MENULIS SELAGI MASIH ADA HAYAT

Monday, June 30, 2014

Nota Ramadan: Ramadan Melatih Bersabar

bersabarlah jika ada orang menghina kita


Ramadan indah ramadan bercahaya, cahaya menyeri seluruh alam, alangkah beruntungnya insan yang mendampinginya, betapa pula ruginya insan yang mempersia-siakan kehadirannya. Kedatangannya amat dinanti, kepergiannya akan ditangisi...ah, aku bermonolong pula. Siapa yang tidak sayang pada bulan suci ini, bulan di mana dijanji pelbagai bentuk kelebihan. Siapa yang membangunkan ramadan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan pasti ada imbalannya nanti, itu janji Tuhan Yang Maha Agung.

Diam tak diam sudah masuk dua hari kita berpuasa, syukur, hari ini dipertemukan lagi di dalam bulan yang penuh keindahannya. Jangan sesekali dicemari keindahannya, kelak nanti Allah SWT murka. Ramadan memberikan kita banyak peluang untuk bersama-samanya, bermula hari pertama munculnya sehinggalah pada akhir nanti ia akan pergi. Apakah aku setia atau aku tewas dipertengahan jalan ini, ya Rabb...aku mohon pada-MU agar aku setia berterusan bersama ramadan ini. Aku tidak mahu hilang peluang dan ruang untuk kekal bersama ramadan.

Ramadan mengajar insan agar bersabar, bersabar dalam banyak hal, bersabar dengan karenah diri sendiri, bersabar dengan isteri, bersabar dengan anak-anak, teman-teman sekerja, orang-orang sekeliling kita, dan seluruhnya, setiap saat dan waktu, sabar itu harus bertunjang di dalam diri kita. Bolehkah aku bersabar jika ada orang menghina atau memaki aku?. Bersabarkah aku jika anak-anakku membuat karenah?. Sabarkah aku, selain aku bersabar kerana tidak makan dan minum di siang hari di bulan ramadan ini.

Sekali lagi aku tanyakan pada diri ini. Apakah aku mampu bersabar, sekiranya ada orang menghina aku?. Ikut saranan Nabi SAW;

“Bila seseorang menghina atau mencacinya, hendaknya ia berkata, “Sesungguhnya aku sedang puasa.”

(Hadis Riwayat: Bukhari)

Ya, bersabarlah duhai diri, hanya itulah pengubat mujarab untuk memujuk hati. Ramadan mengajar erti sabar. Bukankah sabar itu laksana cahaya?. Banyakkan zikir di hati untuk mengelakkan diri dari terus berperasaan sakit hati, takut-takut pahala puasa berkurangan disebabkan penyakit hati ini, sakit hati. Semoga hari kedua ini, akan bertambah sifat sabarku akan aku suburkan.

Pimpinlah aku ya...Rabb!.

                                                                                       

Nota Ramadan: Ramadan Jangan Dipersia-siakan




Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang:


“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepada kamu puasa sepertimana diwajibkan kepada mereka yang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu beroleh takwa. Ia beberapa hari yang ditetapkan. Barangsiapa di antara kamu sakit ataupun musafir, boleh diganti pada hari lain.”

(Surah Al-Baqarah: 183)

Syukur  Alhamdulillah dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan rahmat dan kasih sayang-Nya dapat dipertemukan dengan bulan ramadan pada tahun ini 1435H bersamaan 2014M. Demikianlah kehidupan kita di dunia yang semakin hari semakin mencabar dan silih berganti kehidupan yang sedang kita harungi ini. Usia pun semakin meningkat, petanda bahawa kehidupan semakin singkat dan ajal pun mungkin sudah semakin dekat, entah lusa atau tulat bakal disekat nyawa yang ada ini. Semuanya dengan izin Allah SWT.

Ramadan bulan puasa, selama sebulan kita diwajibkan berpuasa kecuali bagi mereka yang seperti disebutkan dalam firman Allah SWT di atas tersebut. Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga serta mengunci nafsu syahwat tetapi seluruh anggota badan kita kena berpuasa, menghindari dari perkara-perkara maksiat dan dosa. Mengawal godaan nafsu dan syahwat. Bukan diwaktu siang sahaja bahkan diwaktu malam. Dengan menjaga adab-adabnya, Insyallah kita akan berjaya menjaga puasa yang kita kerjakan.

Ramadan saban tahun menjelang, masih dipertemukan dengan izin-Nya, sedang mereka yang pada ramadan tahun lalu bersama-sama kita, kini telah tiada pada ramadan kali ini, mereka telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Kita yang ada hari ini sepatutnya mensyukuri nikmat umur yang masih berbaki ini, dapat pula bertemu ramadan dan mungkin ini ramadan terakhir buat kita.

Semoga kehadiran bulan yang penuh berkat dan penuh keampunan ini kita benar-benar hayati dan kita pergunakan masa yang ada di sepanjang ramadan ini kita gunakan untuk beramal bakti dengan sungguh-sungguh. Mungkin pada ramadan tahun lepas kita tidak menumpukan secara serius dalam menghadirkan diri kita dalam bulan ramadan, jadi ramadan tahun ini kita perbaiki dan seterusnya melaksanakan tuntutan ramadan dengan sebaik-baiknya.

Maksud sebuah hadis;

“Sesiapa yang mendirikan ( menghidupkan malam ) Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan segala dosa yang lalu.”

Bukhari dan Muslim.
                         
Alangkah ruginya sekiranya kita melepaskan peluang yang Allah berikan  pada kita saat dan waktu ini dalam usia yang berbaki ini tanpa melakukan amal ibadah yang berterusan dalam ramadan kali ini. Apakah kita mahu mempersia-siakan bulan yang agung ini?. Tanyalah pada diri kita, iman kita ,mahu tergolong dalam kalangan yang rugi ataupun golongan yang beruntung.

Lalu apakah kita mahu mensia-siakan peluang ini?. Semua tahu dan faham akan kehebatan yang ada dalam bulan ramadan ini. Saban tahun diulang-ulang tentang kehebatan bulan ramadan ini oleh para ilmuan Islam bagi memberi motivasi dan rangsangan kepada seluruh umat Islam agar mengerjakan ibadah sepanjang bulan ini. Tidak perlulah diungkapkan lagi kerana masing-masing sudah memahaminya.

Sungguh beruntung kita masih dipertemukan, inilah peluang kita merebut ganjaran yang berganda-ganda di sepanjang ramadan. Marilah kita perbanyakan amalan kebajikan selain berpuasa, kita gandakan sedekah kita, bacaan quran kita, zikir dan wirid kita dan banyak lagi amalan kebajikan yang lain. Ingatlah, matlamat akhir dari puasa adalah mencapai taqwa di sisi Allah SWT.

“...supaya kamu bertaqwa.”

( Al-Baqarah:183)

Justeru itu, jangan kita lupa dan alpa dengan setiap apa yang kita laksanakan dalam bulan ramadan ini hanyalah untuk menuntut keredaan dari Allah SWT. Maka dengan itu, ikhlaskanlah setiap amal ibadah yang kita kerjakan. Mudah-mudahan Allah SWT menilai ibadah kita dengan nilaian yang terbaik, maka dengan itu Allah akan menempatkan kita dari golongan yang mendapatkan syurga-Nya seperti yang dijanjikan.


Selamat berpuasa!

Sunday, June 29, 2014

Sajak: Datang Dan Pergi




Datang Dan Pergi

Sambut penuh keriangan
ditangisi kepergian
itulah ramadan.

Masshah 2014
26062014
Meru.


dari FB

Nota Ramadan: Ramadan Menjelang Lagi

Google Image


Ramadan Menjelang Lagi

Bulan ramadan datang lagi, bulan yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan dari Ilahi. Syukur tidak terhingga diucapkan terhadap yang empu-Nya bulan yang suci lagi mulia ini. Kerana dengan izin-Nya, aku dan kita semua dapat bertemu dengan bulan suci ini. Bulan di mana di dalamnya ada ibadah puasa yang mesti kita tunaikan. Satu kewajipan yang termaktub di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa. Puasa itu diwajibkan dalam beberapa hari tertentu. Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) maka hendaklah ia digantikan dengan hari-hari lain."

(Al-Baqarah : 183)

Demikianlah, suruhan dan saranan Allah SWT agar kita menunaikan kewajipan berpuasa di bulan ramadan al-mubarak ini. Semua orang tahu dan faham tentang suruhan ini. Cukuplah sekadar itu, aku bukan mahu berceramah tentang kelebihan puasa, semua orang sudah faham dan reti belaka, maklum sudah ada yang berpuasa puluhan tahun, tak kanlah tidak faham lagi kan’?. Aku hanya sekadar mahu menulis catatan tentang rutin harian aku sepanjang bulan ramadan tahun ini.

Apa Itu Ramadan?

Oh ya, sedikit untuk pengetahuan, tentang pengertian ramadan yang aku kutip dari  laman blog Fadhilat Ramadan, sekurang-kurangnya bila kita sebut ramadan, kita akan faham apa itu ramadan;

“Perkataan Ramadhan berasal dari kata dasar ‘ra-mim-dal’, yang bererti“panas” atau “panas yang menyengat”. Perkataan ini berkembang sehingga ertinya membawa maksud“menjadi panas atau sangat panas”, atau diertikan juga sebagai“hampir membakar”. Oleh itu makna Ramadhan boleh diringkaskan sebagai waktu atau keadaan di mana seseorang merasa panas, mulut terasa kering dan tekak terasa haus disebabkan sedang berpuasa.”

InsyaAllah, selagi diberi kekuatan dan semangat, aku akan nukilkan catatan ini sepanjang bulan ramadan, apa-apa sahaja yang aku lakukan akan aku catatkan dalam nukilan ini. Seperti tahun-tahun yang sudah, aku ada menuliskan tentang perjalananku sepanjang ramadan. Aku yakin dan percaya, selaku orang Islam yang beriman, sahabat semua tentu gembira dengan kedatangan bulan suci ini. Hati girang untuk menyambutnya dan sudah pastinya sudah ada perancangan yang baik untuk meraikan bulan mulia ini. Tahniah dan syabas, aku ucapkan kepada sahabat semua.

Teruja Malam Pertama Ramadan

Malam pertama, ramai berbondong-bondong ke surau atau masjid, tidak kira di mana, desa atau kota, seantero dunia sedang meraikan ramadan al-mubarak ini. Melihat begitu ramainya umat Islam ke surau dan masjid sangat mengujakan aku, mereka datang bersama keluarga, anak, isteri dan sebagainya. Semangat ramadan diraikan dengan penuh sungguh dan meriah sekali. Surau, masjid dan madrasah hidup bercahaya dengan pelbagai program, imarah sekali. Seperti tahun sudah, begitulah suasana malam pertama ramadan, malam ini berulang kembali.

Sungguh, ramadan punyai kuasa magnet yang kuat sekali, untuk kita sama-sama berusaha menghidupkannya. Asal yang malas akan menjadi rajin, yang lebih kurang pun begitu, bangkit dengan kekuatan ramadan, bersemangat untuk meraikan ramadan. Indah dan meriahnya suasana malam ini. Aku, malam ini berterawih di Surau Darul Aman, tempat tinggalku, aku balik kampung sekejap untuk malam ini, berterawih bersama orang-orang kampung asalku. Seronok melihat betapa semangat ramadan malam pertama mereka merai dan mengimarahkannya. Begitu juga aku, aku tidak mahu ketinggalan.

Saf-saf solat penuh, dari yang tua, dewasa, remaja, kanak-kanak, dan turut kelihatan beberapa warga asing yang beragama Islam turut bersolat di surau. Aku bermonolog di dalam hati, moga semangat ini terus bekekalan sehingga ramadan terakhir, aku harap aku pun begitu, bukan hanya semangat tetapi biarlah dengan niat dan tekad semata-mata menuntut keredaan Allah SWT. Jika sekadar semangat-semangat tanpa niat yang betul, kebarangkaliannya akan mudah pudar dan longgar. Itulah harapan aku, untuk diriku dan masyarakat seluruhnya.

Terpulang Hendak Berapa Rakaat

Bila sebut ramadan, semua akan ingat  terawih, solat terawih, terpulanglah kepada masing-masing, mahu berapa rakaat mahu tunaikannya, ada lapan rakaat, ada sepuluh rakaat, ada dua belas rakaat, dan ada dua puluh rakaat, sambung solat witir tiga rakaat, ya...silakan, usah gaduh-gaduh, cukuplah, masing-masing sudah faham, sudah tahu dalil-dalilnya, buat sahaja, jangan bertelingkah tak sudah nanti berpecah akhirknya. Itu yang kita tidak mahu, masyarakat kini sudah ramai yang faham, berpendidikan tinggi. Selagi ia tidak bertentangan dengan sunnah dan syariat silakan.

Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda, maksudnya;

 “Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khulafak yang mendapat petunjuk (selepasku). Berpegang lah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham-geraham kamu…”.

(Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud dari Abi Najih al-‘Irbadh bin Sariyah r.a.)

Untuk malam ini, dengan kekuatan yang diberikan oleh-Nya, aku dapat menghabiskan solat terawihku hingga solat witir, semoga aku dapat meneruskan kesungguhanku ini, untuk malam berikutnya. Bila aku melihat kebelakang, kelihatannya, bila sampai lapan rakaat, ramai yang sudah kembali ke rumah.

Aku yakin, masing-masing punya hal, mungkin ada yang bekerja shif, mengambil peluang balik rehat sekejap, untuk sama-sama bersolat jemaah dan berterawih di surau. Mereka mengambil peluang solat lapan rakaat, tidak mengapalah, yang penting kita tunaikan solat terawih tersebut, berapa rakaat pun bukan isunya lagi. Jika kita fikir-fikir, mengapa perlu dibising-bisingkan lagi tentang berapa rakaat solat terawih, apa untungnya?. Mengapa tidak kita bisingkan, mereka yang tidak solat terawih pula. Mereka lagi teruk, jika diikutkan dari mereka yang solat lapan rakaat. Betul juga ya..., sahabat yang bijak boleh renung-renung dan fikir-fikirkan ya.

Harapanku

Selain teruja melihat semangat masyarakat dalam meraikan ramadan malam pertama, aku berharapan sekali lagi, biar di mana-mana pun, di kota atau desa, di seluruh dunia, biarlah umat Islam terus memperhebatkan bulan ramadan ini, dengan pelbagai aktiviti bermanfaat, biar dari bentuk individu mahu pun dalam bentuk bermasyarakat. Untuk diriku, sahabat dan masyarakat seluruhnya, aku mohon pada Allah SWT, agar terus memberikan kekuatan untuk meraikan bulan suci ini, dengan kekuatan iman dalam diri, janganlah sampai diri ini mensia-siakan bulan mulia ini yang datangnya setahun sekali.

Amin Ya Rabb...

Aku sudahi catatan ini dengan memetik maksud sabda Nabi S.A.W;

“Sesiapa mengerjakan qiyam Ramadhan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan pahala dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu”.

(Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)

Sekian.

                                                                                       

Saturday, June 28, 2014

Sajak: Ramadan Ini



Ramadan Ini

Ramadan ini
ramadan suci
untuk hati murni
untuk setia janji
untuk cinta Ilahi.

Ramadan ini
ramadan harmoni
dakap erat usah dicemari
dakap erat usah dimaksiati
dakap erat usah dinodai.

Ramadan ini
ramadan dijanji
amal solehnya lebih lagi
pahalanya digandai
taubatnya diterimai.

Ramadan ini
ramadan pasti
rugi sekali ditinggali
sayang sekali dijauhi
menyesal nanti diri sendiri.

Masshah 2014
26062014
Meru.

Nota Ramadan: Pengharapanku

Google Image


Izinkan Aku Bertemu Ramadan-MU

Ya Allah, tinggal sehari lagi ramadan bakal menjelang lagi, apakah diriku sempat menemuinya atau sebaliknya. Rasanya bagai semalam ramadan meninggalkan ku, kini sudah bakal menjelang lagi. Sesungguhnya, masa berganti masa semua dengan izin-MU, ketetapan dan ketentuan-MU, ramadan bakal muncul lagi. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan-MU.

Ya Allah, jika sekiranya kau izinkan aku untuk menikmati ramadan yang bakal kunjung tiba nanti, alangkah bersyukurnya aku pada-MU, sesungguhnya itulah yang aku mahukan, aku ingin benar-benar mengharungi ramadan kali ini dengan penuh kesyukuran dan pengharapan rahmat dari-MU. Aku harap agar KAU tidak menghampakan harapanku ini. Ingin ku perbaiki cara aku menyambut ketibaan ramadan dan akan ku perbaiki segala cacat cela yang pernah aku layani ramadan sebelum-sebelum ini. Maafkan kelemahanku ya Rabb!.

Ya Allah, bagaimanalah nasib ramadanku yang lalu, apakah diterima atau pun sebaliknya. Ya Allah...andainya sebaliknya, aku ingin menebusnya pada ramadan kali ini. Bantu dan tolonglah aku dalam mengharungi ramadan yang bakal tiba dalam melawan hawa nafsu dan bisikan jahat itu. Sesungguhnya aku tidak mampu tanpa bantuan-MU ya Rabb...!. Dalam setiap perbuatan dan perkataanku ada sahaja yang silap, ada sahaja yang tidak mampu aku tepis dan tahan, kerana nafsu yang membelenggu ini.

Ya Allah, jadikanlah ramadan benar-benar teman akrabku selama sebulan nanti, aku tidak mahu menjadi orang-orang yang rugi. Aku ingin sungguh mendapatkan title ‘ Orang-orang yang bertaqwa’ hasil dari ibadah puasaku nanti. Semoga pintu ‘arrayyan’ menjadi pintuku untuk memasukinya. Ya Allah..., jadikanlah impianku dalam ramadan menjadi kenyataan. Biarlah ia berlaku dengan sabar dan reda dari-MU.

Ya Allah, ramadan kali ini biarlah hatiku terus bertaut pada-MU, rindu pada keagungan-MU, rindu pada firdaus-MU dan segala-galanya hanya untuk-MU. Tetapkanlah pertautan dan pergantunganku hanya untuk-MU semata-mata, ya...semata-mata hanya untuk-MU. Izinkanlah impianku menjadi kenyataan ya Rabb!. Berilah kekuatan untuku untuk terus mendamping-MU sepanjang ramadan dan seterusnya di luar ramadan sepanjang hayat dan hidupku.

Ya Allah, jauhkanlah aku tergolong dari manusia yang rugi,  yang mensia-siakan keagungan ramadan. Bulan yang penuh nikmat dan rahmat-MU ini.  Aku sedar, aku insan yang sangat lemah, sentiasa alpa dan leka, sangat sedikit mengingati-MU, sangat sedikit bersyukur pada-MU, banyak melakukan kemaksiatan pada-MU, hatiku tidak setia dan selalu lupa ingat pada-MU...maafkan dan ampunkanlah aku ya Rabb...maafkan aku..hamba yang penuh noda dan dosa.

Ya Allah, tetapkanlah aku dalam rahmat dan reda-MU, hindari aku terus leka dan dosa, tetapkanlah aku dengan keimanan dan keinsafan. Ramadan aku dambakan, agar kau izinkan aku dapat menyelusurinya nanti. Izinkan aku ya Rabb untuk bertemu ramadan kali ini...

Sesungguhnya hanya Engkaulah yang mengizinkan impianku ini ya Rabb...Maha Suci Allah Yang Maha Mendengar rintihan insan kerdil ini.


Maafkan aku Ya Rabb...!

Friday, June 27, 2014

Sajak: Tangan

  


Tangan

Tangan kanan
tangan kiri bisa sahaja
diguna bila-bila sahaja
mahu yang baik
mahu yang buruk
boleh-boleh sahaja.

Boleh dapat pahala
boleh dapat dosa
boleh dapat bala
boleh dapat rezeki
boleh mengubah dunia.

Tangan kanan
tangan kiri
boleh sahaja mengubah kuasa
mereka yang bermaharajalela
boleh sahaja hilang kuasa
janji tangan kanan
janji tangan kiri
seia sekata
mahu merobah
kebatilan kepada
kebenaran cahaya.

Masshah 2014
21062014
Meru.

Sajak: Ramadan Datang Lagi

Ramadan Al-Mubarak


Ramadan Datang Lagi

Datang, datanglah kau ramadan
datang pada kami
kami rindu pada-mu
kami sayang pada-mu.

Datang, datanglah  kau ramadan
dekat pada kami
akan ku dakapi mu
tiap saat dan waktu.

Datang, datanglah ramadan
datang mu penuh dengan janji
tak kan kami lepasi
nanti kami rugi.

Ramadan kau datang
tanpa Kami jemput kau pasti datang
tetapi memang rindu pada mu
segeralah pada kami
kami tak nak rugi.

Ramadan kau sudah datang
kami di sisi kamu tiap waktu
kami dalam pelukan mu
kami sedang mengecapi kehangatan mu
kami sedang menikmatmu
terima kasih ramadan.

Kami tak mahu kau pergi lagi
tolong jangan tinggalkan kami....

Masshah 2013
Bilik buku
12/07/2013-Jumaat
Jam: 1:59 pagi
Meru.

Wednesday, June 25, 2014

Sajak: Kita Punya Mana

Google Image


Kita Punya Mana

Semua dia punya
kita punya mana?
dia ada, semua besar-besar
semua mega-mega
semua megah-megah
semua hak milik dia.

Kita tanya lagi, kita punya mana?
dia ada jet
dia ada mahligai
dia ada Langkawi
dia ada alam flora
dia ada ISA, OSA, AUKU
dia ada macam-macam saham dan segalanya
semua dia punya
betul-betul dia berkuasa.

Kita tanya lagi... Kita punya mana?
bahagian kita mana?
aku punya mana?
anda punya mana?
semua ‘kita-kita’ punya ini mana?
mana-mana?
mari fikirkan...!

Man Shah
2000
Meru.

Sajak: Hentikan Permainan Ini

Google Image


Hentikan Permainan Ini

Kamu yang berkuasa
nasihatilah orang-orang bawahan kamu
usah cemarkan nama bangsa
yang dianggap keramat ini
jika ia kau perjuangkan bangsamu
jaga jugalah adab dan adatnya
sekalipun kau marah
bukanlah itu tindakannya
matanglah berpolitik,
mana kata-kata transformasi
mana kata-kata wasatiyah
budi pekerti amalan mulia
politik baharu...
atau ianya hanya kata
mainan di bibir

Kamu yang berkuasa
hentikanlah permainan ini
tak sanggup lagi mata ini
melihat kejelekan itu
usah kau diamkan sahaja
usah kau tak rasa apa-apa
nanti kau hilang kuasa menyesal tak sudah
baru kau leka mahu bermain sama panda
esok entah lusa sudah hilang kuasa
itu semua kerja YANG MAHA KUASA.

Kamu yang berkuasa
tolong ya...hentikan semua ini
kedamaian
keharmonian
ketenangan
semua orang mahu suka
kerana ini tanah pusaka kita
pun begitu sama rasa lain bangsa
pertahankan rukun sesama kita
itulah harapan anak bangsa.

Masshah 2014
24052014
Meru.

Monday, June 23, 2014

Sajak: Maafkanlah Aku

Maafkanlah Aku

Maafkanlah aku
mungkin ada puisiku yang menyakitkan hatimu
kerana aku menulis tidak kira waktu,
ada masa buntu, marah, sayu, pilu
yang menyelubungi segenap perasaanku
hingga kadang-kadang melupakan tentang perasaanmu.

Maafkanlah aku
kerana benci dengan sang menteri yang dungu penuh korupsi
berhujah berdegar-degar
berjanji muluk-muluk
tetapi kesemuanya tidak ditepati, semata-mata mahu undi
itu menjadi sebahagian dalam tulisan puisiku yang tidak tentu.

Maafkanlah aku
kerana mungkin kalian anggap aku tidak bersyukur
dengan nikmat keamanan dan keharmonian yang wujud ini
atau mungkin kalian juga macam aku, makin muak dan jelak
melihat drama swasta dan drama minggu ini atau panggung sandiwara
atau yang terkini...

Maafkanlah aku
sungguh, aku sangat sayang dengan tanahair ini
tidak pernah lupa asal usul dan jati diri
aku anggap tanahair ini bumi bertuah yang bakal menggegar dunia satu masa nanti
cuma, aku sangat benci para penguasa yang lupa diri, tidak sensitif pada agama
diguna bila perlu, dibuang bila jemu dan tidak menguntungkan kantung-kantung mereka,
mereka masih mahu berpoya-poya, bermewah ‘ala wasatiyah’
tidak mengira waktunya...habis dihangus duit rakyat.
sana-sini tembak menembak, ramai yang mati begitu sahaja
mereka yang mati ada yang bijak-bijak
ada juga yang bejat-bejat, bagaikan nyawa sudah tidak bernilai harganya
penguasa apakah tidak nampak lagi perkara itu
mengapa hukum tuhan masih diragui tidak dipeduli
mengapa masih mahu menafi malah mengapi-apikan dengan penuh prejudis
oh...sungguh sadis melihatnya.

Maafkanlah aku
andai puisiku tidak disenangi
kerana luahan ini dari hatiku
demi mahu melihat tanahairku diberkati Ilahi tidak mahu dimurkai
untuk diriku, seruan ini untuk para menteri dan seluruh penguasa
juga untuk dirimu yang mahu mengerti tentang maksud puisiku ini
bertaubatlah semuanya sebelum terlambat
sebelum nyawa dicabut Ilahi...
maafkanlah aku untuk sekali lagi.

Masshah 2013
Bilik Buku
2:56am-Selasa-19/11/2013
Meru.

Menulis Di Blog Bisnis



Begitulah dunia penulisan di blog, macam-macam boleh dikongsi untuk tatapan sahabat blogger lain. Bagi yang berminat muzik, mereka boleh bina blog untuk hiburan, mereka yang suka berjalan atau melancung boleh bina blog jurnal atau travelog, bagi yang berminat sastera juga boleh bina blog berkaitan dunia sastera mereka, bahkan apa sahaja perkara yang kita lakukan boleh sahaja menjadi bahan penulisan untuk diterbitkan di dalam blog yang dibina. Bahkan para guru, ustaz, ustazah, tokoh-tokoh politik, para ilmuan dan sebagainya turut mempunyai blog mereka sendiri.

Blog boleh juga digunakan untuk mempromosi bisnis yang kita ceburi. Melihat para blogger yang mewujudkan blog bisnis aku merasa teruja tentangnya. Untuk itu aku juga bina sebuah blog untuk bisnis aku dan isteriku. Waktu itu isteriku telah membuka kelas mengaji, iaitu ‘Pusat Pengajian Al-Quran Teknik Al-Baghdadi’ di Pekan Kapar, kami menyewa rumah kedai untuk dijadikan kelas mengaji tersebut. Alhamdulillah, ketika itu sambutan agak memberangsangkan.

Ramailah yang belajar mengaji teknik ini, waktu itu promosi besar-besaran telah dijalankan oleh pihak Al-BAGHDADI, maka seluruh masyarakat tertarik dengan teknik mengaji cara itu. Kami mengurus pusat itu bersama-sama, isteriku sebagai pengurus utama juga tenaga pengajar di situ. Untuk memperhebatkan lagi pusat pengajian itu, aku cuba membina satu blog untuk pusat ini, sebagai memperomosi pusat pengajian itu. Aku sebagai pengendali blog tersebut, aku cuba menulis apa-apa sahaja berkaitan dengan pusat pengajian tersebut.

Adakalanya aku kongsikan gambar-gambar suasana pengajian tersebut, membuat banner promosi bagi menggalakan orang ramai menyertai pusat pengajian Al-Quran kami. Di samping itu juga, aku bina muka buku untuk pusat pengajian tersebut, itu sebagai langkah promosi tambahan bagi mewar-warkan pusat  itu. Semangat menulis di blog tersebut semakin membara, maklum blog bisnis kenalah perhebatkan tulisan promosi bisnis. Waktu itu aku lebih banyak menulis dalam bentuk benner, dengan tulisan kata-kata yang mengegarkan jiwa yang membacanya. Bahasa promosilah tu...

Begitulah dunia bisnis dan blog yang aku bina ada turun naiknya juga, semuanya bergantung kepada yang empunya diri. Kerajinan dan kesungguhan merupakan faktor kejayaan sesuatu bidang yang kita ceburi, jika kuat kesungguhannya, pasti kejayaan ada di hadapan kita. Jika sebaliknya, maka gagallah apa yang kita bina. Dari hari ke sehari pusat pengajian yang dijalankan mengalami kekurangan pelajar. Pelbagai promosi sudah dibuat, melalui blog, facebook, pengedaran flyer, gantung banner, semua sudah dilaksanakan.

Akhirnya, aku tidak lagi menulis di blog bisnis ini, aku sudah padam, apa pun pusat pengajian ini masih berjalan seperti biasa, cuma waktu ini operasinya tidak lagi di rumah kedai di Pekan Kapar, setelah berbincang dengan aku, isteriku mahu meneruskan usahanya itu dengan menggunakan dewan di kawasan  Pekan Kapar juga untuk mengajar mengaji teknik Al-Baghdadi.

Itulah pengalaman perjalanan penulisanku di blog bisnis yang aku bina...


Bersambung...

Sunday, June 22, 2014

Sajak: Kau Insan Pilihan-Nya

Asri Ibrahim


Kau Insan Pilihan-Nya
( Buat Kejora Sinar Zaman Asri Ibrahim)

Kau pergi meninggalkan kami
kau pergi meninggalkan famili
kau pergi tak akan kembali lagi
kau insan pilihan-NYA.

Hanya gemersik suara mu
yang terdengar-dengar selalu
alunan zikir munajat memuji-muji ilahi,
sayu dan pilu hati kami
menitis air mata
tanda rindu kami pada mu
duhai insan pilihan-Nya.

Terimbau memori yang lalu
terhias indah senyuman di bibir
masih bermain-main di ruang ingatan kami.
sungguh, insan istimewa seperti mu
sukar dicari ganti.

Duhai jiwa-jiwa seni
Ingatlah semua ini
Janji-janji ilahi,
Yang pergi tetap pergi.

Kaulah insan seni berjiwa sufi.

Masshah 2013
Bilik buku
Meru.


Rindu Membara

Pabila rindu ini semakin membara,  semakin ku kuatkan tekad ku,  ingin ku segera menatapi mu, walau jauh beribu batu, ku setia m...