Nota Ramadan: Malam Ketujuh Belas Ramadan 1436H

Goole Image


Hari ini sudah 23 ramadan, cepatkan, tinggal beberapa hari sahaja bulan agung akan meninggalkan kita, pergi buat sementara waktu, sampai masanya nanti akan datang lagi pada tahun hadapan. Kita?, aku?, apakah masih berpeluang nanti akan ketemu Ramadan hadapan?, hanya Allah S.W.T yang Maha Tahu.

Masing-masing berdoalah, agar nanti dipertemukan lagi. Oh ya, Ramadan yang berbaki ini, usah dipersia begitu sahaja, untuk aku , aku ingatkan diriku, agar jangan lalai leka, terus pacu dan berbuat sesuatu yang bermanfaat untuk diri sendiri.

Catatan ini, catatan malam tujuh belas Ramadan yang lalu, apa pun aku akan terus kongsikan, malam ini aku masih bersolat terawih di surau tempat kelahiranku, bersama anak bujang yang setia mengikuti aku. Masih lagi ramai yang berterawih,

Cuma aku lihat, anak-anak muda dari kariah tidak ramai, kanak-kanak sebahagiannya masih bermain-main di luar ketika waktu solat terawih dilaksanakan, mungkin perlu ada petugas yang memantau dari kalangan wanita, mungkin!

Seperti biasanya, selesai solat terawih tazkirah ringkas di sampaikan oleh imam bertugas, hari ini kebetulan malam 17ramadan, malam Nuzul Al-Quran. Ustaz Latif, menyampaikan tazkirah ringkasnya. Kerana kesilapan aku, aku tidak mencatat butiran tazkirahnya, aku langsung lupa apa yang diperkatakannya. Maka tak adalah perkongsian tazkirah pada pertemuan ini. Aku gantikan beberapa ungkapan kata mutiara dari ilmuan-ilmuan Islam yang terkemuka, untuk bahan fikir kita  bersama. Mereka memperkatakan tentang kebesaran al-Quran.

Aku petik nukilan di bawah dari Majalah Solusi, keluaran khas Ramadan 2015, daripada tujuh petikan kata mutiara, aku hanya ambil empat sahaja, sebagai renungan diri. Nah…fikir-fikirkan dan renung-renungkan.

Kata-Kata Ilmuan Tentang Al-Quran

“Sesiapa yang mahukan ilmu maka selamilah al-Quran. Dalamnya ada ilmu umat yang terdahulu dan terkemudian.”

Ibnu Mas’d Musannaf Ibn Abi Syibah.

“Orang sebelum kamu melihat al-Quran bak surat-surat utusan daripada Tuhan mereka. Mereka mengkajinya pada waktu malam dan mencari-carinya(masa dan ketika untuk mengamalkan) pada waktu siang.”

Al-Hassan bin Ali, al Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran.

“Sesungguhnya kami telah lama hidup. Dahulu kami diberikan iman sebelum al-Quran. Maka tatkala diturunkan satu surah kepada Muhammad, kamipun mempelajari halal-haramnya, suruhan dan tegahannya san apa yang harus kami fikir-fikirkan.

Kini aku menyaksikan ramai yang diberikan al-Quran sebelum iman. Dia membaca kesemua yang terkandung antara surah pembuka hingga surah penutup, tetapi tidak tahu apa yang ada dipermulaan kitab(al-Quran) hingga ke akhirnya. Dia tidak tahu apa yang disuruh, apa yang ditegah dan apa yang harus dia fikir-fikirkan. Dia menghamburkan bacaan seperti menghamburkan hampas-hampas.”

Ibn Umar, Sunan al Baihaqi.

“Dekatilah Allah dengan apa cara yang kamu mampu. Sesungguhnya tidak akan kamu dapati  sesuatu untukmendekati Allah yang lebih disukai-Nya daripada dengan firman-Nya (al-Quran).”

Khabab bin al-Arat, dalam Mustadrak al-Hakim.

Selamat beramal disepanjang 10 malam terakhir Ramadan…, semoga Allah S.W.T membantu kita semua.


Amin Ya Rabb.

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi