MENULIS SELAGI MASIH ADA HAYAT

Sunday, June 1, 2014

Ke Malam Perada Cinta Bersama Pak Agi



Bertolak Ke UM

Malam ini aku ada program di UM (15/04/2014-Selasa) , Pak Agi mengajak aku lewat telefon beberapa hari lepas, aku menyetujui untuk turut serta, syukur, masih bisa dipertemukan dengan Pak Agi, hati suka dan bahagia sekali untuk bersama dengannya. Insyallah, selagi ada waktu yang terluang, aku bisa  bersamanya untuk mengikuti program sastera, itu pun jika jadual kerjaku tidak menghalanginya. Sekitar jam 6.30 petang, aku dan Amer anak buahku,  memecut  laju dalam rintik-rintik hujan,  ke Puncak Perdana, untuk ke apartmen Pak Agi.

Kami akan pergi bersama-sama ke UM, hujan rintik-rintik menalar kami untuk ke sana, kami akan menumpang kenderaan Pak Agi, seperti biasa seperti dalam program yang lalu, menonton ‘Monolog Jual Ubat’ di Istana Budaya, aku turut bersama Pak Agi, Pak Agi mengajak aku kerana ada tiket ‘free’ katanya, aku parking kereta di sana. Hari ini, cumanya aku naik motor dengan Amer. Alhamdulillah, sekitar jam 6:50petang, aku dan Amer sampai di Puncak Perdana, aku tunggu di tempat parking motor, tidak lama kemudian sampailah Pak Agi, kami bersalam-salaman, aku perkenalkan Amer pada Pak Agi.

Pak Agi menyatakan, agar terus ke UM, melihat waktu pun sudah ke malam, aku bersetuju, seperti biasa Pak Agi, meminta aku memandu tapi aku mencadangkan agar anak buah aku yang membawanya, kerana dia lebih cekap kataku pada Pak Agi, Pak Agi bersetuju dengan cadanganku, syukur dalam hatiku, bukan apa, aku takut bawa kenderaan besar, lagi-lagi jalan menuju ke Kuala Lumpur. Maklum jarang ke Kuala Lumpur, bukan hafal sangat pun, teringat semasa pergi dengan Wak Saring dalam program ‘Dailog Anak Muda’, beberapa minggu yang lalu, itu pun sampai bertawaf, dek’ kerana salah lorong.

Perjalanan kami dari Puncak Perdana agak lancar, namun bila sampai highway sudah agak perlahan, maklum sahaja waktu dinihari sebegitu, ramai yang balik kerja, jalam jem sudah menjadi perkara biasa buat mereka, pagi petang, siang malam, ramai orang berpusu-pusu pergi dan balik kerja, begitulah rutin harian selagi yang bernama manusia. Beruntunglah aku, tidak bekerja di tempat yang jauh, tidak melalui jem hari-hari seperti mereka, hatiku bermonolog. Pak Agi sesekali berborak, sesekali juga menatap telefon bimbitnya, mungkin melihat status fbnya, fikirku. Tiba-tiba Pak Agi bertanya tentang kerja, masa kerjaku, aku beritahu Pak Agi yang aku bekerja shift. Pak Agi memberi aku cadangan tentang penulisan.

“Kau tulis novellah Man, ia lebih menghasilkan wang...”.

Mungkin disebabkan aku kerja shif, faktor masa yang ada, memungkinkan aku boleh menulis, aku mengiyakan pandangannya. Perjalanan menuju ke UM, dipenuhi dengan ilmu. Pak agi bercerita tentang pengalaman dan kehidupannya, tidak menjemukkan mendengarkan cerita dan perkongsian ilmu darinya.


Banyak ilmu dan pengalaman yang ayah agi kongsikan kepada aku juga amer, aku menjadi pendengar yang setia, sesekali bercakap tentang misteri kehilangan mh370, aku juga berpandangan seperti Pak Agi. Permainan yahudi dan amerika memang sungguh licik sekali, mungkin ia atau tidak, serba kemungkinan. Jem disepanjang lebuhraya NKVE, memang sudah menjadi pemandangan biasa setiap petang keadaannya begitu. Bagaimanalah perasaan mereka yang hari-hari melalui jalan itu, hatiku berkata-kata.

Perjalanan kami lancar bila masuk ke arah Damansara, jalan lebih dekat untuk ke arah Kuala Lumpur, baharu aku tahu, sebelum ini memang tidak tahu, entahlah aku mememang tidak cekap jalan menuju ke Kuala Lumpur. Amer sudah biasa dengan jalan Kuala Lumpur, mungkin pengalamannya bekerja sebelum ini. Menjadi driber kepada seorang Dato tentu memerlukan kecekapan pemanduan dan juga tahu tentang selok belok jalan di Kuala Lumpur. Itulah secebis kisah anak buah.

Sampai Ke UM

Kami sudah hampir sampai ke UM, arah seksyen 16 sudah kelihatan, dan kami sudah menghampiri arah masuk ke sebuah universiti terkemuka di Malaysia. Di siniliah lahirnya anak bangsa yang berkebolehan dalam segenap bidang yang dipelajari. Universiti yang menjadi kebangaan negara dahulu dan kini. Inilah pertamakali aku menjejaki ke sini. Jika tidak ada program di sini, belum tentu aku dapat datang ke UM ini. Ini disebabkan ada program sastera baharu aku dapat datang ke sini.

Oh ya, lupa pula aku mahu beritahu tujuan aku datang ke UM, aku ke sini kerana ingin melihat program sastera yang dianjurkan oleh esastera dan unit keratif UM, program yang diberi nama ‘Malam Perada Cinta’. Program baca puisi, juga pelancaran album lagu-lagu puisi kumpulan ‘GROUP LAGU PUISI@GLP’ dan pelancaran buku ANTOLOGI PUISI MH370 HILANG, serta penyampaian hadiah peraduan menulis puisi MH370 HILANG melalui Perisian mobile fon TELEGRAM anjuran esastera.com.

Akhirnya sampai juga kami, sekitar jam 8.20 malam, kami parking berdekatan pentas utama majlis tersebut, kelihatannya masih tidak ramai orang lagi. Pak Agi menyatakan kehairananya, dia menyatakan banyak perubahan berlaku, sudah lama katanya tidak ke UM. Aku lagilah langsung tidak pernah datang ke sini, hanya pada malam ini berkesempatan. Sudah ketentuan Allah SWT malam ini, aku datang ke sini. Kami terus ke surau, untuk menunaikan solat maghrib. Setelah selesai kami ke tempat pentas, Pak Agi bersama-sama teman penyair sedang berbual-bual.

Aku duduk dibahagian duduk depan pentas, menegur Dinie Wan, yang sedang duduk di situ, aku bertanya khabar padanya, bertanyakan persembahan malam ini. Kelihatan bagai risau dengan kehadiran malam ini, program sastera sebegini memang biasanya begini, khalayak yang meminati sahaja baharulah mereka peka mahu menyaksikannya, aku melontarkan pandanganku pada Dinie Wan, oh di situ juga ada Lasykar Cinta(Nama dalam FB) suamai pada Puan Ilya Kablam, penyanyi utama kumpulan GLP(Grup Lagu Puisi).

Pak Agi datang ke tempat kami, dia ingin membuka meja untuk buku-bukunya, penulis menjual buku-bukunya untuk memandaikan masyarakat dengan ilmu yang terkandung di dalam buku-bukunya. Pihak esastera menyediakan meja di bahagian tepi berhadapan pentas utama, aku menolong menyusun buku-buku Pak Agi, pelbagai jodol tetera di atas meja yang disediakan. Orang-orang yang sukakan puisi pasti terpikat dengan buku-buku hasil karya beliau. Alahamdulillah, setakat ini aku sudah memiliki 7 buah buku hasil karya beliau, yang terbaharu, cakap-cakap puisi, bagi aku, buku ini mesti dimiliki bagi sesiapa yang suka pada penulisan keratif puisi.


Selepas mengatur buku-buku dan memberitahu harga buku-buku tersebut padaku dan aku mencatatnya dalam buku catatanku, sebagai rujukan nanti jika ada orang membelinya nanti. Pak Agi mahu berjumpa kawan-kawan di kedai minuman di bahagian tepi bangunan, sementara menunggu Amer, aku menunggu di situ. Tidak lama kemudian Amer pun sampai, aku memberitahu padanya, minta tolong jaga sekejap meja buku tersebut, aku tunjukkan harga-harga buku tersebut, manalah tahu ada orang beli nanti.


 

Santai Bersama Penyair

Aku menyertai Pak Agi menuju ke kedai tersebut, sebelum itu, Pak Agi tunjukkan aku pada Tuan Puzi Hadi, kami bersalaman sekali lagi, berborak barang sebentar, Puzi Hadi bertanyakan aku tentang penulisan, di mana menulis, aku tulis di blog sahaja, ada juga puisi tersiar di harakah, selebihnya banyak menulis puisi di Laman Portal eSastera.com. Sedang Pak Agi berborak dengan Ammarhamzah nama pena di portal esastera.com atau nama sebenarnya Cikgu Baharuddin Sari, berasal dari sekincan, datang bersama kawan sekerjanya. Juga minat sastera, pernah ikuti pertandingan deklamsi puisi kemerdekaan.


Kami menuju ke kedai, kami berborak pelbagai cerita, aku mendengar dengan setia kerana mereka lebih arif, sesekali Pak Puzi Hadi menegur aku, ya kami bercerita tentang penulisan, dia kata teruskan berkarya. Pak Agi pun begitu juga bercerita tentang sastera yang diungguli sekian lama. Aku meminta izin Tuan Puzi Hadi untuk mengambil gambar, takut nanti tidak dapat bersua, maklum masing-masing sudah penat. Kami bergambar beramai-ramai, berdua, untuk kenangan masa akan datang, Bukan senang mahu jumpa penyair-penyair hebat seperti mereka. Bagi aku, inilah saat indah dan bahagia bila bertemu insan yang banyak pengalaman penulisan puisi.


Tak lama dari itu, Pak Puzi Hadi minta izin untuk ke tempat persembahan, acara sedang bermula, persembahan dari GLP memulakan acara, sementara menunggu makanan yang dipesan tadi, kami berborak-borak dengan Pak Agi, Cikgu Baharuddin Sari dan kawan cikgu Baharuddin sari. Cikgu Baharuddin dan kawannya, minta izin untuk ke tempat persembahan. Aku masih menunggu makanan siap. Pak Agi tanya, berapa semua harga, aku kata pada Pak Agi, aku yang bayar nanti, tidak semena-mena Pak Agi menghulurkan wang rm10 padaku, serba salah aku, aku kata tak payah biar aku yang bayar, tapi Pak Agi mahu juga aku mengambilnya. Dalam hati...Pak Agi terlalu baik, tiap kali keluar dengan Pak Agi asyik dia yang bayar, malu juga aku.

Akhirnya siap juga makanan yang aku pesan, semasa mahu bayar duit makanan tadi aku terpandang seorang abang lalu menegurnya, aku sangka dia kerja di UM, rupa-rupanya drebar Dato’ Awang Sariyan, pengerusi DBP,oh ya, beliau tetamu VIP malam itu. Perasmi majlis. Selesai membayar aku terus ke pentas, di sana Pak Agi dan Amer sedang berborak mesra. Memang Pak Agi mudah mesra dengan peminatnya, ramah dan tak lokek dengan ilmunya. Sentiasa ceria, gelak besar, dan senyumannya mesra sekali.

Persembahan Yang Mengasyikkan

Para penonton sedang asyik menyaksikan persembahan, aku, amer dan Pak Agi berborak sambil menonton persembahan, kami sudah terlepas beberapa persembahan, persembahan awal GLP dan pelancaran album ‘Perada Cinta’. Apa pun masih banyak lagi persembahan yang bakal kami saksikan. Aku tidak sabar untuk menyaksikan  persembahan puisi TRI-V AGI oleh Pak Agi, siapa yang tidak kenal dengan Pak Agi, persembahan deklamsi puisi lain daripada yang lain, sungguh unik sekali. Bergaya dengan topi, selendang, dan vokal yang mantap, pasti mempersonakan penonton.


Pelbagai persembahan, nyanyian, deklamsi puisi dan juga pelancaran. Ahli esastera, saudara Siqram mendeklamsikan puisinya juga Tuan Puzi Hadi turut mendeklamasikan puisinya tentang MH370 HILANG, yang sungguh mengkagumkan, ohya, Tuan Puzi Hadi merupakan adik angkat Pak Agi menurut  cerita Pak Agi sewaktu di dalam kenderaan. Pak Agi dengan persembahan puisi TRI-V AGInya, membawakan puisi berlagu syair, cintaku cintamu, pintu dan rinduku..., ya sungguh menusuk ke kalbu, lontaran vokal yang mantap, itulah pemuisi berumur 70 tahun, Abdul Ghafar Ibrahim. Aku sempat merakamkan aksi Pak Agi dalam beberapa minit dalam kamera digitalku,



Baharu aku tahu fungsi selendang yang selalu dibawa dan digunakan tiap kali persembahan, hebat memang hebat persembahan Pak Agi, tiada galang gantinya. Seusai persembahan, aku ucapka tahniah dengan persembahan beliau, Pak Agi hanya senyum puas. Amer senyum-senyum sahaja melihat pertama kali persembahan Pak Agi. Giliran GLP sekali lagi untuk membuat persembahan, membawakan lagu puisi karya Tuan Puzi Hadi,’Medium-Medium’. Persembahan dan vokal yang mantap dari Ilya dan Nazri. Aku turut teruja dengan persembahan tiupan fluet oleh seorang yang mengelarkan ‘The Flutis Ustaz’.


Aku teruja melihatnya, dengan berjubah dan berkopiah putih, pemuda itu meniup fluet dengan syahdunya, membawakan lagu ‘Soneta Musim Cinta’ secara instrumental, mendayu-dayu membuai perasaanku, aku cuba merakam sedikit persembahan pemuda itu. Ah...memorinya pula tidak mencukupi terpakasa aku buang gambar-gambar lama yang terdapat di kad memori kameraku. Nasib baiklan gambar-gambar tersebut sudah aku upload dalam laptopku. Aku puas melihat persembahan pemuda tersebut. Kini sudah ada jawapannya. Berjubah dan berkopiah putih tidak menghalang untuk berhibur serta membuat persembahan, bahkan bermain muzik sekalipun. Tahniah kepada pemuda tersebut.


 


Persembahan deklamasi oleh Dato Awang Saryan mengakhiri persembahan malam tersebut, rasa puashati melihat persembahan mereka. Memori bersama Pak Agi ini takkan pernah aku lupakan. Tulisan ini akan menjadi bukti dan kenanngan yang terindah buatku pada masa akan datang, aktiviti sasteraku ini mudah-mudahan boleh dibaca oleh anak-anakku nanti. Setiap aktiviti akan ku nukilkan pada kertas putih ini. Ah...aku bernostalgia pula.

Majlis berakhir

Program berakhir dengan jayanya, syabas esastera dan unit keratif UM, majlis berakhir dengan bergambar beramai-ramai para peserta dan penyair bersama yang berbahagia Dato Awang Saryan di atas pentas utama, aku menyaksikan penuh teruja sekali, wajah-wajah penyair negara. Masing-masing, mengucapkan tahniah dan bersalam-salaman tanda perpisahan sementara, jika ada waktu berjumpa lagi, begitulah agaknya bait-bait bicara yang mereka lontarkan kepada rakan-rakan yang mahu berundur dahulu.

Aku mendekati penyair esastera Siqram,bersalaman dan mengucapkan tahniah padanya, dia bersama anak dan isterinya, aku bertanyakan tentang tempat tinggalnya, Kini dia di Gombak, kalau tidak silap aku, orang sabah, asal menganut kristian, kini sudah kembali keagama fitrah Islam yang suci. Dia bertanyakan aku, bila mahu buat buku, dia menyuruhku kumpulkan puisi-puisi yang sudah ditulis dan boleh dibukukan, Insyallah aku cuba nanti, bila sudah memilih mana-mana puisi yang menarik. Dia juga menggalakkan aku agar turut serta jika ada program puisi, aku hanya senyum sahaja.

Begitulah persahabatan, biarpun hanya di alam saiber, bila sesekali jumpa sangat memberi perangsang kepada sahabat penulis lainnya, ya aku hargai segala dorongan,  kata-kata semangat agar aku terus berkarya, terima kasih Siqram!. Oh ya, pada sabtu hadapan katanya esastera ada program di Hulu Yam, dia menggalakkan aku agar turut serta, aku hanya senyum sahaja, kami bersalam-salaman, berpisah untuk seketika, jika umur panjang dapat berjumpa lagi. Tuan Puzi Hadi juga aku dekati, malam itu dia tidur di rumah kakaknya, jika tidak silap aku, dia meminta aku mengambil gambarnya melalui tab kepunyaannya, masing-masing tidak boleh lama, kami bersalaman, insyallah jumpa lagi.

Selepas menyimpan buku-bukunya dikenderaan, Pak Agi mengajak aku dan Amer untuk makan di kafetaria yang disediakan. Alhamdulillah rezeki, malam-malam sebegitu ada sahaja rezeki, aku dan Amer mencari tempat untuk menjamu hidangan yang disediakan. Begitu juga dengan Pak Agi turut mengambil makanan, sepatutnya Pak Agi di meja Vip yang disediakan, mungkin salah info, Pak Agi turut beratur mahu makan bersama kami. Pak Agi ke meja kami, memberitahu dia mahu ke meja VIP yang disediakan, makanan yang dia ambil disuruhnya kami makan. Aku makan sambil berbual-bual dengan Amer.

Selesai makan kami pun keluar dari kafetaria tersebut, berselisih dengan Tuan Puzi Hadi, dia beri copy puisi MH370 HILANG pada aku dan Amer. Insyallah jumpa lagi pada masa akan datang, kataku padanya. Kami terus meluru mahu keluar, terlihat pula kak Citranalis bersama anak-anaknya, aku bertegur sapa dengannya, anaknya yang besar bekerja di DBP, katanya mahu ajak anaknya sertai esastera. Kataku, sudah senanglah tu kerja di DBP, maksudku untuk bersastera sudah mudah sebab kerja di tempat sastera, anaknya tersenyum sahaja.

Tak lama kemudian kelihatan Dato Awang Saryan bersama Dr.Irwan turut keluar dari bilik VIP, segan untuk aku menyapa, maklum orang besar DBP, aku biarkan mereka berlalu. Sejurus dari itu, Tuan Anbakri pula lalu di situ, aku menegur beliau, aku kata baca karya-karya beliau, aku memperkenalkan diriku, masshah, ya...dia kenal, maklum kami berinteraksi di alam saiber, hanya waktu itu baharu jumpa, mungkin kerana kesuntukan masa, kami tidak dapat berbual lama, mungkin dia mahu terus pulang ke Kota Baharu. Kami bersalaman, insyallah ada masa jumpa lagi.

Aku Dengar Nasihat Mu

Syukur, malam itu, aku dipertemukan dengan rakan-rakan esastera biar pun hanya seketika namun aku puas, sekurang-kurangnya ada sedikit detik mengabdi memori kepada mereka. Kelihatan Pak Agi bersama Puzi Hadi sedang berbual, kami berjalam beriringan menuku ke tempat kenderaan. Kelihatan Dr. Irwan, kami bersalaman, Dr.Irwan memperkenalkan aku pada Pak Agi, ah...malunya aku, hanya penulis kecil sahaja, siapalah aku...!. Apa pun program tersebut telah menemukan aku dengan mereka yang berjaya dalam bidang sastera, ia telah membangkitkan aku untuk terus turut sama terjun ke kancah sastera yang bertamadun.

Menulis, menulis dan terus menulis, mereka adalah sumber inspirasiku..., habis bersalaman kami terus masuk ke kenderaan, Amer macam biasa, memandu untuk kami ke distinasi pulang ke apartment Pak Agi di puncak Perdana. Di dalam kenderaan Pak Agi masih mahu bercerita, aku, amer menjadi pendengar yang setia...ah...Pak Agi, indahnya tika bersamamu...kaulah sumber inspirasiku....

Akhirnya sampailah kami di Puncak Perdana, kami keluar dari kenderaan, bersala-salaman sebelum kami bertolak ke Meru, Pak Agi masih bercerita, aku tidak jemu mendengarnya, agak lama juga kami berbual di hadapan apartmentnya. Cerita kehidupan, harga rumah dan macam-macam lagi, aku semakin bersemangat, ingat pada nasihatnya, jaga kesihatan untuk diri sendiri. Betullah Pak Agi menasihatkan kami, sebab beliau amalkan apa yang dia cakap, umur hampir 71 tahun masih gah, tegap di atas pentas sastera negara. Pengamalan makanan sunnah menjadi amalan kehidupannya.

Terima kasih Pak Agi atas nasihat dan ingatannya..., aku doakan Pak Agi sihat sejahtera, terus perjuangkan martabat sastera negara, demi untuk bangsa, agama  juga negaranya. Insyallah, aku akan ingat pesanan Pak Agi...


Sekian adanya catatan ini...!

1 comment:

  1. Terima kasih, sdr Masshah, kerana menghadirkan diri ke Malam Perada Cinta. Amat kami hargai. Daripada GLP; Ilya Kablam dan Hijas GLP. :)

    ReplyDelete

Jangan Berhenti Membaca