Nota Ramadhan: Bulan Ramadhan Bulan Al-Quran



Bulan ramadhan juga terkenal dengan  bulan Al-Quran. Bulan di mana di dalamnya di turunkan Al-Quran. Kitab yang diturunkan kepada Nabi SAW untuk panduan seluruh manusia.
                                    
Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).”

(Surah Al-Baqarah: 185)

Membaca al-quran amat digalakkan di dalam bulan ramadhan. Nabi SAW sering membaca al-quran bila tibanya ramadhan.

Dalam sebuah hadis;

“Bahawasanya pengkajian terhadap al-quran antara  Muhammad dengan Jibril terjadi pada malam bulan ramadhan.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Sesungguhnya quran merupakan kitab aturan Allah SWT yang lengkap, manual yang seharusnya menjadi pegangan setiap muslim. Ia juga pengubat hati yang lara, di dalamnya terkandung pelbagai berita, cerita, perumpamaan, siasah, ekonomi, perjuangan, pengajaran, peringatan, pembalasan, dan pelbagai lagi hikmah di dalamnya.

Sudah sewajarnya, di bulan yang indah suci ini, kita sama-sama membacanya, sama ada secara berkumpulam mahu pun bersendirian bersama keluarga mahu pun teman-teman sepejabat ketika waktu rehat. Di mana jua kita berada, di dalam kereta pun, di kapal terbang, dan di mana pun kita masih boleh membuka dan membacanya.

Kemudahan teknologi yang ada sangat menyenangkan, buka sahaja ipad, ipod, tab, laptop, dan selainya sudah cukup memudahkan untuk kita mencapai dan membacanya. Tiada alasan lagi untuk kita tidak membacanya. Alhamdulillah, waktu ini, di mana-mana masjid atau surau selesai sahaja moreh, mereka akan adakan taddarus al-quran, malah ada secara berkumpulan, yang dewasa, remaja dan kanak-kanak juga turut serta.


Begitulah hebatnya ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini. Mudah sahaja untuk kita membuat amal ibadah, siapa lebih, dialah yang akan untung, tapi bila sebaliknya, maka fikir-fikirkanlah bersama. Semoga kita tergolong dari golongan yang lebih itu. Sempena Nuzul Quran tahun ini, aku ucapkan selamat hari Nuzul Quran, semoga Al-Quran terus menjadi sahabat sejati kita semua.

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi