A.GHAFAR IBRAHIM
(Abdul Ghafar bin Ibrahim,
Agbi Al-Godjonja, Agbi Al-Ghaff, Agi)
LAHIR : 31 Ogos 1943 di
Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang, Selangor D.E.
ALAMAT : 6, Jalan 1/3H,
Bandar Baru Bangi, 43000 Kajang, Selangor D. E.
SEMENJAK kecil lagi. A. Ghafar Ibrahim telah
didedahkan oleh ayahnya kepada alam penulisan. Ayahnya, Ibrahim Khatib
Husin merupakan seorang pengembara yang berulang-alik antara Semenyih,
Singapura, dan Sumatera. Ibrahim membuat berbagai-bagai pekerjaan,
antaranya sebagai anggota polis, peniaga kedai runcit, dan terakhir sebagai
penjual kain di pekan-pekan Rabu dan di-pasar-pasar malam. Di samping itu, ayah beliau pernah bergiat dalam bidang penulisan
dengan memakai nama samaran “Arab Street” ketika menulis di ruangan pojok
dalam akhbar Warta Malaya Singapura pada tahun 1930-an. Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) yang mengenali peribadi Ibrahim
mengakui kegiatan penulisannya ini. Ayah A. Ghafar meninggal dunia pada tahun
1948.
A. Ghafar Ibrahim turut didedahkan oleh
neneknya kepada cerita-cerita lipur lara dan hikayat-hikayat zaman dahulu
kala yang amat mengasyikkan. Kedua-dua faktor ini membenihkan minat
beliau dalam dunia kesusasteraan Melayu. Minat ini dipertajamkan
lagi oleh nyanyian-nyanyian puisi daripada kaba-kaba Minangkabau dan
terutamanya daripada cerita-cerita Sabai Nan Aluih. Lagu-lagu puisi
seperti Rantak Kudo dan isinya terdiri daripada
pantun-pantun yang sering berkumandang dalam majlis-majlis perkahwinan,
amat mempengaruhi jiwa beliau semasa kanak-kanak. Qasidah dan berzanji yang
diadakan waktu majlis memotong jambul atau mencukur rambut mulai
menumbuhkan daya kreativiti A. Ghafar.
Ternyata bahawa kehidupan kesenian di
kampungnya amat mempengaruhi dunia persajakan beliau. Hal ini ditambah lagi
dengan kegiatan pencak silat yang dipelajarinya pada waktu malam dan
kegiatan tari piring, sejenis tarian asli yang diturunkan daripada generasi
kepada generasi. Kumpulan silat dan tari piring yang
diceburinya itu sering diundang ke majlis-majlis perkahwinan serta lawatan
orang besar di sekitar pekan Beranang, daerah Hulu Langat dan Kuala Lumpur. Semuanya ini berlaku ketika A. Ghafar berumur dalam lingkungan enam
hingga 12 tahun.
A. Ghafar Ibrahim mendapat didikan awalnya
sehingga darjah tiga di Sekolah Melayu Beranang, Selangor dari tahun
1950-1952. Kemudian, beliau belajar sehingga darjah enam di Sekolah Rendah
Inggeris, Semenyih, dari tahun 1953-1957. Beliau belajar di sekolah
agama pada waktu petang di kampung pada tahun 1956-1957. A. Ghafar lulus Lower Certificate of Education di
Kishan Dial School, Kuala Lumpur dalam tahun 1960. Kemudian, beliau
memperoleh Malaysia Certificate of Education di High
School, Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 1962. Dalam tahun 1963-1964,
beliau menjadi guru sementara di Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Kelang. Minatnya untuk menjadi guru telah menjadi kenyataan apabila beliau
diterima menjadi guru pelatih pada tahun 1965-1966. Dalam masa dua tahun itu,
beliau mendapat latihan perguruan pada hujung minggu dan waktu cuti penggal
persekolahan. Sewaktu menerima latihan perguruan, beliau juga di tempat di Sekolah
Menengah Kulim, Kedah pada tahun 1965 dan di Sekolah Menengah Kebangsaan
Kulim, Kedah pada tahun 1966-1968 dan tahun 1970. Pada tahun 1968, beliau
ditugaskan memberi kursus seni lukis kepada guru-guru sekolah rendah Kedah
Selatan pada hujung minggu. Pada tahun 1969, beliau sekali lagi
mengikuti kursus Pendidikan Seni Lukis di Maktab Perguruan Ilmu Khas
(MPIK), Kuala Lumpur selama satu tahun.
Pada tahun 1971, A. Ghafar Ibrahim mengajar
di Sekolah Menengah Khir Johari, Beranang, Selangor. Beliau menerima latihan mengajar bahasa
Inggeris sebagai bahasa kedua di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur dari
bulan Januari hingga bulan April 1974. Pada tahun 1972, beliau
menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan. Pada bulan Mei 1974, beliau
meletakkan jawatan guru untuk bertugas sebagai pembantu penyelidik sastera
di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatan ini disandangnya hanya empat bulan
sahaja kerana beliau terpaksa meletakkan jawatannya untuk memenuhi undangan
sebagai penulis tamu di School of Letters, International
Writing Program, University of lowa, Amerika Syarikat dari Oktober
1974 hingga Mac 1975.
Selepas itu, beliau sekali lagi telah
berangkat bersama-sama keluarganya ke Amerika Syarikat untuk mengikuti
pendidikan Seni Halus di College of Visual dan Performing Arts atas tajaan
MARA. Pada tahun 1976, beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Seni dari
Northern Illinois University. Ijazah Sarjana Sastera pula diperoleh dari
Eastern Illinois University, Charleston, Amerika Syarikat pada tahun 1977. Selama menuntut di kedua-dua universiti tersebut, beliau telah
memenangi Foreign Students’ Scholarship, iaitu suatu
hadiah yang mengecualikan beliau daripada membayar yuran pengajian.
Sekembalinya ke tanah air, A.Ghafar bertugas
sebagai pensyarah sambilan seni grafik di Sekolah Seni Lukis dan Seni Reka,
Institut Teknologi MARA, Shah Alam mulai bulan Oktober 1978 hingga Disember
1979. Pada waktu yang sama, setiap hari Sabtu, beliau mengajar seni lukis
untuk pelajar-pelajar tingkatan enam di Yayasan Anda, Kuala Lumpur. Mulai bulan Januari 1980, A.Ghafar bertugas pula sebagai pensyarah
pendidik seni di MPIK yang merupakan alma-maternya 11 tahun
yang lalu. Setelah berkhidmat selama dua tahun 10 bulan di MPIK, beliau
meletakkan jawatannya untuk berkhidmat sebagai pensyarah pendidikan di
Pusat Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, mulai November 1982
hingga 1998.
Dalam kegiatan penulisan, beliau pernah
dilantik sebagai sidang pengarang majalah GATRA (sebuah persatuan penulis)
di Kedah pada tahun 1967, 1968 dan 1970. Beliau pernah menjadi
sidang pengarang majalah tahunan MPIK pada tahun 1969 dan Asian Editor,
untuk majalah New Poetry, iaitu Magazine of the Poetry Socoety of
Australia pada tahun 1974.
Beliau sering dilantik menjadi hakim
peraduan melukis poster, lukisan kanak-kanak, deklamasi sajak dan pada
tahun 1985, menganggotai panel hakim bahagian puisi dalam peraduan menulis
puisi Selangor Darul Ehsan anjuran Kerajaan Negeri Selangor, bersempena
Perayaan Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor.
A. Ghafar Ibrahim telah menunjukkan bakatnya
sejak tahun 1958 lagi, iaitu waktu beliau berada dalam tingkatan satu
dan Utusan Kanak-kanak (akhbar mingguan terbitan Utusan
Melayu, Kuala Lumpur) telah menyiarkan tulisan
beliau dalam bentuk berita, makalah dan hikayat. Pengarang Utusan
Kanak-kanak waktu itu, Mohamad Salehudin, juga merupakan seorang
pelukis. Tulisan-tulisannya yang disiarkan saban minggu pada waktu itu tidak
pernah mendapat bayaran. Utusan Kanak-kanak merupakan gelanggang pertama untuk A. Ghafar berkarya.
Daripada penulisan berbentuk berita, A. Ghafar beralih kepada tulisan berbentuk sajak. Sajak pertamanya bertajuk “Ensiklopedia Kehidupan Manusia” tersiar
dalam Mingguan Malaysia, 8 Ogos 1965 dan waktu itu ruangan
sajak dikelolakan oleh Nora. A. Ghafar terus aktif dalam GATRA di Kedah
dan pernah menjadi Ketua Dua GATRA pada tahun 1968 dan 1970. Pada bulan Mei 1974 beliau turut menubuhkan kumpulan “Anak Alam” bersama-sama
teman-teman penyair-penyair seperti Latiff Mohidin, Mustaffa Hj. Ibrahim,
Zulkifli Dahalan dan Ali Rahamad.
A. Ghafar Ibrahim juga terkenal sebagai seorang
pelukis. Ini tidak menghairankan kerana beliau telah terdidik dalam seni
lukis di maktab-maktab perguruan dan di universiti-universiti luar negara. Beliau pernah mengadakan pameran lukisan di Malaysia, Singapura,
Indonesia, Negara Thai, Filipina, Brunei Darussalam, Australia, Belgium dan
Amerika Syarikat.
Kegiatan persajakannya mulai mendapat
perhatian ramai apabila beliau mempelopori puisi 3V: verbal-vokal-visual
pada tahun 1965. Untuk memantapkan lagi konsep persajakannya
itu, beliau telah membuat suatu pernyataan tentang sajak Audio-Visual dalam bentuk esei bertarikh 12 September 1972 yang kemudiannya disiarkan
dalam Dewan Sastera pada tahun 1973 berjudul “Dengan Puisi
Audio-Visual”. Dalam esei beliau itu, “Sajak Audio-Visual”
A. Ghafar antara lain menulis:
Sajak padaku terdiri dari Tri-V;
Verbal-Vokal-Visual. Verbal ialah isi sajak. Vokal bunyinya. Visual ialah
teknik sajak. Verbal harus dimengertikan. Daya kreasi penyajak menimbulkan daya rasa
fikir yang kritis daripada pembaca untuk menuju pada erti sajak. Kejayaan membaca menegakkan kesan vokal sajak. Pembacaan mestilah berjaya
meninggalkan kesan-kesan yang nikmat. Vokal itu harus didengar satu per satu penuh
hati-hati. Tempat penglahiran sajak tidak terbatas. Di atas kertas, melalui
TV, radio, tayangan slides dan movie. Cara mana
sajak itu disampaikan adalah tekniknya. Di atas kertas dia tertera
dengan bentuknya yang tersendiri. Radio dan TV mementingkan tekanan vokal yang
menimbulkan susuk verbalnya. Slides dan movie menggambarkan grafiknya. Cara ia
dilahirkan itu dinamakan visual. Jadi sebuah sajak itu mestilah
dibaca-didengar-dilihat. Barulah kita akan dapat suatu pengertian
yang nikmat.
Pernyataan Tri-V ini diperkuatkan lagi
melalui esei beliau, “Sajak Ingin Berberber dan Beryangyang” (4 Oktober
1979) yang kemudiannya disiarkan dalam Berita Minggu, 21 Oktober
1979.
Dengan konsep 3V inilah, A. Ghafar
memantapkan pembacaan puisinya yang dipersembahkan dalam bentuk tarian
piring, pencak silat dan teaterikal. Pada tahun 1974 dan 1975, beliau telah pun
mengadakan persembahan membaca puisi secara perseorangan dan berkumpulan di
dalam dan luar negara. Antaranya termasuklah di Universiti Malaya,
Adelaide Arts Festival, Adelaide; Council of Adult Education, poetry
workshop, Melbourne; University of Melbourne, Guild Theatre, Union
House, Melbourne; Australia Sydney Church of England Grammar School for
Girls, Sydney; Department of Indonesia & Malay, University of Sydney;
Australia International House, University of Sydney; Bar-Smith-Lawn, of
Adelaide; Methodist Ladies College, Adelaide; East-West Center, Hawaii;
International House, California Los Angeles; Cedar Rapids Community
College, lowa, Amerika Syarikat; Universiti of Iowa, Iowa City, Iowa. Pada Ogos 1986, A. Ghafar telah berkunjung ke Yugoslavia untuk
menyertai bacaan puisi Struga Poetry Evenings yang
diadakan pada 21-25 Ogos dan turut membaca puisi di Library and Cultural
Centre, Prilep, Macedonia.
Selain itu, sajak-sajaknya tersiar dalam
majalah luar negara seperti sajaknya “In Bandong” tersiar dalam
akhbar The Australian yang diterbitkan di Sydney pada 3
Mac 1973.
Di samping itu, beliau adalah penemu bual
yang baik. Hal ini terbukti daripada wawancaranya dengan beberapa orang seniman
Malaysia dan antarabangsa dan mendapat sambutan daripada peminat seni
lukis, teater, prosa dan puisi. Kebanyakan wawancara itu telah pun tersiar
dalam akhbar dan majalah sastera tempatan yang kini telah dibukukan dengan
judul Dialog dengan Seniman.
Selain menjadi ahli PENA seumur hidup,
beliau pernah menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Penulis dan Seni Kreatif
Daerah Hulu Langat. Pada tahun 1985, A. Ghafar bersama-sama
dengan rakan-rakan turut mengasaskan penubuhan GENERASI – Gabungan
Penulis-penulis Selangor Darul Ehsan.
KARYA
Puisi
-
|
Gegaran (antologi
bersama), Alor Setar: Dinas Penerbitan Pustaka Sekolah, 1968,
33 hlm.;
|
-
|
Perintis Sajak-sajak Melayu (antologi
bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.,
1971, 103 hlm.;
|
-
|
Some Poems from Malaysia (antologi
bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1973, 30 hlm.;
|
-
|
Program for Writers’ Workshop, Australia: Southeast Asian
Studying Program, Murdoch University, Perth, 1975;
|
-
|
Tan Sri Bulan (My Lord Kite), Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976, 60 hlm. (terjemahan dalam bahasa
Inggeris oleh Harry Aveling);
|
-
|
Tak Tun, Kuala Lumpur:
Penerbitan Utusan Melayu, 1978, 85 hlm. (terjemahan dalam bahasa Inggeris
oleh Harry Aveling), The Elek Book of Oriental Verse (disusun
oleh Keith Bosley), London: Paul Elek Ltd., 1979, 315 hlm.;
|
-
|
Puisi-puisi Nusantara (antologi
bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 294 hlm.;
|
-
|
Tinta PENA (antologi
bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981, 631 hlm.; Lagu Kehidupan (antologi
bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983, 302 hlm.;
|
-
|
100 Sajak Malaysia (antologi
bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984,
141 hlm.;
|
-
|
Puisirama Merdeka (antologi
bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1986, 141 hlm.;
|
-
|
Yang Yang, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan pustaka, 1986,64 hlm.;
|
-
|
Kumpulan Puisi Malaysia (Malaysian
Poetry) (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, 1988, 167 hlm.;
|
-
|
Puisi Baharu Melayu 1961 – 1986 (antologi
bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 941 hlm.;
|
-
|
Malaysia dalam Puisi (anatologi
bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 316 hlm.;
|
-
|
Puisi-puisi Kunjungan (Antologi
bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, 253 hlm.;
|
-
|
Rupa Kata (anatologi
bersama), Ipoh: Yayasan Kesenian Perak, 1996, 122 hlm.
|
Drama
-
|
Di atas Pentas (antologi bersama), Kuala Lumpur:
Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 209 hlm.;
|
-
|
Bakat Pahlawan (antologi
bersama – remaja), Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1985. 107
hlm.
|
Umum
-
|
Dialog dengan
Seniman, Kuala Lumpur:
Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1982, 165 hlm.
|
-
|
Bakat Pahlawan (antologi bersama – remaja), Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn.
Bhd., 1985. 107 hlm.
|
|
Comments
Post a Comment