MENULIS SELAGI MASIH ADA HAYAT

Thursday, July 7, 2016

Selamat Hari Raya 2016/1437H

Ini Blog Baru


CERITA KITA BISNES KITA
klik banner

Blog baru ku ini berkisah tentang catatan-catatan bisnes MLM ELKEN NO 1 yang aku ceburi bersama kekasih hatiku iaitu isteriku. Segala catatan-catatan ini aku abadikan di blog baru ini. Segala suka duka, pengalaman yang sekelumit ini aku badikan di situ. Biar orang baca, kalau mahu bacalah. 

Selagi masih hidup, selagi masih diberi nafas, aku akan terus menulis walaupun kadang-kadang semanagt menulis turun naik. Biar apa terjadi aku tetap akan menulis. Wujudnya blog baru ini menunujukkan mood mahu menulis masih ada, masih meluap-luap. Ini kisah bisnes orang kecil yang mahu besar, kisah bisnes orang biasa yang mahu menjadi luar biasa. 

Setiap insan punya cita-cita dan impian, sepertinya aku, juga mahu berimpian. biarpun usia semakin meninggi tetapi itu bukan alasannya. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit...bermula dari satu langkah hingga langkah-langkah seterusnya. Di situ ada kemahuan...disitu jugalah ada jalannya, orang yang gagal adalah orang yang tidak pernah mahu mencuba...mereka gagal sebelum mencuba.

Peduliakn orang kata apa, orang suka atau tidak, itu mereka punya pendirian, kita punya pendirian kita, juga dengan aku...setiap apa yang kita lakukan pasti ada yang menyukai dan ada juga yang membenci. Kita hanya berserah kepada Ilahi yang pasti akan membantu kita, jika kita benar-benar bergantung harap dengan sungguh-sungguh kepada-NYA.

Aku yakin, bisnes yang aku lakukan bersama isteriku bisnes yang sangat memberikan kebaikan bukan untuk diriku dan familiku sahaja tetapi bisnes ini untuk semua, untuk masyarakat seluruhnya. Bisnes dari hati ke hati, dari manusia untuk manusia...

Oklah setakat ini dahulu, jika kawan-kawan mahu ikuti catatan-catatan itu bolehlah kunjungi blog tersebut.

SELAMAT HARI RAYA 

MAAF ZAHIR DAN BATIN.


Wednesday, July 6, 2016

Harmoni Ceria Lebaran


Harmoni Ceria Lebaran

Di hari lebaran saling bersua
Dengan senyuman bertaut mesra
Setahun sekali kita berjumpa
Usah pula di raut wajah berduka.

Berkunjung-kunjungan kita raikan
Bersama rakan taulan kegembiraan
Saling berkasih sayang bermaafan
Eratkan ukhwah tanda keimanan.

Jauh merantau nun di sana
Miskin kaya sama bergembira
Usah dicerca dihina insan sama
Kelak nanti di sana pasti bahagia.

Senyum gembira di pagi lebaran
Tua muda miskin kaya bersalaman
Buangkan rasa besar diri keegoaan
Kita raikan kesyukuran kebersamaan.

Bergembiralah usah berduka lara
Senyumlah dengan saudara mara
Tidak lupa pula semua jiran tetangga
Hidup rukun damai harmoni ceria.

Hari raya rayakan penuh kesyukuran
Tandanya berjaya berpuasa sebulan
Tiba syawal  tanda perginya ramadan
Kepada Ilahi Ya Rabbi pohon keredaan.

Masshah
1072016
Meru.

Saturday, May 21, 2016

Sajak: Cikgu Kami Sayang Kamu




Cikgu Kami Sayang Kamu
( Dedikasi buat Mashitah Ibrahim dan seluruh Cikgu-Cikgu di Seluruh Negara)

Apa khabar cikgu semua
harapan kami agar cikgu semua sihat sejahtera
kami faham sungguh tugas muliamu
mengajar dan mendidik aset paling berharga
menegur dan mengasuh agar menjadi dewasa
menjadi insan berguna harapan ibu dan bapa
apatah lagi untuk bangsa agama dan Negara
kami percaya cikgu bertugas penuh dedikasi
berinovasi beriltizam tinggi ikhlas di hati
sungguh besar jasa bakti seorang guru.

Cikgu…kami sayang kamu
kami tahu kami mengerti
beban tugasmu yang tidak pernah selesai
hingga bila sampai waktu kamu pulang
tetapi kamu tetap setia dengan tugasmu
penat letihmu…sungguh kamu yang tahu
namun kerana ikhlas amanah dipundakmu
biar wajahmu kelihatam lesu kepenatan
namun masih bisa terukir senyumanmu
ikhlasnya cikgu sepertimu
yang pasti ganjaran hebat di sana nanti.

Cikgu…kami sayang kamu
andai kami ditempatmu itu
nescaya kami merasi juga apa yang kamu rasai
cuma cekal mahupun tidak kami secekalmu
awalnya pagi kau bangun mempersiapkan diri
segak bergaya sedia bertempur di medan ilmu
meladenia karenah aset utama bakal peneraju Negara
menyantuni mereka dengan sabar tekun yakin
mereka adalah harapan kamu dan kami.

Cikgu…kami sayang kamu
sayangnya kami kerana besar jasa baktimu
sayangnya kami kerana besar kesabaranmu
sayangnya kami kerana besar ketabahanmu
sayangnya kami kerana besar pengorbananmu
di mana pun kami berada kami mendoakanmu
semoga kamu terus berbahagia dengan tugasmu
ucapan selamat hari guru buatmu semua.

Masshah
16052016
Meru.

Sunday, May 15, 2016

Sajak: Di Mana Pun Kita



Di Mana Pun Kita

Laluannya masih panjang
masih berliku terus tempuh
berundur setapak sekali tidak
ranjau duri terus pijak henyak
usah toleh belakang terus mara
cekal tabah tekad azam berimpian.

Cukup sekali ditertawa dihina
ia bukan alasan untuk tidak bermula
hanya sabar tabah bekalan peneguh
tidak terus ke puncak mencanak
lalu hilang ditiup taufan melanda.

Dari satu tapak ke satu tapak
dari satu tangga ke satu tangga
ia tidak mudah tidaklah sukar
perlukan kerajinan yakin berterusan
tentunya banyakkan kesabaran.

Doa dikala diuji menyerah tidak sekali
usah peduli kata orang positifkan diri
ia mampu mengubah impian tergapai
tetapkan matlamat rancang haluan
pasti laluan dipermudah Ilahi.

Di mana pun kita hari ini tempatnya
disudut mana sekalipun tinggalnya
kita adalah kita yang perlu berubah
demi kelangsungan hidup yang indah
sementara...masih ada
selagi iman taqwa ada syariat terjaga.

Nah...inilah laluannya dan tempatnya.

Masshah
14052016
Meru.

Tuesday, April 19, 2016

Sajak: Tak Nak Ikut Tak Mengapalah




Tak Nak Ikut Tak Mengapalah

Tak nak ikut tak mengapalah
usah kau mengeji usah kau dengki
kami mahu merubah nasib kami
bukan sesiapa tetapi kami sendiri
sendiri kami punya impian
sendiri kami punya pendirian
hidup mesti kami teruskan.

Tak mengapalah tak nak ikut
kami tetap mahu berkongsi
sedikit ilmu kami tahu kami sampaikan
hidup mahu ceria bahagia sihat mesti
hidup di dunia tak lama mana hari
esok atau lusa atau hari ini mati
itu takdir Ilahi pasti.

Tak nak ikut tak mengapalah
kami ingatkan diri dan sama mengingati
jaga pribadi kesihatan diri penting sekali
banyak penyakit berpakej lagi-lagi obesiti
jaga pemakanan ikut aturan sunah nabi
tak salah untuk menikmati ingatkan diri
bila sihat minda segar ibadah diperbanyaki.

Tak mengapalah tak nak ikut
itu semua kami akan hadapi harungi
tak semua yang menolak membenci kami
masing-masing punyai kehidupan pribadi
susah senang keluh kesah tahu-tahu sendiri
bukan nak kata hebat bagus kami sedar diri
demikianlah sekelumit rencah kehidupan
mahu tak mahu kena hadapi.

Masshah
02042016
Meru.

Saturday, April 16, 2016

Sajak: Bersungguh Usah Bertangguh





Bersugguh Usah Bertangguh

Ia ditakdirkan begitu
siapa yang sanggup
terima padahnya
ada indahnya
ada mehnahnya
ia memang macam itu
ada positif ada negatif.

Berusaha bersungguh dapat
berusaha main-main sia-sia
ia mesti berkorban setiap masa
ikut apa yang diajar yang benar
percaya dahulu dapat kemudian
bukan untuk main-main
bukan untuk cuba-cubaan
ia mesti dilakukan.

Ia perlukan ilmu ikut sistem
ikut sahaja buat sahaja tapi bersungguh
jumpa kawan cari teman buat rangkaian
ada pemimpin yang memimpin
tiru dan ikut sahaja apa yang dibuat
selagi tidak menyalahi adat.

Siapa bersungguh tanpa bertangguh
pasti dapat apa yang dihajat
terbukti sudah ramai dapat berjaya
menuju puncak yang diimpi dikecapi
berkat berubah berimpian pasti
ia bukan mimpi tetapi realiti
ia sudah terbukti sana sini.

Sayang sekali ramai asyik memerhati
menanti dan terus menanti menyaksi
yang membenci terus gigit jari
masih tak sedar diri menyesal sendiri.

Masshah
02042016
Meru.

Saturday, April 9, 2016

Sajak: Tak Ada Siapa Yang Paksa



Tak Ada Siapa Yang Paksa

Ada yang suka
ada yang meluat
ada yang sayang
ada yang benci
ada yang positif
ada yang negatif
lumrah kehidupan setiap insan
itu pilihan siapa yang ada kemahuan
terserah...tak ada siapa yang paksa.

Kehidupan banyak ragam karenahnya
itu pilihan diri sendiri
mahu susah mahu senang mahu kaya
terserah tak ada yang memaksa
cuma tanya pada diri benar atau tidak
selesa hidup begini biasa-biasa
atau mahu yang luar biasa.

Hidup keluh kesah sering susah
marah pemerintah sendiri tak berubah
hidup sering susah sering marah
kos hidup makin bertambah bukan murah
dilihatnya orang lain bisnis dikatanya menyampah
pada hal diri sendiri perit susah payah.

Dunia semakin kepenghujungnya
di mana-mana ada sumpah seranah
selagi masih ada waktu berubahlah
cipta impian demi kebahagiaan dunia
apatah lagi akhiratnya yang pasti
dunia mahu akhirat pun mahu
tak ada yang paksa dan memaksa...terserah.

Masshah
01042016
Meru.

Thursday, April 7, 2016

Sajak: Teruskan Langkah



Teruskan Langkah

Tak mengapa tidak apa-apa
terserah kepada yang empunya
percaya ataupun tidak terserah
ramai sudah membina impian bersamanya
kami juga sedang melangkah
tak kira warna kulit, bangsa juga agama
bergerak satu nada satu rasa satu impian
jayakan anda jayakan bangsa tersemat di hati.

Kami diajar belajar sudi mendengar
kami ikut apa sahaja yang benar
kami percaya yakin penuh sedar
kami percaya dahulu dapat kemudian
benarlah pepatah nukilan
bersusah-susah dahulu...bersenang-senang kemudian
pasti kejayaan ada di hadapan.

Yang positif terus mara mengapai cita
susah payah terus didaki penuh tabah sabar
yakin percaya usaha bersungguh berjaya
Yang negatif terus sangsi mencipta alasan
hidup terus mengeluh keluh kesah tak karuan kerana itu pilihan.

Duhai kawan-kawan seperjuangan
teruskan langkah hayunkan tangan
pada kita susah senang ranjau berduri
asam garam perjuangan cabaran pasti
sekalipun jatuh pertama kali pasti bangkit
kerana kita yakin detik-detik kebahagian
datang...pasti menjelma untuk kita.

Masshah
29032016
Meru.

Friday, April 1, 2016

Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP


MALAM INI DI RUMAH PENA



Sajak: Masih Sayang




Masih Sayang
(Dua tahun kehilangan MH370)

Hilang terus hilang
tak diketemui terus menghilang
entah ke mana menjauh pergi
tak pulang-pulang sedih di hati
hilang orang tersayang
hilang terus dirundung malang.

Telah kesekiannya
ia masih diharap-harap
agar masih ada peluang jua ruang
jika bolehlah pulanglah sekarang
penantian terus bersarang
kerana masih sayang.

Masshah
08032016
Meru.

Wednesday, March 16, 2016

Sajak: Bunga-Bunga Cinta




Bunga-Bunga Cinta

Harumannya semerbak
memenuhi segenap ruang hati
tersenyum indah bagai merpati dua sejoli
ada senyuman menerpa diri ikhlas suci
ada bagai tidak punya apa-apa murni
kosongnya nurani.

Wangiannya tak tercium dalam diri
bagai tiada erti melihatnya seolah benci
mungkin mengakui semerbak harumanya
jua wangian itu menusuk-nusuk segar indah
namun kerana ego dalam diri
sedikit pun tak tersentuh sanubarinya.

Biarlah tidak mengapalah
kerana bunga-bunga cinta yang dibina
telah mendamaikan dua insan sejiwa
terus meluncur laju membina impian
biar tak terusik sedetik ego insannya
bunga-bunga cinta akan terus mekar
selagi Ilahi tempat berpaut nan setia.

Masshah
09032016
Meru.

Tuesday, March 15, 2016

Usaha Bukan Sekali





"Sebenarnya kita tidak gagal, 
cuma kita perlu berusaha lebih kuat lagi. 
Orang yang berjaya usahanya bukan sekali tetapi berkali-kali tanpa henti dan tak pernah rasa jemu."

Masshah 2016

Sunday, March 6, 2016

Sajak: Yakin Diri Pasrah




Yakin Diri Pasrah

Dari satu tapak ke satu tapak
dari satu langkah ke satu langkah
kita harungi penuh yakin istiqamah
biar banyak halangan rintangannya
biar onak duri merintangi jalannya
biar gelombang memulas menerjang
namun untuk kita undur kebelakang sekali tidak.

Nah...kita akan merasa apa yang mereka rasa
nah...kita akan lalui apa yang mereka lalui
nah...kita akan menikmati apa yang mereka nikmati
janji kita tidak putus asa terus pasrah lilahitaalah
Tuhan pasti tolong kita yakin sepenuhnya.

Kan 'akhirnya nanti benih yang kita tanam
pasti buahnya nikmati bersama
segala impian yang diimpi kita kecapi
apa yang diingini pasti yakin diri... terjadi
itu semua dari Ilahi Yang Maha Pemberi
janji kita hamba bersyukur usah kufur
usaha kita pasti diukur dilihat Ilahi
yakinkan diri.

Masshah
04032016
Meru.

Saturday, March 5, 2016

Sajak: Bunga-Bunga Keberhasilan




Bunga-Bunga Keberhasilan
(Buat kekasih hatiku Mashitah Ibrahim)

Mimpi indah kita lakarkan
dalam realiti kehidupan
kita bina impian demi merobah
nasib...dan kita yakin jika itu takdirnya
dan impian itu kita jayakan penuh kesungguhan.

Namun jalannya bukan mudah
ia penuh onak duri berliku
begitu pun ia tidak mustahil
kerana usaha bersungguh
tanpa sedikit pun putus asa
bunga-bunga keberhasilan
semakin mewangi semerbak
bukti kesungguhan yang tinggi
janji Ilahi pasti.

Kita lupakan sahaja
karenahnya manusianya
sebarkan terus salam senyuman
yang kita bawa kasih sayang sesama
yang kita bawa ceria bahagia
kita ingin semua sihat sejahtera
kita ingin semua tampil sihat ceria
diizin kita sihat bahagia lebih-lebih lagi kaya
itu semua manusia mahu suka tapi sayang usahanya kurang.

Biar mereka...kita ada jalan kita
namun kita terus berdoa agar tidak berputus asa mereka bersama kita
membina impian sebelum menuju
rumah abadi kekal di sana.

Masshah
27022016
Meru.

Monday, February 15, 2016

Program Dailog Dan Pelancaran Album Mathnawi Rumi






Kami dengan segala hormatnya menjemput Tuan/Puan ke Dialog & Pelancaran Album Mathnawi Rumi Nyanyian Kopratasa yang akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 16 Februari 2016 (Selasa)
Masa: 9:00 pagi
Lokasi: Institut Integriti Malaysia. Persiaran Tuanku Syed Sirajudin, Off Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur

Tetamu kehormat: Y.B. Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dasuki (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri)

Panel dialog:
- Dato’ M. Nasir (Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn. Bhd.)
- Encik Mohd Nizam Mohd Ali (Institut Integriti Malaysia)
- Dr. Suzana Suhailawaty Md Sidek (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)

Album Mathnawi Rumi ini dihasilkan berdasarkan puisi daripada karya agung Mathnawi Jalaluddin Rumi (terjemahan oleh Profesor Dr. Sayyid Ajmal Al-Aidrus) terbitan ITBM. Kumpulan Kopratasa telah menghasilkan lima (5) buah lagu yang dimuatkan dalam album khas terbitan bersama ITBM dan Luncai Emas ini.

Untuk pertanyaan lanjut, Tuan/Puan boleh menghubungi Norzaiti Abdul Talib di talian 019-390 6349, e-mel: norzaiti@itbm.com.my atau Sarima Sharif di talian 019-225 3879, e-mel sarima@itbm.com.my.


Teks Asal sumber dari: ITBM 

Rindu Membara

Pabila rindu ini semakin membara,  semakin ku kuatkan tekad ku,  ingin ku segera menatapi mu, walau jauh beribu batu, ku setia m...