Nota Ramadan: Solat Terawih Di Masjid As-Syarif
Bersemarak
terus Ramadan, di mana-mana pun suasananya sama, meriah, imarah dan terang
benderang. Surau-surau dan masjid-masjid begitulah suasananya, lebih-lebih lagi
sudah kepenghujung Ramadan. Makin bersemangat untuk terus merebut kelebihan Ramadan
agung ini.
Dalam
catatan ini, aku masih mahu berkongsi catatan harian ramadanku, biar masih
banyak lagi yang tertangguh untuk aku coretkan, aku masih berusaha untuk terus
menuliskannya. Sedaya upayaku aku mahu mencatat segala apa kegiatan ku dalam
bulan Ramadan ini. Biar pun tertangguh semangat untuk menulisnya tetap membara.
Dibaca atau pun tidak aku tidak peduli itu semua, satu masa nanti aku boleh
baca catatan tulisanku ini.
Malam
kelapan belas Ramadan, aku bersolat terawih di Masjid As-Syarif, Pekan Meru.
Masjid yang tersergam indah, banyak program yang dilaksanakan di sini. Meriah
dan Imarah sekali. Setiap tahun memang begitulah suasannya di masjid ini.
Pelbagai program telah direncana untuk mengimarahkan Ramadan. Melihat pada
jadual bulanan untuk Ramadan tahun ini, sungguh mengujakan. Hanya, diri
sendiri, mampu atau tidak untuk terus mengikuti program yang disediakan.
Program
yang penuh dan padat, sesuai dengan namanya Ramadan, bulan ilmu, pelbagai
program ilmu dirancang dengan sebaiknya. Mahu apa, InsyAllah ada, mahu tazkirah
selepas zohor? Ada, tazkirah iftar? Ada, tazkirah sebelum khutbah pun ada. Bak
kata, macam-macam ada…, biasanya seawal sebelum waktu berbuka puasa, sudah
ramai yang datang masjid, tazkirah iftar sebelum berbuka. Setiap tahun pihak
masjid menyediakan juadah untuk berbuka puasa. Ia menyemarakkan lagi suasana di
masjid ini.
Pada
malamnya, terus bergermerlapan dengan tazkirah maghrib, hingga ke Isya, selepas
isya, solat terawih berjemaah. Jika ada tazkirah selepas terawih, solat akan
ditunikan lapan rakaat, bagi memberi laluan majlis ilmu. Selesai, program
taddarus al-Quran terus berjalan. Pada dinihari sekitar jam 4.30 pagi, program
qiamulalil, setiap malam sepanjang Ramadan diadakan, hinggalah ke waktu
bersahur, pihak masjid juga menyediakan juadah untuk bersahur.
Nah…apa
lagi alasan untuk aku, kita dan semua, untuk tidak sama-sama mahu memeriahkan
dan mengimarahkan Ramadan?.Apa pun bergantung kepada jadual kehidupan
masing-masing. Bagi aku yang berkerja sif, memadailah mana-mana yang aku mampu
laksanakan, jika hanya terdaya dilakukan di rumah atau tempat kerja, Insya’Allah
aku akan cuba lakukan.
Apa
pun Masjid As-Syarif, akan tetap menjadi singgahanku setiap Ramadan, walaupun
tidak kerap. Jika mahu mendengar majlis ilmu yang disampaikan oleh
Ilmuan-ilmuan terkemuka tanah air, bolehlah datang ke Masjid ini. Insya,Allah…kita
tidak akan rugi. Bulan Ramadan, bulan ilmu, bulan untuk kita semua, yang mahu
terus beramal ibadah di dalamnya. Semoga sepuluh malam terakhir Ramadan, aku
terus bersemangat, mencari malam terbaik dari seribu bulan, malam
lailatulqadar.
“Ya
Allah, jadikanlah aku dan kami semua golongan yang suka mengimarahkan masjid,
rumah-Mu…Ya Rabb…ringankanlah kaki-kaki kami untuk terus setia melangkahkan
kaki ke rumah-Mu..”
Amin
Ya Rabb!
Gambar-gambar dari FB DR.RANI OSMAN
Comments
Post a Comment