Ulasan Buku Kumpulan Puisi Remaja Madu Di Tangan

  



Buku Kumpulan Puisi Remaja Madu Di Tangan

Madu di Tangan merupakan buku karya kedua pemilik blog ‘Tetamu Istimewa’, iaitu penulis mampan Mohd Helmi Ahmad yang juga merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Batangkali Selangor. Karya dari Kumpulan puisi Remaja ini merupakan puisi-puisi yang terbit di majalah dan akhbar.

Beliau seorang penulis juga penyair yang sangat produktif dalam menghasilkan karya keratif, terutamanya cerpen dan puisi. Melihat kepada blog yang begitu ramai sekali pengikutnya, ini memperlihatkan karya-karya atau hasil penulisan beliau amat diikuti dan digemari oleh khalayak pembaca.

Secara pribadinya, saya amat mengkagumi kesungguhan penulis dalam berkarya, biarpun bertugas rutin menjadi guru, yang sudah pastinya sentiasa sibuk dengan tugas guru yang dipikulnya, namun beliau masih dapat berkarya.

Syabas diucapkan.Saya sebenarnya, sudah lama ingin cuba mengulas serba sedikit berkaitan buku kumpulan puisi ini, saya membelinya sewaktu pesta buku Selangor beberapa minggu yang lalu, ketika singgah di booth ITBM. Dalam tercari-cari buku apa yang saya mahu beli, mata saya terpandang buku kumpulan puisi ini, saya terus capai dan membelinya.

Buku setebal 58 muka surat ini mengandungi 50 buah puisi pelbagai mesej yang mahu disampaikan oleh penulis kepada khalayak. Dalam mengulas buku ini, saya hanya mengambil dua mesej sahaja yang terkandung dalam buku ini,iaitu mesej bahasa dan mesej perpaduan, mengikut kefahaman saya sebagai pembaca, selebihnya nanti, khalayak pembaca bolehlah membeli dan memiliki seterusnya menghadam setiap puisi yang terkandung dalam buku ini.

Antara puisi yang berkaitan dengan bahasa, penulis amat sensitif tentang bahasa ibundanya, sebagai penulis memang begitulah seharusnya peka dan menyanjung serta mempertahankan bahasa ibundanya.

Beliau mengharapakan kepada generasi kemudian hari atau masa depan, walau apa terjadi dengan pelbagai macam perubahan dalam persekitaran kehidupan mereka, tetaplah memilih bahasa ibunda sebagai bahasa utama mereka.

Lihatlah perenggan pertama hingga kelima puisi yang bertajuk ‘Memilih Bahasa Ibunda’, di muka surat pertama.

Biarpun kau lahir nanti
Dikepungi menara tertinggi di dunia
Mencakar bumbung langit
tetaplah memilih bahasa ibunda.

Biarpun kau lahir nanti
Dikelilingi jiran berwarganegara asing
Berambut perang berkulit putih
Tetaplah memilih bahasa ibunda

Biarpun kau lahir nanti
Disekolahkan di Negara bermusim cuaca
Pengantarnya bahasa pernah menjajah negar
Tetaplah memilih bahasa ibunda.

Biarpun kau lahir nanti
Dikenderai pelbagai rupa dan nama
Memacu di lebuh kemajuan
Tetaplah memilih bahasa ibunda.

Biarpun kau lahir nanti
Ditengah kota raya
Berjiran dengan warga asing
Yang menghantarmu ke sekolah
Kenderaan berjenama pelbagai nama
Usah ragu dan bimbang
Tetaplah memilih bahasa Melayu
Bahasa ibunda menjulang martabat bangsa.

Begitulah kepekaan dan harapan penulis juga penyair mengharapakan apa sahaja yang berlaku pada generasi kini dan akan datang, di mana pun mereka berada tempat dan situasinya, bahasa ibunda, bahasa Melayu hendaklah diutamakan kerana ia merupakan apa yang diungkapakan dalam puisi pada para terakhir;

‘Bahasa ibunda menjulang martabat bangsa.’

Suka saya kemukakan sebuah lagi puisi yang bermesejkan kepekaan penulis berkaitan bahasa. Isu bahasa merupakan isu yang sangat sensitif dan ia sangat releven dari dahulu, kini dan selama-lamanya. Banyak isu tentang bahasa, seperti isu penggunaan bahasa inggeris dalam pengajaran mata pelajaran sains dan matematik, dalam ulasan buku ini, bukanlah saya mahu mengupas isu ini, ini sebagai contoh dari sekian pelbagai isu yang melingkari dalam isu bahasa di tanah air kita.

Ya , semua mengakui bahasa sangat penting, begitu penulis buku ini, dalam muka surat lapan belas, puisi bertajuk ‘Memeta Kegemilangan Bahasa’, penulis lebih mengimbau dan mengajak khalayak melihat sejarah lampau, bagaimana bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda kita yang seketika masa lalu telah menjadi bahasa ‘Lingua franca’(bahasa perantara). Ia telah menjadi bahasa perantara dalam pentadbiran, perhubungan, kesusateraan dan sebagainya. Itulah sejarah lampau yang seharusnya diambil ibrah oleh generasi hari ini dan kemudian nanti.

Dan perlu diingat kepada generasi kini dan akan dating, bahawa bahasa Melayu pernah di zaman keemasannya dan akhirnya nanti Bahasa Melayu akan tetap utuh dan terus gemilang hingga ke akhir zaman.

Sejarah bahasa direntangkan di laut
Di langit ditulis akasara sayang
Dengan tinta kecintaan yang pekat
Tamadun yang indah mengembang
Di gugusan Nusantara.

Dunia ini semaki membiak
Benih harapan yang tersebar
Dari mulut para pedagang
Dari lidah para mualim
Daripada rasa cendekiawan
Bersatu dalam jitu
Memartabatkan bahasa keilmuan.

Bahasa Melayu dalam sejarah dunia
Memeta kegemilangan
Meletakkan satu pertimbangan
Takkan hilang ke akhir zaman.


Mesej kedua antara puisi-puisi yang terdapat di dalam buku ini ialah perpaduan, jika ia boleh dikatakan sebagai mesej perpaduan. Mungkin penulis atau penyair sendiri melihat semakin lemah dan lunturnya hubungan sesama kaum yang berlaku ditanah air kita waktu itu dan kini, semacam ada kegoyahan hubungan sesama bangsa. Kontrak sosial yang sudah lama terjalin semakin hari semakin goyah. Ia merupakan warisan nenek moyang yang perlu dan mesti dipertahankan.

Penulis begitu sensitif  berkaitan persoalan ini. Ini digambarkan dalam rangkap atau perenggan pertama dan kedua dalam puisi yang bertajuk ‘Gelas Perpaduan’ di muka surat tujuh belas;

Mengapa kita  perlu
Pecahkan gelas perpaduan
Yang nenek moyang kita hidangkan
Di dulang permuafakatan
Sejak sekian lama.

Gelas perpaduan
Harus dipelihara
Kerana di dalamnya
Mengandungi
Keharmonian
Kesaksamaan
Kemanisan
Madu-madu kebahagiaan.

Dan pada akhirnya penulis mengharapkan, perpaduan harus dipertahankan dengan ubat mujarab iaitu bersatu padu agar nantinya berkesinambungan menjadi sebuah legasi untuk generasi akan datang.

Pegangnlah gelas perpaduan
Dengan bersatu padu
Agar ia tidak pecah
Bertaburan
Kelak menjadi legasi keamanan
Buat generasi nusa dan bangsa.

Sebuah lagi puisi bermesejkan perpaduan bertajuk ‘Mari Kita Luruskan Saf’, penulis atau penyair mengajak agar kita semua meluruskan saf atau barisan, kerana penyair melihat perpaduan yang dilihat semakin goyah seperti ular yang dipukul dipalu, ini bermaksud saf atau barisan semakin bengkang bengkok, melambangkan perpaduan semakin luntur dan goyah, ini sangat membahayakan dan musuh mudah sahaja boleh menumbangkan kesatuan kita sebagai bangsa Melayu.

Mari kita renung sejenak, melihat apa yang sedang berlaku dan terjadi berkaitan perpaduan ini. Dengan kepelbagaian kaum, bangsa budaya dan agama, ditambah lagi dengan kepelbagaian ideologi politik, telah menyebabkan kesatuan atau perpaduan ini semakin hari semakin goyah, dek hasutan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Bangsa Melayu terutamanya, semakin hari semakin kusut dengan pertentangan dan perbezaan ideologi politik sempit dan perkauman. Ini sangat membahayakan kesatuan bangsa Melayu. Masing-masing masih tidak mahu bertolak ansur meninggalkan titik bengik demi perpaduan Melayu.

Mereka asyik mementingkan politik masing-masing. Kita mengharapkan, parti-parti politik dikalangan bangsa Melayu memikirkan persoalan yang besar ini. Jika mahu melihat bangsa Melayu menjadi empayar,sekali lagi. Para pimpinan bangsa Melayu harus sedar dan memikirkan masa hadapan bangsa Melayu ini, namun tidaklah sampai mengkesampingkan bangsa lain.

Namun keutamaan luruskan saf atau barisan bangsa Melayu jika mahu terus unggul seperti pada masa lalu. Melayu dengan agama Islam tidak boleh dipisahkan seperti yang termaktub dalam perlembagaan, ia sangat signifikan sewajarnyalah pimpinan bangsa Melayu, baik dari politik mana pun mengambil perkara ini sebagai keutamaan. Sampai bila harus bersengketa? Dan sampai bila asyik lena di siang hari?. Penulis atau penyair sudah memberikan tunjuk caranya…sedarlah bangsaku…

Nah, cuba hayati puisi ini keseluruhannya, satu ajakan yang sangat baik dan harus diambil perhatian oleh semua orang, terutamanya bangsa Melayu;

Mari kita luruskan saf penyatuan
Yang semakin membengkok
Yang semakin rapuh
Bagaikan ular dipukul dipalu.

Mari kita rapatkan saf perpaduan
Yang semakin renggang
Yang semakin berpecah
Tiada lagi kekuatan bertahan
Musuh mudah menyerang
Dari depan mahupun dari belakang
Akhirnya tumbang kesemuanya.

Mari kita bangkit dari lena siang hari
Umat Melayuku umat Islamku
Saf keagamaan kita perlu diluruskan
Sejadah keluhuran perlu dibentangkan
Agar segala harta kita terjaga
Tidak terampas secara sedar
Agar paying bahasa kita terus berkembang
Agar roda ekonomi kita terus berputar
Kembali umat kita mengikat tali kekuatan.

Nah, apa lagi yang mahu dimenungdan difikirkan duhai pemimpin bangsa Melayuku, bersatulah demi agama, bangsa dan Negara. Puisi di atas cukup menyedar dan menginsafkan jika kita mahu mengambil ibrahnya.

Walaupun ia sebuah buku puisi kumpulan untuk remaja, namun secara pribadi sebagai pembaca, saya berpendapat puisi-puisi yang terkandung di dalam buku ini juga releven dibaca oleh orang dewasa. Mesej-mesejnya juga sangat baik, ada mesej bahasa, perpaduan, patriotism, pengorbanan dan sebagainya.

Rasanya cukup sekadar ini yang saya dapat ulas dari sekian banyak puisi yang terkandung di dalam buku ini, yang sempat saya ulas dari kefahaman saya sebagai pembaca. Sebenarnya banyak lagi puisi-puisi yang baik dan sangat menarik untuk diutarakan di sini, selebihnya khlayak boleh mendapakanya terus dari penulisnya sendiri atau dari gedung-gedung buku yang berdekatan dengan tempat mereka.

Akhirnya, saya mengucapkan syabas buat penulis dan penyair Cikgu Helmi Ahmad, dengan lahirnya buku ini, maka bertambahlah khazanah yang sungguh berharga buat dunia sastera tanah air tercinta kita, juga ia akan menjadi bahan tatapan untuk generasi akan datang. Semua ini dilakukan kerana niat untuk memandaikan khalayak, saya sebagai pembaca yakin semua penulis mempunyai hati nurani yang sebegitu.

Syabas dan tahniah sekali lagi buat penulis dan penyair Cikgu Helmi Ahmad. Maaf lambat dalam menulis ulasan buku ini.

Sekian.


Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi