Nota Ramadan: Mereka Yang Layak Terima Zakat




Salam Ramadan, salam keharmonian dan kasih sayang. Hidup ini saling perlu memerlukan, yang kaya membantu yang miskin, yang muda membantu yang tua dan seterusnya. Hidup saling berkasih sayang, bukan hidup sendiri-sendiri nanti merana diri.

Begitulah ibadah zakat, ia merupakan salah satu kewajipan yang mesti ditunaikan bagi mereka yang mempunyai harta, untuk mengeluarkannya dengan kadar yang ditetapkan. Zakat salah satu elemen penting dalam Islam, dapat mengukuhkan persaudaraan sesama Islam, inilah salah satu hikmahnya berzakat.

Pada pertemuan kali ini, dalam catatan Ramadan ini, aku ingin mengingatkan diriku dan sahabat semua, beberapa perkara berkaitan zakat. Sebagai ulangkaji dan ingatan diri ini.

Mari kita ketahui 8 golongan asnaf yang layak menerima zakat. Di bawah ini aku, tuliskan kembali siapa mereka 8 golongan asnaf itu:

8 Golongan Asnaf yang Layak Menerima Wang Zakat

Firman Allah swt dalam surah at Taubah ayat 60 bermaksud:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil dan muallaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan”.

1.    Fakir (al Fuqara) – adalah orang yang tiada harta pendapatan yang mencukupi untuknya dan keperluannya. Tidak mempunyai keluarga untuk mencukupkan nafkahnya seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Contohnya ia memerlukan RM10 sehari tetapi hanya mampu RM3 sahaja.

2.    Miskin (al-Masakin) – mempunyai kemampuan usaha untuk mendapatkan keperluan hidupnya akan tetapi tidak mencukupi sepenuhnya seperti ia memerlukan RM10 tetapi hanya memperoleh RM8.

3.    Amil – orang yang dilantik untuk memungut dan mengagih wang zakat.

4.    Muallaf – seseorang yang baru memeluk agama Islam.

5.    Riqab – seseorang yang terbelenggu dan tiada kebebasan diri.

6.    Gharimin – penghutang muslim yang tidak mempunyai sumber untuk menjelaskan hutang yang diharuskan oleh syarak pada perkara asasi untuk diri dan tanggungjawab yang wajib ke atasnya.

7.    Fisabilillah – orang yang berjuang, berusaha dan melakukan aktiviti untuk menegakkan dan meninggikan agama Allah.

8.    Ibnus Sabil – musafir yang kehabisan bekalan dalam perjalanan atau semasa memulakan perjalanan dari negaranya yang mendatangkan pulangan yang baik kepada Islam dan umatnya atau orang Islam yang tiada perbekalan di jalanan.

Oh ya, bagaimana dengan para sahabat semua, sudah berzakat fitrah?, jika sudah baguslah, jika belum bersegeralah, nanti terlewat pula. Moga amalan berzakat kita diterima oleh Allah S.W.T.

Amin Ya Rabb!.


Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi

Syair Hari Raya