Nota Ramadan: Ramadan Menjelang Lagi

Google Image


Ramadan Menjelang Lagi

Bulan ramadan datang lagi, bulan yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan dari Ilahi. Syukur tidak terhingga diucapkan terhadap yang empu-Nya bulan yang suci lagi mulia ini. Kerana dengan izin-Nya, aku dan kita semua dapat bertemu dengan bulan suci ini. Bulan di mana di dalamnya ada ibadah puasa yang mesti kita tunaikan. Satu kewajipan yang termaktub di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa. Puasa itu diwajibkan dalam beberapa hari tertentu. Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) maka hendaklah ia digantikan dengan hari-hari lain."

(Al-Baqarah : 183)

Demikianlah, suruhan dan saranan Allah SWT agar kita menunaikan kewajipan berpuasa di bulan ramadan al-mubarak ini. Semua orang tahu dan faham tentang suruhan ini. Cukuplah sekadar itu, aku bukan mahu berceramah tentang kelebihan puasa, semua orang sudah faham dan reti belaka, maklum sudah ada yang berpuasa puluhan tahun, tak kanlah tidak faham lagi kan’?. Aku hanya sekadar mahu menulis catatan tentang rutin harian aku sepanjang bulan ramadan tahun ini.

Apa Itu Ramadan?

Oh ya, sedikit untuk pengetahuan, tentang pengertian ramadan yang aku kutip dari  laman blog Fadhilat Ramadan, sekurang-kurangnya bila kita sebut ramadan, kita akan faham apa itu ramadan;

“Perkataan Ramadhan berasal dari kata dasar ‘ra-mim-dal’, yang bererti“panas” atau “panas yang menyengat”. Perkataan ini berkembang sehingga ertinya membawa maksud“menjadi panas atau sangat panas”, atau diertikan juga sebagai“hampir membakar”. Oleh itu makna Ramadhan boleh diringkaskan sebagai waktu atau keadaan di mana seseorang merasa panas, mulut terasa kering dan tekak terasa haus disebabkan sedang berpuasa.”

InsyaAllah, selagi diberi kekuatan dan semangat, aku akan nukilkan catatan ini sepanjang bulan ramadan, apa-apa sahaja yang aku lakukan akan aku catatkan dalam nukilan ini. Seperti tahun-tahun yang sudah, aku ada menuliskan tentang perjalananku sepanjang ramadan. Aku yakin dan percaya, selaku orang Islam yang beriman, sahabat semua tentu gembira dengan kedatangan bulan suci ini. Hati girang untuk menyambutnya dan sudah pastinya sudah ada perancangan yang baik untuk meraikan bulan mulia ini. Tahniah dan syabas, aku ucapkan kepada sahabat semua.

Teruja Malam Pertama Ramadan

Malam pertama, ramai berbondong-bondong ke surau atau masjid, tidak kira di mana, desa atau kota, seantero dunia sedang meraikan ramadan al-mubarak ini. Melihat begitu ramainya umat Islam ke surau dan masjid sangat mengujakan aku, mereka datang bersama keluarga, anak, isteri dan sebagainya. Semangat ramadan diraikan dengan penuh sungguh dan meriah sekali. Surau, masjid dan madrasah hidup bercahaya dengan pelbagai program, imarah sekali. Seperti tahun sudah, begitulah suasana malam pertama ramadan, malam ini berulang kembali.

Sungguh, ramadan punyai kuasa magnet yang kuat sekali, untuk kita sama-sama berusaha menghidupkannya. Asal yang malas akan menjadi rajin, yang lebih kurang pun begitu, bangkit dengan kekuatan ramadan, bersemangat untuk meraikan ramadan. Indah dan meriahnya suasana malam ini. Aku, malam ini berterawih di Surau Darul Aman, tempat tinggalku, aku balik kampung sekejap untuk malam ini, berterawih bersama orang-orang kampung asalku. Seronok melihat betapa semangat ramadan malam pertama mereka merai dan mengimarahkannya. Begitu juga aku, aku tidak mahu ketinggalan.

Saf-saf solat penuh, dari yang tua, dewasa, remaja, kanak-kanak, dan turut kelihatan beberapa warga asing yang beragama Islam turut bersolat di surau. Aku bermonolog di dalam hati, moga semangat ini terus bekekalan sehingga ramadan terakhir, aku harap aku pun begitu, bukan hanya semangat tetapi biarlah dengan niat dan tekad semata-mata menuntut keredaan Allah SWT. Jika sekadar semangat-semangat tanpa niat yang betul, kebarangkaliannya akan mudah pudar dan longgar. Itulah harapan aku, untuk diriku dan masyarakat seluruhnya.

Terpulang Hendak Berapa Rakaat

Bila sebut ramadan, semua akan ingat  terawih, solat terawih, terpulanglah kepada masing-masing, mahu berapa rakaat mahu tunaikannya, ada lapan rakaat, ada sepuluh rakaat, ada dua belas rakaat, dan ada dua puluh rakaat, sambung solat witir tiga rakaat, ya...silakan, usah gaduh-gaduh, cukuplah, masing-masing sudah faham, sudah tahu dalil-dalilnya, buat sahaja, jangan bertelingkah tak sudah nanti berpecah akhirknya. Itu yang kita tidak mahu, masyarakat kini sudah ramai yang faham, berpendidikan tinggi. Selagi ia tidak bertentangan dengan sunnah dan syariat silakan.

Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda, maksudnya;

 “Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khulafak yang mendapat petunjuk (selepasku). Berpegang lah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham-geraham kamu…”.

(Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud dari Abi Najih al-‘Irbadh bin Sariyah r.a.)

Untuk malam ini, dengan kekuatan yang diberikan oleh-Nya, aku dapat menghabiskan solat terawihku hingga solat witir, semoga aku dapat meneruskan kesungguhanku ini, untuk malam berikutnya. Bila aku melihat kebelakang, kelihatannya, bila sampai lapan rakaat, ramai yang sudah kembali ke rumah.

Aku yakin, masing-masing punya hal, mungkin ada yang bekerja shif, mengambil peluang balik rehat sekejap, untuk sama-sama bersolat jemaah dan berterawih di surau. Mereka mengambil peluang solat lapan rakaat, tidak mengapalah, yang penting kita tunaikan solat terawih tersebut, berapa rakaat pun bukan isunya lagi. Jika kita fikir-fikir, mengapa perlu dibising-bisingkan lagi tentang berapa rakaat solat terawih, apa untungnya?. Mengapa tidak kita bisingkan, mereka yang tidak solat terawih pula. Mereka lagi teruk, jika diikutkan dari mereka yang solat lapan rakaat. Betul juga ya..., sahabat yang bijak boleh renung-renung dan fikir-fikirkan ya.

Harapanku

Selain teruja melihat semangat masyarakat dalam meraikan ramadan malam pertama, aku berharapan sekali lagi, biar di mana-mana pun, di kota atau desa, di seluruh dunia, biarlah umat Islam terus memperhebatkan bulan ramadan ini, dengan pelbagai aktiviti bermanfaat, biar dari bentuk individu mahu pun dalam bentuk bermasyarakat. Untuk diriku, sahabat dan masyarakat seluruhnya, aku mohon pada Allah SWT, agar terus memberikan kekuatan untuk meraikan bulan suci ini, dengan kekuatan iman dalam diri, janganlah sampai diri ini mensia-siakan bulan mulia ini yang datangnya setahun sekali.

Amin Ya Rabb...

Aku sudahi catatan ini dengan memetik maksud sabda Nabi S.A.W;

“Sesiapa mengerjakan qiyam Ramadhan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan pahala dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu”.

(Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)

Sekian.

                                                                                       

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi