MENULIS SELAGI MASIH ADA HAYAT

Sunday, March 30, 2014

Sajak: Tangis Taubat



Tangis Taubat

Senyap sunyi
gelap gelita
tidur mimpi
menyapu muka.

Bangun berdiri
masuk ke bilik mandi
membersihkan diri
mahu ke sisi Ilahi.

Bentang sejadah
berdiri merendah
mengharap kasih
demi janji iftitah.

Sujud lama terakhir
esak tangis mengukir
lafaz taubat juga zikir
usia lama pasti berakhir.

Usai separtiga malam
akhir malam kelam
insan menangisi dosa silam
mohon taubat diterima pemilik alam.

Masshah 2014
30032014
Meru.

Thursday, March 27, 2014

Sajak: Kau Mahu Bunuh Mereka



Kau Mahu Bunuh Mereka
(...buat 529 Ikhwanul Muslimin yang bakal dihukum bunuh(digantung)...)


Kau tak punya jiwa nurani
kau mewarisi sikap  firaun keji
kau tak kenal erti sebuah kematian
kau insan zalim berjiwakan saitan.

Kau mahu bunuh mereka yang jiwanya merdeka
kau mahu bunuh mereka yang beriman bertaqwa
kau gila segila-gilanya persis maha firaun
kau hilang arah askar kau kerah juga mahkamah.

Kau mahu bunuh mereka ikhwanul muslimin
doa-doa kerabat mereka sedang diamin,
kau mahu bunuh mereka tanpa belas kasih
kerna kau lupa pada yang Maha Pengasih.

Kau mahu bunuh mereka kau lupa
seantero buana sedang menyaksi
kau si kejam laknat jeneral al-sisi
menanti pasti kau pasti mati.

Masshah 2014
27032014
Meru.


Deklamasi Sajak: Jambatan Kota





Jambatan Kota

Lenggang gadis
di jambatan kota
menatap senja berbunga
ria wajahnya
sungai klang
jernih dan mengalir indah
sketsa sebuah warisan bangsa.

Lenggang gadis
di jambatan kota
seratus tahun mendatang
langkah lesu dan longlai
sungai dan bandar klang
bukan lagi milik bangsa
hakis terbenam
di dasar selut hitam
air mengalir lesu.

Lenggang gadis
di jamabtan kota
merenung senja suram
di horizon malam
bangsa pamitan hilang.

Gadis dan jambatan kota
lestari dalam kenangan.

Jambatan kota,
Bandar Diraja Klang
Selangor Darul Ehsan
1963

Dari buku: Kontal Kantil-Karya-karya terpilih Ismas Saring

Kontal Kantil Karya-karya terpilih Ismas Saring

Tuesday, March 25, 2014

Sajak: Khabar Duka Akhirnya


Khabar Duka Akhirnya
( Buat keluarga yang terlibat, juga alfatihah yang pergi tak kembali)

16 hari kami menunggumu
dengan penuh tanda tanya
denga penuh debar di dada
di mana kau  singgah berada
di mana kau menghilang tak jumpa.

Kini, berita duka kami dengari
penuh rasa sedih dan syahdu,
menunggu harap keluarga yang mengasihi
kini MH370 ditemui tapi tak kembali
terhiris hati-hati penunggu setia berita gembira
namun, kecewa akhirnya menuntut keredhaan pada Ilahi.

MH370 terpahat dalam memori duka
setiap ahli keluarga juga masyarakat dunia
sesekali menerjah di minda, tragedi duka lara
MH370 tetap akan menggamit setia hati famili
kerna ada dicinta disayang pergi selamanya
itu semua takdir empunya kuasa di mayapada.

Hanya pada akhirnya...
jika itu benar akhir ceritanya MH370
doa dan alfatihah kami kirimkan buat yang seagama
takziah  buat yang berlainan bangsa dan agama
bersabarlah dalam ujian dunia sementara
yang pergi tetap pergi, kembali tidak sekali-kali
bersabarlah, berdoalah...MH370 tetap dalam memori.

Masshah 2014
25032014
Meru.

Tentang Sajak Ini:

Sajak bertajuk 'Khabar Duka Akhirnya' tercetus setelah mendengar pengumuman rasmi oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, tentang 'nasib malang' yang menimpa kapal terbang MH370. Rasa duka dan sedih saya ungkapakan dalam sajak tersebut.

Doa dan harapan agar keluarga yang terlibat bersabar dalam mengharungi ujian dan dugaan yang getir atas kehilangan orang-orang yang disayanginya. Al-fatihah kepada seluruh penumpang yang beragam Islam, juruterbang, anak-anak kapal dan seluruhnya. 

Ya, sudah tentunya seantero buana merasai kesedihan ini. Semoga tragedi ini tidak berulang untuk sekali lagi di bumi Malaysia tercinta ini.

Saturday, March 22, 2014

Sajak: MH370 Kembalilah



MH 370 Kembalilah
(...dengan doa dan harapan agar ditemui...)

Disebalik misteri...
kehilangan MH370
tragedi luka ini
seluruh umat merasai
luruh hati famili menanti
namun MH370 tetap tak kembali.

Misteri tragedi terjadi
mengamit pedih hati kini
spekulasi di sana sini
media sosial mengolah aksi
berita tv dan  radio terus dinanti
namun MH370 tunggu lagi dan lagi.

MH370 kami menanti pasti
kau akan kembali ke sisi
doa dan harapan tetap di hati
namun...andainya kau terkubur bersemadi
akan kami redha walau pedih di hati
benar, kehilangan tak dirancang
kerna itu takdir Tuhan menentukan.

Masshah 2014
12032014

Meru.

Thursday, March 20, 2014

HEBAHAN: Malam Suara Kuala Lumpur-Tradisi, Muzik dan Puisi







Bagi yang berkelapangan, di jemput memeriahkannya...!

Sedang Dibaca: Novel Semenanjung Menangis



Novel Karya: Ariff Mohammad

Terbitan: ITBM-PENA

Penulis merupakanPemenang Sagu hati Novel: Sayembara Penulisan Novel, Cerpen, Dan Puisi, ITBM PENA BERITA HARIAN

Monday, March 17, 2014

Catatan Perjalanan Ke Rumah PENA Bersama Wak Saring Sirad@Ismas Saring

 



Ahad Yang Indah

Pagi ahad yang indah, hari ini aku ada program di Kuala Lumpur. Entah apa yang akan berlaku hari ini aku tidak tahu. Biarkanlah...itu semua hanya Allah SWT yang maha tahu. Pagi-pagi lagi aku sudah bangun, seusai solat subuh, aku bersiap-siap agar jadual yang dijanjikan pagi ini tidak terlewat. Semangat untuk berprogram hari ini berbunga-bunga di dalam hatiku.

Sementara pagi masih muda, aku duduk di hadapan laptopku untuk melihat berita apakah hari ini. Ku buka laman sosialku, pagi-pagi sudah ramai yang bermedia sosial, wah, mereka juga sepertiku, bersarapan pagi dengan bermedia sosial. Sudah menjadi trend hidup masakini rupanya. Pagi-pagi suda bermuka buku.

Sungguh ini sudah menjadi budaya hidup orang masakini termasuk aku ini. Dunia begitu pantas, siapa lambat pasti tetinggal ke belakang. Entahlah apa lagi yang bakal meletus lagi dalam dunia teknologi pada masa hadapan. Aku biarkan, fikiranku tentang masa depan teknologi ini. Aku baca setiap satu perasatu di status di muka bukuku ku... ah tidak ada apa yang menarik...

Jam sudah menunjukkan 7.30 pagi, aku menutup laptopku dan bersiap-siap untuk berpakaian juga memasukkan buku ke dalam beg, beg yang berjasa padaku setiap hari bila aku pergi ke kerja. Sesudah memberitahu isteriku, untuk berpergian hari ini, aku terus mencapai kunci kereta.

Ke Rumah Wak Saring

Distinasi pertamaku pagi ini untuk mengambil kawan baruku, dia tinggal di Pekan Kapar. Dia tinggal di perumahan paling lama, wujud sejak tahun 1979, itu menurutnya. Aku tak tahu, rupanya ada taman yang sekian lama wujud di situ. Aku terjah sahaja ke situ walau aku langsung tidak pernah menjejaki tempat itu.

Aku tawakal sahaja, kalau tidak jumpa rumahnya aku akan telefon dia sahaja. Bukan susah, zaman canggih semuanya serba boleh, tekan button nombor maka dengar sahaja apa yang mahu dicakapkannya. Itu monolog ku, sambil mengenderai kerataku ini. Cuba memasuki lorong sebelah Sekolah Perempuan Kapar. 

Aku masih teringat kata-katanya lewat beberapa hari yang lalu. Aku cuba lihat satu lorong ke satu lorong, namun sampai ke hujungnya jalan mati. Ah...salah tempatkah aku...aku pusing balik keluar, semasa keluara ada seorang pak cik berbangsa India sedang menolak sebuah tayar lori. Aku berhenti dan bertanyakan padanya.

“Uncle’ taman hamzah mana?”. Tanya ku pada Paka cik berbangsa India itu.

“Oh taman besar kah?...itu sebelah sana...” .Jawab Pak Cik berbangsa India itu.

Aku mengucapkan terima kasih padanya, aku cuba keluar dari lorong yang salah, menuju lagi satu jalan bersebelahan sekolah menengah. Aku terlihat Taman Hamzah 8, baru aku teringat mahu telefon dia.

“ Hello, assalamualaikum Wak...rumahnya lorong berapa ya?”. Tanyaku padanya.

“Lorong 9 no 38... yang ada kereta banyak” jawabnya ringkas.

“Ok, nanti aku cari”. Kataku

Aku cuba meneruskan perjalanan mencari rumahnya. Cuba memasuki lorong, ada dua orang berbangsa India di kawasan halaman rumah. Aku memberhentikan kerataku dan bertanya pada salah seorang yang diluar pagar rumah itu.

“Uncle mana jalan hamzah 9?” Tanyaku.

Aku pun mendengar dengan teliti apa yang diucapkan oleh orang itu. Dia menunjukkan arah taman yang aku maksudkan. Aku meneruskan pencarian ku, sampai di jalan besar, dalam hati, kemungkinan sudah salah masuk lorong jalan yang dicari.

 Aku bertekad untuk pusing balik menuju ke jalan tadi, perlahan-lahan sambil mencari lorong yang dicari, dalam hati, mungkinkah ini, aku sudah nampak kereta yang dikatakannya tadi, aku cuba masuk kelorong jalan tersebut, Ya, ternyata benar telahan ku, aku sudah nampak orang yang sedang menunggu aku.
Syukur, dapat jumpa rumahnya. Aku senyum dan membuka pintu cermin kereta ku serta memberi salam padanya.

“Assalamualakim Wak...”

Dia menyambut salamku sambil tersenyum, kami bersalaman. Kami meneruskan perjalanan ke distinasi seterusnya. Kami menuju ke Pekan Meru, Wak Saring mahu ambil suratkhabar yang dipesan, memang setiap pagi Wak Saring akan mengambil suratkhabar di situ, tapi hari itu kedai tersebut belum buka, dan selepas ambil suratkhabar Wak Saring akan bersarapan di Warung Juragan di Pekan Meru.

Sarapan Pagi Di Warung Juragan Meru

Pagi ini, kami sebelum bertolak ke Kuala Lumpur kami bersarapan di Warung tersebut, kami mengisi perut sambil berborak-borak. Wak Saring yang banyak pengalaman hidup sebagai penulis, wartawan, dan travel writer tidak lokek untuk bercerita dengan aku. Wak Saring sudah berusia 76 tahun masih aktif untuk menyertai aktiviti sastera, ia boleh diambil contoh kepada penulis-penulis muda.

Bayangkanlah dalam usianya yang sebegitu masih mahu dan mampu ke sana kemari dalam aktiviti sasteranya. Hari ini Wak Saring dengan aku akan ke rumah PENA, juga untuk aktiviti sastera, Dailog Orang Muda(DOM), aktiviti bulanan di rumah PENA. Biar pun Wak Saring bukan orang muda, ia masih mahu turut serta dalam aktiviti tersebut. Diam tak diam dah hampir 45 minit kami di Warung tersebut.

Meneruskan Perjalanan

My Photo     

Selesai membayar, kami menuju ke tempat letak kereta untuk meneruskan perjalanan kami, ke Rumah PENA di Kuala Lumpur. Ini pertama kali aku ke Rumah PENA, itu pun setelah aku mengenali Wak Saring. Dalam perjalanan, kami berborak-borak, tak jemu rasanya berborak dengan Wak Saring, ada sahaja perkara yang Wak Saring mahu cerita, apa yang seronoknya, saya dapat ilmu dari apa yang diceritakan pada aku. 

Wak Saring memberitahu padaku, dia ada baca tulisan sajak yang aku nukilkan di dalam facebook, dia mengatakan sajakku agak baik, Cuma kalau boleh dipendekan dan tidak terlalu panjang, Wak Saring memberi aku semangat untuk aku terus menulis.

Wak Saring menggalakan aku agar terus menulis, biar perlahan tetapi berterusan, kata dalam bahasa jawanya “alon-alon angger kelakon”, yang aku sebak, beliau mendoakan aku satu hari nanti akan menjadi penyair. Allahuakbar...besarnya doa Wak Saring...apakah aku mampu...hatiku bermonolog, sambil terus mendengar apa yang diperkatakan oleh Wak Saring dalam perjalanan. Untuk menjadi penulis keratif, menurutnya, aku perlu banyak membaca, beli majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka seperti majalah Tunas Cipta, Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa dan yang lain-lain.

Juga perlu hantar karya ke majalah tersebut, itulah galakkan Wak Saring sepanjang perjalanan yang penuh makna buatku. Tanpa disedari kami sudah agak jauh perjalanan, hampir di sempadan Kota Darul Ehsan. Aku memberitahu pada Wak Saring, aku kurang arif jalan di Kuala Lumpur, jarang sangat pun ke Kuala Lumpur. Hari ini pun disebabkan ajakan Wak Saring, kalau tidak entah bila aku datang ke Kuala Lumpur, sebab tak ada urusan yang perlu aku ke sini.

Wak Saring boleh tunjukkan, menurutnya, kalau naik kereta dia, kereta yang bawak dia, bukan dia, sebab sudah biasa, itu lawak sahaja rasanya. Aku harus berhati-hati sebab sudah masuk ke arah Kuala Lumpur, maklum jarang sangat ke Kuala Lumpur, nama sahaja tinggal di Selangor berdekatan dengan Kuala Lumpur, tapi kelemahan saya mengingatkan jalan menuju ke Kuala Lumpur, itu yang saya beritahu pada Wak Saring.

Salah Arah Kami Bertawaf

Entah terleka atau salah pendengaranku...aku tidak berapa fokus dan arahan untuk ke sebelah arah kanan tidak aku turuti, lalu kami terus salah arah menuju ke Rumah PENA, aku serba salah dengan Wak Saring, aku minta maaf pada Wak Saring berkali-kali. Dalam hatiku...aduh malunya aku, sudahlah bawak kereta salah arah jalan pula...maafkan aku Wak Saring, aku berulang-ulang meminta maaf, kata Wak Saring, “Tak apa...”.

Aku buntu juga, tak tahu arah mana lagi mahu diikut, aku ikut sahaja arahan Wak Saring, ke kanan aku ke kanan, ke kiri aku ke kiri, kali ni aku betul-betul fokus. Tak mahu kali kedua, ketiga...malu aku dengan Wak Saring. Kami sama-sama berusaha mencari jalan ke luar, sesat tapi masih bercahya...ha...ha...ha..., Wak Saring yang sudah berusia pun sudah agak lupa tentang jalan Kuala Lumpur. Dalam hati berdoa-doalah sendiri agar jumpa jalan kearah Rumah PENA.

Kami pusing entah mana-mana arah jalan, dari satu jalan ke satu jalan, aku ikut sahaja arahan Wak Saring, sambil melihat-lihat signboard yang tertera di situ. Sambil hati terus berdoa-doa, mohon pada Allah SWT, permudahkanlah perjalanan kami.

Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya juga melalui kesukaran yang tidak disengajakan, maklum driver kurang pakar bawa kereta. Jalan menuju ke Rumah Pena dapat kutemui, itu pun Wak Saring yang jumpa...ha...ha...ha..., aku mengulangi pinta maafku pada Wak Saring. Wak Saring tidak apa-apa, dia faham situasi aku, apa pun sampai sahaja, program belum bermula pun. Sekitar jam 10:30 sampai di Rumah PENA.

Sampai Di Rumah PENA

Masih tidak ramai lagi kelihatannya melalui cermin kereta, aku parking dibahagian tepi Rumah PENA. Sampai juga aku di sini, biasa dengar di akhbar, media sosial dan majalah-majalah, hari ini dengan izin Allah SWT melalui Wak Saring aku dapat menjejaki Rumah PENA. Di sinilah para karyawan keratif dan para penyair pencinta sastera bertemu dan berkumpul, berprogram dan beraktiviti.

Hari ini aku bertemu orang-orang hebat dalan sastera negara, ya kelihatan Pak Sutung Umar RS, Pogadev, Sani Sudin, Wartawan jurugambar Berita Harian, Rahimidin dan penyair juga penulis yang lain-lain, aku tidak kenal namanya. Aku bersalam-salaman dengan mereka, walau pun aku agak kekok dan segan, aku cuba buang perasaan-perasaan itu. Wak Saring macam biasalah, ceria, banyak ceritanya..., bukan senag mahu jadi penyair bro, jangan sampai miskin khalayak, teringat kata-kata dalam wall PENA yang ditulis oleh sinagannaga.

Itulah fungsinya rumah PENA, sebulan sekali mereka akan berprogram baca puisi, tempat pertemuan para penyair berwacana dan pelbagai lagi aktiviti yang dijalankan di sini. Hari ini Dailog Orang Muda pula aktivitinya, ini hari pertama aku menghadiri aktiviti sebegini, para penyair dan penulis pencinta sastera hadir dalam dailog tersebut, hari ini tokoh yang diundang untuk membicarakan DOM adalah Sutung Umar RS atau nama sebenar beliau Wan Omar Ahamed. Penyair yang banyak pengalaman. Banyak perkara yang aku dapat dalam program orang muda ini.

Walaupun sekadar pemerhati dan pendengar, namun input yang didapatinya sungguh bermakna buat diri ini. Dalam membicarakan polimek dan kritikan sastera, saya petik dari akhbar Berita Harian beliau menyatakan;

“Polimek perlu direncanakan supaya ia menjadi pemangkin untuk perkembangan sastera bukan untuk bermusuh, sebaliknya perbezaan pendapat akan memberikan kesan positif, tetapi malangnya ramai yang tidak faham apa maksud polimek” Sutung Umar RS.

Sebenarnya banyak lagi perkara yang diungkapkan, aku tidak bawa buku catatan pula, jadi banyak yang aku lupa isi kandungan dalam DOM tersebut. Boleh rujuk pada artikel sastera dalam Berita Harian keluaran 20 febuari, hari khamis, di situ ada perkara yang dibicarakan oleh Sutung Umar RS.

Jamuan Makan

Dailog habis sekitar 12.00 tengahari, selepas itu seperti biasa, jamuan makan tengahari nasi ayam. Semasa makan tengahari sempat berbual-bual dengan penyair anak alam saudara Sani Sudin, ramah dan tidak sombong. Di perkenalkan diri, asal kelahiran dan banyak saudara maranya di Klang.

Saya melihat antara mereka saling berbual-bual, mereka punyai minda yang berbeza-beza. Aku hanya mendengar perbualan sesama mereka, sesekali aku mengangguk kepala tanda setuju apa yang mereka bualkan. Apa pun semua antara kita sama sahaja, yang membezakan taqwa di sisi Allah SWT.

Banyak sekali yang aku pelajari di hari tersebut. Para penyair masing-masing masih berbual sesama mereka. Seusai solat zohor, aku ke anjung tempat mereka sedang berbual. Wak Saring masih berbicara bersama teman-teman penyair yang lain. Aku duduk di kerusi panjang bersebelahan Pak Sutung Umar RS, beliau sedang menatap akhbar hari tersebut, aku cuba menegur, bertanyakan tempat tinggal beliau.

Dengan nada lembut dia memberitahu tinggal di Gombak, dengar cerita dia kurang sihat, aku sekadar bertanyakan itu sahaja, tengok raut wajahnya pun masih tidak sihat, tapi dek’ kerana ada program DOM dia gagahi juga untuk tidak menghampakan orang muda. Apapun aku teruja dengan jawapannya. Aku tidak mahu ganguinya kerana dia sedang membaca akhbar.

Aku berbual-bual dengan seorang wartawan jurugambar Berita Harian, bertukar-tukar fikiran tentang kehidupan. Bekerja selama dua puluh tahun, bermacam ragam, karenah manusia yang dia lihat, apa lagi yang mahu dalam hidup ini, kata-kata yang penuh mendalam dan bermakna sekali.

Masing-masing ada yang sudah mahu pulang ke rumah, kami pun turut sama mahu pulang. Kami bersalam-salaman, insyallah ada masa jumpa lagi. Aku dan Wak Saring beriringan menuju ke tempat kereta, sementara memanskan enjin dan membuang haba panas dalam kereta, kami berbual. Wak Saring memberitahu serba sedikit tentang Rumah PENA, sesekali bila ada program yang panjang di PENA Wak Saring akan tinggal di situ seharian, mungkin faktor usia Wak Saring berbuat begitu. Apa pun tabik dengan Wak Saring dalam usia yang sebegitu semangatnya masih utuh untuk melihat dunia sastera negar terus berkembang maju.

Kami bertolak ke Meru dan Pekan Kapar sekitar jam 2:15 petang...

Terima kasih Wak Saring kerana membawa aku ke Rumah PENA, walau pun sampai tersesat-sesat jalan...

Dan ini juga merupakan catatan kecil perjalanan mencari ilmu penulisan melalui pengalaman...


Sekali lagi...Terima kasih Wak Saring Sirad!.

# Untuk kupasan menarik program DOM(Dailog Orang Muda) sila ke Laman Blog Perjalanan Salik:

PERJALANAN SALIK: KREATIVITI

Sunday, March 16, 2014

Menonton 'Monolog Jual Ubat' Khalid Salleh Di Istana Budaya



 'Aku' bergaya dengan tiketnya

bergaya seusai tunai solat maghrib


Gambar dari 'google image'


Menonton 'Monolog Jual Ubat-Khalid Salleh' Di Istana Budaya Bersama PAK AGI@Abdul Ghafar Ibrahim(Puisi TRI-V AGI).

Terima kasih Pak Agi kerana mengajak menonton (14/03/2014-Jumaat Malam Sabtu) monolog tersebut...pertemuan menghadiahkan kasih sayang.., Terima kasih juga tiketnya...


Inilah pertama kali aku hinggap di Istana Budaya..., kalau tidak diajak oleh Pak Agi, belum tentu aku dapat menjejaki laman Istana Budaya ini.

Monolong memakan masa sekitar dua jam...memang best.

Tahniah Wak Khalid Salleh persembahan yang sangat bertenaga.

Saturday, March 15, 2014

Catatan Detik Pertemuan Dengan Abdul Ghafar Ibrahim@Pak AGI




CATATAN  DETIK PERTEMUAN DENGAN ABDUL GHAFAR IBRAHIM(PAK AGI)
(PENDEKLAMATOR TERSOHOR)

Catatan pertemuan dengan penulis, pemuisi(Tri-V AGI) dan juga seorang pelukis ini ditulis di sini bertujuan untuk dokumentasi pribadi penulis sendiri. Ia merupakan hari yang bermakna buat penulis, maklum sahaja bertemu dengan penulis yang diminati. Tentu ia merupakan satu sejarah indah dalam hidup buat penulis kecil (penulis blog) seperti aku ini.

Sesiapa pun, yang pernah menemui atau berjumpa orang yang diminati tentu perasaan teruja pasti bertunjang di dalam hati. Rasa gembira dan seronok pasti menyelubungi hati. Lebih-lebih lagi orang yang kita sukai atau minati itu, seorang yang cukup dikenali dalam bidang yang diceburi di dalam negar dan luar negara.

Catatan-catatan ini merupakan detik-detik perkenalan dan pertemuan di antara aku dengan Abdul Ghafar Ibrahim atau lebih mesra dipanggil dikalangan pelajar-pelajar beliau Ayah Agi, manakala dikalangan sahabat-sahabat sastera, beliau lebih dikenali dengan AGI@Abdul Ghafar Ibrahim.

Saya lebih mesra dengan panggilan Pak Agi, melalui sms atau panggilan sewaktu bertemunya. Nah nikmatilah catatan ini, jika ada manfaatnya, ambil sebagai bahan motivasi diri atau ibrah jika ada.

Catatan Pertama: Berhubung Melalui Facebook:

Detik Pertama: Memesan Buku Karya Pak Agi

Seperti pagi-pagi yang lalu, aku memang selalunya lewat tidur, hingga ke hujung hari, sekitar jam dua atau tiga pagi baharu aku bisa melelapkan mata. Biasa akau gunakan untuk online sambil menulis apa-apa di dalam laptopku, adakalnya aku membuat kemaskini blog yang aku bina.

Selebihnya aku, cuba melayang-layang masuk ke facebook teman-teman atau pun laman-laman facebook yang disukai. Pagi ini aku cuba mengintai-ngintai di laman facebook Tri-V AGI, Aku cuba email di fb Tri-V AGI untuk memesan lima buah buku tulisan Pak Agi Ghafar Ibrahim:

Pagi Isnin: 1:32pagi

“Aslkam Pak AGI, saya mahu beli buku cakap2 puisi dan apa orang kata fasal AGI.”

BOLEH dapatkan no akaunnya?”

Aku menerima balasan email ku pada sekitar jam 1:39petang esokny, Pak Agi menjawab email tersebut:

“Baiklah.sila beri alamat rumah dan nmbor fon  untuk sya poslajukan.sila lihat senarai 10 judul bukuku andai mau tambah order salam.”

Oleh kerana aku kerja petang, sebelah malam baharu aku ada kesempatan untuk periksa kembali email dan balas email yang Pak Agi jawap malam tadi. Sekitar jam 9:25malam (Isnin malam selasa). Saya tulis lima buah buku untuk dipesan, sebelum itu aku semak semula senarai buku-buku tersebut di fb Pak AGI.
Akhirnya, aku dapat pilih buku tersebut dan terus mesej di fb Pak Agi.

“Assalamualaikum Pak AGI, Saya mahu pesan buku-buku tersebut:

1)         CAKAP-CAKAP PUISI- RM25

2)         REFLEKSI PENYAIR (KUMPULAN WACANA)- RM18

3)         APA ORANG KATA TENTANG AGI- RM25

4)         WARKAH BIRU (KUMPULAN WACANA)- RM15

5)         CITA CINTA PUISI- RM17

NAMA: ZAMAN SHAH BIN SAIYAN
LOT 2801 JALAN BELIMBING 41050, MERU KLANG
SELANGOR DARUL EHSAN.
NO HP: 0133798684




Perbualan Melalui Telefon Bimbit Dengan Pak Agi

Sedang aku duduk di hadapan laptop, berfacebook, saya perasaan telefon bimbit aku berkelip-kelip lampunya, aku sailent rupanya, bila aku semak kembali sudah masuk dua kali membuat panggilan. Kali kedua baharu aku perasaan, aku jawap panggilan tersebut’

“Halo siapa ni”. Tanya ku

Aku antara dengar tak dengar.

“Agi...Pak Agi” kata suara itu

“Ohhh...Pak Agi”. Jawap aku, aku agak teruja, maklumlah penulis sendiri membuat panggilan. Tak disangka-sangka pula.

Lebih kurang sekitar 3 atau empat minit kami berbual pasal pesanan buku, Pak Agi kata, dia selalu lalu Meru, tempat kerjanya pun di UITM Puncak Perdana, Pak Agi pensyarah di sana. Jadinya Pak Agi nak hantar buku-buku yang aku pesan terus ‘by hand’, adakan pertemuan untuk jumpa di mana-mana. Boleh makan-makan dulu nanti, Aku beritahu pada Pak Agi, kita jumpa di Petronas Pekan Meru. Apa-apa hal aku akan buat panggilan pada Pak Agi kata aku pada Pak Agi.

Dalam hati aku waktu itu berkata-kata..., “Wah esok nak jumpa penulisnya sendiri”. Rasa teruja sekali. Insyallah, esok jika tiada aral melintang saya akan bertemu seorang penulis, pemuisi, pensyarah, pelukis dan pendeklamator puisi Tri-V Agi.

Detik Kedua: Pertemuan

Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT, dengan izin-Nya, dapat juga bertemu dengan Pak Agi. Sekitar jam 
1:15petang. Temujanji yang telah dibuat dapat direalisaikan petang ini (4hb 03 2014-Selasa), sekitar jam 12:45 tengah hari aku, bermotosikal ke Petronas Pekan Meru seperti dijanjikan. Sementara menunggu Pak Agi sampai aku ke ATM untuk mengeluarkan beberapa ringgit untuk buku-buku yang aku beli nanti.

Sedang dalam barisan menunggu giliran, tiba-tiba telefon bimbit ini berbunyi, segera aku menjawabnya. 

Dalam hati, oh Pak Agi membuat panggilan;

“Saya akan sampai sekitar 20 minit lagi” Kata Pak Agi.

“Saya pun sudah sampai Pak Agi, dekat petronas ni...” Jawab aku.

“Oh...ya ke, maafkan saya...” Kata Pak Agi.

“Saya pun baru sampai juga, tak apa” Kataku.

Selepas mengeluarkan duit, aku terus mengisi minyak motorku, sementara menunggu Pak Agi sampai aku lepak di warung kuih, di tepi bahagian depan petronas. Di situ terdapat seorang berbangsa cina sedang menunggu kawannya katanya bila aku cuba menyapa. Satu persatu kenderaan yang belok ke arah stesen minyak petronas aku perhati, manalah tahu orang yang aku mahu jumpa kelihatan sudah muncul.

Kelihatan petang ini panas cuacanya, pagi tadi bukan main lebat hujan turun di Meru dan juga Pekan Kapar. Mungkin pembenihan hujan yang dilakukan oleh pihak yang berkenaan, dengan izin Allah SWT, pagi tadi hujan dengan selebat-lebatnya. Syukurlah sudah beberapa hari tidak hujan. Mataku terus melilau melihat kenderaan yang masuk ke arah stesen petronas.

Akhirnya Ku Temui

Kelihatannya seperti Pak Agi sedang membelokkan kenderaannya ke arah Petronas, Pak Agi pusing menuju ke arah tempat yang sedang aku menunggunya. Aku cuba melambainya, di membalas lambainnya ku, dan parking di sebelah warung, serta membuka pintu kenderaannya.

“Masuklah...kita makan dulu” Kata Pak Agi, sambil bersalaman.

“Saya nak letak motor saya dulu” Kataku pada Pak Agi.

“Ya..silakan” Jawabnya.

Selepas aku meletakkan motor aku di hadapan kedai membaiki komputer, aku terus meluru ke kenderaan Pak Agi, aku masuk duduk disebelahnya.

“Apa khabar?” tanya Pak Agi

“Sihat, Alhamdulillah...” Jawab aku.

“Kita makan dulu, tempat yang biasa saya makan tiap petang”

Pak Agi memberitahu aku, kebiasaannya waktu petang dia akan makan di satu warung yang unik, di Pekan Meru ini. Aku cuba mengingat-ingatkan warung yang dimaksudkan. Maklum sahaja aku jarang sekali makan-makan di Warung bahagian Pekan Meru.

“Oh...warung yang ada, motor tergantung ke...” tanya aku pada Pak Agi untuk kepastian.

“Ya, ya, ha’ah...tempatnya unik berseni..”. Jawab Pak Agi.

Pak Agi memusingkan kenderaannya untuk menuju ke arah ke Klang, mencari warung tersebut. Aku sudah agak warung tersebut, bersebelahan dengan stesen minyak BP. Ya, sudah nampak, malam memang nampak cantik, unik...siang...ha...ha...ha, begitulah gayanya warung tersebut. Kelihatannya tidak ada apa-apa, belum buka lagi. Pak Agi tanya dengan seseorang yang di situ. Orang itu memberitahu, sebelah petang baharu buka nanti.



Sembang-Sembang Sastera

Pak Agi parking di situ kenderaannya. Kami berjalan-jalan bersama menuju ke Restoran Bistro Minang yang berhadapan dengan stesen minyak petronas. Aku tolong bawakan beg yang berisi buku-buku, sudah tentu itu buku-buku yang aku pesan.

Kami memilih meja di hadapan pintu masuk restoran, sampai sahaja di restoran itu, kami terus memilih menu kegemaran masing-masing. Aku memilih ikan keli, sayur sedikit dan minuman air sirap limau. Pak Agi dengan pilihannya. Masing-masing berselera makan, Pak Agi dengan tugasnya pensyarah di UiTM, baharu selesai bertugas terus ke Meru untuk temu janji kami. Tentu penat.

Penulis yang aku minati kini benar-benar di hadapanku, rasa teruja seronok apatah lagi, sambil makan kami bersembang-sembang. Aku memberitahu padanya, minatku membaca sekitar berita sastera dan artikel-artikel sastera di akhbar mahupun majalah sastera dan juga buku-buku sastera. Ada menulis sajak di Portal Esastera.com, kelolaan Dr. Irwan Abu Bakar. Pak Agi memberitahu, Dr.Irwan merupakan kawannya, sudah tentu kawan dalam dunia sastera.

Banyaklah yang Pak Agi kongsikan dalam sembang-sembang sastera petang itu. Persepsi orang tentang sastera juga diberitahu pada aku. Berkecimpung di arena sastera tanahair sudah 50 tahun lamanya, bermacam ragam pengalaman kehidupan dalam dunia sastera dilalui sehingga kini. Pak Agi dikenali sebagai pembawa puisi berbentuk yang keratif, belum ada penganti setakat ini, dalam konsep yang diberi nama TRI-V AGI-VERBAL, VOKAL DAN VISUAL.

Pak Agi memberitahu, pernah seorang penulis terkenal SM ZAKIR menyatakan padanya seusai mendeklamasikan sajaknya di program baca puisi bulanan di Rumah Pena, tidak ada orang yang boleh buat macam Pak Agi. Juga semasa Pak Agi mendeklamsikan puisi Wak Saring Sirad@Ismas Saring di Shah Alam, Wak Saring Sirad memberitahu pada Pak Agi, Wak Siring Sirad pun tak boleh buat atau baca puisinya sendiri seperti Pak Agi buat. Itulah dia, kelebihan yang dimilikinya. Senang kata, cara orang berlainan. Pak Agi unik dan berlainan sekali.

Kenyataan ini boleh dibaca dibuku Pak Agi yang bertajuk ‘Apa Kata Orang Tentang Agi-Abdul Ghafar Ibrahim’. Macm-macam orang kata tentang Pak Agi. Bukan setakat orang-orang sastera di dalam negara tetapi menjangkau luar negara. Begitulah hebat dan kelebihan yang dimiliki oleh Pak Agi. Untuk yang selebihnya, kawan-kawan boleh cari buku tersebut. Lagi satu Pak Agi tidak sombong, sungguh peramah, bila saya baca buku yang saya nyatakan di atas, memang betullah telahan aku. Dalam buku tersebut, Nik Nizi Husin (1982) menyatakan dalam tulisannya;

“Suaranya bersahaja, peramah dalam perbualan biasa akan berubah menjadi suara bernada, garau, keras apabila membacakan puisi-puisinya”.

Pak Agi menceritakan pengalamannya sewaktu membuat ceramahnya di beberapa tempat seperti di Sekinchan, beliau membacakan puisinya dengan sepenuh perasaan, ada yang terkesan dengan bait-bait puisinya yang sungguh mengesankan pendengarnya, ada yang menitiskan airmatanya. Bila yang lahir daru hati, maka ia akan jatuh ke hati juga, saya menyampuk percakapannya. Memang tidak heranlah jika ada yang menangis, melihat gaya penyampaian yang sepenuh jiwa pasti ada yang terkesan di hati.

Paling suka saya melihat gelagat Pak Agi membacakan puisinya secara berlagu dengan sepenuh hati, itu Pak Agi baca sambil duduk, tak tahu apa yang dilakukan bila berdiri pula bila membaca puisinya itu. Sambil duduk pun sungguh memikat apatah lagi berdiri. Sambil dikerling pekerja restoran tersebut, Pak Agi semacam biasa dengan situasi begitu. Aku sempat mencapai kamera digital, merakam gaya Pak Agi membaca puisinya. Aku ada sempat dowanload video tersebut ke dalam youtube. Ada beberapa sence lagi perbualan dan baca puisi Pak Agi yang tidak sempat saya download ke Youtube.

Dalam hatiku bermonolog, wah hebat sungguh orang ini, banyak pengalaman, ilmu tentang puisinya... semoga cerita-cerita yang dikongsikan padaku memberi suntikan motivasi untuk aku belajar menulis puisi atau apa-apa sahaja penulisan. Aku ada tanya tentang, jika ilham datang bagaimana mahu dilakukan, Pak Agi menunjukkan buku kecil di koceknya dan mengeluarkan.

Betullah, buku nota akan sentiasa ada di mana-mana. Itu pentingnya catatan, apa sahaja yang terlintas perlu segera di catat, agar tidak lupa bila mahu menulisnya. Apa yang menariknya lagi, apa yang aku lihat. Pak Agi akan menyalinkan semula kata-kata atau apa yang Pak Agi sebutkan konotasi yang ditulisnya pada setiap buku yang ditandatangani ke dalam buku log yang disediakan. Begitu sekali, seorang penulis yang banyak pengalaman peka tentang tulisan hasil miliknya. Setiap buku yang ditandatangani, kata-kata mutiara berlainan. Sungguh unik dan bermakna sekali.

Aku benar-benar teruja dan termotivasi sekali melihat cara penulis sepertinya, maklum 50 tahun berkecimpung dalam dunia penulisan sastera. Umurnya 70 tahun, tahun ini 71 tahun usianya, sewaktu Pak Agi tanya padaku, agak-agak berapa umurnya, tak silap aku jawab dalam sekitar 50 tahun lebih. Pak Agi beritahu 70 masuk 71 tahun, saya agak terkejut. Melihat gaya persembahan yang sering Pak Agi aksikan di pentas puisi, sungguh bertenaga sekali, tidak seperti umurnya. Ya...tentu semua itu kurnia Allah SWT pada hamba-hambanya.

Aku minta izin Pak Agi untuk bergambar berdua, Pak Agi memangil seorang pekerja restoran tersebut untuk mengambil beberapa gambar kami berdua.

Jangan lupa send gambar-gambar tersebut pada saya...” Kata Pak Agi. Saya mengiyakan. Sekurang-kurangnya ada memori yang terakam buat tatapan masa depan.

Oh ya, Pak Agi ada memberi saya rasa kopi yang Pak Agi biasa minum, katanya untuk tenaga dan kesihatan dalamanya. Mungkin itu satu faktor salah satu kesihatannya baik, mantap dan bertenaga ketika membuat persembahan puisinya. Kalau hendak beli, Pak Agi boleh beri nombor telefon pengedar tersebut. Pak Agi tidak menjualnya, Pak Agi sering membeliny dari seorang pengedar yang dikenalinya yang bernama musa, kalau tidak salah saya.

Diam tidak diam, sudah hampir dua jam kami bersembang-sembang di restoran minang tersebut. Sungguh sekejap rasanya pertemuan itu, entah bila lagi boleh jumpa lagi dengan Pak Agi seperti tadi, kataku padanya semasa berjalan beriringan ke tempat kenderaan. Sampai di tempat kenderaan, sekali lagi mengambil gambar berdua dengan bantuan pekerja warung di situ melalui telefon bimbit Pak Agi.

Aku sempat mengambil gambar buku-buku yang terdapat di dalam kenderaan Pak Agi. Wah banyaknya buku. Penulis menjual bukunya sendiri, begitulah penulis dengan cara mereka tersendiri dalam memasarkan buah fikirannya. Pak Agi menunujukkan topi dan selendangnya yang sering dipakai sewaktu membuat persembahannya...,“Misteri tu...” kataku pada Pak Agi. Pak Agi senyum sahaja.

Begitulah kenangan manis yang masih teringat-ingat sampai sekarang, semasa saya tuliskan catatan ini, sudah seminggu pertemuan ini berlaku. Terima kasih Pak Agi...semoga pertemuan ini bukan untuk kali terakhir, mungkin akan ada pertemuan yang lain pada masa akan datang. Kami masuk ke kenderaan Pak Agi, Pak Agi hantar saya ke setesen minyak petronas. Kami bersalaman, aku menyatakan berbanyak terima kasih...atas perkongsian ilmu dan memori ini...

Ucapan ‘say bye’ Pak Agi masih terbayang-bayang...masih diingatan ini... Terima kasih Pak Agi.

Sekian adanya...



Masshah 2014
Bilik buku
9:29malam-Isnin Malam Selasa
Meru.


Buku-Buku Yang Mempunyai Kata-Kata Motivasi Dari Pak AGI


1)                  CAKAP-CAKAP PUISI
“Jangan bercakap kosong, isikan cakapmu dengan kata-kata berisi”

2)                  REFLEKSI PENYAIR (KUMPULAN WACANA)
“Refleksi diri untuk jumpa diri sendiri”

3)                  APA ORANG KATA TENTANG AGI
“Salam puisi dari hatiku yang mencari kehidupan”

4)                  WARKAH BIRU (KUMPULAN WACANA)
“Zaman Shah jadilah penulis sepanjang zaman”

5)                  CITA CINTA PUISI
“Akhirnya kita bersua Zaman Shah & Agi”

6)                  DIALOG SENIMAN DUNIA
“Berdialoglah dengan dirimu untuk menemui dirimu”








Mesej Melalui Telefon Bimbit Selepas Balik Pertemuan Dengan PAK AGI

Mesejku Pada Pak Agi: 4hb 03 2014-Selasa-Jam:3:07ptg

“Aslkm Pak Agi, lewat sikit masuk gambar, ada wairing pula umah mak ni, laptop bateri rosak, kena pasang direct plug. Sudah ok nanti saya masuk.”

Mesej Pak Agi Padaku: 4hb 03 2014-Selasa-Jam:3:09ptg

“Ok tak pa tq”

Apabila Karen sudah on semula aku cuba buka laptopku, untuk send gambar-gambar pertemuan dengan Pak Agi. Setelah saya masukkan gambar-gambar ke email fb Pak Agi, aku hantar sms melalui telefon bimbit aku sekali lagi. Sekitar jam 4:26petang.

“Aslkam, maaf mengganggu, Alhamdulillah, saya dah masukkan gambar-gambar tadi dalam email fb Agi Ghafar Ibrahim, kena buka email tu.”

Tiada apa-apa balasan mesej dari Pak Agi, aku yakin Pak Agi sudah membacanya.

Mesej Melalui Email Facebook

Selasa: 4:23ptg

“Aslkm Pak AGI ini gambar-gambarnya... 'One Sweet Memory'... Dalam sembang ada ilmunya...love you too...he3.

Sekitar jam: 6:51petang Pak Agi membalas email  fb:

“Tk daun keladi atas kiriman foto2 dan aku dah naikkan dlm page n fbku salam”
Mesej







Entri-Entri Yang Ditulis Pak Agi Di dalam Status FB

AGI SI PENJUAL BUKUNYA SENDIRI
--------------------------
Peminat tegarku zaman shah saiyan beli 6 judul bukuku.dia tinggal di Meru,kelang berhampiran tempat kerjaku.kami makan tengahari di Meru sempat menandatangani buku-buku beliannya dan dapat pula dia merakamkan deklamasiku. peminat sepertinya,memudahkan penulis mencari makan.tk dan SELAMAT MEMBACA BUKU-BUKUku zaman shah saiyan.

 
Agi Ghafar Ibrahim

Peminatku Zaman Shah Saiyan membeli 6 judul bukuku setelah makan tengahari nak dengar pula deklamasiku.lain orang lain kehendaknya lain peminat lain minatnya.dalam kesibukan restoran itulah aku penuhi permintaannya mendeklamasi kata2 harapanku untuk ZAMAN SHAH SAIYAN, secara tertahan2 sambil dikerling dan dilihat oleh para pengunjung restoran.kudoakan kau tumbuh sebagai penyair Zaman shah saiyan.

Entri Yang Aku Tulis Dalam Status FB JOM BACA BUKU
(Catatan ringkas pertemuan dengan Pak Agi)

JOM BACA BUKU

Temujanji Dengan Pak Agi@ Abdul Ghafar Ibrahim

Sekitar jam satu petang bertemu Pak Agi, untuk mengambil buku-buku yang dipesan lewat tempohari melalui pesanan email fb Pak Agi. Sebelum itu, pada malam sebelumnya Pak Agi telah menelefon untuk bertemu secara muka untuk menyerahkan pesanan buku tersebut. Kebetulan Pak Agi bertugas menjadi pensyarah di UITM Puncak Perdana. Selalu lalu Pekan Meru, jadi kata Pak Agi tidak perlu pos buku-buku tersebut.

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT dapat bersemuka dengan Pak Agi, siapa tidak seronok bila berjumpa penulis buku yang kita beli jumpa kepada kita. Seorang penyair yang keratif dalam penyampaian puisinya. Juga merupakan ahli sastera yang cukup berpengalaman dalam dunia sastera khususnya puisi, beliau juga seorang pelukis.

Selepas makan tengahari, kami berkongsi cerita dan Pak Agi tidak lokek dengan ilmu dan pengalaman yang dimiliki. Berkongsi pengalaman dan ilmu puisi, ilmu deklamasi puisi, dan motivasi untuk diri ini. Apa yang menariknya, Pak Agi dengan aksi bersahaja mendeklamasikan beberapa buah puisi diKhalayak. 

Saya sempat merakam beberapa aksi bersahaja Pak Agi mendeklamasikan puisinya. Terbaik dari Pak Agi..., memang tidak menjemukan mendengar celoteh dan segala perkongsian yang diberi. Hampir dua jam kami bersembang tanpa disedari...., Terima kasih Pak Agi...

Semoga terangsang dan termotivasi

Entri Dari FB JOM BACA BUKU

Enam buah buku hasil karya seorang tokoh hebat sastera negara, PAK AGI@AYAH AGI ATAU Abdul Ghafar Ibrahim, juga pendeklamator puisi hebat.

1)Apa Kata Orang Tentang AGI
2)Dailog Seniman Negara
3)Warkah Biru 
4)Refleksi Penyair
5)Cita Cinta Puisi 
6)Cakap-Cakap Puisi 

Sebagai bahan perencah ilmu puisi dalam diri, agar bermanfaat pada diri ini juga untuk koleksi pribadi untuk diwarisi nanti.


Sekian...

Rindu Membara

Pabila rindu ini semakin membara,  semakin ku kuatkan tekad ku,  ingin ku segera menatapi mu, walau jauh beribu batu, ku setia m...