Sajak: Maafkanlah Aku

Maafkanlah Aku

Maafkanlah aku
mungkin ada puisiku yang menyakitkan hatimu
kerana aku menulis tidak kira waktu,
ada masa buntu, marah, sayu, pilu
yang menyelubungi segenap perasaanku
hingga kadang-kadang melupakan tentang perasaanmu.

Maafkanlah aku
kerana benci dengan sang menteri yang dungu penuh korupsi
berhujah berdegar-degar
berjanji muluk-muluk
tetapi kesemuanya tidak ditepati, semata-mata mahu undi
itu menjadi sebahagian dalam tulisan puisiku yang tidak tentu.

Maafkanlah aku
kerana mungkin kalian anggap aku tidak bersyukur
dengan nikmat keamanan dan keharmonian yang wujud ini
atau mungkin kalian juga macam aku, makin muak dan jelak
melihat drama swasta dan drama minggu ini atau panggung sandiwara
atau yang terkini...

Maafkanlah aku
sungguh, aku sangat sayang dengan tanahair ini
tidak pernah lupa asal usul dan jati diri
aku anggap tanahair ini bumi bertuah yang bakal menggegar dunia satu masa nanti
cuma, aku sangat benci para penguasa yang lupa diri, tidak sensitif pada agama
diguna bila perlu, dibuang bila jemu dan tidak menguntungkan kantung-kantung mereka,
mereka masih mahu berpoya-poya, bermewah ‘ala wasatiyah’
tidak mengira waktunya...habis dihangus duit rakyat.
sana-sini tembak menembak, ramai yang mati begitu sahaja
mereka yang mati ada yang bijak-bijak
ada juga yang bejat-bejat, bagaikan nyawa sudah tidak bernilai harganya
penguasa apakah tidak nampak lagi perkara itu
mengapa hukum tuhan masih diragui tidak dipeduli
mengapa masih mahu menafi malah mengapi-apikan dengan penuh prejudis
oh...sungguh sadis melihatnya.

Maafkanlah aku
andai puisiku tidak disenangi
kerana luahan ini dari hatiku
demi mahu melihat tanahairku diberkati Ilahi tidak mahu dimurkai
untuk diriku, seruan ini untuk para menteri dan seluruh penguasa
juga untuk dirimu yang mahu mengerti tentang maksud puisiku ini
bertaubatlah semuanya sebelum terlambat
sebelum nyawa dicabut Ilahi...
maafkanlah aku untuk sekali lagi.

Masshah 2013
Bilik Buku
2:56am-Selasa-19/11/2013
Meru.

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi