Sajak Pilihan Terbaik Mac 2014: Aku Sayang Kepada Kamu, Bumi



AKU SAYANG KEPADA KAMU, BUMI

Kata mentari kepada bulan:
aku sayang kepadamu
kerana sayang aku pada kamu
maka kusinarkan cahayaku ke mukamu yang kusam
dan kau muncul cerah di gelap malam
dirindui setiap pungguk yang perasan.

Kata tasik kepada awan:
aku sayang kepadamu
kerana sayang aku pada kamu
kutatang wapku ke langit tinggi
lantas kau bisa membentuk rupa
jadi penghias angkasa raya.

Kata tanah kepada hutan:
aku sayang kepadamu
kerana sayang aku pada kamu
maka kubentangkan tapak bergenzi
dan kau bangkit menjulang ke langit
menghijau bumi menyejuk rasa.

Kata udara kepada badan:
aku sayang kepadamu
kerana sayang aku pada kamu
maka kuresapi setiap liang tisumu
dan kau yang wujud tiada bermaya
jadi hidup melonjak aktif.

ii
Menjawab bulan kepada mentari:
aku sayang akan kamu
tiada cahayamu, apalah aku
seketul pepejal malap semata.

Menjawab awan kepada tasik:
aku sayang akan kamu
tiada wapmu, tiadalah aku
langit yang luas kosonglah belaka.

Menjawab hutan kepada tanah:
aku sayang akan kamu
tiada kamu, tiadalah aku
mati tanpa tapak cengkaman.

Menjawab badan kepada udara:
aku sayang akan kamu
tiada zatmu, tiadalah aku
tiada bekalan pelestari hayat.

iii
Di alam yang terbentang penuh sayang
Cis, tetiba bangkit manusia perosak!
langit diasap, cerun ditarah
kepada badan cemaran disuap
kepada tasik dicurah sarap.

Berkurun-kurun bumi berdarah
manusia tamak terus memusnah
mentari merah matanya dek jerebu
tasik hanyir airnya dek sampah dan kimia
tanah roboh dek sodokan jentera
badan susut dek pernafasan beracun.

Dengan kuasa yang ada pada-Nya
Tuhan musnahkan perosak bumi
Tuhan musnahkan mereka semuanya!

iv
Kini bumi kembali aman
Hidup bercinta sesama mereka:

Kata udara kepada badan:
manusia kini telah insaf
udara kini tidak dicemari.

Kata tasik kepada awan:
manusia kini telah insaf
tasik dan sungai tak lagi bersampah.

Kata bumi kepada hutan:
manusia kini telah insaf
dataran dan cerun tidak ditarah.

Kata mentari kepada bulan:
manusia kini telah insaf
berduyunan mereka memangkah bulan!

(Sajak ini telah dideklamasi penulis di program “Bazar Industri Kreatif”, malam baca puisi Hari Bumi,  anjuran JKKN Kuala Lumpur di pekarangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Sabtu 29.3.2014).

Irwan abu bakar
Kuala lumpur, 29.3.2014.


Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi