Monolog: Bila mahu mula menulis?





Macam-macam buku penulisan sudah kau baca, sudah kau hadami tetapi bila masa kau mahu memulakan proses penulisan mu itu. Apa yang menghalangi mu dari terus mahu menulis?. Bukankah segala panduan yang ada itu kau telah catat dalam buku dairi mu jua di kepala otak kau, kau telah simpan. Mengapa kau tidak mulakan dari sekarang?. Jangan-jangan kau cuma mahu berangan-angan mahu menjadi penulis tetapi sampai sekarang, tidak satu buku pun kau tulis…MENGAPA?.

“Penulis kerjanya menulis, bukan angan-angan menulis”

Jika asyik angan-angan, sampai bila pun kau tak akan dapat menulis, menulislah…catat idea yang kau dapat dalam buku catatan. Bukankah mencatat itu sebahagian daripada tip penulisan sebagaimana yang kau baca dalam buku penulisan yang kau baca berulangkali, mengapa tidak dicatat, catatlah setiap kali lintasan idea yang datang di kepala otak kau. 

Mahu tunggu apa lagi?. Usia kau semakin meningkat, kudrat kau pun sudah mahu berkurangan, mulakanlah dari sekarang, usah dilayan perasaan malas yang sering membelenggumu itu, lawan terus lawan.

Percayalah, kalau kau terus begitu, menangguhkan apa yang kau inginkan, kau tak akan menikmatinya nanti, kau harus pacu dengan laju, usahakan terus. Menulis kena berterusan, biar sehari sedikit tetapi ianya berterusan;

“sedikit-sedkikit lama-lama menjadi bukit…”

Kau pun tahu, di belakang dan dihadapanmu sekarang ramai orang berlumba-lumba untuk menulis sesuatau untuk dikongsi oleh khalayak, mereka bertungkus lumus sepanjang hari untuk menyiapkan hasil penulisan mereka. Mereka sanggup tidur lewat berhari-hari untuk menyiapkannya. KAU…?. Sehari pun kau tak larat dan sanggup, bagaimana kau mahu merealisasikan impian kau?. Bangkit dan bersegeralah menulis, usaha berlengah-lengah lagi.

Masa kau bina blog beberapa tahun lalu, bukan main kau bersemangat setiap hari kau kongsikan aktivitimu, hinggakan kalau boleh setiap saat kau mahu kongsikan buat sahabat blogger mu…mengapa kau tidak ambil semangat ketika itu, untuk kau menulis lagi. Malah kau bina satu blog hingga beberapa blog kau bina…ghairah betul kau, semangat mahu menulis waktu itu sungguh berkobar-kobar sekali. 

Sepatutnya kau terus menulis, kau punyai kebolehan, bila kau biasakan dengan menulis hari-hari, lama kelamaan kau akan lebih mahir bermain bahasa, bina ayat dan lain-lainnya.
Blog permulaan yang baik untuk kau mengasah penulisan kau, orang ramai pun turut membina blog untuk berkongsi apa-apa sahaja dalam kehidupan mereka. Tengok penulis-penulis yang telah berjaya dalam dunia penulisan, mereka bermula dari menulis di blog masing-masing, sehingga berjaya hasil penulisan mereka dibukukan. 

Lihat Ustaz Hasrizal Jamil, Ustaz Zaharuddin, Muhd Luthfi, Prof.Mud Kamil dan yang lain-lainnya. Mereka patut kau jadikan contoh, kau sering buka blog mereka tetapi kau tidak cuba mencontohi mereka. Banyak lagi insan-insan lain yang berjaya menjadi penulis, kau seharusnya mengambil inspirasi dan motivasi dari mereka.

Sebenarnya banyak lagi yang kau boleh ambil ibrah dari mereka, siapa pun kau, kau ada kelebihan tersendiri. Mereka pun macam kau juga, makan juga, minum juga, bekerja juga dan sebagainya. Cuma mereka ada kelebihan sendiri, dikenali khalayak, sering diundang ke sana- kemari dalam pelbagai bentuk forum ilmu. Iyalah…kau cuma berkerja di kilang, itu yang kau malukan. 

Apa yang kau perlu malukan, kau pun punyai cerita sendiri, kelebihan sendiri, kau mampu untuk melakukannya. Usah kau fikir negatif, usah kau berfikiran pasif, kau kena yakinkan diri mu. Mahu menjadi seorang penulis kena yakin dan berani.

Kau masih ingat tak kata-kata dari seorang tokoh Negara kita dalam buku tulisan Zamri Mohammad di bahagian akhir buku tersebut, beliau memetik kata-kata tokoh tersebut;

“Saya merayu semua peringkat insan Melayu dalam semua bidang hatta tak ada bidang pun tetapi ada kisah terkecualai dan menarik untuk dibaca agar segera diambil pena, kertas dan tulis, tulis dan terus menulis. Baca dan terus membaca dan terus menimba ilmu hingga nyawa berpisah dengan badan. Kalau tak bias menulis, cakaplah melalui pita rakaman.”

Takkan kau sudah lupa, mana mungkin seorang pembaca mudah lupa pada apa yang telah dibacanya. Kau seharusnya ambil seruan tersebut untuk kau realisasikan, apa yang kau impikan. Lihat dan baca apa yang diperkatakan oleh Tan Sri Abdullah Ahmad itu lagi.

“….insan Melayu dalam semua bidang hatta tak ada bidang pun…”

Kau tentu fahamkan, apa yang beliau perkatakan itu?. Kau sekurang-kurangnya ada juga bidang yang kau ceburi, sebagai pekerja sektor perkilangan kau pasti ada cerita dan kisah yang boleh dikongsikan. Ceritalah, kongsikan kepada mereka yang tidak berada dalam sektor yang kau sedang tempohi itu. Mungkin kau ada cerita dan kisah sewaktu kau bertugas di sektor tersebut. 

Pengalaman lucu, gembira, suka duka, kejayaan dan banyak lagi yang boleh kau kongsikan. Orang di luar sana mahu tahu cerita-cerita tersebut. Kau boleh menuliskan pengalaman kau. Pengalaman bertukar-tukar tempat kerja, mengapa dan sebab bertukar tempat kerja, semua kau boleh tuliskan. Mengapa tidak?.

Seruan dan galakkan menulis seperti yang diungkapakan dalam kata-kata Tan Sri Abdullah Ahmad itu sangat sewajarnya disahut oleh semua insan Melayu, mereka semua berperanan dalam membangunkan Negara tercinta ini, sebab itu, tidak kira sesiapa pun kita punyai peranan masing-masing hatta pencuci tandas pun punya ceritannya, andaikan mereka rajin untuk mencatat rutin harian mereka, cerita suka duka mereka dalam menghadapi karenah pengguna tandas.

Nah, cuba bayangkan jika mereka bukukan kisah mereka, apakah tidak seluruh warga akan dapat membacanya. Siapa lagi yang tidak terkecuali dan banyak cerita-cerita yang boleh dikongsikan, anggota polis, askar, pencuci bangunan, dan banyak lagi boleh dikongsikan kepada khalayak.

Dan kau, bolehlah kau mulakan dari sekarang, usah beralasan lagi, pacu terus maju ke hadapan. Jika orang lain boleh mengapa dirimu kau biarkan begitu. Bangkit dan bangkit, maju dan maju…menulis terus menulis, usah kesahkan apa mereka kata. Mulai hari ini kau catat apa sahaja yang kau dapat dari lintasan fikiran mu, dari pandangan mata mu. Biar dari sekecil idea hinggalah sebesar idea. Nanti kau boleh olah dan kongsikan untuk mereka yang ingin membaca kisah mu. 

Idea ada di mana-mana, dalam dirimu juga ada idea, di persekitaran mu juga ada idea…di mana-mana ya di mana-mana, idea tetap menanti dan menunggu mu usah kau ragu.
Ingat!...usah buang masa mu yang terluang banyaknya dengan sia-sia, justeru itu manfaatkan untuk membaca, membaca,membaca, menulis, menulis dan terus menulis. 

Yakin pada dirimu, usaha yang berterusan pasti akan menghasilkan sesuatu yang membahagiakan dirimu. Akhir dari desakan ini, bacalah firman Allah SWT tersebut;

“Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Surah Al-Asr (1-3).

Maka dengan itu menulislah

Aku ini juga dirimu, desakan ini juga datang dari naluri mu, aku cabar diri kau sendiri, takkan itu pun kau tak kenal dengan diri mu sendiri…ayuh, bersegeralah, capailah pena mu catat dan tulis apa yang kau fikirkan…nanti ada masa aku akan desak kau lagi, cukuplah untuk hari ini. Ingat…ayat quran di atas tadi. Jangan menjadi orang yang rugi.
Sampai jumpa lagi dengan diri mu itu…aku itu diri mu, kau itu aku, aku itu kau..,


Segerlah menulis!

bersambung...

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi