MENULIS SELAGI MASIH ADA HAYAT

Sunday, June 15, 2014

Berpolitik Dalam Blog Ketiga

Blog Muhammad Anas



Tulisan-tulisan pandangan politik


Syukur alhamdulillah, niat nekadku untuk menulis telah aku realisasikan, aku paksakan diriku untuk menulis sekurang-kurangnya dua muka surat atau tiga muka surat setakat ini telah berjaya aku lakukan, aku harap dan berjanji pada diriku agar aku terus istiqamah untuk melakukanya. Harap-harap begitulah, bukan hanya angan-angan sahaja. Aku benar-benar terkesan dengan kata-kata yang aku baca dalam muka buku sahabat fb;

“Kerja penulis adalah menulis, bukan angan-angan mahu menulis.”

Begitulah bunyinya kata-kata motivasi tersebut, jika asyik berangan-angan mahu menulis tapi tidak mula-mula juga, mana mahu dapat hasilnya. Apa yang aku harapkan nanti biarlah, apa yang aku lakukan ini ada hasilnya. Semuanya itu memerlukan semangat dan kekuatan dalam diri. Nekad dan ada kemahuan yang tinggi itu perlu ada dalam diri sendiri. Beberapa hari lalu, aku berkisah tentang blog kedua aku. Blog yang bercerita tentang buku, perasaan aku terhadap buku, dan sebagainya.

Kisahku kali ini bersambung semula dengan terbinanya blog ketigaku iaitu blog yang berkaitan dengan siasah atau politik, berkisah dengan cerita-cerita politik tanah air tercinta ini. Memandangkan aku juga ada pandangan politik sendiri, untuk meluahkan segala apa yang terbuku di hati ini, aku tulis di dalam blog ini. Apa sahaja isu semasa yang berlaku di tanah air kita, aku akan turut juga memberi pandangan, suatu pandangan orang biasa, kerana aku yakin setiap warganegara yang sah, punyai hak untuk menulis selagi mana tidak memudaratkan diri sendiri dan orang ramai.

Maklum dalam meluahkan pandangan politik banyak risikonya, salah fakta nahas si penulisnya. Biasanya aku merujuk akhbar-akhbar arus perdana dan akhbar alternatif yang ada, juga melalui portal-portal yang wujud di internet. Luahan politik adakalanya mengikut perasaan, rasa jengkel, meluat, menyampah melihat kebobrokan sikap dan tindak tanduk ahli politik dan penguasa yang tidak pernah puasa dengan kuasa yang ada. Ini membuatkan hatiku memberontak meluahkan melalui penulisan melalui medium blog yang di wujudkan ini.

Awal kewujudan blog ini memang aku rancak menulis, pantang ada isu panas aku turut meluahkan isi hatiku yang panas membara, kejelekkan politik rasuah, samseng, dan ampu sana, ampu sini menyebabkan aku menulis, menulis dan menulis, melepaskan geram yang berbuku itu. Macam-macam isu dan perkara yang berlaku, mana mungkin aku bisa diamkan sahaja. Kemungkaran politik yang dilakukan oleh ahli politik mesti didedahkan agar rakyat akan menilai segala tindak-tanduk mereka yang tidak pernah sedar diri.

Begitulah semangatnya ketika itu aku menulis perihal politik tanah air, menulis perihal politik bukan semua orang suka, maklum bermacam-macam jenis manusia. Ada yang suka politik, ada yang tolak politik, ada yang langsung tidak campur politik, dan macam-macam jenis manusia. Tak mengapala itu hak masing-masing, negara hukum memberi hak kepada rakyatnya untuk berkarya, membuat apa sahaja bentuk kebebasan selagi mana tidak memudaratkan keselamatan negara. Undi anda rahsia katakan...,. Wah, aku sudah melalut, macam menulis entri politik pula.

Oh...ya, lupa pula mahu beritahu, blog ketiga ini aku namakan sempena nama anak kedua ku, Muhammad Anas- Ayuh Berubah Selamatkan Malaysia, begitulah bunyi tagline blog tersebut.  Ada yang tanya mengapa mahu selamatkan Malaysia?, apa yang tidak kenanya dengan negara kita?,  apa masalahnya?. Nak tahu, silalah masuk ke blog tersebut. Tapi untuk beberapa minggu ini, aku belum kemaskini lagi dengan entri terbaharu, kalau mahu baca, bacalah entri yang lama, mengapa Malaysia perlu diselamatkan. Insyallah, ada jawapannya.

Alhamdulillah setakat ini masih ada pengunjungnya, itu pun jika aku ada kirim entri baharu. Bila rajin menulis adalah entri baharu, jika tidak bacalah entri lama...ha...ha...ha. Blog ini pun aku masih sayangkannya, tak mungkin aku mahu padamkannyaa. Aku sudah copy semua tulisan-tulisan lamanya, aku cetak dan aku baindingkannya, nampaklah macam manuskrip buku. Banyak juga rupanya aku sudah tulis perihal politik negara, detik hatiku bila aku baca semula tulisan itu.

Sesekali aku baca semula artikel-artikel yang aku tulis, buat mengambil motivasi agar aku terus menulis, menulis, dan menulis, jangan malas-malas. Dalam banyak-banyak artikel yang aku tulis, ada dua buah artikel aku cuba hantar di surat pembaca Portal Harakahdaily.net, syukur terbit juga tulisanku, walaupun dalam portal Harakahdaily. Itu yang waktu itu, aku semangat gila membara mahu tulis, tulis, dan tulis lagi. Kini?, tulis juga tapi tengok mood, agak malas copy paste sahaja dari mana-mana sumber, selesai masalah. Masalah culas dan malas sahaja sebenarnya.

Itulah serba sedikit kisah blog ketigaku, medium tempat aku menulis, menulis apa-apa sahaja, selagi tidak memudaratkan, masih diizinkan perlembangaan negara, dan yang penting dari itu mahu menyedarkan masyarakat tentang perkara-perkara yang berlaku dipersekitaran hidup kita. Tulisan ini tidak akan berakhir di sini, ia akan ada kesinambungannya nanti..., kerana ia detik perjalanan insan biasa dalam dunia penulisan yang ingin ditukanginya. Ia juga merupakan rakaman perjalanan panjang untuk menuju distinasi kehidupan yang pasti.

Semoga penulisan ini ada ibrah yang boleh diambil.

Bersambung...

2 comments:

  1. Assalamualaikum, Tuan Masshah. Nampaknya Tuan seorang penulis yang bersetail. Teruskan mencoret pandangan dalam ketiga-tiga blog yang ada itu. Moga bermanfaat untuk semua.

    ReplyDelete
  2. Wlkmsalam Cikgu Helmi, Insyallah selagi ada daya dan semangat akan ku coretkan semampuku...;), terima kasih juga kerna membacanya.

    ReplyDelete

Jangan Berhenti Membaca