Menulis Di Muka Buku







Satu medium yang cukup digemari oleh seluruh masyarakat dunia sekarang, bukan sahaja di tanah air ini. Ia cukup menguasai dan mempengaruhi kehidupan kita sekarang, di mana-mana negara mana pun ia tetap popular, ia menjadi medium mendapatkan sumber berita, apa sahaja yang berlaku di persekitaran kita, ia cepat, tangkas dapat dibaca dan diketahui orang ramai. Namun begitu, ia perlu dihalusi tentang kesahiahan berita-berita dari medium ini. Dari perkara umum hinggalah perkara pribadi penggunanya, boleh kita saksikan melaluinya, itulah penangan facebook@muka buku.

Hebat bukan?. Begitulah aku juga turut terjebak kekancah dunia muka buku, bukan akau sahaja, bahkan dari kalangan cerdik pandai, ilmuan, para ustaz ustazah, Pak Menteri, YB, Tok Bomoh, dan segenap lapisan masyarakat hari ini turut mempunyai laman sosial muka buku ini. Malah, jika ada kalangan yang tidak mempunyai muka buku ini, akan dianggap ketinggalan. Muka buku, ada baik dan ada buruknya. Aku bukan mahu tulis tentang baik mahu pun buruknya, itu semua orang sudah tahu, para pakar pun sudah memberi panduan untuk kita menggunkan laman ini sebaik-baiknya. Terpulang kepada masing-masing, bagaimana cara terbaik menggunakannya.

Aku yakin, para ilmuan, cerdik pandai, ustaz ustazah, para guru, para menteri, tujuan mereka mewujudkan laman muka buku ini dengan niat tersendiri, tentunya jika para menteri atau yb, agar para pengikut mereka akan setia mendapat info-info terkini tentang dairi program mereka. Para guru, ustaz ustazah pun begitu, penulisan mereka niatkan sebagai satu dakwah, demi memberi tarbiyah kepada masyarakat yang mengikutinya. Niat yang baik dan murni itu harus diteruskan, manfaatkan muka buku dengan perkongsian yang berilmu, agar dapat dimanfaatkan oleh masyarakat yang dahagakan ilmu.

Seingat aku, aku mula menulis di laman ini sekitar 2009, sekitar krisis politik di Negeri Perak, rampasan kuasa yang tidak bertamadun dari pihak pemerintah, itulah seingat aku begitu, aku ada tulis sedikit catatan tentang ‘Bubar’. Waktu itu belum ramai lagi rakan-rakan muka buku yang ‘like’ dan ‘add’, biasalah baru lagi. Dari sehari ke sehari rakan-rakan pun turut bertambah. Bermulalah muka buku menjadi bahan perkongsian apa sahaja kegiatan kita, dari bangun tidur hinggalah masuk tidur balik, semua mahu dikongsikan, namun tidaklah aku sampai sebegitu, masing-masing punya prinsip. Berpada-padalah jika mahu berkongsi pun.

Adakalanya aku pautkan laman blog yang aku miliki ke dalam muka buku, salah satu agar menarik minat khalayak masuk laman blog kita. Itu pun jika ada cerita-cerita baru yang telah ditulis. Muka buku banyak manfaatnya rupanya, jika diolah dengan sebaiknya. Apa sahaja tulisan yang kita kongsikan, biarpun seringkas mana, jika dibaca oleh rakan-rakan muka buku yang lain, ia akan menambah semangat untuk kita menulis.

 Saya teruja dengan, penulisan para ilmuan dan cerdik pandai  di muka buku, penulisan yang sangat baik dan amat bermanfaat sekali, titipan kata mutiara yang mereka nukilkan amat memberi makna kepada yang membacanya. Ilmu-ilmu yang dicurahkan melalui muka buku boleh dikongsi oleh beribu-ribu rakan yang lain. Sudah pasti pahalanya akan berganda-ganda sekiranya penulisan yang baik itu akan dibaca oleh beribu orang, lalu mereka mengamalkan saranan-saranan yang baik melalui tulisannya. Hebat bukan muka buku?.

Lalu terdektik di hatiku ketika itu, apa alasannya dengan aku, untuk tidak turut sama menukilkan perkongsian yang baik-baik di muka bukuku?.  Untuk tidak menulis perkara yang baik-baik?. Tidak pandai menulis kah aku?, lihat pada mereka yang kata tidak pandai menulis, tapi bila lihat status dindingnya berjela-jela, bagus, cantik, pandai menulis, tapi kata tidak pandai menulis?, pelikkan?. Sebenarnya itu semua bergantung kepada niat yang mempunyai muka buku tersebut, jika niatnya muka buku tersebut dijadikan medan penulisannya, tentulah itulah tulisan mereka untuk tujuan tarbiyah dan dakwah, jika tidak, sebaliknyalah pula.

Pada aku, aku hanya memautkan penulisan di blogku ke muka buku, untuk menulis panjang berjela setakat ini tiada, aku lebih tumpu penulisan di blog, muka buku sekadar menulis yang perlu dikongsi, karya puisiku ada juga aku kongsikan di muka buku, mana yang baik, ada nilai tarbiyah aku siarkan, protes jika ada kebenarannya aku juga siarkan, suka atau tidak suka, itu hak rakan untuk membacanya mahu pun tidak. Apa yang penting nawaitu, kita terbitkan, moga diredhai Allah SWT. Sekurang-kurangnya, ada manfaat, ada ilmunya yang boleh diambil dimanfaatkan oleh pembaca.

Kuasa muka buku memang hebat buat penulis, rakan-rakan penulis di muka buku turut menurunkan ilmu-ilmu penulisan yang sangat berguna, mereka adalah otai-otai yang sudah hebat dalam dunia penulisan mereka, namun mereka tidak kedekut untuk menyampaikan ilmu penulisan yang mereka miliki. Kata-kata motivasi mereka sangat merangsang aku, untuk turut menceburi dunia penulisan, walau pun setakat hari ini, aku hanya menulis di blog dan di Portal eSastera.com. Aku akan cuba melebarkan sayap kedunia penulisan buku. Itu harapan dan cita-citaku waktu ini.


Biarlah, ilmu-ilmu penulisan yang aku dapati dari muka buku ini, dapat aku jadikan panduan, bagi menampal lompong-lompong yang masih terbuka di sana-sini dari minda pengetahuanku. Sungguh, penulisan di muka buku ini, amat memberi semangat  dan keazaman yang kuat untuk aku merealisasikan misi, cita-cita dan impianku.

bersambung...

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi