MENULIS SELAGI MASIH ADA HAYAT

Friday, March 27, 2015

Sajak: Amannya Mereka


Amannya Mereka
(Melihat pekerja warga asing sedang rehat)
Merenung ke luar jendela kantin
di dinihari sunyi, sendiri
tenteramnya mereka beradu
tiada siapa yang menganggui
aman tenang damai
di sebuah negeri beribu batu
Benua ini milik semua
pelbagai ras bangsa ada
mencari rezeki di sana sini
kesungguhannya sememangnya
matlamat cari makan di sini
di sana ditinggal anak isteri
di sana ditinggal ayah ibu
demi perubahan diri juga famili.
Mereka aman tenang di sini
kita masih terkial-kial cari rezeki
memilih mana lebih bercita rasa
menjaga standard ijazah berjela
jiwa juang cekal hanya mimpi, 
tidak seperti mereka...
apa sahaja dikerjai tekun sekali
biar kena maki tetap sabar sekali
kita...jauh sekali, cepat terasa hati
Amannya mereka
biar jauh dari yang dikasihi
tetap megutus rindu selalu teknologi di tangan tak henti
sesekali menyapa sang kekasih
yang ada di benak hati
ya...mungkin sebagai penguat jiwa
agar terus semangat berusaha
demi untuk diri dan famili.
Kita di sini cukup sudah berangan mimpi
bangkit sedarlah diri
pertiwi pertahan, jangan nanti menyesal
bangunkan diri bangunkan negeri
namun...usah dinafi hak warga menumpang rezeki.

Masshah
22032015
Kantin Tempat Kerja.

Wednesday, March 25, 2015

Sajak: Berpuisi Demi Ilahi




Berpuisi Demi Ilahi
(Sempena Hari Puisi Sedunia)
Indahnya berpuisi
atas nama Ilahi Ya Rabbi
gemerlapan cahaya seri
nubari segar damai
Benua seantero bahagia
berpuisi mengisi kalbu
tunduk patuh pada Ilahi
menebar kasih sayang sejati
Berpuisi bersulam janji kasih
berzikir hati tak terhenti
berserah diri pada Ilahi
bait-bait puisi agungkan Allah
Berpuisi demi redha-Nya
menyeru penuh hikmah
berpandukan quran sunnah
junjungan mulia tauladannya
Berpuisi sampai mati
demi tanggungjawab suci
tanpa ada keraguan dalam diri
sesungguhnya bahagia akhirat menanti.
Masshah
21032014
Meru.


Monday, March 23, 2015

Buku Genre Penulisan Keratif Menjadi Pilihan



Selain membaca buku-buku genre penulisan bukan keratif, aku suka membeli buku-buku genre penulisan keratif, sastera, terutamanya buku penulisan puisi  novel dan cerpen. Tujuan aku membeli dan membaca untuk melihat dan belajar bagaimana sesebuah puisi dibentuk, setiap penulis berbeza cara penulisan puisinya. Aku yang tidak punya ilmu puisi ini, sedang berjinak-jinak dalam penulisan puisi konon ceritanya. Sama ada aku membelinya secara terus melalui kedai buku atau secara terus melalui penulisnya secara online.

Itu semua aku lakukan atas dasar mahu membaca, belajar dan berfikir seterusnya diamalkan jika ianya baik untuk diri sendiri. Aku tidak kisah, sama ada penulis kecil atau besar selagi aku minat membaca dan membelinya aku akan cuba miliki buku-buku tersebut. Setakat ini, terdapat beberapa buah buku yang terdapat di bilik buku, hasil karya-karya penulis tersohor dan juga penulis-penulis muda di tanah air kita. Ia sebagai bahan bacaan dan rujukan untuk aku menulis.

Dan yang penting dari itu, akan aku wariskan buku-buku tersebut buat anak-anakku yang masih kecil, semoga suatu masa kelak mereka akan membacanya dan berminat dalam bidang penulisan keratif. Itulah antara harapan dan impian yang terselinap dalam hati ini. Sekiranya aku tidak berjaya dalam bidang yang aku cuba ceburi ini, sekurang-kurangnya antara mereka ada yang punyai potensi kearah itu.

Juga, apa yang menariknya, ada beberapa buah buku yang aku beli secara online tetapi diterima terus melalui penulisnya sendiri tanpa melalui pos laju. Buku-buku tersebut merupakan karya-karya keratif. Siapa yang tidak seronok bila bertemu muka dengan penulisnya sendiri, disamping membeli buku, berkongsi pula si penulis tentang pengalaman dan ilmu kepada aku. Itu sekadar pengalaman indah buat diri ini.

Semoga buku-buku keratif yang aku beli dan baca, dapat menajamkan pena dan bersemangat untuk terus menulis, menulis dan menulis. Ia sumber motivasi diri untuk membangkitkan semangat dalam diri.


Sekadar perkongsian ringkas.

Sajak: Kembalilah




Kembalilah
Bunga itu layu terkulai lunyai
selayu bicara bacul terpacul
hilang harum lebih-lebih lagi indahnya
tersasul hemburan bicara hodohnya
seantero benua
amarah meruap mengelegak
dibendung tidak, nahaslah
Pada bunga layu itu
jika mahu bugar segar berseri
kembalilah...dakap kasih Ilahi
usah lagi bermimpi
seolah...hidup kekal tak mati
buangkan angkuh sombong bodoh
nescaya taubat mu, kubur mu
harum seharum semerbak bunga kemboja di tanah perkuburan
Jika tidak...
nama mu tetap hodoh
layu lesu busuk
walau baunya harum sekadar dibibir
namun sejarah akan tercatat
sekuntum bunga yang sangat busuk lagi membusukkan...
Masshah
21032015
Meru.

Sunday, March 22, 2015

Ulasan Buku Apa Orang Kata Tentang AGI



Ulasan Buku Apa Orang Kata Tentang AGI

Sebuah buku yang memperkatakan tentang seorang penyair yang tersohor di tanah air kita. Buku yang harus dimiliki oleh setiap pencinta sastera tanah air, sebagai bahan rujukkan untuk mengenali penyair, penulis, pelukis juga pendeklamator puisi TRI-V AGI tersebut. Buku yang saya miliki hasil belian secara online, namun diterima melalui penulisnya sendiri, suatu pertemuan yang membibitkan ukhwah dan kenangan terindah buat saya.

Siapa yang tidak seronok dan rasa bahagia bila bertemu dengan penulisnya sendiri. Ya…itulah sebahagian nostalgia yang saya dapat dari membeli buku ini. Oklah bukan itu yang saya mahu bahaskan dalam siri penulisan ini. Nostalgia ini telah saya tuliskan dalam penulisan yang lain dalam blog. Untuk penulisan ini, saya ingin memperkatakan berkaitan buku ‘Apa Orang Kata Tentang AGI’.

Buku ini diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad@ITBM, cetakkan pertama tahun 2013, buku yang di susun oleh penulisnya sendiri dan anak didik beliau iaitu saudari Sahanaz Akbar. Buku setebal 190 muka surat ini mengadungi lima bab, yang kesemuanya memperkatakan tentang sosok tubuh penyair yang terkenal dengan penyampaian persembahan puisinya yang agak berlainan, lain daripada yang lain. Secara pribadi, saya mengkagumi cara persembahan penyampaian puisi beliau. Beliau mengelar puisi yang disampaikan dengan TRI-V AGI.

Bab pertama: Ulasan Buku

Dalam bab ini, mengandungi petikan-petikan ulasan dari para penulis yang mengulas buku-buku karya beliau, antaranya Harry Aveling, Wan A.Rafar, Mokhtar Haji Alias, Hassan Alias, dan Ismail Abdullah. Lima tokoh yang mengulas buku-buku beliau juga merupakan ahli-ahli sasterawan hebat. Harry Laving telah mengulas buku ‘Tan Sri Bulan’, dalam petikkan ulasannya yang terkandung dalam buku ini, beliau memperkatakan tentang Agi dan corak tulisannya;

“Ghafar sedang mencari arah baru untuk sajak-sajak Melayu”

“Tulisan Ghafar selalunya keras, tepat, hebat dan agak kasar.”

“Sebagai penyajak muda, sajak-sajaknya masih tumbuh menuju kematangan, dan ketepatan teknik”

Petikan ini juga terdapat dalam bahasa Inggeris di muka surat 5 oleh Harry Aveling juga. Di dalam buku ini, terdapat lapan buah petikan tulisan dari Harry Aveling. Kesemuanya boleh dibaca di muka surat 3, 5, 6, 8, 9, 13, dan 14.

Dalam petikan tulisan Wan A.Rafar pula dalam memperkatakan sajak Agi dalam buku Tak Tun, 1978.

“Membaca sajak-sajak Ghafar, kita akan tertarik dan terpesona pada bentuk luarannya yang berbeza-beza itu. Ada bentuk silangkata. Ada bentuk poster. Ada bentuk bulatan. Ada bentuk curam. Ada bentuk catatan dan menu.”

“Sajak-sajak Ghafar memang pelik-pelik. Ada macam prosa. Ada yang macam bualan kedaui kopi. Ada yang macam kempen pilihanraya. Petikkan ini boleh dibaca di muka surat 10 dan 11 dalam buku ini.

Seterusnya dalam memperkatakan buku-buku karya Agi,Mokhtar Alias, dalam petikkan ulasannya tentang buku ‘Yang Yang’, keanehan puisi Agi masih terserlah;

“Tidak dapat dinafikan sajak AGI berhubung kait dengan jiwa seninya-dia adalah seorang penyajak, pelukis dan pengembara. Kadangkala kita merasakan sajak AGI seperti irama dan lagu, kalau dibaca berulangkali, sajaknya boleh dilagukan. Tetapi lagu itu nampaknya dipengaruhi kuat oleh alat muzik dan kesenian minang, misalnya, cak lempong dan randai. 

Kelihatan seperti adanya pengaruh budaya sekitar yang kuat mencengkam dirinya.”
Hassan Alias pula memperkatakan tentang karya Agi, petikkan ulasan beliau terhada AGI;

“Apabila beliau memperkenalkan sajak-sajak 3V-Verbal, Vokal, Visual-lewat-lewat tahun 1970an, pengarang dianggap membawa keganjilan dalam dunia puisi Melayu. Daripada konsep yang serba ganjil itu lahirlah sajak-sajak seperti “Tak Tun”, Dundun Cakcak”, ‘Kaf’ dan ‘Tan Sri Bulan’.”

“Ghafar juga hampir bersendirian dengan konsep sajaknya. Tiada pengaruh politik dan juga tidak mempengaruhi sesiapa. Tiada hasrat untuk dinobatkan sebagai wira seni. Tidak juga berhasrat mendiriksn ‘khemah kesusateraan’. Ghafar ingin meletakkan seni pada tempatnya-bukan untuk tujuan lain.”

Bab Kedua: Artikel Sekitar AGI

Bab kedua ini mengandungi  petikan-petikan tulisan dari wartawan dalam Negara, wartawan luar Negara, juga individu yang terdiri daripada sasterawan Negara, mereka menulis tentang AGI. Antara petikkan tulisan mereka yang terkandung dalam buku ini ialah Jaafar HS, East-West Center, Hawaii, Umar Junus, Wartawan Kritik, A.Samad Said, M.Hanafiah A.Samad,Haslina Ahmad, Australian Monthly, Rahman Shaari dan lain-lain lagi. Mereka memperkatan AGI dalam beberapa sudut. Antaranya yang saya tuliskan dalam penulisan ini, petikkan tulisan Jaafa H.S di Dewan Sastera tahun 1972 dalam kritkan terhadap puisi AGI.

“Puisi mengizinkan eksperimen-eksperimen dilakukan padanya. Namun eksperimen-ekspiremin ini memerlukan tindakan hati-hati. Eksperimen yang terlalu ‘daring’ akan selalu menimbulkan keraguan. Saya cuba mencari sesuatu dalam penulisan Ghafar ini.”

“Eksperimen-eksperimen  Ghafar ini mempunyai kemampuannya yang tersendiri. Cuma malangnya Ghafar gagal untuk mengisi sajak-sajaknya ini nilai-nilai estetik yang amat diperlukan oleh puisi. Lantas nilai sajak-sajak ini sebagai hasil puisi amatlah mengecewakan. Memang benar Ghafar adalah di dalam eksperimennya kea rah puisi konkrit (demikan menurutnya selalu). Namun untuk satu karya yang dinamakan puisi, nilai estetik tidak perlu dikorbankan.”

Anda sebagai pembaca buku ini, mempunyai pandangan tersendiri terhadap puisi dan persembahan puisi AGI.

Wartawan Kritik pula menulis kata-kata AGI di Forum Hari Puisi Nasional di mana AGI melontarkan pandangannya tentang matlamat penyair tanah air.

“tidak perlu kita risau sama ada masyarakat menerima, atau tidak menerima hasil puisi kita. Yang penting puisi harus lahir terus sesuai daya cipta setiap penyair.”

Lagi artikel tentang AGI, Rahman Shaari dalam tulisan belaiu di Dewan Sastera 2006, memperkatakan tentang AGI di pentas. Sedikit petikkan tulisan belaiu tentang AGI;

“AGI berupaya menghasilkan puisi yang kaya dengan unsur bunyi. Dia menghasilkan karyanya yang sedemikian serentak dengan memikirkan kaedah deklamasi. Sajak ‘Tak Tun’ yang mempunyai hanya dua bunyi telah dipopularkannya melalui deklamsi, dan sajak itu mempopularkannya sebagai deklamator yang berkemampuan.”

Menurut Dato Zurinah Hassan pula, dalam memperkatakan AGI dan karya AGI dalam puisinya yang bertajuk ‘Apa Ditakutkan Dengan Malam’, menurut Dato Zurinah Hassan, AGI berdakwah dalam puisi tersebut, menurutnya;

“Sajak “Apa Ditakutkan Dengan Malam” ini adalah salah satu contoh di mana penyair menggunakkan unsur peredaran hari untuk menyampaikan pemikiran tentang kehidupan manusia………, A.Ghafar Ibrahim tidak mengaitkan malam dengan unsur negative. Baginya malam hanyalah suatu keadaan kegelapan yang sementara dan esok akan membawa harapan yang baru selagi amnesia tidak berputus asa.

Pada keseluruhannya sajak ini dapat dirumuskan sebagai interpretasi kreatif penyair terhadap ayat al-Quran yang bermaksud:

“Allah menukarkan malam dan siang silih berganti, sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata hatinya, iaitu berfikir .

(surah An-Nur:ayat 44).

Inilah puisi yang dimaksudkan oleh Dato Zurinah Hassan;

Sudah bertimbun sejarah mengisi buku dunia
Adakala meanusia jatuh mereka belajar darinya
Dan tika bangun selamat mengingat bekas jatuh
Akan terpelihara dan singgah di pelabuhan
Demi pelabuhan, sedar mercup sentiasa
Bakal sampai tujuan semula
Kita tegak di pencapaian cita
Jadi apa ditakutkan pada malam
Kerana esok tetap siang
Selagi dada membara

Memang begitulah seharusnya sifatanya sebagai seorang yang bergelar penulis juga penyair, kerana tugas berdakwah itu terletak dipunggak seluruh umat manusia yang beriman. Penyair juga berdakwah lewat karya yang dituliskannya.

Dan banyak lagi tokoh-tokoh yang menulis artikel tentang AGI dalam buku ini, cukuplah dua tokoh yang memperkatakan tentang AGI dalam bab ini.

Bab Ketiga: Surat Khabar Siar Tentang AGI

Penyair yang ada nama, sudah semestinya akan disebut-sebut orang, kalau tidak orangnya, karyanya, tidak pun dua-dua sekali untuk diperkatakan oleh khalayak yang melihat akan dirinya(AGI). Dalam bab ketiga ini, dikemukakan tulisan-tulisan petikan akhbar di tanah air kita dalam memperkatakan tentang AGI, sama ada ditulis oleh wartawan atau ditulis oleh tokoh yang menulis tentang AGI dan menyiarkannya di akhbar tempatan dan luar Negara. Terdapat petikan artikel dalam bahasa inggeris dibeberapa muka surat dalam buku ini.

Antara kahbar-akhbar yang menyentuh atau memperkatakan tentang AGI adalah,The New Straits Times, Utusan Zaman, Harry Aveling, Ahmad Fauzi,Mingguan Wanita, Imlan Abadi, Haliza Ahmad, Saleha Ali dan lain-lainnya yang terdapat dalam buku ini.

Dalam bab ini saya kongsikan pandangan Wartawan Utusan Zaman yang terbit dalam tahun 1978,;

“Sajak-sajak Ghafar lebih bercorak puisi-puisi ‘audiovisual’ iaitu sajak-sajak yang mementingkan bunyi. Ia menerima nikmat dan keindahan bunyi. Segala dilupakan manusia, katanya manusia melahirkan bunyi, setiap detik dan saat, malam, siang,bunyi itu dilupakan dan tidak dinikmati. Ghafar berkata, kita sentiasa berdepan dengan bunyi, dari dalam dan luar diri dan dari bumi dan udara.”

“Konsep Ghafar dalam menyajak ialah bunyi dan pergerakkan. Bunyi pada puisinya dan pergerakkan lakonannya.”

Tulisan M.Hanafiah A.Samad pula yang tersiar dalam akhbar Berita Minggu pada tahun 1987, dalam perenggan terakhir menyatakan;

“Memang tidak keterlaluan kalau dikatakan Ghafar adalah pelopor kepada perkembangan puisi audio visual dan puisi konkrit tanah air.”

Bagi Imlan Abadi pula menulis di dalam akhbat tabloid Watan 1989, saya petik sebahagian tulisannya yang terkandung dalam buku ini;

“Barangkali untuk meletakkan AGI sebagai jaguh deklamator di Negara ini terlalu keterlaluan, dan mungkin juga ada yang menganggap sebagai pujian bombastic, namun bagi mereka yang pernah mengenali AGI, mengenali antologo ‘Tan Sri Bulan’ dan yang terbarunya “Yang Yang”, serta pernah melihatnya di pentas puisi sejak dekad 60an, anggapan tersebut boleh dikatakan wajar, terutamanya pada waktu itu.”

Dalam tulisannya Imlan Abadi memetik kata-kata Abdul Aziz H.M;

“Sememanggnya AGI kaya dengan gaya keagiaannya.”

Dan banyak lagi petikan tulisan akhbar dari mereka yang memperkatakan tentang insan bernama AGI.

Bab Keempat: Berkenaan Lukisan AGI

Selain sebagai seorang penulis juga penyair, Abdul Ghafar Ibrahim juga seorang pelukis tanah air sehingga kini. Dalam bab ini,  tokoh seperti A.Ghani Nasir, A.Ghani Hamid, Mohd Yunus Alias, Frank Sullivian, Lim Chong Kiat, Syed Ahmad Jamal, A.Samad Said, Mohd Yusof Ismail, Johan Jaafar, Azizi Abdullah dan lain-lain yang terdapat di dalam buku ini, mereka memperkatakan tentang AGI, mereka memperkatakan tentang AGI berkaitan karya AGI melalui lukisannya.

Saya petik beberapa tokoh yang memperkatakan tentangnya.

Antaranya yang saya dapat kongsikan pandangan dari A.Ghani Hamid;

“Karya-karya Ghafar tidak banyak mematuhi teori-teori teknik untuk satu-satu ‘approach’ 
yang biasa menjadi pegangan sesetengah-sesetengah pelukis dan pengkritik-pengkritik seni. Ghafar lebih gemar dengan desakan dan dayanya yang egosentrik. Ini merupakan satu daya yang sesuai buat seorang pelukis muda yang meneroka dan sentiasa mencari.”

Mohd Yunus Alias menulis tentang AGI di akhbar Utusan Malaysia pula menyatakan;

“Subjek Ghafar adalah hasil penerokaan yang dalam dan dari jumpaan-jumpaan peribadi. Kombinasi antara bakat dan kecenderungan memperhebat eksperasi cintanya terhadap benda-benda hidup yang kerap dilupakan orang lain. Dia kelihatan bergerak dengan kedewasaan menuju kea rah seni ‘biomafik’.”

Menurutnya lagi;

“A.Ghafar Ibrahim adalah seorang pelukis yang mempunyai’potentiallity’ sendiri.”
A.Samad Said pula berpandangan tentang lukisan AGI;

“Meneliti lukisan-lukisannya itu terdedahlah bebrapa rahsia.Paling jelas, dia bukan seorang penyair yang sedia memperalatkan puisinya sepenuh mungkin untuklukisannya. Sebaliknya, dia hanya menggunakan sedikit kata-kata khusus untuk membentuk lukisannya. Dia ternyata amat lokek dengan kata-katanya-diulangi dan diperbanyak saja satu-satu kata tertentu dengan salutan aneka warna dan anekabentuk untuk membangunkan lukisannya”

Bab Kelima: Kajian Ilmiah Tentang AGI

Di dalam bab ini, disertakan beberapa petikan tulisan-tulisan kajian ilmiah dan juga  tesis hasil penulisan oleh beberapa orang yang mengkaji tentang AGI serta hasil karya beliau, antaranya tulisan Hasnah Ibrahim, petikan latihan ilmiah, Ijazah Sarjana Muda Sastera, JABATAN Penulisan, Fakulti Sastera Dan Sains Sosial, Universiti Malaya Seisi 1990/91, beliau membawakan tajuk kajiannya tentang ‘A.Ghafar Ibrahim: Penyair Dan Kepenyairannya Satu Analisis.

Tan Joon Ling dengan tajuk Kajian Ilmiahnya ‘Gaya Kepenyairan A.Ghafar Ibrahim, Mohd Saipuddin Sulaiman dengan tajuk kajian ilmiahnya ‘Sajak-Sajak A.Ghafar Ibrahim (AGI) Satu Kajian Stilistik. Hasil tulisan kajian mereka boleh dibaca di dalam buku ini.

Juga terkandung sebuah kajian oleh anak didik beliau iaitu saudari Sahanz Akbar, melalui dokumentari yang di arahkan olehnya sendiri. Dokumentari ini bertajuk ‘Dokumentari TRI-V AGI, selama 19 minit 19 saat.

Di dalam muka surat 183 hingg 190 disertakan manuskrip ucapan beliau sewaktu menerima Anugerah Penulisa S.E.A  pada tahun 2005, serta karya-karya puisi dan lukisan beliau juga gambar-gambar kenangan yang tentunya memberikan nostalgia sendiri kepada penulis, penyair dan penyair tersohor di tanah air kita ini.

Dengan terbitnya buku ‘Apa Orang Kata Tentang AGI, maka, bertambahlah lagi khazanah kesusasteraan tanah air kita, yang nantinya hasil karya ini akan menjadi bahan kajian, rujukkan khususunya kepada pencinta-pencinta sastera tanah air pada masa kini dan akan datang.

Demikianlah serba ringkas, ulasan yang saya dapat tuliskan berkenaan buku ini. Tulisan ini hasil dari pembacaan buku ini dan merujuk isikandungannya dalam buku tersebut. Kepada sahabat-sahabat yang ingin memiliki buku ini, bolehlah mencarinya di gedung buku yang berdekatan tempat saudara. Ulasan serba ringkas ini, mudah-mudahan ada manfaatnya dan mendorong untuk mengenali lebih dalam tentang sosok seorang penyair bernama Abdul Ghafar Ibarahim atau AGI ini.

Sekian,
Masshah
9032015
Meru.


Monday, March 9, 2015

Sajak: Sakitnya Itu Di Sana



Sakitnya Itu Di Sana
Jeritlah sekuat hatimu nak muda
biar gegar tiang-tiang seri di Putrajaya
biar mereka dengar apa yang kau pekikan
usah gentar biar ugutan menyambut jeritanmu
jeritanmu itu benar bukan onar
gigitanmu itu sakit
ya…sakitnya itu di sana.
Terus jerit anak muda
biar mengeletar tubuh yang kian ketar
biar mengigil dingin malam lenanya
biar golek gelintang di kasur empuknya
jeritanmu terasa sakit di cuping telingnya
sakitnya amat
ya…sakitnya itu di sana.
Langkahmu
jeritanmu
pekikanmu
sungguh mengegar gelisah takhta
bisa hancur musnah cita-cita
ingin terus angkuh kuasa
nyahkan terus LAWAN
pedihnya sungguh
ya…sakitnya itu di sana.
Lawan tetap lawan!
Masshah 2015
8032015
Meru.

Saturday, March 7, 2015

Sajak: Rumah Abadi Pasti


Rumah Abadi Pasti
Usia semakin meninggi
kubur kata mari
sudah bersediakah duhai diri
menuju distinasi rumah abadi
ia pasti.
Masshah
30202015
Meru.

Thursday, March 5, 2015

Ulasan Buku Kumpulan Puisi Remaja Madu Di Tangan

  



Buku Kumpulan Puisi Remaja Madu Di Tangan

Madu di Tangan merupakan buku karya kedua pemilik blog ‘Tetamu Istimewa’, iaitu penulis mampan Mohd Helmi Ahmad yang juga merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Batangkali Selangor. Karya dari Kumpulan puisi Remaja ini merupakan puisi-puisi yang terbit di majalah dan akhbar.

Beliau seorang penulis juga penyair yang sangat produktif dalam menghasilkan karya keratif, terutamanya cerpen dan puisi. Melihat kepada blog yang begitu ramai sekali pengikutnya, ini memperlihatkan karya-karya atau hasil penulisan beliau amat diikuti dan digemari oleh khalayak pembaca.

Secara pribadinya, saya amat mengkagumi kesungguhan penulis dalam berkarya, biarpun bertugas rutin menjadi guru, yang sudah pastinya sentiasa sibuk dengan tugas guru yang dipikulnya, namun beliau masih dapat berkarya.

Syabas diucapkan.Saya sebenarnya, sudah lama ingin cuba mengulas serba sedikit berkaitan buku kumpulan puisi ini, saya membelinya sewaktu pesta buku Selangor beberapa minggu yang lalu, ketika singgah di booth ITBM. Dalam tercari-cari buku apa yang saya mahu beli, mata saya terpandang buku kumpulan puisi ini, saya terus capai dan membelinya.

Buku setebal 58 muka surat ini mengandungi 50 buah puisi pelbagai mesej yang mahu disampaikan oleh penulis kepada khalayak. Dalam mengulas buku ini, saya hanya mengambil dua mesej sahaja yang terkandung dalam buku ini,iaitu mesej bahasa dan mesej perpaduan, mengikut kefahaman saya sebagai pembaca, selebihnya nanti, khalayak pembaca bolehlah membeli dan memiliki seterusnya menghadam setiap puisi yang terkandung dalam buku ini.

Antara puisi yang berkaitan dengan bahasa, penulis amat sensitif tentang bahasa ibundanya, sebagai penulis memang begitulah seharusnya peka dan menyanjung serta mempertahankan bahasa ibundanya.

Beliau mengharapakan kepada generasi kemudian hari atau masa depan, walau apa terjadi dengan pelbagai macam perubahan dalam persekitaran kehidupan mereka, tetaplah memilih bahasa ibunda sebagai bahasa utama mereka.

Lihatlah perenggan pertama hingga kelima puisi yang bertajuk ‘Memilih Bahasa Ibunda’, di muka surat pertama.

Biarpun kau lahir nanti
Dikepungi menara tertinggi di dunia
Mencakar bumbung langit
tetaplah memilih bahasa ibunda.

Biarpun kau lahir nanti
Dikelilingi jiran berwarganegara asing
Berambut perang berkulit putih
Tetaplah memilih bahasa ibunda

Biarpun kau lahir nanti
Disekolahkan di Negara bermusim cuaca
Pengantarnya bahasa pernah menjajah negar
Tetaplah memilih bahasa ibunda.

Biarpun kau lahir nanti
Dikenderai pelbagai rupa dan nama
Memacu di lebuh kemajuan
Tetaplah memilih bahasa ibunda.

Biarpun kau lahir nanti
Ditengah kota raya
Berjiran dengan warga asing
Yang menghantarmu ke sekolah
Kenderaan berjenama pelbagai nama
Usah ragu dan bimbang
Tetaplah memilih bahasa Melayu
Bahasa ibunda menjulang martabat bangsa.

Begitulah kepekaan dan harapan penulis juga penyair mengharapakan apa sahaja yang berlaku pada generasi kini dan akan datang, di mana pun mereka berada tempat dan situasinya, bahasa ibunda, bahasa Melayu hendaklah diutamakan kerana ia merupakan apa yang diungkapakan dalam puisi pada para terakhir;

‘Bahasa ibunda menjulang martabat bangsa.’

Suka saya kemukakan sebuah lagi puisi yang bermesejkan kepekaan penulis berkaitan bahasa. Isu bahasa merupakan isu yang sangat sensitif dan ia sangat releven dari dahulu, kini dan selama-lamanya. Banyak isu tentang bahasa, seperti isu penggunaan bahasa inggeris dalam pengajaran mata pelajaran sains dan matematik, dalam ulasan buku ini, bukanlah saya mahu mengupas isu ini, ini sebagai contoh dari sekian pelbagai isu yang melingkari dalam isu bahasa di tanah air kita.

Ya , semua mengakui bahasa sangat penting, begitu penulis buku ini, dalam muka surat lapan belas, puisi bertajuk ‘Memeta Kegemilangan Bahasa’, penulis lebih mengimbau dan mengajak khalayak melihat sejarah lampau, bagaimana bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda kita yang seketika masa lalu telah menjadi bahasa ‘Lingua franca’(bahasa perantara). Ia telah menjadi bahasa perantara dalam pentadbiran, perhubungan, kesusateraan dan sebagainya. Itulah sejarah lampau yang seharusnya diambil ibrah oleh generasi hari ini dan kemudian nanti.

Dan perlu diingat kepada generasi kini dan akan dating, bahawa bahasa Melayu pernah di zaman keemasannya dan akhirnya nanti Bahasa Melayu akan tetap utuh dan terus gemilang hingga ke akhir zaman.

Sejarah bahasa direntangkan di laut
Di langit ditulis akasara sayang
Dengan tinta kecintaan yang pekat
Tamadun yang indah mengembang
Di gugusan Nusantara.

Dunia ini semaki membiak
Benih harapan yang tersebar
Dari mulut para pedagang
Dari lidah para mualim
Daripada rasa cendekiawan
Bersatu dalam jitu
Memartabatkan bahasa keilmuan.

Bahasa Melayu dalam sejarah dunia
Memeta kegemilangan
Meletakkan satu pertimbangan
Takkan hilang ke akhir zaman.


Mesej kedua antara puisi-puisi yang terdapat di dalam buku ini ialah perpaduan, jika ia boleh dikatakan sebagai mesej perpaduan. Mungkin penulis atau penyair sendiri melihat semakin lemah dan lunturnya hubungan sesama kaum yang berlaku ditanah air kita waktu itu dan kini, semacam ada kegoyahan hubungan sesama bangsa. Kontrak sosial yang sudah lama terjalin semakin hari semakin goyah. Ia merupakan warisan nenek moyang yang perlu dan mesti dipertahankan.

Penulis begitu sensitif  berkaitan persoalan ini. Ini digambarkan dalam rangkap atau perenggan pertama dan kedua dalam puisi yang bertajuk ‘Gelas Perpaduan’ di muka surat tujuh belas;

Mengapa kita  perlu
Pecahkan gelas perpaduan
Yang nenek moyang kita hidangkan
Di dulang permuafakatan
Sejak sekian lama.

Gelas perpaduan
Harus dipelihara
Kerana di dalamnya
Mengandungi
Keharmonian
Kesaksamaan
Kemanisan
Madu-madu kebahagiaan.

Dan pada akhirnya penulis mengharapkan, perpaduan harus dipertahankan dengan ubat mujarab iaitu bersatu padu agar nantinya berkesinambungan menjadi sebuah legasi untuk generasi akan datang.

Pegangnlah gelas perpaduan
Dengan bersatu padu
Agar ia tidak pecah
Bertaburan
Kelak menjadi legasi keamanan
Buat generasi nusa dan bangsa.

Sebuah lagi puisi bermesejkan perpaduan bertajuk ‘Mari Kita Luruskan Saf’, penulis atau penyair mengajak agar kita semua meluruskan saf atau barisan, kerana penyair melihat perpaduan yang dilihat semakin goyah seperti ular yang dipukul dipalu, ini bermaksud saf atau barisan semakin bengkang bengkok, melambangkan perpaduan semakin luntur dan goyah, ini sangat membahayakan dan musuh mudah sahaja boleh menumbangkan kesatuan kita sebagai bangsa Melayu.

Mari kita renung sejenak, melihat apa yang sedang berlaku dan terjadi berkaitan perpaduan ini. Dengan kepelbagaian kaum, bangsa budaya dan agama, ditambah lagi dengan kepelbagaian ideologi politik, telah menyebabkan kesatuan atau perpaduan ini semakin hari semakin goyah, dek hasutan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Bangsa Melayu terutamanya, semakin hari semakin kusut dengan pertentangan dan perbezaan ideologi politik sempit dan perkauman. Ini sangat membahayakan kesatuan bangsa Melayu. Masing-masing masih tidak mahu bertolak ansur meninggalkan titik bengik demi perpaduan Melayu.

Mereka asyik mementingkan politik masing-masing. Kita mengharapkan, parti-parti politik dikalangan bangsa Melayu memikirkan persoalan yang besar ini. Jika mahu melihat bangsa Melayu menjadi empayar,sekali lagi. Para pimpinan bangsa Melayu harus sedar dan memikirkan masa hadapan bangsa Melayu ini, namun tidaklah sampai mengkesampingkan bangsa lain.

Namun keutamaan luruskan saf atau barisan bangsa Melayu jika mahu terus unggul seperti pada masa lalu. Melayu dengan agama Islam tidak boleh dipisahkan seperti yang termaktub dalam perlembagaan, ia sangat signifikan sewajarnyalah pimpinan bangsa Melayu, baik dari politik mana pun mengambil perkara ini sebagai keutamaan. Sampai bila harus bersengketa? Dan sampai bila asyik lena di siang hari?. Penulis atau penyair sudah memberikan tunjuk caranya…sedarlah bangsaku…

Nah, cuba hayati puisi ini keseluruhannya, satu ajakan yang sangat baik dan harus diambil perhatian oleh semua orang, terutamanya bangsa Melayu;

Mari kita luruskan saf penyatuan
Yang semakin membengkok
Yang semakin rapuh
Bagaikan ular dipukul dipalu.

Mari kita rapatkan saf perpaduan
Yang semakin renggang
Yang semakin berpecah
Tiada lagi kekuatan bertahan
Musuh mudah menyerang
Dari depan mahupun dari belakang
Akhirnya tumbang kesemuanya.

Mari kita bangkit dari lena siang hari
Umat Melayuku umat Islamku
Saf keagamaan kita perlu diluruskan
Sejadah keluhuran perlu dibentangkan
Agar segala harta kita terjaga
Tidak terampas secara sedar
Agar paying bahasa kita terus berkembang
Agar roda ekonomi kita terus berputar
Kembali umat kita mengikat tali kekuatan.

Nah, apa lagi yang mahu dimenungdan difikirkan duhai pemimpin bangsa Melayuku, bersatulah demi agama, bangsa dan Negara. Puisi di atas cukup menyedar dan menginsafkan jika kita mahu mengambil ibrahnya.

Walaupun ia sebuah buku puisi kumpulan untuk remaja, namun secara pribadi sebagai pembaca, saya berpendapat puisi-puisi yang terkandung di dalam buku ini juga releven dibaca oleh orang dewasa. Mesej-mesejnya juga sangat baik, ada mesej bahasa, perpaduan, patriotism, pengorbanan dan sebagainya.

Rasanya cukup sekadar ini yang saya dapat ulas dari sekian banyak puisi yang terkandung di dalam buku ini, yang sempat saya ulas dari kefahaman saya sebagai pembaca. Sebenarnya banyak lagi puisi-puisi yang baik dan sangat menarik untuk diutarakan di sini, selebihnya khlayak boleh mendapakanya terus dari penulisnya sendiri atau dari gedung-gedung buku yang berdekatan dengan tempat mereka.

Akhirnya, saya mengucapkan syabas buat penulis dan penyair Cikgu Helmi Ahmad, dengan lahirnya buku ini, maka bertambahlah khazanah yang sungguh berharga buat dunia sastera tanah air tercinta kita, juga ia akan menjadi bahan tatapan untuk generasi akan datang. Semua ini dilakukan kerana niat untuk memandaikan khalayak, saya sebagai pembaca yakin semua penulis mempunyai hati nurani yang sebegitu.

Syabas dan tahniah sekali lagi buat penulis dan penyair Cikgu Helmi Ahmad. Maaf lambat dalam menulis ulasan buku ini.

Sekian.


Monday, March 2, 2015

Sajak: Pilihan Terserah Diri


Pilihan Terserah Diri
(Untuk ingatan diri diusia 41 tahun...)

Hidup ini tidak selamanya
cukup masa pulang pada-NYA
esok atau lusa entah bila-bila
bukan dalam pengetahuan
ia milik yang Empunya nyawa.

Dari sehari ke sehari
makin singkat terasa usia
dari setangga ke setangga
harus diingat usah dipersia
kena banyakkan bekalan 
kerana mati itu secara tiba-tiba.

Pada setiap diri
mesti kena muhasabah
hidup takkan kekal selama
persiapkan bekalan untuk ke sana
bukan anak bini
bukan harta benda
bukan wang ringgit
bukan darjat beza
bukan itu segala
iman taqwa penolong kita.

Ingatkan diri
setiap saat detiknya tiba
malaikat pencabut nyawa tak leka
kita sering leka alpa sentiasa
harus ingat waspada selalu
iman taqwa perkuat segala
amal soleh tanpa mengira siapa
soal jawab di sana ambil kira.

Hidup di sini
bukan untuk suka-suka semata
bukan untuk ketawa-ketawa cuma
bukan untuk bercinta-cinta hanya
bukan semata-mata itu semua
ia sementara pinjaman sahaja
hidup di dunia jambatan untuk tuju akhirat
itulah distinasi pada akhir segalanya
syurga nikmat atau neraka padahnya.

Nah...pilihan terserah
sepertinya mahu kaya dunia apa akhiratnya
pada diri bisa menjawabnya
distinasi kekal abadi
mahu derita atau bahagia.

Masshah 2015
Meru
2/03/2015.

Ole-Ole Dari Karnival Gudang Akhir Tahun 2017 Karangkraf

Beberapa buah buku  untuk koleksi bacaanku dan bilik buku. Hari kelima, hari terakhir Karnival. Buku-buku untuk cenderahati Hari ...