MENULIS SELAGI MASIH ADA HAYAT

Saturday, July 26, 2014

Nota Ramadhan: Alahai Tak Faham-Faham Lagi


Belum pun ramadhan melabuhkan tirainya, sudah macam-macam kes mercun terjadi. Pelik ajaib, dikatanya mercun itu diharamkan, tapi mengapa begitu mudah mendapatkannya. Apa yang sudah berlaku sebenarnya?. Apakah ada penyelewengan?.

Entahlah, dua hari lepas aku dan familiku pergi ke Kompleks PKNS Shah Alam. Sewaktu balik, melihat di tepi-tepi gerai terlihat beberapa buah meja, menjual pelbagai jenis mercun dan bunga api. Dalam hati tertanya-tanya, sudah boleh jual mercun  dan bunga api kah?.

Saban tahun, ada sahaja kes terkena mercun, baik buatan sendiri atau sebaliknya. Mengapa mereka tak ambil iktibar yang lepas-lepas, masih tidak faham-faham lagikah?. Mengapa masih mahu membahayakan diri sendiri?. Bukankah bahaya, ya...selagi yang bernama manusia, begitulah sikap mereka.

Manusia kan degil, diberi peringatan selalu pun tak mahu ambil kesah, akhirnya diri sendiri yang susah. Ada sahaja kes putus jari, jari melecur dan sebagainya saban tahun,  minggu ini satu kes akibat main mercun bola, kehilangan dua jari tangan kanan, macam mana ni, tak faham-faham lagi ke?.

Apa kata mangsa;

“Bila dengar bunyi mercun, rasa berdebar dan trauma. Jika tahu  main mercun boleh putus jari, sumpah saya tak main.”

Apa katanya lagi;

“Saya terpaksa reda apabila dua jari tangan kanan sudah tiada akibat mercun. Kini jangan nak kata main mercun, dengar orang sebut mercun saja, sudah kecut perut. Namun, semu sudah berlaku dan saya harap remaja lain tak ikut apa yang saya lakukan sebelum ini.
     
Jangan insaf hanya selepas anggota kita hilang akibat mercun. Jadikan kisah saya sebagai teladan untuk berhenti main mercun.”

Mangsa, Mohd Idham Syafiq Mohd Tahir, 14 tahun.
(Akhbar Berita Harian, Rabu Julai 2014)

Siapa yang mahu dipersalahkan?. Kerajaan?, Menteri?, Kastam?, Guru-guru?, para ulamak?, ustaz ustazah?, ibu bapa atau diri mereka?. Nah...anda semua sudah baca kenyataan si mangsa di atas, apa perasaan anda?. Terpulang pada diri masing-masing. Aku sudah malas menulis tentang perkara ini sebenarnya, tetapi melihat ianya masih tidak pernah berakhir, aku terpaksa juga tulis perkara ini. Seperti yang aku lontarkan persoalan tentang siapa yang perlu dipersalahkan tentang perkara ini di atas.

Aku merasakan, penguatkuasaan masih tidak kuat, aku yakin masih ada penyeludupan mercun secara haram kalau tidak mengapa aku lihat semakin dibenteras semakin ada lagi. Benar-benarkah mereka melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh mereka?.

Cukuplah sudah sebelum amarahku semakin membuak-buak memikirkan perkara ini. Terpulanglah pada setiap masyarakat untuk memikirkannya lagi, bagaimana seharusnya lagi kes-kes putus jari akibat mercun ini mahu dihentikan.


Sajak: Palestin Bercahaya Nanti



Palestin Bercahaya Nanti

Berbicara soal palestin
berbicara tentang kebebasan
berbicara tentang perjuangan
berbicara tentang kejujuran.

Palestin takkan hilang dari peta dunia
kemenangan makin terasa upaya
sinarnya semakin bergemerlapan
biar azab dibedil dizalimi berterusan.

Masanya telah tiba sinar palestin
ummah seantero bakal menyaksikan
detik kebebasan sebuah kota nestapa
cahayanya menerangi seluruh benua.

Palestin namamu terus harum
menjadi sebutan ummah di mana-mana
kebebasan yang dijanjikan terserlah
dunia kembali aman harmoni tenteram.

Sirnalah kezaliman...bercahaya al-falah
Palestin satu nama yang terus hidup mewangi.

Masshah 2014
15072014
Meru.

Nota Ramadhan: Bulan Ramadhan Bulan Al-Quran



Bulan ramadhan juga terkenal dengan  bulan Al-Quran. Bulan di mana di dalamnya di turunkan Al-Quran. Kitab yang diturunkan kepada Nabi SAW untuk panduan seluruh manusia.
                                    
Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).”

(Surah Al-Baqarah: 185)

Membaca al-quran amat digalakkan di dalam bulan ramadhan. Nabi SAW sering membaca al-quran bila tibanya ramadhan.

Dalam sebuah hadis;

“Bahawasanya pengkajian terhadap al-quran antara  Muhammad dengan Jibril terjadi pada malam bulan ramadhan.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Sesungguhnya quran merupakan kitab aturan Allah SWT yang lengkap, manual yang seharusnya menjadi pegangan setiap muslim. Ia juga pengubat hati yang lara, di dalamnya terkandung pelbagai berita, cerita, perumpamaan, siasah, ekonomi, perjuangan, pengajaran, peringatan, pembalasan, dan pelbagai lagi hikmah di dalamnya.

Sudah sewajarnya, di bulan yang indah suci ini, kita sama-sama membacanya, sama ada secara berkumpulam mahu pun bersendirian bersama keluarga mahu pun teman-teman sepejabat ketika waktu rehat. Di mana jua kita berada, di dalam kereta pun, di kapal terbang, dan di mana pun kita masih boleh membuka dan membacanya.

Kemudahan teknologi yang ada sangat menyenangkan, buka sahaja ipad, ipod, tab, laptop, dan selainya sudah cukup memudahkan untuk kita mencapai dan membacanya. Tiada alasan lagi untuk kita tidak membacanya. Alhamdulillah, waktu ini, di mana-mana masjid atau surau selesai sahaja moreh, mereka akan adakan taddarus al-quran, malah ada secara berkumpulan, yang dewasa, remaja dan kanak-kanak juga turut serta.


Begitulah hebatnya ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini. Mudah sahaja untuk kita membuat amal ibadah, siapa lebih, dialah yang akan untung, tapi bila sebaliknya, maka fikir-fikirkanlah bersama. Semoga kita tergolong dari golongan yang lebih itu. Sempena Nuzul Quran tahun ini, aku ucapkan selamat hari Nuzul Quran, semoga Al-Quran terus menjadi sahabat sejati kita semua.

Nota Ramadhan: Bazar Berpada-Padalah

Setiap tahun, bila menjelangnya bulan ramadhan, di mana-mana pelusuk tanah air, di desa mahu pun di kota. Ramai dikalangan kita akan mengambil peluang untuk membuka bisnis kecil-kecilan, untuk menambahkan pendapatan. Ada yang membuka jualan di tepi-tepi jalan secara solo, di simpang-simpang jalan, dan ada yang secara berlesen di tempat-tempat yang dikhaskan.

Mereka menjual pelbagai jenis lauk pauk, kuih-muih, air minuman dan sebagainya. Macam-macam pilihan boleh kita beli, kuih yang kita tidak pernah nampak pun boleh kita jumpa. Terpulang pada pembeli yang mahu membelinya. Asal tidak membazir. Takut nanti dikata berkawan dengan saitaon.

Terkenal dengan panggilan ‘Bazar Ramadhan’, di mana-mana tempat pun, justeru sebagai pembeli seharusnya bijak untuk berbelanja. Secara pribadi, tidak ada salahnya wujudnya apa yang dikatakan bazar ramadhan ini. Dari satu segi, ia boleh memberi kemudahan kepada suri rumah yang sibuk dan tidak sempat membuat persediaan berbuka puasa. Maklum suami isteri berkerja, tiada masa untuk semua itu.

Aku ada persepsi sendiri tentang bazar ramadhan ini, antaranya;

Penjual

Selaku penjual atau peniaga, biarlah serba serbinya jujur. Jujur dalam urusan jual beli. Dari segi harga, saiz kuih, kuantiti dan lain-lainnya itu semua haruslah diambil kira oleh penjual. Itu semua demi keberkatan rezeki yang diterima. Bila jujur dalam segala jual beli, maka pahalanya juga besar. Dari segi pakaian, biarlah menepati syariat, menutup aurat, baik lelaki mahu pun perempuannya. Usahlah mendedahkan sebahagian aurat, menutup sebahagian aurat, itu belum cukup sempurna.

Bulan baik, kenalah jaga adab dan pantang larangnya, peniaga muslim seharusnya mengambil perhatian ini, bahkan selaku pembeli juga kena prihatin tentang perkara ini. Halal haram dan bersih sangat signifikan dalam kehidupan muslim. Insyallah, aku yakin jika setiap peniaga mengamalkan nilai-nilai yang baik seperti yang aku sebutkan di atas, pasti keuntungan berganda akan mereka nikmati. Duit dapat, pahala pasti dapat berganda.

Pembeli

Pembeli ada bermacam jenis, ada yang boros dan ada yang jimat. Aku yakin, kita semua ini, pembeli yang jimat, mana yang perlu sahaja kita beli. Bergantung kepada bilangan ahli keluarga, maklum suami isteri bekerja hingga ke petang, tidak sempat untuk memasak, maka dengan itu ada waktunya kena beli di Bazar, di sinilah kebijakan kita untuk berbelanja, sama ada jimat atau boros (bazir).

Pilihlah mana yang perlu bila membeli, minuman, kuih muih, lauk pauk, belilah mengikut saiz keluarga kita, maksudnya, bila beli boleh habis, tidak ada yang sampai berlebihan sehingga dibuang, bukankah itu sudah membazir?. Kecualilah niat untuk disambung bila waktu sahur nanti. Ya...Jangan membazir!.

Mereka yang berkerja shif petang, mereka tidak balik, mereka akan keluar membeli di luar, masing-masing mahu berbuka puasa, lihat sana mahu, lihat sini mahu, semua mahu dibeli, terlalu ikut nafsu makan, akhirnya tidak habis, bukankah sudah membazir, jika tidak dimakan, maklum masing-masing sudah kekenyangan, akhirnya dibuang begitu sahaja.


Segalanya bergantung pada sikap diri individu, pilihan pada diri masing-masing. Sebab itu kebijaksanaan sebagai pembeli mesti wujud pada diri masing-masing. Apa yang penting jangan boros dan membazir dalam perbelanjaan. Tidak ada salahnya wujudnya bazar ramadhan, ia ada kebaikannya juga, yang penting dua elemen yang aku tuliskan di atas saling bijaksana dalam menjalani kehidupan mereka.

Sajak: Puasa Itu

Puasa Itu

Puasa sihat
puasa jangan maksiat
puasa bermasyarakat
puasa dalam taat.

Puasa bermaruah
puasa jangan rasuah
puasa nafsu susah
puasa tinggal serakah.

Puasa lelah
puasa jangan tinggal ibadah
puasa tinggal marah
puasa amanah.

Puasa bersatu padu
puasa jangan lupa mengadu
puasa mohon restu
puasa kuasa penentu.

Puasa ikut waktu
puasa jangan boros selalu
puasa tidak menipu
puasa kewajipan dari Yang Maha Satu.

Masshah 2014
26062014
Meru.

Nota Ramadhan: Muhasabah Kematian Untuk Diriku

Cahaya ramadan masih bersinar penuh bergemerlapan, di mana benua mana pun cahaya tetap bersinar sama, ia masih menanti insan-insan yang masih belum mahu merebut kelebihannya. Ramadan tidak mahu mungkir janji pada janji-janji yang ada padanya. Ia janji yang telah dimeterai oleh yang Maha Agung.

Alangkah beruntung dan bertuahnya sesiapa yang menerima janji-janji tersebut. Ramadan pasti, ramadan suci tetap di sanubari insan-insan beriman, mereka tidak mahu meninggalkan ramadan, sebab itu bila ramadan mahu pergi, mereka pasti sedih dan menangisi pemergian ramadan.

Namun takdir tidak siapa mampu melawan, semua itu ketentuan Allah SWT, sama ada insan yang pergi dahulu atau ramadan pergi dahulu bila saat janji pertemuan berakhir, yang pergi tetap pergi. Begitulah nasib insan, belum tentu, bila, di mana dan bila sampai saatnya pun kita tidak tahu.

Semuanya di dalam kekuasaan-Nya, mungkin hari ini sihat segar bugar, esok kita dengar sudah dipanggil Ilahi. Baharu semalam kita jumpa di Bazar Ramadhan, tahu-tahu esoknya sudah dipanggil Ilahi. Begitulah kehidupan, yang hidup pasti menemui kematian. Kematian yang kita sendiri tidak tahu bila saatnya.

Maka dengan tidak ketahuan itulah, sudah sewajarnya membuatkan diri kita beringat, sentiasa mempertingkatkan amal soleh, banyakkan bertaubat kerana bila-bila masa nyawa kita boleh dicabut. Dalam bulan yang mulia ini, kita ambil peluang seluas-luasnya untuk bermuhasabah diri, merenung diri, apakah sudah cukup nanti bila nyawa dikembalikan pada empunya-Nya?.

“Setiap yang bernyawa pasti akan menemui maut...”

Maksud Al-Quran.
“Dan Allah tidak sekali-kali menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya.Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.”
(Al-Minafiqun:11)

Justeru itu, ramadhan yang masih ada ini, janganlah kita tinggalkannya tanpa membuat apa-apa untuk diri sendiri, keluarga, anak-anak dan isteri juga para sahabat kita,  perbanyakkanlah amal soleh. Kita sedia maklum, dengan gandaan pahala yang dijanjikan. Mudah-mudahan ia akan membantu kita bila dijemput oleh Allah SWT ke alam yang abadi nanti.

Nota Ramadhan: Amal Ibadah Di Mana Sahaja



Alangkah indahnya ramadan, setiap saat dan waktu amat berharga sekali, janganlah hendaknya aku menjadi insan yang rugi. Mengharungi ramadan dengan penuh sabar, iman dan taqwa itulah sumber kekuatan dalaman insan. Bermunajat, berdoa, berzikir, membaca quran, solat taubat, dan amal ibadah yang lainnya menjadi rutin harian, setiap pagi, petang dan malam.

Namun aku, lakukannya mengikut kadar kemampuanku, namun tidaklah sehingga meninggalkan kesemuanya, faktor kerja yang begitu, adakalanya amat sukar untuk mempraktiskan. Waktu solat, alhamdulillah, masih diizinkan berjemaah bersama-sama kawan di surau kilang, waktu berbuka jika aku shif petang, masih bisa berbuka bersama anak-anak dan isteri, segalanya dipermudahkan dan dengan izin-Nya. Biar sekecil mana amal perbuatan, semoga Allah SWT tetap menilainya, itulah harapanku di ramadan kali ini.

Situasi kerja bagaimana pun bukanlah alasan untuk tidak melakukan amal ibadah, tidak semestinya menuntut kita duduk 24 jam di tikar atau sejadah. Dalam situasi kerja pun masih bisa untuk kita mengungkapakan kata zikir indah, biar dalam hati tapi berterusan. Manfaatkan setiap saat yang ada untuk mengingati Allah SWT,...Allah...Allah...Allah..., sesekali bisikan dalam hati berdoa, mohon keampunan, rahmat, dan keberkatan hidup, bukankah Allah SWT Maha Mendengar setiap bisikan hati hamba-hambanya?.

“Dengan mengingati Allah SWT hati akan tenang...”

(Maksud Quran)

Indah dan mudah bukan?, ruang-ruang waktu kosong di pejabat boleh juga dimanfaatkan untuk baca al-quran, mungkin tidak perlu membawa kitab, maklum di dalam pc, telefon bimbit, dan segala macam alat gadjet amat mudah dicapai perisian al-quran, baca dan baca...mahu tidak mahu sahaja untuk kita melakukannya. Segalanya mudah di hadapan mata kita. Biar bermanfaat ruang waktu yang ada, dari berborak, berbual-bual kosong yang mana boleh menjerumuskan diri dari dosa mengumpat, mengutuk, mencerca tanpa disedari.


Buat yang berkerja seperti aku, ruang-ruang waktu kosong amat bermanfaat digunakan untuk membaca, aku lebih pada membaca buku, lebih bermanfaat rasanya dari aku berborak hu ha hu ha dengan kawan-kawan, ya memang itulah kebiasaan yang aku lakukan bila ruang kosong tidak melakukan kerja, dari terbuang begitu sahaja. Mudah-mudahan pembacaan yang aku lakukan mendapat ganjarannya sebagi amal ibadah. 

Amin Ya Rabb...Rahmatilah hamba-Mu ini.

Friday, July 25, 2014

Nota Ramadhan: Kerja Berat Bukan Alasan Tidak Berpuasa



Minggu pertama puasa aku bekerja shift petang, begitulah jadual rutinku setiap minggu berganti. Namun begitu tidak menghalang untuk tidak berpuasa, itu bukan alasannya, puasa satu kewajipan yang mesti ditunaikan oleh setiap insan muslim yang sihat bugar, kecuali mereka yang diizinkan oleh syariat untuk tidak berpuasa.

Dugaan berpuasa bagi aku yang kerja shif petang, biasanya sewaktu mahu pergi kerja sekitar jam 2.45 petang, cuaca yang panas terik dalam perjalanan, sungguh memberi dugaan, insan seperti aku. Maklum sahaja, sekarang cuaca begitu panas sekali, apa pun aku tetap sabar dan tabahkan hati, mahu buat macam mana, jadual kerja sudah begitu. Terimalah sahaja apa pun...

Melihat kawan-kawan yang bekerja di bahagian pembancuhan sangat simpati, mereka bekerja dengan kudrat yang diberikan oleh Allah SWT untuk mereka. Mereka lakukan dengan sabar sekali biar dalam keadaan berpuasa. Walaupun kerja berat, tapi itu bukan alasan untuk tidak berpuasa dan  tidak membuat kerja. Saban tahun begitulah situasi mereka, aku yakin mereka sudah cukup faham tentang tugas mereka.

Mengimbau 1400 tahun yang lalu, bagaimana para sahabat nabi SAW berjuang dan berjihad di medan peperangan, dengan bekalan iman dan taqwa di dada-dada mereka, dalam keadaan berpuasa, di padang pasir, panas terik, bertempur dengan para musuh, lalu mereka berjaya menumpaskan musuh-musuh mereka. Itulah berkat berpuasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Hebatnya ujian mereka berbanding kita...

Lalu alasan apa untuk mereka yang sihat bugar tidak mahu berpuasa?. Sebenarnya tiada alasan untuk mereka. Saban tahun ramadhan hadir menemui kita, untuk memberikan peluang kepada kita untuk mengambil keberkatannya, dengan mengisi ramadhan dengan amal ibadah, amal soleh dan sebagainya. Peluang dan ruang yang ada, sepatutnya kita  rebut selagi nyawa masih ada. Kekuatan dan semangat yang diberikan kepada kita sewajarnya kita manfaatkan. Rugi jika ditinggalkan!.

Alhamdulillah, ramadhan masih setia menanti kita, untuk diraikan dan diimarahkan. Suasana di surau atau masjid di mana-mana pun waktu ini masih tetap meriah dan imarah sekali. Syukur, biar aku tidak dapat berjemaah untuk solat terawih di masjid, aku masih berpeluang menunaikan solat terawih di surau kilang, tiada halangan untuk menunaikannya. Aku manfaatkan ruang kosong selesai melakukan kerja untuk bersolat terawih, biar pun keseorangan, maklum masing-masing sedang bertugas di tempat masing-masing.

Walau apapun aku bersyukur, kerana diberi kekuatan untuk menunaikan solat terawih, tanpa kekuatan yang diizinkan-Nya, belum tentu aku boleh menunaikannya.

Syukur pada-Mu Ya Rabb!.


Sajak: Puasa Itu Kuasa



Puasa Itu Kuasa

Kuasa menahan lapar dahaga
Kuasa menahan nafsu serakah
Kuasa mengekang nafsu syahwat
Kuasa menyekat nafsu mengumpat
Kuasa menyekat maksiat sesat
Kuasa segala-galanya.

Berbicara baik-baik bila puasa
Menulis baik-baik bila puasa
Melihat baik-baik bila puasa
Mendengar baik-baik bila puasa
Berbisik yang baik-baik bila puasa
Berkuasa baik-baik bila puasa.

Berpuasa kerana Yang Kuasa
Niat puasa kerana Yang Kuasa
Bersahur kerana Yang Kuasa
Puasa seikhlasnya Yang Kuasa
Berbuka kerana Yang Kuasa
Amal ibadah kerana Yang Kuasa.

Hasil puasa jiwa merdeka
Hasil puasa iman bertambah
Hasil puasa jaga tutur kata
Hasil puasa akhlak terjaga
Hasil puasa jiwa hamba
Hasil puasa melahirkan TAQWA.

Masshah 2014
15072014

Meru.

Nota Ramadhan: Ramadan Berkumpul Bersama Ahli Keluarga


Hari pertama berpuasa (Ahad-29hb 06 2014M/1Ramadan 1435H)), aku berbuka puasa di rumah emak. Kami telah berpakat untuk beramai-ramai berbuka di sana. Aku telah menghantar sms kepada setiap adik beradik yang berdekatan, dengan tujuan untuk memberitahu kepada mereka untuk berbuka beramai-ramai di rumah emak dan bapak. Niatku untuk membuat tahlil ringkas sebelum masuk waktu berbuka, hadiah bacaan tahlil dan doa khusus untuk Almarhum adik dan arwah-arwah yang telah meninggal dunia.

Seronok tak terhingga bila berbuka puasa beramai-ramai, hari pertama puasa di hujung minggu, sudah pasti ramai yang berbuat begitu, hari minggu terakhir bulan jun kita berpuasa. Aku yakin ramai yang balik kampung semata-mata mahu berbuka puasa bersama keluarga mereka. Bila ramai-ramai balik sudah tentunya masing-masing membawa pelbagai juadah berbuka, kuih muih, lauk pauk dan bermacam jenis minuman, rezeki berpuasa di bulan ramadan.

Begitulah suasana berbuka puasa hari pertama pada Ahad yang lepas, bertambah dengan karenah anak-anak kecil. Mereka pun turut ghairah untuk berbuka puasa, macamlah berpuasa pula...alah dulu-dulu aku pun macam mereka juga. Syukur pada tahun ini masih dapat berbuka dengan kedua-dua orang tua. Menatap wajahnya rasa sebak, mengingatkan sejak dari aku kecil hinggalah aku sudah mempunyai anak, mereka tetap melayani kami seperti dahulu, anak-anak sudah duduk sedia untuk menunggu berbuka emak masih sibuk lagi di dapur, ada sahaja kerja dibuatnya.

Dalam hati hanya berdoa, semoga emak terus diberi kesihatan, kekuatan dan kebahagian dalam mengharungi liku-liku kehidupannya. Bapa pula tidak seperti tahun lepas, semenjak sakit akibat eksiden dilanggar motor, bapak masih terlantar dipembaringannya, usianya pun sudah lanjut, kesan dari eksiden, bapak sudah tidak lancar jalannya, sesekali boleh berjalan tetapi tidak seagerisif dahulu, kini banyak di tempat pembaringannya, sakit ototnya masih tidak sembuh. Semoga bapak bersabar dengan ujian yang menimpanya. Anak-anak sentiasa mendoakan kesihatan, kekuatan dan kebahagian dalam hidupnya.

Aku yakin kedua-duanya amat gembira, bila ramai-ramai berkumpul di rumahnya, ayah ibu manalah yang tidak suka anak-anakanya datang ke rumahnya kan’?. Waktu-waktu beginilah indahnya dapat berkumpul beramai-ramai, mahu harap hari-hari seperti ini, amat sukar sekali, maklum masing-masing ada rumahtangga sendiri yang mahu diurus tadbir, kesempatan hujung minggu inilah seharusnya anak-anak berkumpul di rumah ibu ayah mereka. Anak-anak kena faham, ayah ibu mahu perhatian dari mereka.

Memori ini, tak mungkin akan aku lupakan, selagi ada emak dan bapak, aku akan tetap rindukan suasana seperti ini, berkumpul beramai-ramai. Setiap kali ramadan tiba dan masa akan datang, ia akan memberikan aku kenangan yang sentiasa bermain difikiran ini. Aku tak dapat bayangkan sekiranya, antara mereka berdua, ada yang terlebih dahulu meninggalkan anak-anak, ahh...betapa sejauh itu aku memikirkannya, sedih dan amat sedih, itu hanya mainan khayalanku...atau akukah yang meninggalakan mereka terlebih dahulu, semua itu ketentuan Allah SWT. Ya...sejauh itu aku pergi memikirkannya. Hanya Allah Yang Tahu.

Bagaimanalah orang lain meraikan ramadan tanpa ayah ibu tersayang?. Cukuplah, aku tak bisa membayangkan saat-saat itu. Ramadan tetap ceria dan bahagia, aku yakin semua orang akan mengalaminya nanti. Semoga ramadan pertama ini akan berulang kembali pada masa akan datang, semua dengan izin Allah SWT. “Ya Rabb...terimalah puasa dan amal ibadah kami sepanjang ramadan ini, KAU...berilah keampunan kepada kedua ibu bapaku, berikanlah kesihatan, kekuatan dan kebahagian dalam hidupnya...Amin Ya Rabb...”


Indahnya puasa pertama...akan tetap dalam ingatan.

Ole-Ole Dari Karnival Gudang Akhir Tahun 2017 Karangkraf

Beberapa buah buku  untuk koleksi bacaanku dan bilik buku. Hari kelima, hari terakhir Karnival. Buku-buku untuk cenderahati Hari ...