Sajak: Jika Hidup Semudah Itu





Jika Hidup Semudah Itu

Ada orang fikir
orang kecil tak payahlah campur politik
kerna mereka fikir politik hanya untuk orang besar-besar
kerna mereka fikir politik hanya adu domba semata-mata
cukuplah orang kecil dengan dunianya sendiri
usah difikiri soal politik mengusutkan hati itu fikir mereka.

Tanpa mahu tahu mereka ada tanggungjawab
tanpa mahu tahu mereka ada haq pada Tuhan
tanpa mahu tahu mereka ada haq pada diri sendiri
tanpa mahu tahu mereka ada haq pada masyarakat.

Hidup sekadar adanya, pergi kerja balik kerja konon senang hati
minum kopi, dua keping roti canai beli barang kena GST
apa yang diluar dari lingkungannya usah difikiri
itu semua kerja orang besar kita orang kecil
jika hidup semudah itu, ya sifatnya haiwan juga begitu
hidup mahu nafsu-nafsi apa terjadi tak peduli.

Hidup ini ada masyarakatnya
hidup ini saling bergantungan
hidup ini saling perlu memerlukan
hidup ini kebersamaan
hidup ini bertegur sapa
hidup ini santun menyantun
hidup ini perlu ‘semak dan imbang’
hidup ini perlu menyeru kebaikan cegah mungkar
apakah politik tidak ada dalam HIDUP INI?

Kalau itu fikir mereka
itu juga bukan fikiran kita
kerna kita punya haq berfikir konon bebas merdeka
termaktub dalam perlembagaan Negara
yang dicipta oleh dahulu penjajah
kerna kita perlu kesah
bukan politik kenegaraan semata-mata
harga kos kehidupan semakin mencanak tinggi
semua beli barang kena cukai GST nilai ringgit jatuh lagi
rasuah pemimpin menjadi-jadi tipu sana sini
dan pelbagai jika mahu dirungkai semua di sini
bila kita sebut ini…kata mereka jangan berpolitik!

Nah terserah pada mereka…apa mahunya
kerna mereka tidak berpolitik tetapi hipokrit!

Masshah
21082015
Meru.

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi