Syair: Perpaduan

Image result for gambar perpaduan kaum di malaysia


Musim-musim orang nak berpadu, bersatu dan perpaduan ni eloklah bersyair berkaitan dengan perpaduan.  Mari kita bersyair…


Syair Pilihan: PERPADUAN

Negara kita pelbagai bangsa
Berbeza pandangan perkara biasa
Jangan dibiar menjadi bisa
 Hidup terancam sepanjang masa.

Berbeza budaya bukan halangan
Jurang kecil dibesar jangan
Kurangkan iri anjur rundingan
Harmoni nusa kian berpanjangan.

Kepada orang hendaklah hormat
Hendak menegur hendaklah cermat
Bersatu padu itu matlamat
Jangan dinyala dendam kesumat.

Semua tak boleh mementingkan diri
Berjuang untuk kaum sendiri
Sejarah lama harus susuri
Insaf hakikat sedarlah diri.

Serulah semua agar bersatu
Membina Negara biar bermutu
Besar hasilnya sudahlah tentu
Wawasan Negara tercapai jitu.

Semangat mulia bertolak ansur
Tidak menyombong jadikan unsur
Taraf tak hilang jika menyusur
Bagai gabungan pana dan busur.

Hendaklah ikhlas bersatu hati
Bukan mengharap pulangan nanti
Bangsa yang kuat itu yang pasti.
Persada dunia orang hormati.

Marilah kita duduk berunding
Lebih dan kurang jangan disbanding
Menang dan kalah bukan bertanding
Mengatur langkah tangan berganding.

Bersatu padu tiada pilihan
Jika semua mahu bertahan
Bersikap degil cetus bantahan
Hubungan rapuh punca kelemahan.

Anak-anak muda perlu diajar
Agar sentiasa berfikir wajar
Matlamat sendiri jangan dikejar
Api amarah akan memijar.

Warganegara berkongsi rezeki
Bukan haloba tamak dan dengki
Kekayaan Negara kita miliki
Sedarlah kita bukan hakiki.

Bersatu padu sahut seruan
Bersihkan minda tentu haluan
Negara bangsa teguh tujuan
Malaysia raya jadi tumpuan.

Karya: Ghazali Lateh

DARI BUKU: Kumpulan Syair Negara Tercinta
KARYA: Ghazali Lateh



Comments

  1. terima kasih encik. karya ni sanagt membantu dalam proses menyiapkan tugasan saya. izinkan saya mengambil karya ini sebagai contoh.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi