Jumpa Kawan Lama


Manuskrip yang mahu dibukukan


Beberapa hari yang lalu (18hb Mei 2015, Isnin), aku telah bertemu seorang kawan, usianya lebih muda dari aku, dia orang kampong, sekampung dengan aku. Seorang guru di sebuah sekolah di Pekan Meru. Masa kecil-kecil dulu, taklah selalu bermain-main bersama, mungkin disebabkan usia tidak sebaya, tetapi sesekali juga bermain guli bersama-sama di halaman rumah sepupu, itu seingat aku.

Bila lama tak berjumpa, bertahun juga lamanya, jika jumpa pun hanya di jalanan, sekadar melambai tangan. Sebelum ini pun dia bertugas dibeberapa tempat,di luar kawasan. Memang agak lama tidak berjumpa, satu masa, ketika melayari media social muka buku, aku terlihat posting yang bernamakan dia.

Dia berkongsi laman blog, aku cuba buka dan meninjau-ninjau diblognya…dalam diam dia juga menulis puisi, tentang kehidupan,perjuangan dan kasih sayang, dalam hatiku tak sangka orang kampong ku juga seorang penyair, walaupun dalam diam dan tidak dikenali, namun jiwa kepenyairannya amat terserlah. Satu masa, aku cuba menegurnya lewat melalui mesej muka bukunya. Dia memberi respon, mulai saat itu kami pun bermesej, berwhatsupp, jika ada waktu kelapangan.

Satu ketika, dia bertanyakan tentang menerbitkan buku, dia cuba tanya aku tentang bagaimana mahu terbitkan buku, aku hanya memberitahu sekadar yang mampu, setakat yang aku tahu. Aku berjanji akan cuba bertanyakan kawan yang memang sudah biasa menerbitkan bukunya sendiri, kawan itu pun seorang penulis yang sudah ada nama. Selepas itu, agak lama juga kami tidak sangat bermesej. Bukan apa-apa, cuma mungkin masing-masing masih ada komitmen lain, dia pun begitu agaknya.

Tetapi beberapa minggu yang lalu, dia cuba tanyakan berkaitan tentang penerbitan buku lagi. Aku, menyuruhnya add nama Nik Iznan, iaitu kawan penulis yang sudah biasa menerbitkan buku itu. Dalam masa yang sama, dia ingin bertemu aku di mana-mana jika ada kelapangan waktu. Aku cuba mencari hari sesuai, maklum jadua kerjaku yang sekejap pagi, sekejap malam, sekejap petang, kerja sif lah tu. Seperti yang dijanjikan, kami pun bertemu disebelah petang sekitar jam enam petang, di sebuah warung berhadapan Dewan Orang Ramai Pekan Meru.

Sekian lama tak ketemu, petang itu jumpa juga, kami tak banyak cakap, hanya bercerita tentang penerbitan buku dan penulisan. Dia membawa sekali manuskrip yang telah ditulisnya. Puisi-puisi yang ditulisnya merupakan puisi yang terpilih, menurutnya sudah lama dia mahu terbitkan, disebabkan pengetahuan tentang terbit sendiri tidak dimiliki.

Aku membelek satu persatu muka surat manuskrip tersebut, bagus juga puisi-puisinya. Tema kasih sayang, cinta dan perjuangan banyak menghiasi puisi-puisi yang dihasilkannya. Aku memberitahu pada dia, manuskrip ini boleh diterbitkan. Aku cadangkan untuk hantar ke ITBM, rupa-rupanya dia telah cuba hantar ke Karangkraf, namun pihak Karangkraf tidak menerbitkan karya sebegitu.

Pernah dibawa ke Dewan Bahasa Pustaka, selama enam bulan untuk dinilai, bagai menunggu bulan jatuh di riba, namun manuskrip gagal untuk diterima oleh pihak DBP. Bila dia bertanyakan tentang perkara itu, pihak DBP memberitahu, agak sukar jika dipasarkan kerana ‘nama’, iaitu tidak ada nama. Akhirnya dia pasrah dan redha. Kali ini dia benar-benar mahu menerbitkannya sendiri.

Seperti yang aku tuliskan di atas, aku mencadangkan pada dia agar, meminta pada saudara Nik Iznan maklumat bagaimana cara untuk menerbitkannya sendiri. Dia pun kelihatan faham apa yang aku cadangkan. Tiba-tiba dia menghulurkan sebuah CD, menurutnya terdapat dua buah lagunya yang telah dilagukan, wah…hebat, bagus…satu lagu rancak dan satu lagu ‘slow’. Bagi aku, itu sudah cukup baik dan bagus, usaha yang sangat perlu dipuji. Sebagai permulaan impian tercapai satu masa nanti.

Jam di dinding warung sudah menghampiri pukul tujuh malam, aku memberitahu dia, InsyaAllah, usaha dia akan berjaya untuk menerbitkan manuskrip tersebut sebagai sebuah buku, kami pun berjabat tangan, dan memberitahu kepadanya, ada masa kelapangan nanti boleh bertemu lagi. Sementara itu mesej pada aku jika ada perkembangan menarik fasal buku yang ingin diterbitkan itu.


Kami pun berjalan beriringan menuju ke tempat meletak kenderaan, untuk pulang ke rumah masing-masing.

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi