Perginya Sebutir Bintang








Al-Fatihah Buat Penyair Rahimidin Zahari

" Sihat Bang?", sapa Saya ketika bersalaman dengannya, Dia mengangguk sambil memberi senyuman...Itu kenangan kecil saya dengannya, Biar pun kecil kenangan itu saya tetap ingat. Dan saya sering mengunjungi blog miliknya. Perjalanan Salik, catatan-catatan tulisan beliau.
Beberapa hari lepas, bila baca status muka buku sahabat memberitahu beliau dimasukkan hospital, saya terus ingat kenangan kecil di atas, sebagai saudara seislam saya turut berdoa untuk beliau, agar kesihatannya beransur pulih dan baik.
Saya hanya pernah bertemunya ketika mengikuti Wak Saring Sirad di PENA pada tahun lepas, dan kali kedua ketika Majlis Puisi Moreh Dinihari di Sanggar Damai Abadi milik Dr.Ibrahim Ghafar di Bukit Kapar pada tahun 2014.
Petang tadi bila membaca status muka buku sahabat, menyatakan beliau telah kembali menemui pencipta-NYA, sedih terasa di hati ini, kesedihan ini sudah tentu lebih terasa oleh sahabat-sahabat yang sangat rapat dengannya, sahabat seperjuangan dalam memartabatkan dunia sastera Malaysia...Allah lebih sayangkannya.
Al-Fatihah Buat Almarhum Rahimidin Zahari, semoga tergolong bersama insan-insan yang beriman dan Mutaqqin.

Sebuah Puisi Yang Terkandung dalam Buku 'Sekepal Tanah';

Rabb, di Lengkung Alis Subuh-Mu yang jernih Aku Mengharap Sutera Cinta-MU yang Putih

Rabb, di lengkungan alis subuh-Mu yang jernih
aku mengharap sutera cinta-Mu yang putih.
Mohon, Kaulumurkan harum, sukma mawarku
adalah kembang-kembang putih; angin tenang
membelai daunan.
Sejadah ini adalah kasur perkasihan yang lembut
seperti wujudku telah Kaucipta
Kaupercikkan cahaya, aku ingin mengecap
anggur maya di hujung rasa dan anugerahkan aku
puncak perkasa, berperibadi mulia.
Ingin aku bertapa dalam tujuh taman
gua permata; untuk kuungkap makna sabda.
Rabb, di lengkung alis subuh-Mu yang jernih
aku mengharap sutera cinta-Mu yang putih.

Rahimidin Zahiri

Sehelai Daun Kenangan
Ketika Bibirku
Kehilangan Kata
musibah apakah yang Engkau kirimkan, sehingga
hamba-Mu yang hina dan penuh dosa ini
kehilangan kata. hamba-Mu ini amat gementar
dan takut hingga tak sekeping foto pun dirakamnya
sehinggalah badai itu berakhir ke laut.
kembali menatapi sisa-sisa lumpur dan kehidupan
yang berserpihan - bahawa hidup ini hanya
kesementaraan dan yang abadi hanya Engkau
kami tunduk berserah.

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi