Ulasan Ringkas Zine Santai Puisi#1 Sesudah Dimaafkan Cinta




Sudah lama sebenarnya aku mahu menulis tentang zine ini. Hadiah dari penulis muda, saudara Wan  Hanif Wan Hamid, juga penulis buku Kumpulan Cerpen Teratak Berjasa, pemilik laman blog Inspirasi Wanariahamiza. Sebuah Zine Santai Puisi #1, Sesudah Dimaafkan  Cinta, diterbitkan oleh Kumpulan Santai Puisi, comel dan menarik zine tersebut.

Aku suka sangat bila menerima zine tersebut, tidak sangka, pada mulanya hanya sekadar menegur di mesej muka buku, kalau boleh aku ingin membeli dan memilikinya. Katanya tidak dijual. Dia hadiahkan kepadaku, Terima kasih orang muda!

Walaupun sekitar dua belas buah puisi yang terkandung di dalamnya, namun ia membawakan mesej yang pelbagai, sudah pastinya puisi ini ditulis orang muda jiwa muda, hati terus bergelora mahu terus berapresiasi melalui puisi. Aku bukan mahu mengulas kesemua puisi-puisi tersebut, sekadar dua puisi yang aku cuba aku ulas secara ringkas.

Puisi bertajuk HIP-0K-RIT, memaparkan sebuah puisi tentang sikap seseorang, aku tidak tahu kepada siapa puisi ini ditujukkan, mungkin kepada umum dan mungkin secara pribadi puisi ini ditujukkan kepada seseorang sahabat kepada penulisnya. Atau secara umumnya jika dihayati puisi ini, sikap hipokrit atau sikap talam dua muka, atau dengan kata Islaminya, munafik.

Sifat munafik merupakan satu sikap yang amat keji, harus dihindari oleh semua orang, yang beragama Islam sudah tentunya. Dalam Islam, sikap ini amat merbahaya, sikap kepura-puraan tentang beragama. Banyak cerita-cerita tentang hipokrit ini. Tidak perlulah aku tulis dalam tulisan ini. Boleh jadi sikap ini ada dalam diri kita, siapa tahu! Mohon dihindari dari sikap ini. Aku tuliskan semula keseluruhan puisi tersebut di sini.

HIP-OK-RIT

Kau sedar apa yang kau buat? Kau rasa baguskah?
Konon-konon kau nak hidup dengan dunia penuh
Kepura-puraan?
Apa motif kau sebenarnya?

Sengaja sorokan sesuatu
Bagi kau, dua dunia itu kau punya.
Sekejap. Bukan tiga, tetapi lebih daripada
Itu.
Kau rasa dengan buat begitu, kau lebih selesa
Orang-orang yang kenal kau pun akan tertanya-tanya.
Betulkah itu kau?

Sebenarnya, kau tak lebih daripada seorang yang
hip-ok-rit
Ya, kau hip-ok-rit. Kau menipu semua orang.
Kau menipu diri kau sendiri

Kau bersembunyi di sebalik diri kau yang satu lagi.
Semata-mata untuk…
Nampak baik?

Sudahlah. Kau akan penat dengan semua itu.
Kau akan lemas dengan dunia kepura-puraan itu.
Jernihkan hip-ok-krit yang ada pada diri kau.
Biar kembali macam dulu.
Menjadi diri kau…
Neutral!

Wanariahamiza
22 November 2014

Siapa KAU itu, aku, engkau, anda, kamu dan semua. Sikap hipokrit akan menghilangkan kepercayaan, kepura-puraan akan disedari semua orang. Ia mesti dijauhi kalau kita tidak mahu dibenci. Nyahkan hipokrit dalam diri!

Puisi kedua dari zine ini, ‘HITAM’. Apa yang hitam?. Bukankah hitam itu menawan, awan yang hitam boleh jadi akan menurunkan hujan selebatnya. Hitam adakalanya mengerunkan, menakutkan itulah kegelapan, ia perlukan cahaya. Mari baca keseluruhanya puisi ini.

                                                     HITAM

Apabila yang haram suatu kebiasaan,
                 Ketamadun itu mula padam,
                  Saat   hati dititik kehitaman,
                 Pegangan agama kini suram,

                                    YAKITATEI MALAY
                                             18 April 2015

Dosa bila dilakukan secara berterusan, ia akan menjadi titik hitam di hati si pelakunya. Betulah setiap manusia di dunia ini tidak terlepas dari salah silap, dosa dan pahala. Bukanlah alasannya kita insan yang lemah dengan itu kita boleh melakukan apa sahaja sesuka hati, kita dibekalkan akal untuk berfikir, untuk membolehkan membezakan mana yang baik dan buruk, yang haq dan batil. Itu peranan akal yang waras. Jika ia tidak digunakan sebaiknya, ia akan terjadi seperti puisi di atas. Ia akan merosakkan diri, merosakkan generasi, malah boleh merosakkan dan menghancurkan tamadun. Nilai kemanusiannya hilang berkecai.

Sejarah sudah membuktikan kepada kita, sesuatu tamadun boleh hancur dek kerana, sikap dan nilai yang ada pada manusianya yang rosak, malah yang lebih besar dari itu, menafikan kekuasaan Allah S.W.T, lihatlah kaum Ad’ dan Samud, apa yang terjadi kepada mereka.

“Apabila yang haram suatu kebiasaan,
                Ketamaduna itu mula padam”

Bila dosa tidak diambil berat, dosa kecil apatah lagi dosa yang besar, dilakukan dengan sewenangnya tanpa rasa takut dan cuba mahu menghindarinya. Ia akan menjadi titik hitam di dalam hati manusia. Ia boleh menghakis pengamalan agama seseorang, ia menjauhkan manusia dari pencipta-Nya, semakin hari semakin sirna kebenaran dalam diri. Bintik hitam makin menebal di dalam hati, yang akhirnya menjerumuskan kesuraman pegangan agama.

“Saat hati dititik kehitaman,
                 Pegangan agama kini suram,”

Sama-samalah berusaha, menghindari perkara yang terlarang sehingga melekakan,sehingga lupa kepada yang Maha Kuasa. Jagailah tamadun kehidupan kita sebaiknya.

Inilah kefahaman serba sedikit yang mungkin mesej mahu disampaikan dari dua buah puisi ini. Puisi yang sifatnya berbeza dari pemahaman setiap  pembacanya. Mungkin orang lain, berbeza pemahamannya. Itulah yang dinamakan puisi, sukar ditafsir tetapi nikmat bagi si pembacanya. Tahniah juga puisi-puisi lain yang terdapat di zine ini.

Apa pun tahniah dengan terbitnya zine ini. Syabas orang muda, teruskan berkarya. Berpuisi terus! Aku akhiri tulisan ini dengan kata-kata dari penyair yang aku sangat kagumi, iaitu Pak Agi Abdul Ghafar Ibrahim.

“Tidak perlu kita risau sama ada masyarakat menerima, atau tidak menerima hasil puisi kita. Yang penting puisi harus lahir terus sesuai daya cipta setiap penyair.”


Terus bersemangat ‘Orang Muda’!

Comments

  1. Assalamualaikum.
    Sungguh, saya terharu dengan perkongsian ulasan ini.
    Ucap terima kasih saya seperti sudah terlalu banyak, dan masih saya
    mahu berterima kasih untuk sokongan yang tidak pernah padam. Syukur.

    Moga manfaatnya ada buat kalian, para pembaca.

    ReplyDelete
  2. Walaikumusalam orang muda, sama-sama, terus menerus berkarya, moga terus sukses. Syabas!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi