Nota Ramadan: Malam Kesembilan Belas Ramadan 1436H

Google Image

Salam pertemuan dan salam ramadan, aku masih mahu berkongsi catatan ramadanku, kalau boleh setiap detik ramadanku aku mahu menuliskannya, namun apakan daya, semangat itu turun naik, macam saham di papan bursa saham, sekejap naik, sekejap turun, tak sama di papan yang aktif, tetap maintain.

Biasalah aktiviti menulis jika tidak dipaksa ia takkan menjadi. Ini pun catatan yang tertangguh, hari ini sudah 23 ramadan, cerita hari ini, entah bila aku mahu tuliskannya.
Ia sekadar catatan dari insan biasa-biasa sahaja, satu masa nanti, boleh dibaca lagi catatan-catatan ini. 

Mungkin boleh dibukukan, manalah tahu kan’. Apa pun, segala catatan penulisan ini, jika ada baiknya, dan manfaatnya ambilah ibrah. Catatan kecil sahaja…

Minggu ini aku bekerja sif petang, walau pun kerja sif petang, minggu ini aku ambil peluang untuk bersolat terawih di luar. Aku mengambil waktu rehat giliran terakhir, dengan tujuan untuk menunaikan solat terawih. Ramadan semakin menghampiri titik terakhir, rugi sekiranya ditinggal begitu sahaja. Aku nekad, minggu ini, mesti solat terawih di surau secara berjemaah.

Untuk malam ini, malam kesembilan belas aku bersolat terawih di Kariah Surau Darul Muslimin, surau kariah tempat tinggalku di Jalan jambu. Untuk Ramadan ini, ini baru pertama kali aku solat di sini. Macam surau-surau lain juga, Jemaah penuh hingga beberapa barisan. Kanak-kanak dibarisan belakang, siap dengan sign board. Kalau Muhammad Anas ikut, tak tahulah mahu atau tidak dia ikut barisan kanak-kanak, fikirku.

Untuk malam ini, solat terawih agak lambat, majlis bacaan tahlil untuk arwah bapa kawanku diadakan di surau. Sekitar jam 9,30, selesai sahaja bacaan tahlil, barulah solat terawih di mulakan. Aku hanya menunaikan lapan rakaat, kerana masa rehatku yang tidak mengizinkan aku mengambil masa lebih banyak.

Apa yang penting aku tidak meninggalkan solat terawih, biar pun ia sunat, tetapi ia merupakan sunat yang digalakkan. Ia cuma ada dalam bulan Ramadan, di luar Ramadan tak ada, hanya setahun sekali.

Apa yang penting aku terus menunaikannya, lapan atau dua puluh bukan ukurannya. Aku tidak tahu bagaimanalah penilaian KPI puasa aku Ramadan tahun ini. Baik atau sebaliknya?. Hanya Allah S.W.T yang Maha Tahu.

“Ya Rabb…aku berserah hanya Pada-Mu, terimalah amalanku disepanjang Ramadan ini…
maafkanlah kehilafanku dan kelemahanku…Ya Rabb..”


Amin Ya Rabb!

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi

Syair Hari Raya