Nota Ramadhan: Ramadan Berkumpul Bersama Ahli Keluarga


Hari pertama berpuasa (Ahad-29hb 06 2014M/1Ramadan 1435H)), aku berbuka puasa di rumah emak. Kami telah berpakat untuk beramai-ramai berbuka di sana. Aku telah menghantar sms kepada setiap adik beradik yang berdekatan, dengan tujuan untuk memberitahu kepada mereka untuk berbuka beramai-ramai di rumah emak dan bapak. Niatku untuk membuat tahlil ringkas sebelum masuk waktu berbuka, hadiah bacaan tahlil dan doa khusus untuk Almarhum adik dan arwah-arwah yang telah meninggal dunia.

Seronok tak terhingga bila berbuka puasa beramai-ramai, hari pertama puasa di hujung minggu, sudah pasti ramai yang berbuat begitu, hari minggu terakhir bulan jun kita berpuasa. Aku yakin ramai yang balik kampung semata-mata mahu berbuka puasa bersama keluarga mereka. Bila ramai-ramai balik sudah tentunya masing-masing membawa pelbagai juadah berbuka, kuih muih, lauk pauk dan bermacam jenis minuman, rezeki berpuasa di bulan ramadan.

Begitulah suasana berbuka puasa hari pertama pada Ahad yang lepas, bertambah dengan karenah anak-anak kecil. Mereka pun turut ghairah untuk berbuka puasa, macamlah berpuasa pula...alah dulu-dulu aku pun macam mereka juga. Syukur pada tahun ini masih dapat berbuka dengan kedua-dua orang tua. Menatap wajahnya rasa sebak, mengingatkan sejak dari aku kecil hinggalah aku sudah mempunyai anak, mereka tetap melayani kami seperti dahulu, anak-anak sudah duduk sedia untuk menunggu berbuka emak masih sibuk lagi di dapur, ada sahaja kerja dibuatnya.

Dalam hati hanya berdoa, semoga emak terus diberi kesihatan, kekuatan dan kebahagian dalam mengharungi liku-liku kehidupannya. Bapa pula tidak seperti tahun lepas, semenjak sakit akibat eksiden dilanggar motor, bapak masih terlantar dipembaringannya, usianya pun sudah lanjut, kesan dari eksiden, bapak sudah tidak lancar jalannya, sesekali boleh berjalan tetapi tidak seagerisif dahulu, kini banyak di tempat pembaringannya, sakit ototnya masih tidak sembuh. Semoga bapak bersabar dengan ujian yang menimpanya. Anak-anak sentiasa mendoakan kesihatan, kekuatan dan kebahagian dalam hidupnya.

Aku yakin kedua-duanya amat gembira, bila ramai-ramai berkumpul di rumahnya, ayah ibu manalah yang tidak suka anak-anakanya datang ke rumahnya kan’?. Waktu-waktu beginilah indahnya dapat berkumpul beramai-ramai, mahu harap hari-hari seperti ini, amat sukar sekali, maklum masing-masing ada rumahtangga sendiri yang mahu diurus tadbir, kesempatan hujung minggu inilah seharusnya anak-anak berkumpul di rumah ibu ayah mereka. Anak-anak kena faham, ayah ibu mahu perhatian dari mereka.

Memori ini, tak mungkin akan aku lupakan, selagi ada emak dan bapak, aku akan tetap rindukan suasana seperti ini, berkumpul beramai-ramai. Setiap kali ramadan tiba dan masa akan datang, ia akan memberikan aku kenangan yang sentiasa bermain difikiran ini. Aku tak dapat bayangkan sekiranya, antara mereka berdua, ada yang terlebih dahulu meninggalkan anak-anak, ahh...betapa sejauh itu aku memikirkannya, sedih dan amat sedih, itu hanya mainan khayalanku...atau akukah yang meninggalakan mereka terlebih dahulu, semua itu ketentuan Allah SWT. Ya...sejauh itu aku pergi memikirkannya. Hanya Allah Yang Tahu.

Bagaimanalah orang lain meraikan ramadan tanpa ayah ibu tersayang?. Cukuplah, aku tak bisa membayangkan saat-saat itu. Ramadan tetap ceria dan bahagia, aku yakin semua orang akan mengalaminya nanti. Semoga ramadan pertama ini akan berulang kembali pada masa akan datang, semua dengan izin Allah SWT. “Ya Rabb...terimalah puasa dan amal ibadah kami sepanjang ramadan ini, KAU...berilah keampunan kepada kedua ibu bapaku, berikanlah kesihatan, kekuatan dan kebahagian dalam hidupnya...Amin Ya Rabb...”


Indahnya puasa pertama...akan tetap dalam ingatan.

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi