MENULIS SELAGI MASIH ADA HAYAT

Saturday, May 21, 2016

Sajak: Cikgu Kami Sayang Kamu




Cikgu Kami Sayang Kamu
( Dedikasi buat Mashitah Ibrahim dan seluruh Cikgu-Cikgu di Seluruh Negara)

Apa khabar cikgu semua
harapan kami agar cikgu semua sihat sejahtera
kami faham sungguh tugas muliamu
mengajar dan mendidik aset paling berharga
menegur dan mengasuh agar menjadi dewasa
menjadi insan berguna harapan ibu dan bapa
apatah lagi untuk bangsa agama dan Negara
kami percaya cikgu bertugas penuh dedikasi
berinovasi beriltizam tinggi ikhlas di hati
sungguh besar jasa bakti seorang guru.

Cikgu…kami sayang kamu
kami tahu kami mengerti
beban tugasmu yang tidak pernah selesai
hingga bila sampai waktu kamu pulang
tetapi kamu tetap setia dengan tugasmu
penat letihmu…sungguh kamu yang tahu
namun kerana ikhlas amanah dipundakmu
biar wajahmu kelihatam lesu kepenatan
namun masih bisa terukir senyumanmu
ikhlasnya cikgu sepertimu
yang pasti ganjaran hebat di sana nanti.

Cikgu…kami sayang kamu
andai kami ditempatmu itu
nescaya kami merasi juga apa yang kamu rasai
cuma cekal mahupun tidak kami secekalmu
awalnya pagi kau bangun mempersiapkan diri
segak bergaya sedia bertempur di medan ilmu
meladenia karenah aset utama bakal peneraju Negara
menyantuni mereka dengan sabar tekun yakin
mereka adalah harapan kamu dan kami.

Cikgu…kami sayang kamu
sayangnya kami kerana besar jasa baktimu
sayangnya kami kerana besar kesabaranmu
sayangnya kami kerana besar ketabahanmu
sayangnya kami kerana besar pengorbananmu
di mana pun kami berada kami mendoakanmu
semoga kamu terus berbahagia dengan tugasmu
ucapan selamat hari guru buatmu semua.

Masshah
16052016
Meru.

Sunday, May 15, 2016

Sajak: Di Mana Pun Kita



Di Mana Pun Kita

Laluannya masih panjang
masih berliku terus tempuh
berundur setapak sekali tidak
ranjau duri terus pijak henyak
usah toleh belakang terus mara
cekal tabah tekad azam berimpian.

Cukup sekali ditertawa dihina
ia bukan alasan untuk tidak bermula
hanya sabar tabah bekalan peneguh
tidak terus ke puncak mencanak
lalu hilang ditiup taufan melanda.

Dari satu tapak ke satu tapak
dari satu tangga ke satu tangga
ia tidak mudah tidaklah sukar
perlukan kerajinan yakin berterusan
tentunya banyakkan kesabaran.

Doa dikala diuji menyerah tidak sekali
usah peduli kata orang positifkan diri
ia mampu mengubah impian tergapai
tetapkan matlamat rancang haluan
pasti laluan dipermudah Ilahi.

Di mana pun kita hari ini tempatnya
disudut mana sekalipun tinggalnya
kita adalah kita yang perlu berubah
demi kelangsungan hidup yang indah
sementara...masih ada
selagi iman taqwa ada syariat terjaga.

Nah...inilah laluannya dan tempatnya.

Masshah
14052016
Meru.