga siarkan, suka atau tidak suka, itu hak rakan untuk membacanya mahu pun tidak. Apa yang penting nawaitu, kita terbitkan, moga diredhai Allah SWT. Sekurang-kurangnya, ada manfaat, ada ilmunya yang boleh diambil dimanfaatkan oleh pembaca.

Kuasa muka buku memang hebat buat penulis, rakan-rakan penulis di muka buku turut menurunkan ilmu-ilmu penulisan yang sangat berguna, mereka adalah otai-otai yang sudah hebat dalam dunia penulisan mereka, namun mereka tidak kedekut untuk menyampaikan ilmu penulisan yang mereka miliki. Kata-kata motivasi mereka sangat merangsang aku, untuk turut menceburi dunia penulisan, walau pun setakat hari ini, aku hanya menulis di blog dan di Portal eSastera.com. Aku akan cuba melebarkan sayap kedunia penulisan buku. Itu harapan dan cita-citaku waktu ini.


Biarlah, ilmu-ilmu penulisan yang aku dapati dari muka buku ini, dapat aku jadikan panduan, bagi menampal lompong-lompong yang masih terbuka di sana-sini dari minda pengetahuanku. Sungguh, penulisan di muka buku ini, amat memberi semangat  dan keazaman yang kuat untuk aku merealisasikan misi, cita-cita dan impianku.

bersambung...

Sajak:Beringatlah Segera




Berkokoklah sekuatnya
hamburkanlah kata-kata
semua itu dusta belaka
jangan ingat semua percaya
itu mainan siasah talam dua muka

Dulu kini juga serupa
warisan dari dulu kini selamanya
bersipongang sana sini
seolah dulu bersih tiada noda
semasa di takhta alpa segala

Di waktu senja sudah
beringatlah segera
takhta kuasa tiada guna
apatah lagi harta benda
segerakan amal taqwa
itu teman tika di sana.

Masshah
21052015
Meru.



Tuesday, May 26, 2015

Jumpa Kawan Lama


Manuskrip yang mahu dibukukan


Beberapa hari yang lalu (18hb Mei 2015, Isnin), aku telah bertemu seorang kawan, usianya lebih muda dari aku, dia orang kampong, sekampung dengan aku. Seorang guru di sebuah sekolah di Pekan Meru. Masa kecil-kecil dulu, taklah selalu bermain-main bersama, mungkin disebabkan usia tidak sebaya, tetapi sesekali juga bermain guli bersama-sama di halaman rumah sepupu, itu seingat aku.

Bila lama tak berjumpa, bertahun juga lamanya, jika jumpa pun hanya di jalanan, sekadar melambai tangan. Sebelum ini pun dia bertugas dibeberapa tempat,di luar kawasan. Memang agak lama tidak berjumpa, satu masa, ketika melayari media social muka buku, aku terlihat posting yang bernamakan dia.

Dia berkongsi laman blog, aku cuba buka dan meninjau-ninjau diblognya…dalam diam dia juga menulis puisi, tentang kehidupan,perjuangan dan kasih sayang, dalam hatiku tak sangka orang kampong ku juga seorang penyair, walaupun dalam diam dan tidak dikenali, namun jiwa kepenyairannya amat terserlah. Satu masa, aku cuba menegurnya lewat melalui mesej muka bukunya. Dia memberi respon, mulai saat itu kami pun bermesej, berwhatsupp, jika ada waktu kelapangan.

Satu ketika, dia bertanyakan tentang menerbitkan buku, dia cuba tanya aku tentang bagaimana mahu terbitkan buku, aku hanya memberitahu sekadar yang mampu, setakat yang aku tahu. Aku berjanji akan cuba bertanyakan kawan yang memang sudah biasa menerbitkan bukunya sendiri, kawan itu pun seorang penulis yang sudah ada nama. Selepas itu, agak lama juga kami tidak sangat bermesej. Bukan apa-apa, cuma mungkin masing-masing masih ada komitmen lain, dia pun begitu agaknya.

Tetapi beberapa minggu yang lalu, dia cuba tanyakan berkaitan tentang penerbitan buku lagi. Aku, menyuruhnya add nama Nik Iznan, iaitu kawan penulis yang sudah biasa menerbitkan buku itu. Dalam masa yang sama, dia ingin bertemu aku di mana-mana jika ada kelapangan waktu. Aku cuba mencari hari sesuai, maklum jadua kerjaku yang sekejap pagi, sekejap malam, sekejap petang, kerja sif lah tu. Seperti yang dijanjikan, kami pun bertemu disebelah petang sekitar jam enam petang, di sebuah warung berhadapan Dewan Orang Ramai Pekan Meru.

Sekian lama tak ketemu, petang itu jumpa juga, kami tak banyak cakap, hanya bercerita tentang penerbitan buku dan penulisan. Dia membawa sekali manuskrip yang telah ditulisnya. Puisi-puisi yang ditulisnya merupakan puisi yang terpilih, menurutnya sudah lama dia mahu terbitkan, disebabkan pengetahuan tentang terbit sendiri tidak dimiliki.

Aku membelek satu persatu muka surat manuskrip tersebut, bagus juga puisi-puisinya. Tema kasih sayang, cinta dan perjuangan banyak menghiasi puisi-puisi yang dihasilkannya. Aku memberitahu pada dia, manuskrip ini boleh diterbitkan. Aku cadangkan untuk hantar ke ITBM, rupa-rupanya dia telah cuba hantar ke Karangkraf, namun pihak Karangkraf tidak menerbitkan karya sebegitu.

Pernah dibawa ke Dewan Bahasa Pustaka, selama enam bulan untuk dinilai, bagai menunggu bulan jatuh di riba, namun manuskrip gagal untuk diterima oleh pihak DBP. Bila dia bertanyakan tentang perkara itu, pihak DBP memberitahu, agak sukar jika dipasarkan kerana ‘nama’, iaitu tidak ada nama. Akhirnya dia pasrah dan redha. Kali ini dia benar-benar mahu menerbitkannya sendiri.

Seperti yang aku tuliskan di atas, aku mencadangkan pada dia agar, meminta pada saudara Nik Iznan maklumat bagaimana cara untuk menerbitkannya sendiri. Dia pun kelihatan faham apa yang aku cadangkan. Tiba-tiba dia menghulurkan sebuah CD, menurutnya terdapat dua buah lagunya yang telah dilagukan, wah…hebat, bagus…satu lagu rancak dan satu lagu ‘slow’. Bagi aku, itu sudah cukup baik dan bagus, usaha yang sangat perlu dipuji. Sebagai permulaan impian tercapai satu masa nanti.

Jam di dinding warung sudah menghampiri pukul tujuh malam, aku memberitahu dia, InsyaAllah, usaha dia akan berjaya untuk menerbitkan manuskrip tersebut sebagai sebuah buku, kami pun berjabat tangan, dan memberitahu kepadanya, ada masa kelapangan nanti boleh bertemu lagi. Sementara itu mesej pada aku jika ada perkembangan menarik fasal buku yang ingin diterbitkan itu.


Kami pun berjalan beriringan menuju ke tempat meletak kenderaan, untuk pulang ke rumah masing-masing.

Sajak: Perpaduan Erat

Google Image


Tanah air milik bersama
Biar pun kita tak serupa
Kerna hidup sudah lama
Terpatri oleh janji setia
Itu semua kerja mereka.

Sudah terjalin setia janji
India, melayu cina pun ada
Sabah Sarawak tak dilupa
Mereka senegara selamanya
Perkuat harmoni antara kita.

Usah perlekeh berlainan bangsa
Apatah lagi permainkan agama
Saling perkuat amalkan budaya
Perpaduan erat hak bersama
Usah diragu walau di mana berada.

Sungguh ini bukan omongan
Ia lahir dari hati yang damai
Usah saling bertingkah membenci
Kelak hilang melayang harmoni
Derita sengsara kita sama rugi.

Masshah
24052015
Meru.


Monday, May 25, 2015

Sajak: Permata hatiku



Kau hadir dengan izin Ilahi
impian kami berdua
setahun ke setahun
usia mu meningkat
wah…bagai semalam kau hadir
di pangkuan umi bersama tangisan mu.

Kini kau sudah bersekolah
belajar aksara
menulis membaca
lancar petah berkata-kata
mengaji tak lupa
suka membaca
syukur Alhamdulillah

Doaku untuk mu
selalu ku panjatkan
agar kau dalam kebaikan
impian kami
agar solehah pada diri mu
doakan kami nanti
andai kami pergi sebelum mu

Masshah 2015
13042015
Meru.



Monolog: Bila mahu mula menulis?





Macam-macam buku penulisan sudah kau baca, sudah kau hadami tetapi bila masa kau mahu memulakan proses penulisan mu itu. Apa yang menghalangi mu dari terus mahu menulis?. Bukankah segala panduan yang ada itu kau telah catat dalam buku dairi mu jua di kepala otak kau, kau telah simpan. Mengapa kau tidak mulakan dari sekarang?. Jangan-jangan kau cuma mahu berangan-angan mahu menjadi penulis tetapi sampai sekarang, tidak satu buku pun kau tulis…MENGAPA?.

“Penulis kerjanya menulis, bukan angan-angan menulis”

Jika asyik angan-angan, sampai bila pun kau tak akan dapat menulis, menulislah…catat idea yang kau dapat dalam buku catatan. Bukankah mencatat itu sebahagian daripada tip penulisan sebagaimana yang kau baca dalam buku penulisan yang kau baca berulangkali, mengapa tidak dicatat, catatlah setiap kali lintasan idea yang datang di kepala otak kau. 

Mahu tunggu apa lagi?. Usia kau semakin meningkat, kudrat kau pun sudah mahu berkurangan, mulakanlah dari sekarang, usah dilayan perasaan malas yang sering membelenggumu itu, lawan terus lawan.

Percayalah, kalau kau terus begitu, menangguhkan apa yang kau inginkan, kau tak akan menikmatinya nanti, kau harus pacu dengan laju, usahakan terus. Menulis kena berterusan, biar sehari sedikit tetapi ianya berterusan;

“sedikit-sedkikit lama-lama menjadi bukit…”

Kau pun tahu, di belakang dan dihadapanmu sekarang ramai orang berlumba-lumba untuk menulis sesuatau untuk dikongsi oleh khalayak, mereka bertungkus lumus sepanjang hari untuk menyiapkan hasil penulisan mereka. Mereka sanggup tidur lewat berhari-hari untuk menyiapkannya. KAU…?. Sehari pun kau tak larat dan sanggup, bagaimana kau mahu merealisasikan impian kau?. Bangkit dan bersegeralah menulis, usaha berlengah-lengah lagi.

Masa kau bina blog beberapa tahun lalu, bukan main kau bersemangat setiap hari kau kongsikan aktivitimu, hinggakan kalau boleh setiap saat kau mahu kongsikan buat sahabat blogger mu…mengapa kau tidak ambil semangat ketika itu, untuk kau menulis lagi. Malah kau bina satu blog hingga beberapa blog kau bina…ghairah betul kau, semangat mahu menulis waktu itu sungguh berkobar-kobar sekali. 

Sepatutnya kau terus menulis, kau punyai kebolehan, bila kau biasakan dengan menulis hari-hari, lama kelamaan kau akan lebih mahir bermain bahasa, bina ayat dan lain-lainnya.
Blog permulaan yang baik untuk kau mengasah penulisan kau, orang ramai pun turut membina blog untuk berkongsi apa-apa sahaja dalam kehidupan mereka. Tengok penulis-penulis yang telah berjaya dalam dunia penulisan, mereka bermula dari menulis di blog masing-masing, sehingga berjaya hasil penulisan mereka dibukukan. 

Lihat Ustaz Hasrizal Jamil, Ustaz Zaharuddin, Muhd Luthfi, Prof.Mud Kamil dan yang lain-lainnya. Mereka patut kau jadikan contoh, kau sering buka blog mereka tetapi kau tidak cuba mencontohi mereka. Banyak lagi insan-insan lain yang berjaya menjadi penulis, kau seharusnya mengambil inspirasi dan motivasi dari mereka.

Sebenarnya banyak lagi yang kau boleh ambil ibrah dari mereka, siapa pun kau, kau ada kelebihan tersendiri. Mereka pun macam kau juga, makan juga, minum juga, bekerja juga dan sebagainya. Cuma mereka ada kelebihan sendiri, dikenali khalayak, sering diundang ke sana- kemari dalam pelbagai bentuk forum ilmu. Iyalah…kau cuma berkerja di kilang, itu yang kau malukan. 

Apa yang kau perlu malukan, kau pun punyai cerita sendiri, kelebihan sendiri, kau mampu untuk melakukannya. Usah kau fikir negatif, usah kau berfikiran pasif, kau kena yakinkan diri mu. Mahu menjadi seorang penulis kena yakin dan berani.

Kau masih ingat tak kata-kata dari seorang tokoh Negara kita dalam buku tulisan Zamri Mohammad di bahagian akhir buku tersebut, beliau memetik kata-kata tokoh tersebut;

“Saya merayu semua peringkat insan Melayu dalam semua bidang hatta tak ada bidang pun tetapi ada kisah terkecualai dan menarik untuk dibaca agar segera diambil pena, kertas dan tulis, tulis dan terus menulis. Baca dan terus membaca dan terus menimba ilmu hingga nyawa berpisah dengan badan. Kalau tak bias menulis, cakaplah melalui pita rakaman.”

Takkan kau sudah lupa, mana mungkin seorang pembaca mudah lupa pada apa yang telah dibacanya. Kau seharusnya ambil seruan tersebut untuk kau realisasikan, apa yang kau impikan. Lihat dan baca apa yang diperkatakan oleh Tan Sri Abdullah Ahmad itu lagi.

“….insan Melayu dalam semua bidang hatta tak ada bidang pun…”

Kau tentu fahamkan, apa yang beliau perkatakan itu?. Kau sekurang-kurangnya ada juga bidang yang kau ceburi, sebagai pekerja sektor perkilangan kau pasti ada cerita dan kisah yang boleh dikongsikan. Ceritalah, kongsikan kepada mereka yang tidak berada dalam sektor yang kau sedang tempohi itu. Mungkin kau ada cerita dan kisah sewaktu kau bertugas di sektor tersebut. 

Pengalaman lucu, gembira, suka duka, kejayaan dan banyak lagi yang boleh kau kongsikan. Orang di luar sana mahu tahu cerita-cerita tersebut. Kau boleh menuliskan pengalaman kau. Pengalaman bertukar-tukar tempat kerja, mengapa dan sebab bertukar tempat kerja, semua kau boleh tuliskan. Mengapa tidak?.

Seruan dan galakkan menulis seperti yang diungkapakan dalam kata-kata Tan Sri Abdullah Ahmad itu sangat sewajarnya disahut oleh semua insan Melayu, mereka semua berperanan dalam membangunkan Negara tercinta ini, sebab itu, tidak kira sesiapa pun kita punyai peranan masing-masing hatta pencuci tandas pun punya ceritannya, andaikan mereka rajin untuk mencatat rutin harian mereka, cerita suka duka mereka dalam menghadapi karenah pengguna tandas.

Nah, cuba bayangkan jika mereka bukukan kisah mereka, apakah tidak seluruh warga akan dapat membacanya. Siapa lagi yang tidak terkecuali dan banyak cerita-cerita yang boleh dikongsikan, anggota polis, askar, pencuci bangunan, dan banyak lagi boleh dikongsikan kepada khalayak.

Dan kau, bolehlah kau mulakan dari sekarang, usah beralasan lagi, pacu terus maju ke hadapan. Jika orang lain boleh mengapa dirimu kau biarkan begitu. Bangkit dan bangkit, maju dan maju…menulis terus menulis, usah kesahkan apa mereka kata. Mulai hari ini kau catat apa sahaja yang kau dapat dari lintasan fikiran mu, dari pandangan mata mu. Biar dari sekecil idea hinggalah sebesar idea. Nanti kau boleh olah dan kongsikan untuk mereka yang ingin membaca kisah mu. 

Idea ada di mana-mana, dalam dirimu juga ada idea, di persekitaran mu juga ada idea…di mana-mana ya di mana-mana, idea tetap menanti dan menunggu mu usah kau ragu.
Ingat!...usah buang masa mu yang terluang banyaknya dengan sia-sia, justeru itu manfaatkan untuk membaca, membaca,membaca, menulis, menulis dan terus menulis. 

Yakin pada dirimu, usaha yang berterusan pasti akan menghasilkan sesuatu yang membahagiakan dirimu. Akhir dari desakan ini, bacalah firman Allah SWT tersebut;

“Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Surah Al-Asr (1-3).

Maka dengan itu menulislah

Aku ini juga dirimu, desakan ini juga datang dari naluri mu, aku cabar diri kau sendiri, takkan itu pun kau tak kenal dengan diri mu sendiri…ayuh, bersegeralah, capailah pena mu catat dan tulis apa yang kau fikirkan…nanti ada masa aku akan desak kau lagi, cukuplah untuk hari ini. Ingat…ayat quran di atas tadi. Jangan menjadi orang yang rugi.
Sampai jumpa lagi dengan diri mu itu…aku itu diri mu, kau itu aku, aku itu kau..,


Segerlah menulis!

bersambung...

Catatan Dari Muka Buku: Ziarah Wak Saring Sirad@Ismas Saring

 Lampu 'Gasoline' antik menerangi 
ruang tamu Cendi Karya Wak Saring Sirad


 Masih sempat meraikan tetamu walau sakit


 Beliau penerima Anugerah Buku Negara 2014, 
Anugerah Khas Penulis Veteren


Ambil berkat bersama 
trofi Anugerah Khas Penulis Veteren milik Wak Saring Sirad

1) Tanggal 3.04.2015, Jumaat malam Sabtu, ziarah Wak Saring Sirad@Ismas Saring, Wak Saring sedang sakit kaki(baru lepas opresen) menurutnya bangun tidur kakinya sakit dan rasa bengkak(panjang ceritanya, sedih pun ada, nak tahu, kawan-kawan yang kenal beliau kenalah ziarah)...dalam hati aku, kawan suka ria ramai tapi kawan semasa duka boleh dikira...sabar Wak Saring Sirad...(prinsip Wak, tak nak susahkan kawan-kawan hatta dengan anaknya sendiri)...
Sedikit Catatan;
“Hidup ini saling perlu memerlukan, saling bergantung antara satu sama lain,tolong menolong bantu membantu pada setiap waktu, keadaan apa sekali pun ia amat diperlukan. Mendengar cerita Wak Saring Sirad, cukup sedih dan terharu sekali, maklum sebagai orang tua yang tinggal bersendirian, susah senang, perit jerih, sakit tanggung sendiri.
Dia menceritakan bagaimana saat kesakitan yang amat ketika kakinya terasa sakit, dia perlukan pertolongan jiran-jiran di kawasan perumahannya, namun tak seorang pun dapat membantu menghantarnya ke klinik, waktu itu memang benar-benar sakitnya menggigit-gigit, jika diikutkan prinsipnya, dia memang bukan jenis mahu menyusahkan orang bahkan dengan anaknya sendiri, selagi dia berdaya mahu lakukan sendiri dia tetap akan lakukannya namun untuk hari itu, dia benar-benar perlukan seseorang untuk menghantarnya ke klinik.
Setelah tidak dapat pertolongan jiran-jiran, Wak Saring Sirad akhirnya terpaksa menelefon anaknya, memberitau akan keadaan sebenarnya, waktu itu memang teramat sakitnya, dan saya tidak dapat bayangkan bagaimana, dia melawan sakitnya sementara menunggu anaknya sampai di rumahnya.”
2) Biasalah, bila dah jumpa Wak Saring ni, macam-macam cerita, kisah, dari pengalaman, suka-duka kehidupan, politik, GST, Agenda Zionis, sastera, penulisan...macam-macam ada..., Wak juga tak lupa memberikan aku galakan untuk terus menulis, menulis terus menulis. InsyaAllah Wak aku ikut nasihat Wak…dalam hatiku berbisik.
3) Semangat menulisnya masih kuat, beliau bercadang menulis 12 buah cerpen(sebuah cerpen sedang ditukangi), kisah-kisah pengalaman semasa di luar Negara. Semoga beliau terus diberi kekuatan untuk terus berkarya. Kita doakan agar beliau dapat menyelesaikan penulisannya itu.
4) Cerita fasal 1MDB, duit juta2...bila Wak terangkan bagaimana prosesnya berlaku, baru faham...tetapi risikonya memang besar, Negara jadi taruhan,...aku menyampuk, salah satunya GSTlah ni...Wak senyum...
5) Terima kasihlah pada Wak Saring Sirad, tiap kali bertemu, banyak yang dikongsi, walaupun ada yg off record, aku tetap pegang pada janji, pengalaman dan lain, buat ibrah untuk aku yang masih belajar ini.
6) Dalam sakit-sakit sempat juga buatkan air, buah anggur dan kek segera, sambil ngobrol-ngobrol minum dan makan.
7) Doa dan harapanku, semoga cepat sembuh kakinya, terus bersemangat dalam program sastera, menulis, moga cerpennya cepat siap dan menjadi bacaan khalayak.
Oh terima kasih, kerana izinkan aku bergambar dengan trofi Penerima Anugerah Buku 2014...Anugerah Penulis Veteren...ambil berkat...kik3
Kepada kawan-kawan penulis, doakan semoga Wak Saring Sirad, sihat sejahtera.

Amin Ya Rabb...


#Alhamdulillah, sewaktu ziarah dia minggu lepas, kakinya sudah baik dan wajahnya Nampak ceria, menunjukkan kesihatannya pun baik.

Sunday, May 24, 2015

Ole-Ole Dari PBAKL 2015



Buku penulisan sastera


jumlah keseluruhan buku yang dibeli sepanjang PBAKL 2015


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2015) sudah beberapa minggu berlalu, sesiapa sahaja yang dapat mengunjungi pesta tersebut pasti punyai kenangan tersendiri, begitu dengan aku, aku ada menuliskannya di dalam blog kedua. Untuk catatan panjangnya bolehlah dibaca di sini.

Cuma di sini, aku mahu sekadar berkongsi buku-buku yang aku beli di sana. Beberapa buah buku penulisan keratif telah aku dapatkannya di reruai Institut Terjemahan & Buku Malaysia@ITBM. Aku melihat sambutan terhadap buku-buku terbitan ITBM sangat menggalakkan. Ramai orang berpusu-pusu ketika itu untuk memiliki buku-buku hasil terbitannya.

Begitu juga dengan aku, reruai ITBM menjadi distinasi terakhir aku untuk membeli buku-buku penulisan keratif. Hasil pencarian, akhirnya dapatlah beberapa buah buku lama dan baru untuk aku bawa balik sebagai ole-ole dari pesta tersebut. Memang rambang mata, pelbagai judul buku, bentuk dan saiz buku-buku terbitan ITBM, secara pribadi aku memang sangat suka buku-buku hasil terbitan ITBM.

Sebanyak 13 buah buku, 12 buah hasil penulisan keratif dan sebuah hasil penulisan umum, terdiri daripada 4 buah buku puisi termasuk yang memenangi sayembara penulisan ITBM-PENA-BH 2015, sebuah novel, empat buah kumpulan cerpen, sebuah memoir kembara dan kembara sastera, sebuah buku umum, Cukuplah untuk santapan minda aku diwaktu terluang nanti. Jika diikut hati memang banyak lagi mahu disambarnya, tapi maklum sahaja, lain-lain keperluan pun perlu diutamkan juga.

Semasa mahu pulang menuju ke ruang keluar, terlihat pula reruai Utusan Publication, jualan buku sastera semurah tiga RM10 dan sebuah buku hadiah, apa lagi berhenti sebentar, ambil tiga buku penulisan keratif, ikutkan banyak lagi, apa pun cukuplah sekadar tiga buah buku...

Penting dari itu, buku-buku tersebut  memberi manfaat kepada aku, yang sedang bejinak-jinak dalam penulisan, ia juga sumber motivasi dan inspirasi untuk aku maju ke hadapan dalam dunia tulis menulis ini.


Maju dan bersemarak dunia sastera tanah air…

Sajak: Dua-Dua Sama


Dua-Dua Sama

Kau cakap dia
dia cakap kau
kau bidas dia
dia bidas kau

Sebenarnya kau dia
sama sahaja
dua kali lima
lima kali dua

Kata mengata tak ke mana
tak mengubah apa-apa
rakyat bukan makin senang
rakyat bukan makin selesa

Dua-dua sama
mewarisi kepandiran
mewarisi kedurjanaan
rakyat terus yang kena

Cukuplah lakonan murahan
hentikanlah kepura-puraan
cukuplah kebengongan
hentikanlah kepongahan.

Masshah
24052015

Meru.

Sajak: DIA Menanti


    
Bangkit, sahutlah seruan suci
DIA sedang menanti...



Terbitnya Karya Semangat Menulis





Siapa yang tak seronok dan gembira bila karya yang kita tulis dapat diterbitkan. Alhamdulillah sebuah lagi sajak marah-marahku terbit di akhbar Harakah Edisi Isnin. Sungguh pun akhbar tabloid ini, merupakan suara siasah, ia memberikan ruang untuk khalayak pembaca yang mempunyai bakat menulis untuk meluahkan suara hatinya melalui ruangan sastera dan budaya. Ini karyaku yang ketiga terbit di akhbar ini.

Bila terbit karya di akhbar, semangat untuk menulis terus naik mendadak, begitulah aku, bila ada rangsangan barulah bersemangat. Banyak juga yang aku tulis berkaitan sajak marah-marah ku ini. Bila ada idea, barulah aku boleh menulis, ikut isu-isu semasa yang berlaku di persekitaran tanah air kita.

Biasanya isu sekitar siasah lebih menjadi tumpuan penulisanku, entah mengapa ia lebih dekat dalam diriku. Melihat kebobrokan dan kedurjanaan mereka hati ini sungguh tidak tertahan melihatnya. Sebagai seorang penulis kecil, telah menjadi tanggunjawab aku untuk menulis bagi menyedarkan minda khalayak melalui penulisan.

Penulis bukan sekadar melihat sahaja apa yang berlaku, ia perlulah merakamkan melalui hasil penulisannya. Bukan sekadar menjadi tukang angguk-angguk semata-mata dengan membiarkan kemungkaran yang diketahui dan dilihat oleh mata kepala penulis.

Tulislah melalui bidang kemahiran yang dimiliki, melalui penulisan keratif inilah idea ini boleh diolah dengan bahasa yang lebih keratif dan difahami oleh khalayak pembaca. Jika penulis mahir berpantun, tulislah melalui pantun, mahir menulis cerpen, tulislah cerpen, mahir menulis puisi tulislah puisi dan sebagainya.

Apa yang signifikan dari itu, penulisan yang kita hasilkan dapat menyedarkan dan membuka minda khalayak pembaca. Biar pun tulisan sajak yang aku tuliskan tidak sepuitis sajak-sajak yang lain, namun objektif utama penulisan ku adalah seperti yang aku tuliskan di atas tadi.

Harapan untuk diri sendiri yang sering leka dan alpa,serta semangat turun naik ini, agar terus berkarya, menulis terus menulis…


Bersemarak terus dunia sastera Malaysia.

Sunday, May 17, 2015

Sajak: Firdausi Menanti Morsi


Firdausi Menanti Morsi
Morsi djatuhi
dihukumi mati
si celaka al-sisi
pengadilan dipengaruhi
umat bersoldariti
syahid di hadapan morsi
segera menanti firdausi.
Masshah
17052015
Meru.

Thursday, May 14, 2015

Perginya Sebutir Bintang








Al-Fatihah Buat Penyair Rahimidin Zahari

" Sihat Bang?", sapa Saya ketika bersalaman dengannya, Dia mengangguk sambil memberi senyuman...Itu kenangan kecil saya dengannya, Biar pun kecil kenangan itu saya tetap ingat. Dan saya sering mengunjungi blog miliknya. Perjalanan Salik, catatan-catatan tulisan beliau.
Beberapa hari lepas, bila baca status muka buku sahabat memberitahu beliau dimasukkan hospital, saya terus ingat kenangan kecil di atas, sebagai saudara seislam saya turut berdoa untuk beliau, agar kesihatannya beransur pulih dan baik.
Saya hanya pernah bertemunya ketika mengikuti Wak Saring Sirad di PENA pada tahun lepas, dan kali kedua ketika Majlis Puisi Moreh Dinihari di Sanggar Damai Abadi milik Dr.Ibrahim Ghafar di Bukit Kapar pada tahun 2014.
Petang tadi bila membaca status muka buku sahabat, menyatakan beliau telah kembali menemui pencipta-NYA, sedih terasa di hati ini, kesedihan ini sudah tentu lebih terasa oleh sahabat-sahabat yang sangat rapat dengannya, sahabat seperjuangan dalam memartabatkan dunia sastera Malaysia...Allah lebih sayangkannya.
Al-Fatihah Buat Almarhum Rahimidin Zahari, semoga tergolong bersama insan-insan yang beriman dan Mutaqqin.

Sebuah Puisi Yang Terkandung dalam Buku 'Sekepal Tanah';

Rabb, di Lengkung Alis Subuh-Mu yang jernih Aku Mengharap Sutera Cinta-MU yang Putih

Rabb, di lengkungan alis subuh-Mu yang jernih
aku mengharap sutera cinta-Mu yang putih.
Mohon, Kaulumurkan harum, sukma mawarku
adalah kembang-kembang putih; angin tenang
membelai daunan.
Sejadah ini adalah kasur perkasihan yang lembut
seperti wujudku telah Kaucipta
Kaupercikkan cahaya, aku ingin mengecap
anggur maya di hujung rasa dan anugerahkan aku
puncak perkasa, berperibadi mulia.
Ingin aku bertapa dalam tujuh taman
gua permata; untuk kuungkap makna sabda.
Rabb, di lengkung alis subuh-Mu yang jernih
aku mengharap sutera cinta-Mu yang putih.

Rahimidin Zahiri

Sehelai Daun Kenangan
Ketika Bibirku
Kehilangan Kata
musibah apakah yang Engkau kirimkan, sehingga
hamba-Mu yang hina dan penuh dosa ini
kehilangan kata. hamba-Mu ini amat gementar
dan takut hingga tak sekeping foto pun dirakamnya
sehinggalah badai itu berakhir ke laut.
kembali menatapi sisa-sisa lumpur dan kehidupan
yang berserpihan - bahawa hidup ini hanya
kesementaraan dan yang abadi hanya Engkau
kami tunduk berserah.

Wednesday, May 13, 2015

Terima Hadiah Buku Dari Penulis

Ribuan terima kasih kepada Nadir Buku, kerana menghadiahkan sebuah buku Kumpulan Puisi beliau kepada saya.
Telah selamat sampai ke tangan saya semalam. Buku ini juga telah memenangi tempat saguhati dalam Sayembara Penulisan 2 ITBM-PENA-BH.
Syabas dan Tahniah!



Rindu Membara

Pabila rindu ini semakin membara,  semakin ku kuatkan tekad ku,  ingin ku segera menatapi mu, walau jauh beribu batu, ku setia m...