Nota Ramadhan: Kerja Berat Bukan Alasan Tidak Berpuasa



Minggu pertama puasa aku bekerja shift petang, begitulah jadual rutinku setiap minggu berganti. Namun begitu tidak menghalang untuk tidak berpuasa, itu bukan alasannya, puasa satu kewajipan yang mesti ditunaikan oleh setiap insan muslim yang sihat bugar, kecuali mereka yang diizinkan oleh syariat untuk tidak berpuasa.

Dugaan berpuasa bagi aku yang kerja shif petang, biasanya sewaktu mahu pergi kerja sekitar jam 2.45 petang, cuaca yang panas terik dalam perjalanan, sungguh memberi dugaan, insan seperti aku. Maklum sahaja, sekarang cuaca begitu panas sekali, apa pun aku tetap sabar dan tabahkan hati, mahu buat macam mana, jadual kerja sudah begitu. Terimalah sahaja apa pun...

Melihat kawan-kawan yang bekerja di bahagian pembancuhan sangat simpati, mereka bekerja dengan kudrat yang diberikan oleh Allah SWT untuk mereka. Mereka lakukan dengan sabar sekali biar dalam keadaan berpuasa. Walaupun kerja berat, tapi itu bukan alasan untuk tidak berpuasa dan  tidak membuat kerja. Saban tahun begitulah situasi mereka, aku yakin mereka sudah cukup faham tentang tugas mereka.

Mengimbau 1400 tahun yang lalu, bagaimana para sahabat nabi SAW berjuang dan berjihad di medan peperangan, dengan bekalan iman dan taqwa di dada-dada mereka, dalam keadaan berpuasa, di padang pasir, panas terik, bertempur dengan para musuh, lalu mereka berjaya menumpaskan musuh-musuh mereka. Itulah berkat berpuasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Hebatnya ujian mereka berbanding kita...

Lalu alasan apa untuk mereka yang sihat bugar tidak mahu berpuasa?. Sebenarnya tiada alasan untuk mereka. Saban tahun ramadhan hadir menemui kita, untuk memberikan peluang kepada kita untuk mengambil keberkatannya, dengan mengisi ramadhan dengan amal ibadah, amal soleh dan sebagainya. Peluang dan ruang yang ada, sepatutnya kita  rebut selagi nyawa masih ada. Kekuatan dan semangat yang diberikan kepada kita sewajarnya kita manfaatkan. Rugi jika ditinggalkan!.

Alhamdulillah, ramadhan masih setia menanti kita, untuk diraikan dan diimarahkan. Suasana di surau atau masjid di mana-mana pun waktu ini masih tetap meriah dan imarah sekali. Syukur, biar aku tidak dapat berjemaah untuk solat terawih di masjid, aku masih berpeluang menunaikan solat terawih di surau kilang, tiada halangan untuk menunaikannya. Aku manfaatkan ruang kosong selesai melakukan kerja untuk bersolat terawih, biar pun keseorangan, maklum masing-masing sedang bertugas di tempat masing-masing.

Walau apapun aku bersyukur, kerana diberi kekuatan untuk menunaikan solat terawih, tanpa kekuatan yang diizinkan-Nya, belum tentu aku boleh menunaikannya.

Syukur pada-Mu Ya Rabb!.


Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi