Nota Ramadan: Solat Terawih Di Masjid As-Syarif




Bersemarak terus Ramadan, di mana-mana pun suasananya sama, meriah, imarah dan terang benderang. Surau-surau dan masjid-masjid begitulah suasananya, lebih-lebih lagi sudah kepenghujung Ramadan. Makin bersemangat untuk terus merebut kelebihan Ramadan agung ini.

Dalam catatan ini, aku masih mahu berkongsi catatan harian ramadanku, biar masih banyak lagi yang tertangguh untuk aku coretkan, aku masih berusaha untuk terus menuliskannya. Sedaya upayaku aku mahu mencatat segala apa kegiatan ku dalam bulan Ramadan ini. Biar pun tertangguh semangat untuk menulisnya tetap membara. Dibaca atau pun tidak aku tidak peduli itu semua, satu masa nanti aku boleh baca catatan tulisanku ini.


Malam kelapan belas Ramadan, aku bersolat terawih di Masjid As-Syarif, Pekan Meru. Masjid yang tersergam indah, banyak program yang dilaksanakan di sini. Meriah dan Imarah sekali. Setiap tahun memang begitulah suasannya di masjid ini. Pelbagai program telah direncana untuk mengimarahkan Ramadan. Melihat pada jadual bulanan untuk Ramadan tahun ini, sungguh mengujakan. Hanya, diri sendiri, mampu atau tidak untuk terus mengikuti program yang disediakan.

Program yang penuh dan padat, sesuai dengan namanya Ramadan, bulan ilmu, pelbagai program ilmu dirancang dengan sebaiknya. Mahu apa, InsyAllah ada, mahu tazkirah selepas zohor? Ada, tazkirah iftar? Ada, tazkirah sebelum khutbah pun ada. Bak kata, macam-macam ada…, biasanya seawal sebelum waktu berbuka puasa, sudah ramai yang datang masjid, tazkirah iftar sebelum berbuka. Setiap tahun pihak masjid menyediakan juadah untuk berbuka puasa. Ia menyemarakkan lagi suasana di masjid ini.

Pada malamnya, terus bergermerlapan dengan tazkirah maghrib, hingga ke Isya, selepas isya, solat terawih berjemaah. Jika ada tazkirah selepas terawih, solat akan ditunikan lapan rakaat, bagi memberi laluan majlis ilmu. Selesai, program taddarus al-Quran terus berjalan. Pada dinihari sekitar jam 4.30 pagi, program qiamulalil, setiap malam sepanjang Ramadan diadakan, hinggalah ke waktu bersahur, pihak masjid juga menyediakan juadah untuk bersahur.


Nah…apa lagi alasan untuk aku, kita dan semua, untuk tidak sama-sama mahu memeriahkan dan mengimarahkan Ramadan?.Apa pun bergantung kepada jadual kehidupan masing-masing. Bagi aku yang berkerja sif, memadailah mana-mana yang aku mampu laksanakan, jika hanya terdaya dilakukan di rumah atau tempat kerja, Insya’Allah aku akan cuba lakukan.

Apa pun Masjid As-Syarif, akan tetap menjadi singgahanku setiap Ramadan, walaupun tidak kerap. Jika mahu mendengar majlis ilmu yang disampaikan oleh Ilmuan-ilmuan terkemuka tanah air, bolehlah datang ke Masjid ini. Insya,Allah…kita tidak akan rugi. Bulan Ramadan, bulan ilmu, bulan untuk kita semua, yang mahu terus beramal ibadah di dalamnya. Semoga sepuluh malam terakhir Ramadan, aku terus bersemangat, mencari malam terbaik dari seribu bulan, malam lailatulqadar.

“Ya Allah, jadikanlah aku dan kami semua golongan yang suka mengimarahkan masjid, rumah-Mu…Ya Rabb…ringankanlah kaki-kaki kami untuk terus setia melangkahkan kaki ke rumah-Mu..”

Amin Ya Rabb!


Gambar-gambar dari FB DR.RANI OSMAN

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi