Nota Ramadan: Ramadan Jangan Dipersia-siakan




Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang:


“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepada kamu puasa sepertimana diwajibkan kepada mereka yang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu beroleh takwa. Ia beberapa hari yang ditetapkan. Barangsiapa di antara kamu sakit ataupun musafir, boleh diganti pada hari lain.”

(Surah Al-Baqarah: 183)

Syukur  Alhamdulillah dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan rahmat dan kasih sayang-Nya dapat dipertemukan dengan bulan ramadan pada tahun ini 1435H bersamaan 2014M. Demikianlah kehidupan kita di dunia yang semakin hari semakin mencabar dan silih berganti kehidupan yang sedang kita harungi ini. Usia pun semakin meningkat, petanda bahawa kehidupan semakin singkat dan ajal pun mungkin sudah semakin dekat, entah lusa atau tulat bakal disekat nyawa yang ada ini. Semuanya dengan izin Allah SWT.

Ramadan bulan puasa, selama sebulan kita diwajibkan berpuasa kecuali bagi mereka yang seperti disebutkan dalam firman Allah SWT di atas tersebut. Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga serta mengunci nafsu syahwat tetapi seluruh anggota badan kita kena berpuasa, menghindari dari perkara-perkara maksiat dan dosa. Mengawal godaan nafsu dan syahwat. Bukan diwaktu siang sahaja bahkan diwaktu malam. Dengan menjaga adab-adabnya, Insyallah kita akan berjaya menjaga puasa yang kita kerjakan.

Ramadan saban tahun menjelang, masih dipertemukan dengan izin-Nya, sedang mereka yang pada ramadan tahun lalu bersama-sama kita, kini telah tiada pada ramadan kali ini, mereka telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Kita yang ada hari ini sepatutnya mensyukuri nikmat umur yang masih berbaki ini, dapat pula bertemu ramadan dan mungkin ini ramadan terakhir buat kita.

Semoga kehadiran bulan yang penuh berkat dan penuh keampunan ini kita benar-benar hayati dan kita pergunakan masa yang ada di sepanjang ramadan ini kita gunakan untuk beramal bakti dengan sungguh-sungguh. Mungkin pada ramadan tahun lepas kita tidak menumpukan secara serius dalam menghadirkan diri kita dalam bulan ramadan, jadi ramadan tahun ini kita perbaiki dan seterusnya melaksanakan tuntutan ramadan dengan sebaik-baiknya.

Maksud sebuah hadis;

“Sesiapa yang mendirikan ( menghidupkan malam ) Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan segala dosa yang lalu.”

Bukhari dan Muslim.
                         
Alangkah ruginya sekiranya kita melepaskan peluang yang Allah berikan  pada kita saat dan waktu ini dalam usia yang berbaki ini tanpa melakukan amal ibadah yang berterusan dalam ramadan kali ini. Apakah kita mahu mempersia-siakan bulan yang agung ini?. Tanyalah pada diri kita, iman kita ,mahu tergolong dalam kalangan yang rugi ataupun golongan yang beruntung.

Lalu apakah kita mahu mensia-siakan peluang ini?. Semua tahu dan faham akan kehebatan yang ada dalam bulan ramadan ini. Saban tahun diulang-ulang tentang kehebatan bulan ramadan ini oleh para ilmuan Islam bagi memberi motivasi dan rangsangan kepada seluruh umat Islam agar mengerjakan ibadah sepanjang bulan ini. Tidak perlulah diungkapkan lagi kerana masing-masing sudah memahaminya.

Sungguh beruntung kita masih dipertemukan, inilah peluang kita merebut ganjaran yang berganda-ganda di sepanjang ramadan. Marilah kita perbanyakan amalan kebajikan selain berpuasa, kita gandakan sedekah kita, bacaan quran kita, zikir dan wirid kita dan banyak lagi amalan kebajikan yang lain. Ingatlah, matlamat akhir dari puasa adalah mencapai taqwa di sisi Allah SWT.

“...supaya kamu bertaqwa.”

( Al-Baqarah:183)

Justeru itu, jangan kita lupa dan alpa dengan setiap apa yang kita laksanakan dalam bulan ramadan ini hanyalah untuk menuntut keredaan dari Allah SWT. Maka dengan itu, ikhlaskanlah setiap amal ibadah yang kita kerjakan. Mudah-mudahan Allah SWT menilai ibadah kita dengan nilaian yang terbaik, maka dengan itu Allah akan menempatkan kita dari golongan yang mendapatkan syurga-Nya seperti yang dijanjikan.


Selamat berpuasa!

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi