Sajak: Rakyat Sengsara Panda Kaya



Rakyat Sengsara Panda Kaya

Panda ke sini  demi negara
buat menyemai kasih dua bangsa
rakyat tak perlu susah ke sana
mahu tengok pergi zoo negara.

Panda ke sini sungguh kaya
rumah panda mewah 25 juta
kos sewa 30 juta sahaja
selenggara pula 15juta cuma.

Panda ke sini dijaga begitu rupa
cukup makan cukup tidur selesa
rakyat sengsara hidup terus papa
pemimpin negara leka terus lupa.

Panda ke sini rakyat terus sengsara
barang naik kos hidup tinggi rasuah juga
rasuah kian parah bunuh sini sana
panda juga hidup aman terus bahagia.

Panda ke sini rakyat tak dapat apa
janji penguasa GST akan dilaksana
buat menolong orang kaya raya
rakyat terus sengsara panda kaya.

Panda ke sini rakyat terus bekerja
bertungkus lumus menyara keluarga
panda juga hidup riang bergembira
rumah berhawa dingin panda yang punya.

Panda ke sini  konon demi dua negara
hubungan akrab malaysia dan china
rakyat diberi peluang menilai penguasa
tapi PRK dipilih yang itu itu juga.

Panda ke sini sudah jadi bahan cerita
panda kaya rakyat terus sengsara
nak salahkan siapa tak pandai pilih ketua
akhirnya sendiri susah rakyat padan muka.

Masshah 2014
2062014
Meru.

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi