Nota Ramadan: Malam Enam Ramadan 1436H



Ramadan masih meriah, masih bercahya terang benderang. Sana sini meriah dan imarah dengan ibadah. Masjid-masjid dan surau-surau turut berseri dengan pelbagai program yang dibuat khusus untuk bersempena bulan agung ini. Solat berjemaah, tazkirah maghrib, solat terawih berjemaah, tazkirah terawih, makan moreh dan tadarus.

Malah disebelah paginya ditambah dengan program qiamullail, sahur, tazkirah subuh, dan pelbagai lagi program yang dianjurkan. Ini semua, bagi memberi peluang kepada Jemaah untuk merebut peluang pahala yang berlipat ganda.

Minggu kedua berpuasa aku kerja sif pagi, aku mengambil kesempatan sebaiknya untuk turut berjemaah solat terawih. Syukur, masih diberi kesihatan dan kesempatan untuk turut serta merai dan mengimarahkan Ramadan.

Minggu ini aku berterawih di Surau Darul Aman. Teruja melihat kehadiran yang sungguh ramai, dalam hati terdetik, boleh ke sampai kepenghujung memontem ini?. Mudah-mudahanlah. Begitu juga dengan aku, bolehkah aku istiqamah?.

Solat terawih ditunaikan sebanyak lapan rakaat, berapa pun rakaat itu bukan persoalan yang harus diberat-beratkan. Mahu lapan silakan, mahu dua puluh pun silakan. Tak mahu solat terawih, ya silakan…tapi mengundang juga persoalan, mengapa tidak mahu solat terawih?, apa masalahnya, uzur?, sakit?, tak sempat?...uzur, sakit, tak mengapa, tetapi kalau sihat walafiat, mengapa tidak solat terawih apa alasannya?. Rugi, serugi-ruginya.

Tazkirah: Puasa Seperti Ketulan Ais

Seperti biasa selepas solat terawih sebelum solat witir, tazkirah terawih ringkas telah disampaikan oleh imam yang bertugas. Biar pun ringkas tazkiranya, ia tetap membawa mesej kepada pendengarnya.

Ringkas, cepat dan padat. Inilah pertama kali rasanya aku dapat mendengar tazkirah yang amat ringkas tapi padat maksudnya. Imam membawakan analogi puasa dengan seketul ais. Ais waktu pagi keras, pejal, tapi sampai saatnya cair, habis.

Janganlah puasa kita menjadi sia-sia dek kerana, perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Mulut kita kena jaga, usah mengumpat, mencela, mengeluarkan kata-kata yang kotor dan sebagainya.

Begitu juga dengan anggota lain, kerana itu, ia boleh menguruskan pahala ibadah puasa kita dan akhirnya nanti  membatalkannya. Itulah maksud kurangnya yang aku dapat tangkap dari tazkirah ringkas itu…jangan berpuasa macam seketul ais

Ya Allah, Bantulah aku dalam berpuasa, jauhilah aku dari perkara-perkara yang merosakkan dan membatalkan ibadah puasa ku…bantulah aku Ya Rabb…” ,


Amin Ya Rabb…!

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi

Syair Hari Raya