MENULIS SELAGI MASIH ADA HAYAT

Wednesday, April 9, 2014

Profil AGI: Abdul Ghafar Ibrahim (Pak Agi&Ayah Agi)


Abdul Ghafar Ibrahim


Karya-karya Pak Agi


A.GHAFAR IBRAHIM
(Abdul Ghafar bin Ibrahim, Agbi Al-Godjonja, Agbi Al-Ghaff, Agi)

LAHIR : 31 Ogos 1943 di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang, Selangor D.E.
ALAMAT : 6, Jalan 1/3H, Bandar Baru Bangi, 43000 Kajang, Selangor D. E.




SEMENJAK kecil lagi. A. Ghafar Ibrahim telah didedahkan oleh ayahnya kepada alam penulisan.  Ayahnya, Ibrahim Khatib Husin merupakan seorang pengembara yang berulang-alik antara Semenyih, Singapura, dan Sumatera.  Ibrahim membuat berbagai-bagai pekerjaan, antaranya sebagai anggota polis, peniaga kedai runcit, dan terakhir sebagai penjual kain di pekan-pekan Rabu dan di-pasar-pasar malam.  Di samping itu, ayah beliau pernah bergiat dalam bidang penulisan dengan memakai nama samaran “Arab Street” ketika menulis di ruangan pojok dalam akhbar Warta Malaya Singapura pada tahun 1930-an.  Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) yang mengenali peribadi Ibrahim mengakui kegiatan penulisannya ini.  Ayah A. Ghafar meninggal dunia pada tahun 1948.

A. Ghafar Ibrahim turut didedahkan oleh neneknya kepada cerita-cerita lipur lara dan hikayat-hikayat zaman dahulu kala yang amat mengasyikkan.  Kedua-dua faktor ini membenihkan minat beliau dalam dunia kesusasteraan Melayu.  Minat ini dipertajamkan lagi oleh nyanyian-nyanyian puisi daripada kaba-kaba Minangkabau dan terutamanya daripada cerita-cerita Sabai Nan Aluih.  Lagu-lagu puisi seperti Rantak Kudo dan isinya terdiri daripada pantun-pantun yang sering berkumandang dalam majlis-majlis perkahwinan, amat mempengaruhi jiwa beliau semasa kanak-kanak.  Qasidah dan berzanji yang diadakan waktu majlis memotong jambul atau mencukur rambut mulai menumbuhkan daya kreativiti A. Ghafar.

Ternyata bahawa kehidupan kesenian di kampungnya amat mempengaruhi dunia persajakan beliau.  Hal ini ditambah lagi dengan kegiatan pencak silat yang dipelajarinya pada waktu malam dan kegiatan tari piring, sejenis tarian asli yang diturunkan daripada generasi kepada generasi.  Kumpulan silat dan tari piring yang diceburinya itu sering diundang ke majlis-majlis perkahwinan serta lawatan orang besar di sekitar pekan Beranang, daerah Hulu Langat dan Kuala Lumpur.  Semuanya ini berlaku ketika A. Ghafar berumur dalam lingkungan enam hingga 12 tahun.

A. Ghafar Ibrahim mendapat didikan awalnya sehingga darjah tiga di Sekolah Melayu Beranang, Selangor dari tahun 1950-1952.  Kemudian, beliau belajar sehingga darjah enam di Sekolah Rendah Inggeris, Semenyih, dari tahun 1953-1957.  Beliau belajar di sekolah agama pada waktu petang di kampung pada tahun 1956-1957.  A. Ghafar lulus Lower Certificate of Education di Kishan Dial School, Kuala Lumpur dalam tahun 1960.  Kemudian, beliau memperoleh Malaysia Certificate of Education di High School, Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 1962.  Dalam tahun 1963-1964, beliau menjadi guru sementara di Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Kelang.  Minatnya untuk menjadi guru telah menjadi kenyataan apabila beliau diterima menjadi guru pelatih pada tahun 1965-1966.  Dalam masa dua tahun itu, beliau mendapat latihan perguruan pada hujung minggu dan waktu cuti penggal persekolahan.  Sewaktu menerima latihan perguruan, beliau juga di tempat di Sekolah Menengah Kulim, Kedah pada tahun 1965 dan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kulim, Kedah pada tahun 1966-1968 dan tahun 1970.  Pada tahun 1968, beliau ditugaskan memberi kursus seni lukis kepada guru-guru sekolah rendah Kedah Selatan pada hujung minggu.  Pada tahun 1969, beliau sekali lagi mengikuti kursus Pendidikan Seni Lukis di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK), Kuala Lumpur selama satu tahun.

Pada tahun 1971, A. Ghafar Ibrahim mengajar di Sekolah Menengah Khir Johari, Beranang, Selangor. Beliau menerima latihan mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur dari bulan Januari hingga bulan April 1974.  Pada tahun 1972, beliau menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan.  Pada bulan Mei 1974, beliau meletakkan jawatan guru untuk bertugas sebagai pembantu penyelidik sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka.  Jawatan ini disandangnya hanya empat bulan sahaja kerana beliau terpaksa meletakkan jawatannya untuk memenuhi undangan sebagai penulis tamu di School of LettersInternational Writing Program, University of lowa, Amerika Syarikat dari Oktober 1974 hingga Mac 1975.

Selepas itu, beliau sekali lagi telah berangkat bersama-sama keluarganya ke Amerika Syarikat untuk mengikuti pendidikan Seni Halus di College of Visual dan Performing Arts atas tajaan MARA.  Pada tahun 1976, beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Seni dari Northern Illinois University.  Ijazah Sarjana Sastera pula diperoleh dari Eastern Illinois University, Charleston, Amerika Syarikat pada tahun 1977.  Selama menuntut di kedua-dua universiti tersebut, beliau telah memenangi Foreign Students’ Scholarship, iaitu suatu hadiah yang mengecualikan beliau daripada membayar yuran pengajian.

Sekembalinya ke tanah air, A.Ghafar bertugas sebagai pensyarah sambilan seni grafik di Sekolah Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi MARA, Shah Alam mulai bulan Oktober 1978 hingga Disember 1979.  Pada waktu yang sama, setiap hari Sabtu, beliau mengajar seni lukis untuk pelajar-pelajar tingkatan enam di Yayasan Anda, Kuala Lumpur.  Mulai bulan Januari 1980, A.Ghafar bertugas pula sebagai pensyarah pendidik seni di MPIK yang merupakan alma-maternya 11 tahun yang lalu.  Setelah berkhidmat selama dua tahun 10 bulan di MPIK, beliau meletakkan jawatannya untuk berkhidmat sebagai pensyarah pendidikan di Pusat Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, mulai November 1982 hingga 1998.

Dalam kegiatan penulisan, beliau pernah dilantik sebagai sidang pengarang majalah GATRA (sebuah persatuan penulis) di Kedah pada tahun 1967, 1968 dan 1970.  Beliau pernah menjadi sidang pengarang majalah tahunan MPIK pada tahun 1969 dan Asian Editor, untuk majalah New Poetry, iaitu Magazine of the Poetry Socoety of Australia pada tahun 1974.

Beliau sering dilantik menjadi hakim peraduan melukis poster, lukisan kanak-kanak, deklamasi sajak dan pada tahun 1985, menganggotai panel hakim bahagian puisi dalam peraduan menulis puisi Selangor Darul Ehsan anjuran Kerajaan Negeri Selangor, bersempena Perayaan Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor.

A. Ghafar Ibrahim telah menunjukkan bakatnya sejak tahun 1958 lagi, iaitu waktu beliau berada dalam tingkatan satu dan Utusan Kanak-kanak (akhbar mingguan terbitan Utusan Melayu,  Kuala Lumpur) telah menyiarkan tulisan beliau dalam bentuk berita, makalah dan hikayat.  Pengarang Utusan Kanak-kanak waktu itu, Mohamad Salehudin, juga merupakan seorang pelukis.  Tulisan-tulisannya yang disiarkan saban minggu pada waktu itu tidak pernah mendapat bayaran.  Utusan Kanak-kanak merupakan gelanggang pertama untuk A.  Ghafar berkarya.

Daripada penulisan berbentuk berita,  A. Ghafar beralih kepada tulisan berbentuk sajak.  Sajak pertamanya bertajuk “Ensiklopedia Kehidupan Manusia” tersiar dalam Mingguan Malaysia, 8 Ogos 1965 dan waktu itu ruangan sajak dikelolakan oleh Nora.  A. Ghafar terus aktif dalam GATRA di Kedah dan pernah menjadi Ketua Dua GATRA pada tahun 1968 dan 1970.  Pada bulan Mei 1974 beliau turut menubuhkan kumpulan “Anak Alam” bersama-sama teman-teman penyair-penyair seperti Latiff Mohidin, Mustaffa Hj. Ibrahim, Zulkifli Dahalan dan Ali Rahamad.

A.  Ghafar Ibrahim juga terkenal sebagai seorang pelukis.  Ini tidak menghairankan kerana beliau telah terdidik dalam seni lukis di maktab-maktab perguruan dan di universiti-universiti luar negara.  Beliau pernah mengadakan pameran lukisan di Malaysia, Singapura, Indonesia, Negara Thai, Filipina, Brunei Darussalam, Australia, Belgium dan Amerika Syarikat.

Kegiatan persajakannya mulai mendapat perhatian ramai apabila beliau mempelopori puisi 3V: verbal-vokal-visual pada tahun 1965.  Untuk memantapkan lagi konsep persajakannya itu, beliau telah membuat suatu pernyataan tentang sajak Audio-Visual dalam  bentuk esei bertarikh 12 September 1972 yang kemudiannya disiarkan dalam Dewan Sastera pada tahun 1973 berjudul “Dengan Puisi Audio-Visual”. Dalam esei beliau itu, “Sajak Audio-Visual” A. Ghafar antara lain menulis:

Sajak padaku terdiri dari Tri-V; Verbal-Vokal-Visual.  Verbal ialah isi sajak.  Vokal bunyinya. Visual ialah teknik sajak.  Verbal harus dimengertikan.  Daya kreasi penyajak menimbulkan daya rasa fikir yang kritis daripada pembaca untuk menuju pada erti sajak.  Kejayaan membaca menegakkan kesan vokal sajak.  Pembacaan mestilah berjaya meninggalkan kesan-kesan yang nikmat.  Vokal itu harus didengar satu per satu penuh hati-hati.  Tempat penglahiran sajak tidak terbatas.  Di atas kertas, melalui TV, radio, tayangan slides dan movie. Cara mana sajak itu disampaikan adalah tekniknya.  Di atas kertas dia tertera dengan bentuknya yang tersendiri.  Radio dan TV mementingkan tekanan vokal yang menimbulkan susuk verbalnya.  Slides dan movie menggambarkan grafiknya. Cara ia dilahirkan itu dinamakan visual.  Jadi sebuah sajak itu mestilah dibaca-didengar-dilihat.  Barulah kita akan dapat suatu pengertian yang nikmat.

Pernyataan Tri-V ini diperkuatkan lagi melalui esei beliau, “Sajak Ingin Berberber dan Beryangyang” (4 Oktober 1979) yang kemudiannya disiarkan dalam Berita Minggu,  21 Oktober 1979.

Dengan konsep 3V inilah, A. Ghafar memantapkan pembacaan puisinya yang dipersembahkan dalam bentuk tarian piring, pencak silat dan teaterikal.  Pada tahun 1974 dan 1975, beliau telah pun mengadakan persembahan membaca puisi secara perseorangan dan berkumpulan di dalam dan luar negara.  Antaranya termasuklah di Universiti Malaya, Adelaide Arts Festival, Adelaide; Council of Adult Education, poetry workshop, Melbourne; University of Melbourne, Guild Theatre, Union House, Melbourne; Australia Sydney Church of England Grammar School for Girls, Sydney; Department of Indonesia & Malay, University of Sydney; Australia International House, University of Sydney; Bar-Smith-Lawn, of Adelaide; Methodist Ladies College, Adelaide; East-West Center, Hawaii; International House, California Los Angeles; Cedar Rapids Community College, lowa, Amerika Syarikat; Universiti of  Iowa, Iowa City, Iowa.  Pada Ogos 1986, A. Ghafar telah berkunjung ke Yugoslavia untuk menyertai bacaan puisi Struga Poetry Evenings yang diadakan pada 21-25 Ogos dan turut membaca puisi di Library and Cultural Centre, Prilep, Macedonia.

Selain itu, sajak-sajaknya tersiar dalam majalah luar negara seperti sajaknya “In Bandong” tersiar dalam akhbar The Australian yang diterbitkan di Sydney pada 3 Mac 1973.

Di samping itu, beliau adalah penemu bual yang baik.  Hal ini terbukti daripada wawancaranya dengan beberapa orang seniman Malaysia dan antarabangsa dan mendapat sambutan daripada peminat seni lukis, teater, prosa dan puisi.  Kebanyakan wawancara itu telah pun tersiar dalam akhbar dan majalah sastera tempatan yang kini telah dibukukan dengan judul Dialog dengan Seniman.

Selain menjadi ahli PENA seumur hidup, beliau pernah menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Penulis dan Seni Kreatif Daerah Hulu Langat.  Pada tahun 1985, A. Ghafar bersama-sama dengan rakan-rakan turut mengasaskan penubuhan GENERASI – Gabungan Penulis-penulis Selangor Darul Ehsan.

KARYA

Puisi 
-
Gegaran (antologi bersama), Alor Setar:  Dinas Penerbitan Pustaka Sekolah, 1968, 33 hlm.;
-
Perintis Sajak-sajak Melayu (antologi bersama), Kuala Lumpur:  Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1971, 103 hlm.;
-
Some Poems from Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1973, 30 hlm.;
-
Program for Writers’ Workshop, Australia:  Southeast Asian Studying Program, Murdoch University, Perth, 1975;
-
Tan Sri Bulan (My Lord Kite), Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976, 60 hlm. (terjemahan dalam bahasa Inggeris oleh Harry Aveling);
-
Tak TunKuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu, 1978, 85 hlm. (terjemahan dalam bahasa Inggeris oleh Harry Aveling), The Elek Book of Oriental Verse (disusun oleh Keith Bosley), London: Paul Elek Ltd., 1979, 315 hlm.;
-
Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 294 hlm.;
-
Tinta PENA (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981, 631 hlm.;  Lagu Kehidupan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983, 302 hlm.;
-
100 Sajak Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 141 hlm.;
-
Puisirama Merdeka   (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1986, 141 hlm.;
-
Yang YangKuala Lumpur: Dewan Bahasa dan pustaka, 1986,64 hlm.;
-
Kumpulan Puisi Malaysia (Malaysian Poetry) (antologi bersama), Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 167 hlm.;
-
Puisi Baharu Melayu 1961 – 1986 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 941 hlm.;
-
Malaysia dalam Puisi (anatologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 316 hlm.;
-
Puisi-puisi Kunjungan (Antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, 253 hlm.;
-
Rupa Kata (anatologi bersama), Ipoh: Yayasan Kesenian Perak, 1996, 122 hlm.

Drama
-
Di atas Pentas (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 209 hlm.;
-
Bakat Pahlawan (antologi bersama – remaja), Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1985. 107 hlm.

Umum
-
Dialog dengan SenimanKuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1982, 165 hlm.
-
Bakat Pahlawan (antologi bersama – remaja), Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1985. 107 hlm.




Friday, April 4, 2014

Sajak: Cinta Untuk Segala-NYA




Cinta Untuk Segala-NYA

Ada cinta di hatinya
ada rindu di hatinya
ada sayang di hatinya
ada kasih di hatinya.

Tanda ia sebenarnya cinta
tanda ia sebenarnya rindu
tanda ia sebenarnya sayang
tanda ia sebenarnya kasih.

Dalam cinta ada rindu
dalam rindu ada sayang
dalam sayang ada kasih
cinta, rindu, sayang, kasih
segalanya hanya untuk-NYA.

Masshah2014
2042014

Meru.

Sajak: Suara Dungu Itu



Suara Dungu Itu

Suara dungu itu masih menari-nari
menafi mempertahankan laku jelaknya
puluhan tahun sudah berlalu
terlakar di peta sejarah yang luka
menangis darah sekalipun
takkan kembali mereka yang abadi di sana.

Suara dungu itu bisa menafi-nafi
mengolok-olok ribuan si dungu tolol
angguk-angguk iya-mengiyakan
benar membenarkan tak syak ragu-ragu
sungguh ia penuh daya tipu selalu
itu pun masih mahu diikuti.

Suara dungu itu masih dikagum-kagumi
biar usia sudah terlalu lama. Tua
tumpul sudah pemikiran
hilang sudah daya fikir
namun mahu masih gah persis pemimpin dunia
terbuai masa silam yang indah di singahsana.

Suara dungu itu sekali sekala menggegar
suasananya hingar bingar panas terik membakar
persis si tua, sememangnya tua lupa usia
masih mengangan kuasa jika punya adanya
akan dikekang segala info benar di alam maya
demi mengekal kuasa jika dipunya semula.

Suara dungu itu sering melulu selalu
pada musuh ketatnya di fitnah terus musnah
tidak dipeduli apa makna maruah bangsa agama
penting kuasa kepentingan terus digenggaman
diketepi ihsan akhlak maruah diri tercemar
kerna diketepi kuasa haq, tinggalkan Tuhan.

Masshah
1042014
Meru.


Tuesday, April 1, 2014

Sajak: Janjinya Pasti



Janjinya Pasti

Tangis sendu tak berlagu
mengalir darah deras sekalipun
saat ke kubur ditetap waktu
jangan harap ditahan  seminit pun.

Di dasar lautan terbentang
di pergunungan tinggi
di hutan belukar
di tembok kebal
lagi berjeriji.

Ia pasti dan pasti
menanti meniti mengintip
dia siapa pun
dia apa-apa pun.

Kerna itu dijanjinya
kerna itu takdirnya
kerna itu kepastiannya
kerna itu jadualnya.

Sediakan sahaja bekalnya
amal solehnya
iman taqwanya
nanti itu kan membantunya.

Masshah
1042014
Meru.