Nota Ramadan: Malam Lima Ramadan 1436H

Google Image


“Ya Allah, terima kasih kerana memberikan aku peluang untuk terus bertemu Ramadan pada hari ini, terima kasih memberikan aku kelapangan dan ruang untuk turut sama-sama mengimarahkan dan meriahkan Ramadan pada hari ini…berilah aku kekuatan untuk terus beribadah sepanjang Ramadan ini…Amin Ya Rabb…”

Malam kelima Ramadan pada hari ini, aku bersolat terawih di Surau Darul Aman, di Kariah tempat kelahiranku, syukur masih dapat sama-sama berterawih dengan orang-orang kampong. Tetapi kelihatannya sudah ramai muka-muka baru, maklum sekitar kariah sudah banyak taman-taman perumahan yang tumbuh bagaikan cendawan.

Ini menambahkan jumlah penduduk di kariah. Ramai wajah-wajah yang tidak dikenali, Cuma beberapa orang sahaja yang aku kenali, maklum aku jarang ke surau Darul Aman. Aku tinggal di Jalan Jambu. Apa pun, syukur masih dapat bertandang di surau ini. Pada masa sama, aku terkenang dengan orang-orang kampung yang sudah dipanggil Ilahi. Wajah-wajah orang kampung yang dahulunya setia dengan surau ini, terbayang-bayang diruang mataku ini. Al-Fatihah untuk mereka, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka. Amin Ya Rabb!.

Surau Darul Aman terlalu banyak memberi kenangan kepada diriku, masa kanak-kanak, remaja dan dewasa, banyak kalau mahu diceritakan. Malam ini aku berterawih di sini. Tahun ini, solat terawih ditunaikan lapan rakaat. Tazkirah ringkas sebelum solat witir disampaikan oleh imam yang bertugas. Biar pun ringkas, namun ia tetap memberi manfaat kepada para Jemaah yang hadir.

Tazkirah Ringkas: Cahaya Lailatulqadar

Malam ini tazkirah disampaikan oleh Ustaz Yazid Bin Borham, selaku imam terawih. Dengan penyampaian secara santai dan mudah difahami. Sesekali berlucu sinis sangat mengena pada mereka yang faham maksud tersiratnya. Beliau membicarakan berkaitan keutamaan Ramadan, Ramadan yang di dalamnya mengandungi satu malam yang sangat utama dari seribu bulan. Ustaz Yazid memetik surah al-qadar dan memberi maksudnya;

Allah S.W.T berfirman:

“Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau mengetahui apa dia kebesaran malam  lailatuqadar itu? Malam lailatulqadar itu lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan jibril dengan izin TUHAN mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.”

(Surah al-Qadar: 1-5)

Sebelum puasa lagi sepatutnya, kita sudah berniat untuk mendapatkan malam yang penuh kebaikan dan keberkahan itu di dalam bulan Ramadan. Ustaz Yazid memetik kisah ringkas dari sejarah hidup Imam Nawawi, ketika umurnya tujuh tahun, Imam Nawawi telah melihat cahaya melintasi di hadapannya, waktu ketika itu maghrib, dan beliau teringat ketika itu berada di 27 ramadan.

Lalu beliau bertanya ahli keluarganya berkaitan dengan lintasan cahaya itu, sama ada mereka melihatnya atau tidak, namun dijawab ayahnya, tidak nampak cahaya itu. Lalu diberitahu kepada keluarganya, malam ini merupakan malam lailatulqadar, beliau meminta seluruh ahli keluarganya, supaya beramal ibadah sepanjang malam tersebut. Waktu mulanya lailatulqadar menurut Ustaz Yazid, mulai maghrib hingga keesokkannya sebelum maghrib.

Ya, begitulah kisah ringkas yang terjadi kepada Imam Nawawi, umur tujuh tahun sudah diberi kelebihan dan bijak fikirannya. Lalu, Ustaz Yazid bertanyakan para Jemaah, sepanjang hidup bila bulan Ramadan, apakah kita pernah lihat cahaya lintasan seperti yang berlaku pada Imam Nawawi?. Masing-masing terasa lucu dengan soalan tersebut, aku juga terasa begitu. Masing-masing sudah berpuasa selam tahun, 30 tahun, 60 tahun, malah sudah ada yang mati lagi.

Ustaz Yazid menyeru agar kita terus berdoa, berdoa dan terus berdoa agar kita dipertemukan dengan malam lailatulqadar, malam penuh keberkahan dan malam agung itu. Dan tidak lupa mengaminkan setiap doa yang dibacakan oleh Tuan Imam, setiap kali dibacakan doa seperti di bawah ini:

“Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun  Lagi Maha Mulia, suka memberi keampunan. Maka ampunilah aku.”

Ustaz Yazid juga menyentuh tentang solat witir, witir ertinya ganjil. Walau pun solat witir sudah ditunaikan di surau atau masjid secara Jemaah, kita boleh menunaikan solat sunat yang lain di rumah, tidak ada masalah, biar pun sudah menunaikan solat witir. Solatlah sebanyak mana yang kita mampu, menurutnya.

Untuk diriku, semoga apa yang aku catatakan ini mendapat manfaat dan panduan untuk diriku. Semoga amal ibadah kita diterima Allah S.W.T disepanjang Ramadan ini.

Amin Ya Rabb…!.


Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi

Syair Hari Raya