Catatan Muharam 1436H/2014: Ambil Ibrah Dari Hijrah Nabi S.A.W



Setiap tahun, kita akan menyambut sambutan tahun baharu Hijrah atau juga dikenali sebagai Ma’al Hijrah. Ia bersempena tahun hijrahnya Nabi S.A.W, dari Kota Mekah ke Kota Madinah, ia sudah tercatat dalam sirah Nabawiyah. Di mana pun, umat Islam berada, mereka akan menyambutnya.

Di mulai dengan doa penutup akhir tahun sebelum menunaikan solat maghrib dan selepas solat maghrib akan dibacakan doa awal tahun, sama ada secara individu mahu pun secara berjemaah di surau dan di masjid di seluruh negara. Selepas itu akan di adakan majlis bacaan yasin dan tahlil doa selamat juga sedikit tazkirah serta diakhiri dengan sedikit jamuan makan.

Selanjutnya dari itu, pada bulan muharam ini di surau atau di masjid akan diadakan majlis kuliah, tazkirah, forum, seminar dan pelbagai lagi majlis bagi meraikan dan merayakan tahun baharu hijrah ini. Lebih daripada itu, mereka yang bergelar budayawan, seniman, penyair dan karyawan, juga mengambil keberkatan bulan muharam ini, dengan mengadakan majlis baca puisi muharram, Malam Kebudayaan Islam dan bermacam lagi.

Ini semua bagi membuktikan rasa kesyukuran dan harapan, agar tahun baharu yang datang ini tidak dipersia-siakan serta memberi makna kepada semua. Hijrah, menuntut pengorbanan dan perubahan, berubah dari yang negatif ke arah yang positif, dari yang baik berubah kepada yang lebih baik. Banyak ibrahnya dalam peristiwa hijrah. Baik yang muda, dewasa, dan tua, mereka saling bekerjasama bagi menjayakan misi hijrah Nabi S.A.W, begitu kita kini, seharusnya mengambil panduan yang ditunjuki oleh Nabi S.A.W.

Sebagai insan yang mengaku muslim, seharusnya kita mengambil ibrah dan iktibar dari peristiwa penghijrahan Nabi S.A.W dan para sahabatnya. Kini, kita berada di zaman yang sungguh mencabar, pelbagai peristiwa berlaku di hadapan kita, dari perihal politiknya, sosialnya, mediannya, perhubungan sesama kaumnya, budayanya, dan kesemuanya itu, memerlukan satu anjakan perubahan sebaik mungkin. Inilah masanya untuk mencetuskan perubahan positif ke arah yang lebih cemerlang, sama ada individunya, masyarakatnya bahkan negaranya.


Nah, pilihan terletak dalam diri masing-masing..., kita baharu empat hari di bulan muharram 1436H, dikesempatan ini, aku ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Hijrah 1436H...semoga perubahan terus untuk kita. Amin Ya Rabb...!!!

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi