Nota Ramadan: Malam Kelapan Ramadan 1436H



Biar pun Ramadan sudah menginjak ke fasa ketiga, aku masih mahu berkongsi catatan yang sudah berlalu, malam kelapan minggu yang lalu aku bersolat terawih di Surau Darul Aman, Jalan Kopi, surau kariah kampung asalku. Ia masih mengamit nostalgia waktu usiaku kanak-kanak, remaja dan dewasa, sebelum aku berhijrah tempat tinggal di Jalan Jambu, Kariah Surau Darul Muslimin.

Alhamdulillah, masih diizinkan oleh Allah S.W.T, menjejaki surau tersebut, Ramadan tahun ini, aku lebih banyak bersolat terawih di sini, bersama anak bujang seorang yang berusia lima tahun, tanpa dipaksa mahu pula dia mengikuti aku ke surau, mungkin sudah sampai seru, mungkin…ha…ha…ha!.

Seperti biasa, solat terawih ditunaikan sebanyak lapan rakaat, sebelum solat sunat witir, sedikit tazkirah disampaikan oleh Tuan Imam yang bertugas. Aku suka dengan cara penyampaian tazkirah oleh Ustaz Yazid ini.

Walaupun ringkas, santai tetapi tetap memberikan input yang sangat besar kepada yang mendengar dan menghayatinya. Sesekali disulami pertanyaan dan jenaka sinis. Ia tidak membosankan, biarpun tidak sampai sepuluh minit.

Tazkirah Ringkas: Banyakkan Zikirullah

Puasa bukan untuk bermalas-malasan, malah ia merupakan kekuatan untuk kita terus beramal ibadah, kerana itu kita mesti melipatgandakan amal ibadah sepanjang Ramadan ini. Ustaz menyeru agar perbanyakkan zikirullah (mengingati Allah S.W.T) dengan sebanyak-banyaknya setiap masa, tidak kira di mana kita berada pun. Bibir kita sentiasa basah dengan sebutan-sebutan yang membawa ingat kepada Allah S.W.T.

“Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan tenang”

Malah menurutnya, zikir bukan hanya duduk di sejadah semata-mata, menurutnya, sambil berjalan, berkerja, memasak bagi ibu-ibu dan sebagainya. Menurutnya lagi, bila kita banyak berzikir, hati kita akan lebih bahagia, tenang, daripada asyik memikirkan perut yang lapar, mulut asyik sebut…lapar…lapar…lapar, itu puasa budak-budak, bolehlah mulutnya berzikir seperti itu, namanya pun budak-budak.

Takkanlah, yang sudah dewasa dan tua-tua pun masih sebut lapar…lapar…lapar, apa maknaya puasa kita puluhan tahun, asyik menyebut begitu. Tukarlah dari menyebut lapar kepada…”Alhamdulillah, aku puasa”,menurutnya sambil diiringi gelak tawa para Jemaah.

Beliau menyentuh tentang tiga fasa dibulan Ramadan, menyeru para Jemaah agar terus mengekalkan stamina dan kekuatan diri untuk terus istiqamah sepanjang
Ramadan. Terus menerus melakukan amall ibadah sebanyak-banyaknya, setiap fasa yang bakal dilalui usah sampai tertinggal.

“Dialah bulan yang permulaannya, rahmat, pertengahannya pengampunannya, dan akhirnya bebasa dari api neraka.”

(Hadis Riwayat Ibnu Huzaimah daripada Salman Al-Farisi)

Semoga ada manfaatnya.

Amin Ya Rabb!





Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi

Syair Hari Raya