Buku Teman Akrab



Tulisan ini, aku tulis semasa aku menulis di blog Jaringan Perkongsian Minda Anda (Dunia Buku Masshah), kali ini aku post semula di sini, moga ia ada manfaat buat sahabat pembaca. Sekadar nukilan hati berkaitan dengan dunia buku dan pembacaan. Nah, bacalah…

Sudah lama rasanya tidak menulis perihal buku, hari ini cuba mahu tulis tentang buku. Buku sebagai teman akrab, jika hari ini, teman akrab kita seorang individu yang kita amat sayangi, kini apa kiranya kalau kita tambah satu lagi teman akrab kita dengan sebuah buku.

Ya, sebuah buku. Ingat sebuah buku, bukan muka buku.  Buku sebagai teman akrab yang sering mendampingi kita, bila mana kita tidak bersama teman akrab yang lain. Tatkala bersendirian, tiada buat apa-apa kerja, kita boleh berdamping semesra-mesranya bersama buku. 

Boleh?.
                                             
Ini sekadar pandangan saya, sebagai seorang peminat buku, perasaan-perasaan begitu sering bermain-main di minda ini. Buku sebagai pendamping setia ketika keseorangan, melaluinya kita boleh belayar, menyelami, menghadami apa yang terkandung dalam sesebuah buku.

Apa-apa sahaja buku yang kita minati, kita mendakapi penuh erat, manja, helai demi helai muka surat diakrabi, tentunya dalam suasana yang harmoni dan aman damai. Lagi-lagi suasana malam tatkala bersendirian, alangkah indahnya bersamanya.

Akrabnya kita dengan buku nanti, akan mewujudkan kecintaan terhadap buku, apa-apa sahaja jenis genre yang diminati. Ada buku genre keratif dan buku genre bukan keratif. Terpulang pada setiap individu yang mahu membaca dan mengakrabi.

Pilih sahaja, selepas itu berdampinglah dengannya, setiap waktu,  itu pun jika setelah kerja-kerja lain selesai dilaksanakan, itu yang penting. Bagi saya begitulah, selesai semua kerja baharulah berdamping dengan buku seakrabnya.

Jangan mudah dilepaskan begitu sahaja, kecik hati buku itu nanti, belailah manja seperti mana kita belai anak-anak kita atau orang yang kita sayangi, sampai begitu sekali?

Ya, sampai begitu, maksud saya, biarlah bila buku itu bersama kita, kita layan buku itu dengan sebaiknya, helaian demi helaian muka surat kita buka dengan tertib(bukan main keronyok sahaja), lemah lembut jangan sampai terkoyak, jangan lipat, gunalah penanda, jangan dibuat bantal pula, dan apa sahaja yang sewajarnya dilakukan.

Bukankah buku itu teman akrab kita?.

Tulisan ini sekadar luahan betapa indahnya berkawan dengan buku, untuk memberi suntikan semangat kepada diri sendiri dan pembaca, agar kita akan lebih bersemangat untuk menjadikan buku teman akrab kita yang setia.


Sekian.

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi