Nota Ramadhan: Muhasabah Kematian Untuk Diriku

Cahaya ramadan masih bersinar penuh bergemerlapan, di mana benua mana pun cahaya tetap bersinar sama, ia masih menanti insan-insan yang masih belum mahu merebut kelebihannya. Ramadan tidak mahu mungkir janji pada janji-janji yang ada padanya. Ia janji yang telah dimeterai oleh yang Maha Agung.

Alangkah beruntung dan bertuahnya sesiapa yang menerima janji-janji tersebut. Ramadan pasti, ramadan suci tetap di sanubari insan-insan beriman, mereka tidak mahu meninggalkan ramadan, sebab itu bila ramadan mahu pergi, mereka pasti sedih dan menangisi pemergian ramadan.

Namun takdir tidak siapa mampu melawan, semua itu ketentuan Allah SWT, sama ada insan yang pergi dahulu atau ramadan pergi dahulu bila saat janji pertemuan berakhir, yang pergi tetap pergi. Begitulah nasib insan, belum tentu, bila, di mana dan bila sampai saatnya pun kita tidak tahu.

Semuanya di dalam kekuasaan-Nya, mungkin hari ini sihat segar bugar, esok kita dengar sudah dipanggil Ilahi. Baharu semalam kita jumpa di Bazar Ramadhan, tahu-tahu esoknya sudah dipanggil Ilahi. Begitulah kehidupan, yang hidup pasti menemui kematian. Kematian yang kita sendiri tidak tahu bila saatnya.

Maka dengan tidak ketahuan itulah, sudah sewajarnya membuatkan diri kita beringat, sentiasa mempertingkatkan amal soleh, banyakkan bertaubat kerana bila-bila masa nyawa kita boleh dicabut. Dalam bulan yang mulia ini, kita ambil peluang seluas-luasnya untuk bermuhasabah diri, merenung diri, apakah sudah cukup nanti bila nyawa dikembalikan pada empunya-Nya?.

“Setiap yang bernyawa pasti akan menemui maut...”

Maksud Al-Quran.
“Dan Allah tidak sekali-kali menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya.Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.”
(Al-Minafiqun:11)

Justeru itu, ramadhan yang masih ada ini, janganlah kita tinggalkannya tanpa membuat apa-apa untuk diri sendiri, keluarga, anak-anak dan isteri juga para sahabat kita,  perbanyakkanlah amal soleh. Kita sedia maklum, dengan gandaan pahala yang dijanjikan. Mudah-mudahan ia akan membantu kita bila dijemput oleh Allah SWT ke alam yang abadi nanti.

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi