Hanya Penulis Kecil Di Blog






SELAGI PENA INSAN BIASA INI MASIH MENARI...



Aku masih mahu berkisah tentang rentetan perjalanan penulisanku, penulis kecil yang tiada nama, namun ia bukanlah alasan untuk aku tidak menulis, ada nama atau tidak itu bukan persoalan dan juga bukan niat asal ku untuk mahu menulis, aku percaya setiap penulis sama ada penulis kecil atau besar tentu punyai prinsip dalam diri, biasa kita dengar, ‘aku menulis bukan kerna nama’, yang merupakan bait-bait lagu ramli sarip dengan sohaimi. Tentunya niat tulus murni menulis semata-mata menuntut keredhaan Allah SWT.

Apa-apa sahaja yang kita tulis, sudah pastinya kita niatkan untuk menyampaikan seruan-seruan yang baik kepada khalayak, sama ada penulis blog atau penulis buku, yang sudah ada nama atau belum ada nama, niat murni tersemat di hati masing-masing. Begitulah aku, niat itu jugalah yang aku sematkan ke dalam sanubari ini. Mudah-mudahan apa yang dinukilkan dan diterbitkan di dalam blog akan dibaca oleh khalayak dan ada manfaat untuk mereka.

Seperti pernah aku tuliskan dalam penulisan yang lepas, aku melihat sahabat-sahabat blogger yang lain, ramai yang sudah tidak menulis lagi di blog mereka. Melihat pautan blog mereka, sehingga ada sudah hampir dua tahun hingga keempat tahun lamanya mereka tidak lagi menulis. Mungkin mereka sudah tidak cukup masa lagi untuk duduk di depan komputer, untuk menulis sesuatu atau pun mereka sudah tidak minat lagi untuk berkongsi apa-apa sahaja yang sering mereka kongsikan sebelum ini. Begitulah pasang surutnya menulis di medium blog.

Setiap antara kita ada komitmen masing-masing, bila sudah berkeluarga, mereka menumpukan sepenuhnya dengan kehidupan rumahtangga, kerjaya yang memungkinkan mereka tidak dapat lagi untuk duduk seperti dahulu di depan komputer. Itulah antara kemungkinan-kemungkinan mengapa mereka tidak lagi menulis di blog mereka. Apa pun bagi kita, khususnya aku, yang masih ada niat di dalam hati mahu menulis maka teruskan sahaja kerja-kerja menulis ini. Selagi ada daya dan masa mengizinkan.

Itulah sedikit pandangan aku, tentang penulisan di dalam blog, aku mahu cerita semula tentang blog seterusnya, bila banyak sangat blog, macam-macam penulisan kena tulis, bila blog famili, tulislah entri tentang anak-anak, bila blog berkaitan buku, menulis tentang buku, bila geram tengok situasi politik tanah air, menulis pula tentangnya di blog politik. Bila ada aktiviti sastera yang aku ikuti, menulis pula di blog sastera. Maklum ada empat buah blog, semua mahu dibalunnya. Blog keempat ini,  aku khususkan untuk catatan-catatan aku semasa kerja, itu niat pada mulanya blog ini di bina. Blog yang aku namakan Catatan Budak Kilang.

Blog ini, tidak banyak perkongsian  aku tuliskan, hanya beberapa entri yang sempat aku terbitkan, tulisan luahan hati berkaitan tempat kerja yang aku sekarang sedang bekerja di sana. Ikutkan banyak entri yang boleh aku tuliskan dan terbitkan di situ, dek’ kerana, waktu itu blog aku sudah bertambah, faktor masa, penat, dan culas serta malas. Akhirnya aku padam untuk blog tersebut pada awal tahun 2014. Biarlah kisah kerja ini, aku catat di dalam buku nota yang aku sediakan untuk menulis apa-apa yang berlaku di tempat kerja, Jika aku rajin nanti, aku cuba tuliskan detik-detik perjalanan aku menjadi orang kilang.

Perjalanan penulisanku di blog bersambung dengan terbinanya blog ‘Memoir Insan Biasa’, blog kelima yang aku bina waktu itu, konon niat mulanya, blog ini dibina mahu berkisah tentang kehidupanku, sejak mula aku dilahirkan, sehinggalah waktu kini, namun ia hanya bersawang tidak ramai penghuninya, maksudku tiada entri yang aku kirim, hanya beberapa buah sahaja. Lama-lama aku fikir, biarlah aku padam sahaja blog ini, ta...taaa...., penulisan memoir insan biasa ini, masih aku tukangi biarpun aku tidak terbitkan di blog yang ada ini. InsyAllah, akan aku kongsikan bila ada kesempatan nanti.

Semasa aku mahu menulis memoir itu, sebenarnya aku berniat, agar penulisan itu akan berakhir sebelum aku masuk ke umur empat puluh tahun, namun gagal untuk aku tuliskan dan buktikan pada diriku sendiri. Senang cakap gagal!, namun masih aku usahakan lagi penulisan itu. Kali ini, harap-harap selesailah penulisan itu sebelum aku memejamkan mata dalam tidur lena yang panjang. Mudah-mudahan, itulah harapan aku. Perkenankanlah Ya...Rabb!.  Impian dan anganku akankah tercapai dan tergapai?. Hanya Allah SWT Yang Tahu.

Blog seterusnya, blog sekadar luahan, pandangan pribadi, simpati kepada pertubuhan Al-Arqam yang diharamkan, kerana aku punyai cerita tersendiri tentangnya, aku tidak terlibat dan tidak juga menjadi anggota jemaah tersebut, Cuma aku melihat ada sisi menarik terhadap jemaah tersebut ketika itu, maka aku bina blog tersebut dengan niat mahu berkongsi catatan hatiku terhadap jemaah tersebut, akhirnya aku gagal merealisasikan penulisan itu. Blog tersebut aku namakan ‘Bukan Membenci Tapi Simpati’ atau ‘Sekadar Simpati Meluah Hati’, lebih kurang begitulah yang aku tulis tajuk blog tersebut, aku lupalah pulak.


Namun ianya kosong dari sebarang catatan perkongsian, sekadar tulisan mukaddimah, selepas itu kosong, akhirnya aku padam blog tersebut. Masih ada niat lagi untuk menulis catatan-catatan tersebut, cuma masa dan ketikanya sahaja. Jika rajin nanti, aku akan cuba tulis sisi menarik tentang jemaah tersebut, biarpun masing-masing punyai pandangan yang berbeza. Arkibkan dirimu...kata Pak Agi dalam bicaranya. Ya, sekarang aku cuba arkibkan detik perjalanan penulisanku ini, aku cuba, mahu menjejaki nota yang tertinggal setelah sekian lamanya...kini aku jejaki langkah-langkah tersebut, mudah-mudahan dokumentasi ini dapat dinikmati nanti oleh anak-anakku..., akan ada lagi nanti kisah seterusnya, ada kesinambungannya nanti... 

bersambung...

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi