MENULIS SELAGI MASIH ADA HAYAT

Thursday, August 27, 2015

Pantun Untuk Panda























Pantun Untuk Panda

Lama sudah cerita fasal panda
Ramai dah meluat ini kisah
Sekadar dengar tengok sahaja
Untuk rakyat bukan dapat faedah.

Nak tengok panda ke zoo Negara
Untuk rakyat patut tak perlu bayar
Panda ini bukan sebarangan panda
Hadiah istimewa buat penyokong tegar.

Untuk panda ditatang disayang
Makan minum teratur dijaga
Untuk rakyat disuruhnya berhutang
Siang malam pagi petang kerja.

Ramai sudah hati yang rusuh
Pemimpin pula bagai tiada apa
Barang naik nila ringgit jatuh
Pemimpin sibuk melayan anak panda.

Barangan naik semua naik tinggi
Ada yang kata baik untuk Negara
Untuk rakyat semuanya ada giesti
Keuntungan giesti separuh untuk panda.

Rakyat susah langsung tak peduli
Pemimpin joli sini joli sana
Negara boleh jatuh kerna korupsi
Rakyat sengsara panda tak merana.

Panda lahirkan anak, pemimpin suka
Ditatang disayang bagai anak sendiri
Ramai marah tengok macam celaka
Pedulikan panda melebihi rakyat sendiri.

Pantun panda dikarang untuk saudara
Yang suka berfikir berpandangan jauh
Kita semua sayangkan ini Negara
Sampai mati biarpun ringgit terus jatuh.

Nak terasa terasalah diri sendiri
Ini pantun panda yang punya
Biar terasa yang berkuasa empunya diri
Rakyat dipeduli harap diutama.

Masshah
27082015
Meru.

Wednesday, August 26, 2015

Sajak: Kotor Lawan Bersih



Kotor Lawan Bersih

Bersih itu bukan kotor
kotor itulah mahu dibersih putihkan
yang mahu dibersihkan itu
daki-daki yang jahat lagi jahanam
degil dan liat.

Kotor itulah yang mahu dibersihkan
dengan haruman kasih sayang
bukan dengan belati atau senjata tajam
atau dengan gulingan menakutkan
tidak sama sekali.

Kerna bersih mahu buangkan
bau-bauan yang memualkan
yang bisa memuntahkan
segala macam kedunguan dan ketololan
bahkan kepandiran bisa dibersihkan sebersih-bersihnya.

Bersih tetap bersih
kotor tetap kotor
hanya bersih boleh membersihkan kotor
kebijakkan fikir mahukan bersih
kekhurafatan tetap mahukan kotor bermaharajalela
dengan kotor ia bisa
terus berkuasa angkuh.

Masshah
25082015
Masshah.



Tuesday, August 25, 2015

Sajak: Protes Terus






Protes Terus

Protes terus protes
bukan guling gulingkan kerajaan.
Protes terus protes
ramai sudah terbuka punya fikiran.
Protes terus protes
sudah ramai sudah hilang keyakinan.
Protes terus protes
bila ringgit jatuh hilang persaingan.
Protes terus protes
perompak penyamun hilang pertimbangan.
Protes terus protes
berkumpul unjuk rasa berhimpum secara aman.
Protes terus protes
sejuta rakyat bangkit turut sama menjayakan.
Protes terus protes
siapa belum pernah turun protes, turun ambil pengalaman.
Protes terus protes
biar orang di atas singahsana bagai cacing kepanasan.
Protes terus protes
sampai jatuh hancur sirna semua kebatilan.
Protes terus protes
akan nanti aman makmur rakyat dalam kedamaian.
Protes terus protes
agar tercipta satu Negara yang punya keampunan.

Masshah
25082015
Meru.

Friday, August 21, 2015

Sajak: Jika Hidup Semudah Itu





Jika Hidup Semudah Itu

Ada orang fikir
orang kecil tak payahlah campur politik
kerna mereka fikir politik hanya untuk orang besar-besar
kerna mereka fikir politik hanya adu domba semata-mata
cukuplah orang kecil dengan dunianya sendiri
usah difikiri soal politik mengusutkan hati itu fikir mereka.

Tanpa mahu tahu mereka ada tanggungjawab
tanpa mahu tahu mereka ada haq pada Tuhan
tanpa mahu tahu mereka ada haq pada diri sendiri
tanpa mahu tahu mereka ada haq pada masyarakat.

Hidup sekadar adanya, pergi kerja balik kerja konon senang hati
minum kopi, dua keping roti canai beli barang kena GST
apa yang diluar dari lingkungannya usah difikiri
itu semua kerja orang besar kita orang kecil
jika hidup semudah itu, ya sifatnya haiwan juga begitu
hidup mahu nafsu-nafsi apa terjadi tak peduli.

Hidup ini ada masyarakatnya
hidup ini saling bergantungan
hidup ini saling perlu memerlukan
hidup ini kebersamaan
hidup ini bertegur sapa
hidup ini santun menyantun
hidup ini perlu ‘semak dan imbang’
hidup ini perlu menyeru kebaikan cegah mungkar
apakah politik tidak ada dalam HIDUP INI?

Kalau itu fikir mereka
itu juga bukan fikiran kita
kerna kita punya haq berfikir konon bebas merdeka
termaktub dalam perlembagaan Negara
yang dicipta oleh dahulu penjajah
kerna kita perlu kesah
bukan politik kenegaraan semata-mata
harga kos kehidupan semakin mencanak tinggi
semua beli barang kena cukai GST nilai ringgit jatuh lagi
rasuah pemimpin menjadi-jadi tipu sana sini
dan pelbagai jika mahu dirungkai semua di sini
bila kita sebut ini…kata mereka jangan berpolitik!

Nah terserah pada mereka…apa mahunya
kerna mereka tidak berpolitik tetapi hipokrit!

Masshah
21082015
Meru.

Sajak: Kita Mahu

Image result for gambar ringgit jatuh



Masih Mahu

Pabila manusia hilang nilai amanahnya
mereka tidak merasa apa-apa dengan tindakkannya
karenahnya makin menjadi-jadi lupa diri
yang salah seolah-olah benar dijaja sana-sini
yang benar tidak didengari ditolak ketepi
bibirnya merah bicaranya semanis madu
sudah hilang rasa malunya sesuka hati janji-janjinya
biar ianya tidak ditunai dilunasi tetap mahu dijanji.

Masih mahu pertahan biar ramai tak percayai
masih mahu akui disokong berjuta ahli walau dibenci
masih mahu berbohong sana-sini sesuka hati
masih mahu berkuasa biar ahli ramai caci maki
masih mahu terus berdolak dalih tentang akuan pribadi
biar nilai ringgit terus jatuh dan jatuh,
katanya ekonomi terus terpacu memacu…ah…pilu.

Lalu…apa yang kalian masih termangu-mangu
sudah melihat amanah hancur lumat dikhianati
apakah masih mahu dipertahan disokong didokong
susah resah kalian bukan didengari disimpati
ianya bohong biar berkali-kali kata kalian didahulukan
ianya sekadar penyedap ditelinga hanya slogan
tetapi…didekati penuh simpati bila dekat mahu undi.

Nah…masih tidak mahu percaya dan mengerti lagi
walau ditipu hari-hari bahkan berulang-ulang kali
terserah…mahu begitu atau mahu ditransformasi
hak berfikir sendiri-sendiri biar sampai kepenghujung mati
kerna kita punya hak memilih yang benar bukan salah
kerna hidup pasti mati ditanya disoal akhirat menanti
cukuplah hari-hari duka resah untuk kita juga tanah air ini.

Masshah 2015
21082015
Meru.

Thursday, August 20, 2015

Sajak: Syair Kemerdekaan 58 Tahun







Syair Kemerdekaan 58 Tahun

Indah permai sentosa tanah air kita
Kini sudah lima puluh lapan tahun merdeka
Melayu cina india hidup bersama-sama
Berganding bahu membina bersama Negara.

Melayu cina india hidup bermuafakat
Hidup harmoni bersama bermasyarakat
Saling bertolong bantu banyak manfaat
Semangat kemerdekaan kekalkan usah khianat.

Setiap warganegara bersatu berkerja keras
Mengharumkan nama agar terus teratas
Kemerdekaan Negara perlu dijagai dengan asas
Nantikan Negara membangun dengan pantas.

Bersatu kekalkan kemerdekaan usah bersengketa
Jauhi bermasam muka jua kata mengata
Usah direnggang perpaduan walaupun sehasta
Kekalkan kemerdekaan bukan hanya cinta semata.

Hormat menghormati walaupun berlainan bangsa
Faham memahami walaupun berlainan budaya
Saling bertoleransi biar pun berlainan agama
Itulah taat setia cinta setiap warga Negara kita.

Semarakkan sambutan merdeka tahun ini
Buktikan setia kita pada anugerah aman harmoni
Kibarkan jalur gemilang di seluruh negeri
Agar musuh tampak gerun Negara dijulangi.

Masshah
18082015
Meru.

Wednesday, August 19, 2015

Hadiah Sastera Darul Makmur 2015

Sebagai seorang peminat sastera tanah air, aku sudah pastinya berbangga dengan anugerah yang diberikan kepada para penulis dan penyair yang terus menerus menulis dan berkarya demi memandaikan khalayak. Melalui pena mereka terus menulis dan memberi sumbangan kepada perkembangan sastera negeri dan juga tanah air.

Anugerah sastera yang diberikan kepada para penulis dan penyair Negeri Pahang khususnya tentu telah memberikan semangat dan galakkan berterusan kepada para penerima anugerah tersebut. Satu penghargaan yang tentunya akan memberi rangsangan untuk terus berkarya. 

Syabas sekali lagi!















Semangat Terus!

Tuesday, August 18, 2015

Ulasan Ringkas Zine Santai Puisi#1 Sesudah Dimaafkan Cinta




Sudah lama sebenarnya aku mahu menulis tentang zine ini. Hadiah dari penulis muda, saudara Wan  Hanif Wan Hamid, juga penulis buku Kumpulan Cerpen Teratak Berjasa, pemilik laman blog Inspirasi Wanariahamiza. Sebuah Zine Santai Puisi #1, Sesudah Dimaafkan  Cinta, diterbitkan oleh Kumpulan Santai Puisi, comel dan menarik zine tersebut.

Aku suka sangat bila menerima zine tersebut, tidak sangka, pada mulanya hanya sekadar menegur di mesej muka buku, kalau boleh aku ingin membeli dan memilikinya. Katanya tidak dijual. Dia hadiahkan kepadaku, Terima kasih orang muda!

Walaupun sekitar dua belas buah puisi yang terkandung di dalamnya, namun ia membawakan mesej yang pelbagai, sudah pastinya puisi ini ditulis orang muda jiwa muda, hati terus bergelora mahu terus berapresiasi melalui puisi. Aku bukan mahu mengulas kesemua puisi-puisi tersebut, sekadar dua puisi yang aku cuba aku ulas secara ringkas.

Puisi bertajuk HIP-0K-RIT, memaparkan sebuah puisi tentang sikap seseorang, aku tidak tahu kepada siapa puisi ini ditujukkan, mungkin kepada umum dan mungkin secara pribadi puisi ini ditujukkan kepada seseorang sahabat kepada penulisnya. Atau secara umumnya jika dihayati puisi ini, sikap hipokrit atau sikap talam dua muka, atau dengan kata Islaminya, munafik.

Sifat munafik merupakan satu sikap yang amat keji, harus dihindari oleh semua orang, yang beragama Islam sudah tentunya. Dalam Islam, sikap ini amat merbahaya, sikap kepura-puraan tentang beragama. Banyak cerita-cerita tentang hipokrit ini. Tidak perlulah aku tulis dalam tulisan ini. Boleh jadi sikap ini ada dalam diri kita, siapa tahu! Mohon dihindari dari sikap ini. Aku tuliskan semula keseluruhan puisi tersebut di sini.

HIP-OK-RIT

Kau sedar apa yang kau buat? Kau rasa baguskah?
Konon-konon kau nak hidup dengan dunia penuh
Kepura-puraan?
Apa motif kau sebenarnya?

Sengaja sorokan sesuatu
Bagi kau, dua dunia itu kau punya.
Sekejap. Bukan tiga, tetapi lebih daripada
Itu.
Kau rasa dengan buat begitu, kau lebih selesa
Orang-orang yang kenal kau pun akan tertanya-tanya.
Betulkah itu kau?

Sebenarnya, kau tak lebih daripada seorang yang
hip-ok-rit
Ya, kau hip-ok-rit. Kau menipu semua orang.
Kau menipu diri kau sendiri

Kau bersembunyi di sebalik diri kau yang satu lagi.
Semata-mata untuk…
Nampak baik?

Sudahlah. Kau akan penat dengan semua itu.
Kau akan lemas dengan dunia kepura-puraan itu.
Jernihkan hip-ok-krit yang ada pada diri kau.
Biar kembali macam dulu.
Menjadi diri kau…
Neutral!

Wanariahamiza
22 November 2014

Siapa KAU itu, aku, engkau, anda, kamu dan semua. Sikap hipokrit akan menghilangkan kepercayaan, kepura-puraan akan disedari semua orang. Ia mesti dijauhi kalau kita tidak mahu dibenci. Nyahkan hipokrit dalam diri!

Puisi kedua dari zine ini, ‘HITAM’. Apa yang hitam?. Bukankah hitam itu menawan, awan yang hitam boleh jadi akan menurunkan hujan selebatnya. Hitam adakalanya mengerunkan, menakutkan itulah kegelapan, ia perlukan cahaya. Mari baca keseluruhanya puisi ini.

                                                     HITAM

Apabila yang haram suatu kebiasaan,
                 Ketamadun itu mula padam,
                  Saat   hati dititik kehitaman,
                 Pegangan agama kini suram,

                                    YAKITATEI MALAY
                                             18 April 2015

Dosa bila dilakukan secara berterusan, ia akan menjadi titik hitam di hati si pelakunya. Betulah setiap manusia di dunia ini tidak terlepas dari salah silap, dosa dan pahala. Bukanlah alasannya kita insan yang lemah dengan itu kita boleh melakukan apa sahaja sesuka hati, kita dibekalkan akal untuk berfikir, untuk membolehkan membezakan mana yang baik dan buruk, yang haq dan batil. Itu peranan akal yang waras. Jika ia tidak digunakan sebaiknya, ia akan terjadi seperti puisi di atas. Ia akan merosakkan diri, merosakkan generasi, malah boleh merosakkan dan menghancurkan tamadun. Nilai kemanusiannya hilang berkecai.

Sejarah sudah membuktikan kepada kita, sesuatu tamadun boleh hancur dek kerana, sikap dan nilai yang ada pada manusianya yang rosak, malah yang lebih besar dari itu, menafikan kekuasaan Allah S.W.T, lihatlah kaum Ad’ dan Samud, apa yang terjadi kepada mereka.

“Apabila yang haram suatu kebiasaan,
                Ketamaduna itu mula padam”

Bila dosa tidak diambil berat, dosa kecil apatah lagi dosa yang besar, dilakukan dengan sewenangnya tanpa rasa takut dan cuba mahu menghindarinya. Ia akan menjadi titik hitam di dalam hati manusia. Ia boleh menghakis pengamalan agama seseorang, ia menjauhkan manusia dari pencipta-Nya, semakin hari semakin sirna kebenaran dalam diri. Bintik hitam makin menebal di dalam hati, yang akhirnya menjerumuskan kesuraman pegangan agama.

“Saat hati dititik kehitaman,
                 Pegangan agama kini suram,”

Sama-samalah berusaha, menghindari perkara yang terlarang sehingga melekakan,sehingga lupa kepada yang Maha Kuasa. Jagailah tamadun kehidupan kita sebaiknya.

Inilah kefahaman serba sedikit yang mungkin mesej mahu disampaikan dari dua buah puisi ini. Puisi yang sifatnya berbeza dari pemahaman setiap  pembacanya. Mungkin orang lain, berbeza pemahamannya. Itulah yang dinamakan puisi, sukar ditafsir tetapi nikmat bagi si pembacanya. Tahniah juga puisi-puisi lain yang terdapat di zine ini.

Apa pun tahniah dengan terbitnya zine ini. Syabas orang muda, teruskan berkarya. Berpuisi terus! Aku akhiri tulisan ini dengan kata-kata dari penyair yang aku sangat kagumi, iaitu Pak Agi Abdul Ghafar Ibrahim.

“Tidak perlu kita risau sama ada masyarakat menerima, atau tidak menerima hasil puisi kita. Yang penting puisi harus lahir terus sesuai daya cipta setiap penyair.”


Terus bersemangat ‘Orang Muda’!